Wednesday, February 25, 2009

bab 7-10

Bab 7

T

ENGKU BADARIAH, Tengku Syahran dan Zahlia malangkah masuk ke Mines Shopping Fair lewat tengah hari itu.Zahlia tidak banyak bercakap.Sepatah ditanya, sepatah dijawab.Sebenarnya Zahlia tidak berapa selesa berada disamping Tengku Syahran.
“Ha, Alia! Tengok baju baby ni cantik tak?” Tanya Tengku Badariah.
Zahlia terpana seketika.Emak mentuanya sedang berada di sebuah kedai pakaian bayi yang bernama Poney.Zahlia memandang Tengku Syahran yang nampak seperti ingin ketawa.Dia terpaksa menahan sabar.
“Ya mak, memang cantik.Tapi, kami belum bersedia lagi mak! Kami dah bincang semalam, Alia kata dia tak mahu anak lagi,” ujar Tengku Syahran selamba.
Zahlia menjegilkan matanya ke arah Tengku Syahran.Mengetap bibir tanda geram.Merah padam terasa wajahnya kerana dimalukan begitu di hadapan emak mentuanya.
Tengku Badariah memandang Zahlia.Meminta kepastian.Semalam, dua-dua kata tak kisah.Hari ni, ada pulak alasannya.Lambat lagilah aku nak timang cucu? Detik hatinya.
“Mak jangan dengar cakap abang tu.Dia tu nak menuduh aje.Depan mak, bukan main lagi.Padahal dia yang kata bila ada anak nanti susah nak berdua-duaan.Nak bermanja-manja! Malas Alia nak lawan cakap dia lagi.” Zahlia melawan kata.
Kini giliran Tengku Syahran pula menjegilkan mata.Jaga kau! Nak kenakan aku pulak!
“Mana satu yang betul ni? Siapa yang tak mahu anak?” tanya Tengku Badariah.
Zahlia dan Tengku Syahran berpandangan.Kemudian masing-masing menunjuk sesama sendiri.Tengku Badariah memandang kedua-dua anak menantunya bergilir-gilir.
“Kau berdua ni, patut sedar yang anak adalah pembawa rezeki.Bertambahnya anak, bertambahlah rezeki.Itu pun kamu berdua nak sekat-sekat.Bukannya susah, kalau ada anak nanti, kamu tinggalkan aje pada mak bila nak berdua-duaan.Mak kan ada! Boleh jaga,” nasihat Tengku Badariah.
Zahlia terdiam kerana terasa bersalah akibat berbohong tadi.Emak mentuanya bersungguh-sungguh mahukan cucu lelaki.Kasihan kalau Tengku Syahran tidak mencari calon secepat mungkin untuk melahirkan zuriat lelaki.Aku?Tak mungkin! Aku tak pernah sayangkan dia dan tak mungkin itu berlaku.Lelaki macam ni nak aku jadikan suami? Tak sanggup!
“Yalah mak! Sebenarnya Alia yang tak mahu lagi.Kami nak tunggu kedudukan rumah tangga stabil dulu.Baru fikirkan tentang anak.Kan bang?” Zahlia akhirnya mengalah.
Tengku Syahran terkejut kerana tidak sangka Zahlia sudi mengalah.Kali pertama Tengku Syahran bertemu dengan perempuan yang tidak suka membalas kata-katanya dengan perbalahan yang panjang.
Zahlia tidak seperti Nazirah.Sungguh berbeza! Nazirah pantang dicabar, pastinya disahut.Zahlia pula hanya sedikit rasa tercabar.Akan mengalah apabila dia rasa bersalah.
Keberanian Nazirah dalam segala hal telah mengikat hati Tengku Syahran.Nazirah adalah segala-galanya.Pakaian gadis itu memang mengikut perkembangan semasa.Tudung yang dipakai, ikut citarasa terkini.Kelembutan tetap ada walaupun nampak lincah dan bersahaja.
Nazirah! Sayang sekali gadis itu telah tiada.Dan kesannya hinggalah ke hari ini wajah itu terpahat di hati Tengku Syahran.Dia merana akibat peristiwa itu.Terasa sekejap perhubungannya dengan Nazirah.Padahal sudah hampir lima tahun mereka bersama.Memang telah tersurat gadis itu pergi dahulu menyahut seruan Illahi.
“Ni, kenapa tiba-tiba senyap?” tegur Tengku Badariah mematikan memori lamanya.
Kelihatan Tengku Badariah dan Zahlia sedang ketawa.Tengku Syahran hanya menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.Bayangan Nazirah telah hilang.Teringat Zahlia yang sudah menjadi isterinya.Dia akan cuba mengelak dari jatuh cinta pada wanita itu.Nazirah masih terpahat utuh dalam jiwa.Tiada insan lain.
Mungkin dia hampir tewas malam tadi tetapi hatinya tidak pernah terlintas untuk menyayangi mana-mana wanita lain selepas Nazirah.Tengku Syahran akui Zahlia berjaya menggugat nafsu lelakinya semalam.Dan Tengku Syahran sendiri tidak pernah lupa jika seorang lelaki dan permpuan duduk berdua-duaan, yang ketiga adalah syaitan.
Tengku Syahran seorang lelaki.Dia gagal menyekat keinginan lelakinya terhadap seorang wanita tambah-tambah lagi Zahlia adalah perempuan pertama yang tidur bersama di bilik itu walaupun di tempat yang berbeza.
“Syah, mak dah haus ni.Jomlah pergi basahkan tekak.” Lamunan Tengku Syahran melayang lagi.
Tengku Syahran mengangguk.
“Marilah.Kita ke Food Court kat sebelah sana,” ajak Tengku Syahran.
Mereka berjalan bersama menuju ke bahagian yang telah dikhaskan untuk ruang makan.Setelah memesan minuman, Tengku Syahran datang membawa dulang yang berisi minuman itu ke meja yang telah dipilih oleh Tengku Badariah dan Zahlia.
“Emm… leganya tekak ni.Haus benar,” ujar Tengku Badariah sambil meletakkan cawan kertas itu di atas meja.
Zahlia tersenyum.Turut menyedut minuman ringan di hadapannya.
“Dalam persatuan mak tu, selalunya aktiviti apa yang mereka jalankan untuk kaum wanita?” soalan Zahlia kedengaran.
Tengku Syahran hanya diam.Sudah dapat meneka tajuk perbualan kedua-dua wanita itu sering diselangi gelak ketawa sejak tadi.
“Banyak.Ada macam-macam pertandingan.Kadang-kadang kami buat lawatan.Biasanya bergantung pada persetujuan ahli jugak,” jawab Tengku Badariah sambil memandang wajah menantunya itu.
Cantik dia ni! Puji hati kecil Tengku Badariah.Matanya itu kemudian beralih pada anak mata Zahlia yang disedari ada tarikan di situ.Warna anak mata coklat cair itu seperti pernah dilihat sebelum ini.Tengku Badariah tidak tahu di mana.
“Ohh… kiranya mak ni aktif jugak lah ya? Dulu abang pernah cerita sikit aje tentang mak.” Zahlia mengerling wajah Tengku Syahran yang tidak mengikuti perbualan yang digembar-gemburkan.Lelaki itu hanya diam.
“Alah… penolong setiausaha aje,” ringkas Tengku Badariah menjawab.
Mata Tengku Syahran mula meliar ke ruang makan.Fikirannya tidak tertumpu apa-apa yang dibualkan.Dia malas mahu mencampuri urusan emaknya itu.
“Syah, kamu ni kenapa? Diam dari tadi?” Tengku Badariah menegur anaknya yang tidak banyak bercakap sejak tadi.
“Ehh, tak adalah mak! Syah okey.Tak tau nak cakap apa.Yalah, perempuan kalau bertemu perempuan, lelaki yang seorang kalahlah.”
Zahlia tergelak kecil.Dia hampir terlupa dengan kehadiran Tengku Syahran di sisinya.Dia terlalu seronok menanyakan hal-hal persatuan Tengku Badariah.Zahlia mula tertarik dengan wanita itu.Kewujudan Tengku Syahran terus dilupakan.Jika Tengku Badariah tak tegur tadi, pasti Tengku Syahran telah dianggap tidak pernah ada ketika itu.
“Alah mak… lelaki kalau senyap aje tu, jangan dianggap tak ada apa-apa.Tambah-tambah lagi bila mata gatalnya meliar tak tentu arah.Entah apa yang dilihatnya,” ucap Zahlia berbaur marah.
Sengaja dia bertindak begitu kerana mahu lakonannya berkesan.Jauh di sudut hati, dia bersimpati pada Tengku Badariah.Tidak langsung dapat mengesan perkahwinan yang diadakan secara tergesa-gesa itu sebenarnya merupakan satu muslihat.
Sudah tiga bulan dia mengenali Tengku Syahran sejak kemalangan itu dan hampir dua hari sudah dia bergelar isteri kepada lelaki yang tidak pernah dicintai.
Zahlia menjeling seketika kepada Tengku Syahran.Entah mampu atau tidak dia mengharungi hidup bersamanya tanpa melanggar surat perjanjian.Ya ALLAH! Minta dijauhkan hal-hal yang menakutkan.Bisik hati kecil Zahlia.
Tengku Badariah ketawa kecil apabila mendengar ayat yang diucapkan Zahlia seterusnya mematikan lamunan menantunya itu.Tengku Syahran pula hanya terkulat-kulat.
“Kamu berdua ni tak mahu merancang pergi honeymoon ke?” soalan Tengku Badariah membuatkan Tengku Syahran dan Zahlia tergamam.
Mereka berpandangan sesama sendiri.Kelu lidah masing-masing untuk berkata.Tengku Badariah sedang menanti jawapan.Wajah anak menantu itu ditatapi bergilir-gilir.
“Tak tau lagi mak.Syah dengan Alia belum fikirkan.Lagipun lusa kami dah start kerja! Nak pergi honeymoon pun tak sempat,” jawab Tengku Syahran tenang.Tangan Zahlia mula dicapai dan digenggamnya kemas di bawah meja.
Zahlia tetap diam.Tengku Badariah pula kurang setuju dengan jawapan itu.Berkerut-kerut dahinya memandang mereka.
“Kenapa cepat sangat nak kerja? Kamu berdua tak minta cuti panjangkah Syah, Alia?” tanya Tengku Badariah.
“Kami sibuklah mak! Syah kena uruskan projek terbaru syarikat.Alia pulak kena uruskan program terbaru untuk anak-anak yatim tu,” ujar Tengku Syahran selamba.
Tengku Syahran hanya tahu sedikit tentang rancangan Zahlia itu sebelum mereka berkahwin.Zahlia ada memberitahunya yang dia perlu menguruskan program untuk anak-anak yatim selepas tarikh mereka berkahwin.Disebabkan itu, masing-masing hanya memohon cuti selama empat hari sahaja.
Tengku Syahran tidak pernah tahu di mana Zahlia bekerja.Dia hanya tahu Zahlia mengajar anak-anak yatim di sebuah rumah kebajikan.Nama tempat itu langsung tidak diketahui.Latar belakang Zahlia juga tidak pernah diselidiki.Zahlia hanya pernah menceritakan sekali imbas tentang hidupnya yang sebatang kara.Tiada ibu bapa dan tinggal dengan keluarga angkat sejak berumur lima tahun.
Zahlia juga pernah berkata yang dia ditemui di tengah-tengah semak sewaktu kecil.Itu sahaja yang Tengku Syahran tahu.Tidak langsung mahu ditanya sama ada wanita itu ada apa-apa kelulusan dalam pelajaran, belajar di takat mana, pernah memasuki universiti atau tidak dan bermacam-macam lagi yang kini menjadi tanda tanya dalam benaknya.
“Kamu berdua kan baru berkahwin.Takkan tak teringin berbulan madu seperti orang lain?” pertanyaan Tengku Badariah mengembalikan fikiran Tengku Syahran ke alam realiti.
“Mak, kalau nak berbulan madu, tak payah nak pergi jauh-jauh.Dalam bilik pun boleh jugak, kan?” ujar Tengku Syahran.
Wajah Zahlia merona merah.Direntap terus tangannya yang berada di bawah meja.Dia nampak Tengku Syahran sedang senyum mengejek.Kurang ajar! Dah gatal sangat agaknya, gumam Zahlia.
“Hisy… mangarut sungguh budak ni.Kita cakap betul-betul, dia main-main pulak!” marah Tengku Badariah.
“Memanglah abang ni.Merepek-repek aje.Ada cakap macam tu depan mak.” Zahlia cuba bertenang sedangkan hatinya hanya ALLAH sahaja yang tahu.
Tengku Syahran ketawa berdekah-dekah.
“Betulkan apa yang abang cakap? Tak payah nak pergi jauh-jauh.Lebih afdal dalam rumah sendiri.” Tengku Syahran masih mengusik Zahlia.
Zahlia terus membisu.
“Dahlah tu.Jom kita balik.Kamu ni Syah tak habis-habis nak mengusik Alia.Kasihan mak tengok.” Tengku Badariah mencelah apabila melihat wajah Zahlia yang mula berubah.
“Marilah.Zohor pun dah nak habis ni,” ajak Tengku Syahran sambil melirik jam tangannya.
“Baik kita singgah masjid dulu.Lepas bersolat, baru kita balik,” cadang Tengku Badariah sambil memandang Zahlia yang masih terdiam.
Tengku Syahran mengangguk.Mereka kemudian beredar.







Bab 8


T

ENGKU SYAHRAN mula bekerja hari ini setelah empat hari bercuti.Awal pagi lagi dia sudah sampai di Neraca Holdings.Walaupun empat hari bercuti, rasanya macam seminggu.Apa tidaknya, perkahwinan yang tak dirancang.Tentu bosan.
“Assalamualaikum… Encik Syahran,” sapa Yani lembut.
Gadis yang kecil molek itu tersenyum manis menyambut kedatangan majikannya pada pagi itu.Tengku Syahran membalas senyuman setiausahanya seperti biasa.
“Ada appointment untuk saya pada hari ini?” tanya Tengku Syahran sedikit ceria.
Tidak tahu mengapa dia berasa segar sekali hari ini.Mungkin hari ini adalah hari pertama dia bersolat secara berjemaah dengan isterinya.Selama ini, dia tidak pernah menjadi imam.Zahlialah orang pertama.
“Happy aje Encik Syahran! Ada apa-apa ke?” tegur Yani membuatkan Tengku Syahran ketawa kecil.
Setiausahanya itu memang pandai mengambil hati.Buat kerja pun jarang ada yang silap.
“Saya tanya awak soalan itu ke?” berbaur gurauan kata-kata Tengku Syahran.
Yani tersenyum simpul.Menyedari kesilapannya.
“Maaf Encik Syahran! Emm… hari ini Encik Syahran ada appointment dengan Encik Adli,” ucap Yani sambil meneliti kalendar rancangan yang dikhaskan untuk temujanji Tengku Syahran.
Tengku Syahran mengerutkan dahi.Segera melepaskan pandangan pada pintu bilik Adli tidak jauh dari situ.Adli temannya sejak dari sekolah lagi sehinggalah ke universiti dan kini menjadi pembantu dalam perniagaannya.
“Apa dia mahu?”
“Encik Adli ajak Encik Syahran main boling malam nanti.Katanya kat tempat biasa dan tempatnya dah ditempah.” Yani masih memandang kalendar rancangan itu.
“Aikk… personal case pun awak catatkan dalam kalendar tu?”
“Dah tugas saya Encik Syahran.Encik Adli yang suruh saya tinggalkan pesan dan saya sebagai setiausaha Encik Syahran hanya menurut perintah.”
Tengku Syahran mengangguk.Kemudian dia melangkah ke biliknya dan melakukan kerja-kerja yang terbengkalai.Nasib baik dia tidak mengambil cuti panjang.Jika tidak banyaklah kerjanya yang terpaksa dibereskan.
Itu pun maknya masih sibuk menyoalkan tentang hal berbulan madu dan menyuruh Tengku Syahran membawa Zahlia melancong ke tempat orang.
Hehh… tak mungkin aku nak pergi jauh-jauh.Dalam bilik pun aku dah tak boleh nak tahan, bila dah jauh? Apa pulak jadinya! Lagi parah… Astaghfirullah-al-azim.
Tiba-tiba pintu bilik terbuka luas.Tengku Syahran terkejut.Adli muncul dalam senyuman.
“Assalamualaikum,” sapa Adli.
“Hmm… Waalaikumussalam.Kau dari mana?” soal Tengku Syahran seraya mencampakkan pen di atas meja.
Adli terus duduk di hadapannya.
“Aku dari bilik akulah.Mana lagi?”
“Anis sihat?”
“Okey.Semalam aje dia tak sedap badan.Faham-faham ajelah orang perempuan kalau pregnant! Kau bagaimana? Sejak jadi pengantin baru ni, bukan main lagi. Tak call aku pun masa cuti.Sibuk berhoneymoon ke?” usik Adli dengan ketawa nakal.
“Merepeklah kau.Nothing happen okay! Dia ke tempat lain dan aku ke tempat lain.Tak ada persamaan,” jawab Tengku Syahran.
Adli sudah tahu tentang perkahwinan Tengku Syahran dan juga tentang surat perjanjian.
“Aku takut kau tak mampu bertahan lama Syah! Dulu lagi aku dah ingatkan… Alia tu have something yang boleh membuatkan kau layu.Jangan sampai kau tersyok sendiri dahlah!”
“Hei, aku ingat lagi perasaan aku tau.Tak akan ada cinta untuknya kerana Nazirah tetap nombor satu.”
“Asyik-asyik Nazirah.Nazirah dah tak ada Syah.Sampai bila kau nak tutup pintu hati kau tu? Cuba bagi peluang kat diri-sendiri.”
Adli mengeluh dengan sikap temannya itu.Nazirah juga adalah sahabatnya ketika di universiti dahulu.Tidak sangka di waktu itu, Tengku Syahran menaruh hati pada Nazirah.Gadis bertudung yang ligat dan peramah itu.
“Sayangku pada Nazirah tak ada tandingan.Alia… kau suruh gantikan tempat Nazirah? Kirim salam ajelah.Bagi free pun aku tak ingin!” Tengku Syahran berkata riak.
“Wehh… bagi free tak ingin konon.Kalau dah tahu, kenapa kau ajak dia kahwin dengan kau? Dah buang tabiat!” Adli berasa sedikit geram dengan perangai keras kepala rakannya itu.
Pada pandangan Adli, Zahlia adalah dunia baru Tengku Syahran.Mungkin dahulu, Nazirah sahaja yang dia nampak.Tetapi kini, Zahlia bagaikan jelmaan baru Nazirah dan kelihatan sempurna untuk menjadi isteri kepada Tengku Syahran.Rupa ada!Budi bahasa kaya! Tidak tahulah Adli apa kelebihan Nazirah pada Tengku Syahran sehinggakan Zahlia kelihatan terlalu kecil di matanya.
“Aku kahwin dengan Alia sebab nak elakkan diri dari Linda.Kebetulan pulak Alia perlukan wang.Tak ada sebab lain untuk aku berkahwin dan jatuh cinta pada dia.” Tengku Syahran menjawab.
“Kau sure ke? Entah-entah sejak malam tu lagi… kau dengan Alia…”
“Hissyyy… cakap biar beralas beb.Aku tak seburuk yang kau sangkakan tau? Sesuka hati nak ambil kesempatan walaupun Alia dah jadi isteri aku yang sah.Aku masih waraslah,Li! Nazirah adalah segala-galanya.” Tengku Syahran berkata lagi.Dia terlupa perbuatan nakalnya pada Zahlia sejak hari pertama wanita itu tidur di biliknya lagi.Langsung tak ingat.
“Nazirah lagi! Eleh… dahlah.Aku nak lihat sejauh mana kemampuan kau untuk bertahan.” Adli seolah-olah mencabar.
Tengku Syahran ketawa kecil.
“Alright!” ujar Tengku Syahran pendek.
“Kau dah dapat message aku dari Yani?” Adli menukar topik.Dia sudah malas mahu berbalah dengan teman yang memang pandai menjawab.
“Dah.Kau jadi pergi malam ni?”
“Aku sure! Kau tu aje, pengantin baru.Aku takut Alia gari kaki kau, tak bagi keluar bilik,” seloroh Adli memecah keheningan kamar pejabat berhawa dingin itu.
“Yalah tu.Kita tengok kaki siapa yang kena gari.Kau ke aku?” Tengku Syahran membalas dengan ketawa.


“SYAH hari ni kita nak ke mana?” Nazirah bertanya sambil duduk di sebelah Tengku Syahran.
Tengku Syahran menoleh pada gadis yang baru sampai dan masih tercungap-cungap itu.Bibirnya mengukir senyuman walaupun sudah 15 minit gadis itu terlewat dari waktu yang dijanjikan.Tengku Syahran tidak kisah.Cintanya telah mengaburi mata.Hatinya buta untuk melayani perasaan rajuk.Nazirah terlalu baik untuk dimarahi.Mungkin dia terlewat kerana kuliah habis lambat.
“Suka hati Irahlah.Syah tak kisah.Bosanlah duduk kat apartment sorang-sorang.”
“Adli tak ada ke?” tanya Nazirah lembut sambil membuka beg kecil mengeluarkan alat soleknya.Wajahnya nampak pudar.Ingin di touch-up.
Gelagat Nazirah itu hanya diperhatikan oleh Tengku Syahran.Lelaki itu tahu, Nazirah memang suka bersolek.Tidak kira di mana berada, gadis itu pandai bergaya.
“Dia ada discussion group dengan Jeff.Esok mereka ada presentation kat tutorial,” jawab Tengku Syahran.
Nazirah menyimpan semula alat soleknya ke dalam beg.
“Irah sebenarnya tak ada mood nak jalan jauh.Apa kata kalau kita duduk kat sini dan berbual? Dah lama kita tak berbual berdua,” pinta Nazirah seraya merenung anak mata Tengku Syahran dalam-dalam.
Anak mata Tengku Syahran yang hitam berkilat itu telah memikat hatinya sejak kali pertama bertentang mata.Nazirah malu mahu berterus-terang.Dia takut Tengku Syahran tidak menyimpan perasaan terhadapnya.Disebabkan itu, Nazirah bersikap selamba apabila duduk bersama Tengku Syahran sehinggalah lelaki itu sendiri yang meluahkan perasaan yang sama kepadanya.
“Kenapa kat sini aje? Syah bosanlah hari-hari menghadap bangunan ni.Apa kata kalau kita mencuci mata pulak,”ujar Tengku Syahran sambil membalas renungan itu.
Kasih sayangnya suci dan tulus sekali.Dahulu, dia pernah putus cinta tetapi cinta dahulu hanyalah cinta monyet.Selepas berjumpa Nazirah, segala-galanya kembali indah.Tengku Syahran sayangkan gadis yang dikenali melalui Adli itu.Dia juga telah menyuarakan hasrat hati untuk memiliki gadis itu apabila tamat pengajian nanti.
“Boleh jugak.Tapi… carilah tempat yang ada privacy sikit.Irah nak berdua aje dengan Syah.Irah tak mahu ada sesiapa yang kacau sebab Irah takut Irah tak dapat hidup lama.”
Tengku Syahran pantas meletakkan jari-jemarinya di bibir Nazirah.Memberi isyarat supaya gadis itu tidak meneruskan lagi kata-katanya.Semenjak dua menjak ni, Nazirah sering berbicara yang pelik-pelik.Wajahnya lebih ceria dan berseri-seri.Tengku Syahran tidak tahu mengapa.
“Irah selalu cakap begitu.Syah tak suka dengar.Kan kita dah janji nak hidup semati.Kalau Irah betul-betul nak pergi, bawa Syah sekali.Kita pergi sama-sama.” Berkobar-kobar Tengku Syahran berkata.
Nazirah hanya tersenyum manja.Perasaan marah Tengku Syahran terus berkubur apabila mendengar ungkapan pelik Nazirah sebentar tadi.
“Syah tahu tak, mengingati mati ni hukumnya sunat.” Nazirah bersuara tenang.Masih tersenyum manja.
Tengku Syahran terdiam.Kata-kata Nazirah, membuatkan hatinya berdebar-debar.Apakah itu satu petanda? soal Tengku Syahran dalam hati.
“Cukuplah.Jom kita pergi.Nak naik cab ke?” Tanya Nazirah.
“Tak Syah drive.Sewa kereta,” jawab Tengku Syahran sambil bangun.
Debaran di hati sudah reda.Tiada lagi perasaan cemas yang mengacau fikirannya.Dia hanya ingat cintanya pada gadis itu yang kian bertambah.Tanpa langsung difikirkan yang hari itu adalah hari terakhir mereka bersama.


“SYAH!” teguran itu bergema bersama satu tepukan kecil di bahu Tengku Syahran.
Tengku Syahran tersedar.Bunyi bola boling yang kedengaran bergolek di sana-sini terus menyapa telinga.Adli sedang memandangnya.
“Turn kaulah,” beritahu Adli sengaja ditekankan suaranya.
Tengku Syahran bangun untuk membuat balingan.Adli memerhatikan gerak-geri Tengku Syahran dengan rasa hairan.Tengku Syahran sejak tadi asyik berkhayal.Tidak ada tumpuan langsung.Kenapa?
Tengku Syahran duduk semua di kerusinya.Balingannya hanya menjatuhkan lima pin sahaja.Dia tidak langsung menyedari yang dirinya sedang diperhatikan.
“Kau tengah fikirkan apa,Syah?” tanya Adli sambil memeluk tubuh.
“Tak ada apa-apalah.Aku teringatkan seseorang aje,” ujar Tengku Syahran sambil tangannya mencapai minuman dalam tin lalu diteguknya.
Adli terus membuat balingan.Kemudian duduk di kerusi yang bertentangan dengan Tengku Syahran.
“Pasal Alia ke?”
“Bukanlah.Buat apa aku nak ingatkan dia? Buang masa aje.Baik aku ingatkan kau,” ujar Tengku Syahran sambil tergelak.
Wajah Adli begitu serius.Adli kurang senang dengan kata-kata Tengku Syahran tadi.Kalau bukan Alia siapa?
Melihat wajah serius Adli, Tengku Syahran mematikan ketawanya.Dia membuat balingan terakhir untuk game kedua mereka.
Balingan yang masih tidak memuaskan.Hari itu, nasibnya kurang baik.Jatuhan pin tiada yang habis kesemuanya.Biasanya dialah juara.Mungkin malam ini, Adli bakal menyandang gelaran juara yang selama ini menjadi milik Tengku Syahran.
“Kalau bukan Alia, Nazirah?” soal Adli.
Tengku Syahran tunduk.Rindunya masih menggunung.Pertanyaan Adli menggamit kembali wajah yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu ke mindanya.Makin lenyaplah bayangan Zahlia yang hanya sesekali melayang ke ruang mata.
Adli tetap menanti tetapi Tengku Syahran tidak menjawab soalan tadi.
“Kau ni tak habis-habis dengan Nazirah.Tak tenteram rohnya.Nazirah dengan kau pun belum ada apa-apa pertalian.Sampai bila kau nak terus mengingati dia?” suara Adli tenang tetapi hati Tengku Syahran terguris.
Sampai hati Adli berkata begitu.Sesungguhnya cinta Tengku Syahran kepada Nazirah terlalu sukar untuk dilupakan.Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui betapa rasa cinta itu masih menyala.
“Sedarlah Syah! Kau dah kahwin tau… kau dah kahwin! Kisah kau dengan Nazirah sudah lima tahun berlalu.Isteri kau kat rumah tu, takkan kau nak biarkan hubungan kau dengan Alia hambar dan hidup macam biasa.
Selama mana seorang perempuan dengan lelaki boleh hidup sebilik tanpa ada apa-apa berlaku? Tak mungkin, kalau pun sehari dua kau boleh bertahan, belum tentu dalam waktu-waktu akan datang, kau dengan Alia tak ada apa-apa! Percayalah… aku dah kaji perkara ni sebelum kau kahwin lagi.” Adli melepaskan perasaan geramnya yang membuak-buak.
Adli tidak marahkan Tengku Syahran, tetapi haruslah ada batasnya.Nazirah sudah tiada.Zahlia yang seharusnya cuba didekati.Bukan terus berusaha agar cinta Nazirah kekal di hati.Sebaliknya rebutlah hati Zahlia yang Adli tahu masih belum berpunya.Bodohlah Syah, jika Zahlia dilepaskan begitu sahaja.
“Aku masih sayangkan Nazirah.” Lemah ucapan itu.
“Aku tahu! Tapi kau kena ingat, Nazirah dah tak ada.Alia dah jadi isteri kau.Cubalah dekati dia dan simpan kenangan kau dengan Nazirah.Alia tu tak ubah macam Nazirah.Lawa… kenapalah hati kau ni buta sangat?”
“Li, aku pernah cuba membuang wajah Nazirah jauh-jauh.Tapi aku gagal.Setiap waktu bayangannya tetap ada.Aku dah berusaha, Li.Malah sewaktu aku menyuarakan cadangan aku untuk mengahwini Alia, aku pernah jugak terfikir untuk cuba menyayangi Alia sepertimana aku menyayangi Nazirah.Tetapi gagal.Wajah Alia tak mampu untuk menggantikan tempat Nazirah.Mungkin apa yang kau cakap pasal lelaki tadi betul.Aku akui, hampir-hampir tertewas dengan perasaan nakal aku sendiri sewaktu kali pertama aku melihat Alia tak bertudung.Tapi entahlah…”
Tengku Syahran teringat perbuatan nakalnya malam itu.Dia memandang Adli.Minuman ringan di tangan diteguk lagi.Lega terasa tekaknya.Mujurlah Adli teman yang pandai menyimpan rahsia.Jika tidak, jenuh juga mahu mencari teman yang sudi berkongsi masalah.
“Aku tak suruh kau buang bayangan Nazirah terus.Mengingati tak apa.Jangan lebih-lebih.Alia tu, baik sangat.Aku tau Alia pun tak pernah cintakan kau.Tapi, apa salahnya kalau kau buat dia jatuh cinta kat kau! Tak semestinya bercinta sebelum berkahwin lebih bahagia daripada bercinta selepas berkahwin.Kau boleh buktikan.Alia tu masih solo.I think she’s the one for you,” pujuk Adli perlahan.
Tengku Syahran terdiam.
“Aku dengan dia dah berjanji.Dia ada syarat dan aku pun ada syarat.Kami tak boleh jatuh cinta.”
“Syarat untuk melarang kau dengan Alia bercinta ada ke? Kau jangan nak temberanglah Syah! Aku baca perjanjian tu tau!” Adli mencelah.
Tengku Syahran terdiam.Mengiakan kata-kata Adli di dalam hati.Dia tidak mahu bersuara secara terang.Lagipun dia sendiri sudah melanggar perjanjian itu sejak hari pertama lagi kerana berani mengusik wanita itu.Dan Zahlia pun apa kurangnya, tidak menggunakan panggilan yang termaktub dalam syarat pun.
“Kenapa senyap? Betul tak aku cakap tak ada?”
“Memanglah tak ada.Tapi aku takut bila dah separuh mati bercinta, tiba-tiba kena berpisah.Lagi parah.Aku merana dua kali.Alia? Sekali aje tau!”
“Alah… bila dah jatuh cinta takkan ada rintangan yang menghalang.Kalau kena berpisah pun, rujuklah balik.Apa yang susah?Lagipun hal ni hanya aku dan Anis sahaja yang tahu.Kalau kau dengan Alia tak heboh pada sesiapa, insyaALLAH segalanya beres.” Bersungguh-sungguh Adli memberikan pendapat.
Tengku Syahran merenung Adli yang sedang mencapai minuman tin yang masih belum dibuka.Selepas penutup itu ditarik, Adli meneguk perlahan-lahan.
“Aku…”
“Dahlah tu.Fikirkan hal ini kemudian.Aku yakin… kau dengan Alia sepadan.Mintalah petunjuk ALLAH, mana tau memang Alia jodoh kau.”
“Nampaknya hari ini aku kalahlah Li.” Tengku Syahran memerhatikan skrin markah di tepinya.Adli tersengih.
“Itulah.Biasanya kaulah juara.Hari ni biar aku pulak yang menang.”
“Kau nak aku buat apa ni?”
Adli terdiam.Mencari jawapan kepada pertanyaan Tengku Syahran.
“Belanja makan ajelah.”
“Jom…”
Mereka berjalan keluar dari pusat boling itu.
“Haa… esok malam datang rumah aku! Ajak Zahlia sekali.Anis yang beria-ia nak berkenalan dengan Alia.Kau mesti datang… kalau tak? Nahas!” bagaikan satu ugutan Adli berkata.
Tengku Syahran menjegilkan biji mata.
“Wah, kau ugut aku ya?”
“Lebih kuranglah.”
Tengku Syahran ketawa kecil.
“InsyaALLAH.Nanti aku tanya Alia dulu.”
“Lepas Maghrib tau!”
“Okey.”

















Bab 9
Z

AHLIA melihat jam di dinding.Sudah pukul 5.30 petang.Pagi tadi, Tengku Syahran ada memberitahu tentang pelawaan Adli.Hendak ditolak, Zahlia tidak sampai hati apabila terbayang Anissa yang sedang berbadan dua dan beria-ia mahu berkenalan rapat dengannya.Dengan pantas Zahlia mengemas buku-buku latihan yang berselerak di atas meja.
Sebelum kahwin, Zahlia pernah berjumpa dengan Anissa sewaktu mahu menandatangani perjanjian perkahwinan.Selepas itu, semasa hari perkahwinannya dan kini malam ini dia kan bertemu lagi dengan Anissa.
Sebaik saja Zahlia habis berkemas, Fatimah masuk ke bilik guru dengan membawa buku-buku latihan kelasnya.Fatimah memandang Zahlia sebelum mengalihkan pandangan pada jam di dinding.
“Hai Alia, tergesa-gesa nampak! Kau nak ke mana?” tegur Fatimah sambil meletakkan buku-buku latihan tadi di atas meja.
Zahlia menyangkut beg tangan ke bahu.Dia bergerak ke meja Fatimah.Fatimah sudah tahu berkenaan perkahwinannya.Zahlia sendiri yang berterus-terang.
“Aku ada hal dengan Syah.Dia ajak aku ke rumah kawan dia malam ni,” beritahu Zahlia lembut.
Fatimah mengangguk.Matanya merenung anak mata Zahlia seketika.Fatimah suka benar merenung anak mata Zahlia yang jarang-jarang dijumpai.Cantik dan menawan.Memang sesuai untuk mata yang bulat dan bundar beserta alis mata yang cantik terukir.Mata kau memang cantik Alia! Pujinya dalam hati.
“Kenapa pandang aku macam tu?” soal Zahlia.
Fatimah hanya menggeleng.
“Rajin pulak kau nak pergi? Kalau aku,dahlah kahwin pun cara macam ni.Tak pernah sayang-menyayangi.Lepas tu,nak menghadap muka dia… baik lupakan.Tapi, kau tu tak apalah.Nak menghadap muka suami kau sepanjang masa pun tak kisah.Sejuk mata turun ke hati.”
Kata-kata Fatimah menimbulkan persoalan dalam benak Zahlia.Dia membalas pandangan temannya itu.
“Mengapa kau cakap macam tu? Maksud aku… sejuk mata turun ke hati?”
“Laki kau tu… handsome, kacak, tampan apalagi kau nak? Kerabat diraja lagi, kalau aku dapat, jangan guna kontrak, kalau dia paksa kahwin pun aku rela.”
Zahlia tergelak.Kata-kata Fatimah tidak pernah difikirkan langsung.Dia berkahwin dengan Tengku Syahran pun bersebab.Sebab yang tiada pada pasangan lain.Mana mungkin dia jatuh cinta pada lelaki yang hanya dikenali seminggu.
Zahlia teringat sewaktu dia terkocoh-kocoh hendak ke hospital melawat Razif.Tiba-tiba dia terlibat dengan kemalangan kecil.Kemudian, tanpa diduga dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Tengku Syahran.Tidak terfikir langsung oleh mindanya akan timbul masalah yang mendatang.
“Wehh, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Fatimah mengawang-awangkan tangan di hadapan muka Zahlia.
Zahlia tersenyum.Terlupa yang Fatimah masih berada di situ.Zahlia pandang ke arah jam tangannya lagi.
“Aku nak balik dululah Imah.Dah dekat pukul 6.00 ni.Takut Syah sampai rumah dululah.Aku nak berebut bilik air ni!”
“Laa… itu ke sebabnya kau tergesa-gesa?”
Zahlia tersengih dan mengangguk.
“Syah kalau mandi mengalahkan orang perempuan.Baik aku masuk bilik air dulu.Asar pun dah nak habis ni.Okeylah ya? Assalamualaikum.”
Fatimah menjawab salam Zahlia.Matanya menyorot memandang kelibat Zahlia yang semakin menghilang.Dia mengukir senyuman di cermin tingkap apabila kereta Zahlia bergerak pergi.Zahlia memang sesuai dengan Tengku Syahran, fikir Fatimah.


ZAHLIA membantu Anissa menyediakan hidangan di atas meja.Ketika dia dan Tengku Syahran sampai di rumah Adli, Anissa masih sibuk memasak di dapur.Nampak kelam kabut wanita yang sedang mengandung itu menguruskan hidangan.
“Saya pesan pada Adli, suruh beritahu lepas Isyak, tapi dia terlupa dan kata lepas Maghrib.Tak sempat nak siapkan semuanya,” ujar Anissa sambil mengacau kuah kari untuk hidangan nasi beriani malam itu.
Zahlia hanya tersenyum sambil menyusun empat biji gelas di atas dulang.Kemudian, dia membantu Anissa membancuh air sarsi ke dalam jag.
“Tak apalah Anis, datang awal pun apa salahnya? Dapat jugak menolong.Anis kan dah sarat, tak penatkah ke hulu ke hilir dengan perut memboyot tu?” tanya Zahlia.
Anissa hanya ketawa kecil.
“Penat tak penat, memang kerja orang perempuan.Sebab itulah Syurga terletak di bawah tapak kaki ibu sebab penghormatan seorang ibu tiga kali ganda dari seorang ayah.Masa mengandung nilah baru kita sedar betapa banyaknya dosa kita pada ibu bapa kita dulu,” ujar Anissa.
Anissa teringatkan zaman remajanya yang terlalu sosial.Mujurlah dia berjumpa dengan Adli yang telah menyedarkannya tentang kehidupan.Jika tidak, pasti dia sudah terlajak jauh.
“Saya pun teringin jugak nak timang anak sendiri.Tapi, perkara tu tak mungkin berlaku dalam perkahwinan ni.”
“Beritahulah pada Syah.Mana tahu bila Alia pregnant, kamu berdua boleh jatuh cinta seterusnya menerbitkan perasaan sayang.”
“Ehh, tak mahulah.Saya bukan mahukan anak dari Syah.Tapi, dengan lelaki yang saya cintai.Bukan Syah… mungkin lelaki lain.Kami berkahwin, bukan atas kehendak perasaan.Tapi, keadaan yang memaksa kami.Anis kena faham.”
Zahlia sudah melangkah menuju ke pintu dapur.Tetapi langkahnya terhenti sebelum sempat dia menerpa ke luar apabila dia dapat menangkap perbualan Tengku Syahran dan Adli di ruang tamu.
“Aku dah cuba Li.Semalam, senyap-senyap aku dekati dia.Tapi, dia tu bosanlah.Depan famili aku bolehlah dia control perangai dia.Bila duduk dalam bilik, kalau bukan aku yang bersuara,alamatnya macam dalam penjaralah bilik tu.
Suara dia susah sangat aku nak dengar.Bengang aku… perempuan macam tu kau nak aku jatuh cinta? Tengoklah tadi, datang rumah kau pun nak kena naik kereta dia.Mengada-ngada! Aku boleh jadi gila macam ni!” Suara Tengku Syahran begitu yakin tanpa menyedari setiap kata-katanya mengguris perasaan Zahlia.
“Syah, cakaplah perlahan-lahan sikit.Dia ada kat dapur tu! Nanti dia dengar… nahas kau.”
“Biar dia dengar.Tension aku.Entah bilalah segala-galanya nak selesai.”
“Dulu kau yang beria-ia mahu dia kahwin dengan kau! Bila kau dah lepas dari Linda, kau cakap benda yang merepek-repek pulak.Patutnya kau berterima kasih Syah.Bukan mengutuk!”
“Aku tak pernah fikir pun hal tu.”
“Fikirkanlah.Try lagi dekati dia.” Suara Adli semakin jelas.
Zahlia terasa kakinya lemah di situ.Sampai begitu sekalikah perasaan benci Tengku Syahran terhadapnya.Patutlah semalam, kelakuan lelaki itu pelik sekali.Bercakap menggunakan nada suara yang meremangkan bulu tengkuk.Zahlia pula hanya menjawab setiap pertanyaan dengan suaranya yang selamba dan bersahaja.Rupa-rupanya itu muslihat lelaki itu mahu mendekatinya.
Zahlia sudah berkecil hati.Wajahnya terpancar sinar kemurungan.Perlahan-lahan dia melangkah ke ruang tamu.
Suasana menjadi hening.Perbualan Adli dan Tengku Syahran terhenti dengan sendiri.Zahlia tahu mengapa ia berlaku.Selepas menuang air, Zahlia berlalu ke dapur semula.Tanpa sedar ada titisan jernih mengalir ke pipi.Kegirangan hatinya telah berlalu pergi.
Kata-kata Tengku Syahran yang masih jelas telah membuka matanya tentang status dan harga dirinya di mata lelaki itu.Dia mula sedar,Tengku Syahran bukan haknya.Masih belum terlambat untuknya mengawal perasaan dari jatuh cinta pada lelaki itu.Zahlia yakin kini, lelaki yang datang dalam mimpinya dahulu pasti bukan Tengku Syahran.Habis, siapa? Gerak gaya dan tingkah laku kelihatan seperti Tengku Syahran.
Tapi, ucapan Tengku Syahran tadi telah membuatkan Zahlia pasrah.Jodohnya belum sampai.Mungkin ada yang lebih baik sedang menanti.
“Alia, jomlah ke depan.Semua dah settle.Tinggal nak makan aje.” Anissa menyentuh tangan Zahlia.Dia pelik dengan kebisuan Zahlia tiba-tiba.
Zahlia mengangguk dan menuruti langkah Anissa.


DI DALAM perjalanan pulang, Zahlia menyepi.Dia lebih selesa menumpukan perhatian melihat lampu-lampu di tepi jalan.Malam ini nampak gelap.Tiada bintang-bintang yang berkelipan di langit.Nampak kelam dan murung seperti memahami keadaan hatinya saat itu.
Tengku Syahran yang memandu kereta Proton Wira turut membisu.Tidak tahu tajuk apa yang hendak dibualkan.Lelaki itu kelihatan selamba dan seolah-olah tidak terbit perasaan bersalah dalam diri kerana telah berkata sesuatu yang mengguris perasaan Zahlia.
Entah-entah kat pejabat, lagi teruk dia mengata aku.Zahlia terus melayani perasaannya.Tiba-tiba Zahlia terasa tangannya diramas lembut.Zahlia terkejut.Dia menoleh dan mendapati tangan Tengku Syahran sedang melekat kemas di tangannya.Zahlia naik berang.Dia tahu itu satu muslihat.Sepantas kilat Zahlia menarik tangannya.Dahlah mengata aku, ada hati nak pegang-pegang pulak, gomelnya di dalam hati.
“Apa awak buat ni? Dah lupa syarat perjanjian kita?” marah Zahlia tanpa memandang Tengku Syahran.
Tengku Syahran tersenyum sinis.Zahlia memang pantang diusik begitu.Tengku Syahran sudah faham benar dengan perangai Zahlia sejak hari pertama lagi.Disebabkan itu Tengku Syahran suka mengambil peluang bila dia dan Zahlia di hadapan keluarga.Dipeluknya pinggang wanita itu sesuka hatinya.Atas nasihat Adli, Tengku Syahran cuba mendekati Zahlia.Mungkin masa itu adalah waktu yang sesuai.
Tengku Syahran mencapai tangan Zahlia sekali lagi.Didekatkan ke bibirnya tetapi belum sempat dia mencium tangan itu, Zahlia sudah menarik tangannya.
“Eh, jangan nak menggatal. Kawal diri tu sikit!” marah Zahlia dengan nada yang agak kuat.
Tengku Syahran terkaku.Kemarahan Zahlia membuatkan dia tidak jadi mahu meneruskan perbuatannya.
“Eleh… nak pegang sikit pun tak boleh.Bukannya nak buat apa!” Tengku Syahran menjawab perlahan tetapi dapat didengar oleh telinga Zahlia.
“Dengar sini Syah.Saya bukan perempuan murahan yang awak boleh usik sesuka hati.Kita tak pernah bercinta.Saya sedar siapa diri saya.Jangan sebab saya anak yatim, awak ingat awak boleh ambil kesempatan.Peluk sana… peluk sini… bila di belakang, mengata ikut sedap mulut,” rungut Zahlia.
Tengku Syahran mengerutkan dahi.Tidak faham dengan ayat Zahlia.Tengku Syahran teringatkan perbualannya dengan Adli tadi.Dia sudah dengarkah?
Tengku Syahran ingin bertanya lagi tetapi lidahnya kelu.Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk terus membisu sehingga sampai di Villa Sakura.



















Bab 10
S

UDAH sebulan Zahlia tinggal di Villa Sakura.Hari ini hari Ahad, Zahlia tidak bekerja.Selepas solat Subuh, Zahlia turun ke tingkat bawah.Niat di hati hendak terus melangkah ke dapur tetapi tidak jadi apabila Tengku Hafizah memanggilnya ke ruang tamu.
“Kenapa Fiza?” tanya Zahlia lalu duduk di kerusi berhadapan Fiza yang sedang bersila di hadapan meja.Buku-buku pelajaran Tengku Hafizah bersepah di sana-sini.
“Akak pernah belajar subjek accounting tak? Fiza tak fahamlah.”
Zahlia terdiam.Sejak bekerja di Sinar Iram, dia tidak pernah mengingati ijazah yang ada dalam simpanannya.Semuanya dilupakan demi kasih sayangnya pada anak-anak yatim.Zahlia sanggup melupakan ijazah perakaunan itu demi membantu rumah kebajikan yang pernah menjadi tempat tinggalnya suatu ketika dahulu.
“Fiza tak faham pasal belanja angkutan ni.Apa bezanya angkutan masuk dengan angkutan keluar? Bukankah kedua-duanya satu belanja.” Tengku Hafizah bersuara.
Zahlia turun ke ambal dan bersimpuh bersebelahan Tengku Hafizah.Dia mula menerangkan satu-persatu pada Tengku Hafizah.Tidak disangka ilmu itu masih melekat di kepalanya.
Tengku Syahran yang baru sampai di anak tangga pertama menghentikan langkah.Dia memasang telinga dengan setiap penerangan Zahlia pada Tengku Hafizah.Zahlia tidak langsung menyedari kehadiran Tengku Syahran.
“Wah, pandailah Kak Alia terangkan.Fiza dah faham sekarang.Thanks.” Tengku Hafizah menyambung tugasannya selepas penerangan Zahlia tamat.
Zahlia tersenyum dan bangun untuk duduk semula di atas kerusi.
“Dulu akak belajar kat mana?” tanya Tengku Hafizah sambil meneruskan kerjanya.
“Kat UKM.Bachelor of Accounting.” Zahlia menjawab.
Tengku Syahran terkejut mendengarnya.Selama ini dia sendiri tidak pernah tahu yang Zahlia juga mempunyai segulung ijazah.Dia hanya fikir wanita itu bekerja di rumah kebajikan anak-anak yatim itu kerana tiada kelulusan.Malah nama tempat kerja wanita itu juga tidak pernah diketahui sehingga ke hari ini.
“Wow, angah tak pernah cerita langsung tentang itu.Maknanya akak dah lama graduate?” soal Tengku Hafizah.
“Adalah dalam tiga tahun.”
Tengku Hafizah memandang Zahlia.Ketika itulah dia tersedar kewujudan abangnya di situ.
“Eh, angah! Marilah duduk kat sini.Kita sembang-sembang,” ujar Tengku Hafizah.
Zahlia berpaling.Tengku Syahran sedang tercegat sambil memandang Zahlia.Mungkin menanti bibir Zahlia pula yang memanggilnya.Zahlia mengetap bibir.Sejak peristiwa di rumah Adli dulu, dia sudah jarang bersuara dengan suaminya itu.Bercakap hanya waktu-waktu tertentu sahaja.
“Marilah bang.Nak sarapan pun, belum siap lagi.” Zahlia bersuara lembut.Dia terpaksa berlakon.Konon-kononnya kehadiran Tengku Syahran amat dihargai.
Tengku Syahran melangkah dan duduk di sisi Zahlia.Dia tetap cuba mendekati Zahlia atas sokongan Adli setiap hari dan Zahlia semakin hari semakin menjauhkan diri.Tengku Syahran tidak tahu mengapa.
Tengku Hafizah sudah menumpukan perhatian pada kerja.Zahlia pula membisu.Sesekali mata Tengku Syahran menjeling ke wajah Zahlia yang kelihatan tenang.
“Mengapa angah tak cakap yang Kak Alia pernah belajar subjek accounting? Kalau tak dah lama Fiza jadikan Kak Alia sebagai cikgu tak rasmi Fiza.” Tengku Hafizah bersuara sambil tangannya ligat menekan calculator.
Tengku Syahran menjeling lagi pada Zahlia yang sudah tertunduk malu.Zahlia tidak berani mahu melawan pandangan mata Tengku Syahran.Perkara itu tidak pernah diberitahu pada Tengku Syahran.
Tengku Syahran tersenyum tiba-tiba.
“Angah malas nak heboh.Nanti dia bangga diri pulak,” selamba Tengku Syahran menjawab.
Zahlia menyiku lengan Tengku Syahran.Dia benci apabila Tengku Syahran mengenakan dirinya dengan cara itu.
“Aduh, sakitnya! Sampai hati ayang buat abang macam ni.Abang cakap apa yang betul.Ayang tu bukan boleh dipuji lebih-lebih, nanti terkembang sendiri.Lepas tu bangga… kemudian riak.” Tengku Syahran tetap menyakat.
Tengku Hafizah tergelak manakala Zahlia bertambah bengang.Zahlia beristighfar di dalam hati.Berharap dirinya dapat bersabar dengan usikan Tengku Syahran yang merepek-repek itu.
Pada waktu yang sama ahli keluarga Tengku Syahran sudah turun dan bersiap-sedia untuk bersarapan.Selepas dipanggil oleh Siti, masing-masing mengambil tempat.Cuma Zahlia dan Tengku Syahran masih membisu di ruang tamu.
“Kenapa tak beritahu aku yang kau pernah belajar? Aku tak pernah tau pun,” bisik Tengku Syahran di telinga Zahlia.
Zahlia bingkas bangun.
“Buat apa nak beritahu? Awak tu siapa nak ambil tau semua hal saya.” Zahlia bergerak sedikit.
“Dengar sini Alia, kau tu isteri aku.Semua rahsia kau kena beritahu aku.Kalau aku dapat tau apa-apa cerita tentang kau lagi.Nahas!” ugut Tengku Syahran.
Zahlia telan air liur.Apa hal pulak! Suka hati akulah nak rahsiakan hal aku.Penyibuk!
Tengku Syahran sudah sampai ke meja.Zahlia tetap kaku, berdiri di ruang tamu.Dia tersedar apabila Tengku Badariah memanggilnya ke ruang makan.


“NERACA HOLDINGS bagaimana Syah?Projek Bayu Idaman tu kau dah settlekan pembentangan kertas kerjanya?” tanya Tengku Ismail sambil memandang Tengku Syahran.
Neraca Holdings adalah anak Syarikat Seri Nilam Corporation.Dahulu Neraca Holdings berada di bawah naungan Tengku Hakimi.Tetapi atas permintaan Tengku Ismail, Neraca Holdings telah diserahkan atas pengawasan Tengku Syahran dan Tengku Hakimi diminta membantu Tengku Ismail di Seri Nilam Corporation.
“Emm… okey ayah! Tan Sri Rahman dan hantarkan wakil untuk menguruskan projek itu.Kami dah setuju akan mulakan kerja pembinaan bulan depan,” jawab Tengku Syahran.
Mereka yang lain hanya diam sambil menikmati sarapan.Tengku Badariah merengus kecil.Dia tidak suka apabila hal-hal pejabat dibawa ke rumah tetapi Tengku Ismail memang selalu bertanyakan hal-hal pejabat apabila ada peluang di hadapan anak-anak.
“Habis, kau dah tengokkan tapaknya?”
“Dah.Syah rasa strategic.Sebab itulah boleh mulakan kerjanya awal sikit.Kalau tak, mahu dua tiga bulan lagi kerja-kerjanya dapat dimulakan,” ujar Tengku Syahran.
Tengku Ismail mengangguk.
“Abang ni kalau berjumpa Syah dengan Kimi tak bersembang pasal office boleh tak? Hari-hari minggu macam ni apa kata kalau kita sembang-sembang hal keluarga.Ini, bila bertemu mata… kalau tak Neraca Holdings mesti Seri Nilam Corporation abang tu.Bosan yah,” sampuk Tengku Badariah tiba-tiba.
Tengku Ismail mengarahkan pandangan pada Tengku Badariah.Kelakar juga mendengar teguran isterinya itu.Tetapi sikap ambil berat Tengku Ismail terhadap pejabat sukar disingkirkan.Memang itu sifat turun-temurun yang diwarisi dari ayah Tengku Ismail.
“Betullah ayah.Ana pun dah bosan dengar cerita pasal office ayah tu.Dari hari Isnin sampai ke hari Isnin minggu yang baru.Office! Office!Office! Boringlah.Sembanglah cerita yang lain pulak.” Tengku Farhana mencelah.
Tengku Hakimi dan Tengku Hafizah ketawa gelihati.Zahlia pula hanya membisu.Dia sedang memikirkan kata-kata serius Tengku Syahran tadi.
“Baiklah… kamu nak ayah sembang pasal apa?” soal Tengku Ismail.
Masing-masing membisu.Sedang mencari tajuk yang sesuai untuk dibualkan pada pagi itu.
“Haa… kita pergi bercuti nak ayah? Cuti sekolah dah dekat ni!” Tengku Farhana membuat cadangan.
Tengku Hafizah mencebik.Dia tidak bersetuju dengan cadangan adiknya kerana kolejnya masih belum bercuti apabila cuti sekolah bermula.
“Kau dah nak SPM.Sepatutnya cuti pertengahan tahun ni kau gunakan untuk ulangkaji pelajaran, bukannya berjalan,” marah Tengku Badariah.
Tengku Farhana menarik muka masam.Tengku Hafizah menahan ketawa melihat adiknya yang menarik muka masam itu.Tetapi wajah Tengku Farhana kembali ceria.Dia mula bersuara.
“Angah! Hari itu, angah cakap nak bawa Kak Alia pergi bercuti.Angah dah pilih tempat yang angah nak pergi?” soal Tengku Farhana menggegarkan jantung Zahlia.
Nak pergi bercuti? Zahlia tertanya di dalam hati.Dia menoleh ke arah Tengku Syahran yang sedang menghirup air milo. Tengku Syahran menoleh ke arah Zahlia.
“Sorrylah Alia! Abang tak beritahu tentang cadangan abang ni.Sengaja nak buat surprise,” jawab Tengku Syahran apabila menyedari wanita itu berkelakuan sedikit ganjil.
“Kak Alia takkan marah angah.Mana ada perempuan yang tak suka pergi bercuti lepas kahwin?” sampuk Tengku Hafizah.
“Betul tu.Ana sokong! Cakaplah mana angah nak bawa Kak Alia pergi?” tanya Tengku Farhana ingin tahu.
Tengku Syahran menoleh ke arah Tengku Ismail dan Tengku Badariah yang juga sedang menanti perkataan yang bakal diucapkan.Dia mencapai tangan Zahlia yang di atas meja perlahan-lahan.
Zahlia menarik nafas yang turun naik.Tadi suara lelaki itu serius sekali.Kini, genggaman tangan yang amat kuat mencengkam jari-jemari Zahlia amat menakutkan.Zahlia membatu.Tidak mampu menepis.
“Syah ingat nak ajak Alia buat umrah dulu, mak.Lepas itu, Syah cadang nak pergi bercuti di dalam negara aje,” ucap Tengku Syahran perlahan tepat merenung Tengku Badariah.
“Em… eloklah tu.Mak setuju,” jawab Tengku Badariah ringkas.
Zahlia menguis makanan di dalam piringnya.Matanya memandang kosong makanan itu sambil telinganya mendengar setiap perbualan yang tercetus.Dia masih terkejut.
“Syah rasa nak pergi Pulau Pangkor.Alia pun tak pernah pergi tempat tu.” Tengku Syahran menjelaskan lagi.
Zahlia mengerutkan sedikit dahinya.Mana dia tahu aku tak pernah pergi Pulau Pangkor? Sesuka hati aje nak buat cerita! Aku pernah pergi tau… Zahlia menjawab di dalam hati.
“Nanti! Nanti! Ana nak cakap sikit.Kalau angah nak buat umrah, Ana setuju.Tapi, tentang bercuti tu, kenapa tak pergi kat luar negara? Dalam negara bila-bila masa boleh pergi,” sampuk Tengku Farhana tiba-tiba.Tengku Hafizah mengangguk-angguk mengiakan kata-kata adiknya.
“Yalah. Fiza pun setuju cakap Ana.Kenapa angah tak bawa Kak Alia pergi Turkey ke, Bali ke, Agra ke? Angah ni tak romantiklah,” marah Tengku Hafizah.
“Kamu berdua ni tak habis-habis dari tadi.Yang nak pergi bercuti ni siapa? Angah ke kamu berdua?” kata Tengku Syahran sambil mengeluh.Sesekali dia melirik ke arah Zahlia yang bungkam di sisi.
“Hah, apa kata Kak Alia aje yang pilih tempat untuk berbulan madu ni.Yalah, kita kena jugak tanya tuan punya badan,” soal Tengku Farhana.
Zahlia telan air liur mendengar kata-kata Tengku Farhana.
“Betul tu Alia.Kamu takkan tak ada cadangan nak ke mana-mana?” tanya Tengku Hakimi memandang Zahlia yang diamuk resah.
“Cakaplah.Jangan malu-malu.Nanti pandai-pandailah Syah aturkan rancangannya,” sambung Tengku Hakimi lagi.
Zahlia melepaskan nafas.Berada antara ahli keluarga itu amat menyerabutkan fikiran.Zahlia memikirkan soalan Tengku Hakimi pula.Lama dia membisu sebelum menjawab.
“Alia ikut Syah aje along.Mana Syah nak pergi, Alia tak bantah.Tapi, kan elok kalau pergi kat dalam negara aje.Alia setuju jugak dengan cadangan Syah tu,” ucapnya lambat-lambat membuatkan Tengku Syahran tersenyum puas.Zahlia sudah pandai bertindak mengikut keadaan dan kesepakatan.
“Tengok tu, kan angah dah cakap Kak Alia ni mesti ikut cakap angah punya,” ujar Tengku Syahran memandang adiknya dengan pandangan yang sedikit berlagak.Tengku Farhana dan Tengku Hafizah mencebik.
“Perasan, sebenarnya Kak Alia malu nak cakap kat depan angah.Takut angah kecil hati,” ujar Tengku Farhana.
Zahlia tersenyum tawar.Sarapannya sudah tidak tertelan.Dia berkira-kira mahu meninggalkan ruang makan itu.
“Okeylah, Alia dah habis makan ni.Alia nak kemas dulu,” beritahu Zahlia tiba-tiba.
Tengku Syahran menoleh ke arah Zahlia.Hairan seketika.Marahkah dia dengan rancangan mengejutku ini? Ah, ini merupakan kebaikan untuk aku berbincang dengan dia tanpa gangguan orang.Pedulikan…
Zahlia bingkas bangun.
“Maknanya Alia ikut cakap Syah?” soal Tengku Ismail yang sejak tadi membisu.
Zahlia tersenyum kecil kemudian mengangguk sebelum berlalu ke dapur dengan pinggan kotornya.

4 comments: