Wednesday, February 25, 2009

Bab 63

“NAH, ini untuk Alia dan cucu mak.” Tengku Badariah menghulurkan sebungkus plastik yang diikat kemas kepada Zahlia.Ketika itu, mereka sedang berada di rumah Zahlia.
Zahlia hanya tersenyum dan menggeleng.
“Buat apalah mak membazirkan duit.Kalau mak gunakan duit tu untuk keperluan mak sendiri kan elok.”
“Alah… apa salahnya.Alia kan menantu mak.Dah tu tak dapat pergi Mekah sama-sama pulak tu.Macam Sofea, dia dah ikut sekali.Mak pun dah ada belikan untuk dia.Nah, ambil ni Alia.”
Kali ini, barulah Zahlia menyambut huluran itu.Dia membelek-belek kandungan di dalam beg plastik sambil tersenyum.
“Terima kasih, mak,” ucap Zahlia.
Tengku Badariah mengangguk.
Hari itu, Zahlia terasa hidupnya sungguh bahagia.Pagi-pagi lagi dia sudah menyiapkan diri untuk menyambut kepulangan keluarga mentuanya dari Mekah.
Lagipun, ada berita gembira yang bakal disampaikan oleh Zahlia sebentar lagi.Zahlia terasa tidak sabar.Sedaya-upaya cuba disembunyikan.Sebab itulah Zahlia beria-ia minta keluarga Tengku Badariah singgah ke rumahnya dahulu sebaik sahaja sampai di KLIA tadi.
“Kandungan kamu ni nampak dah sarat.Kamu pasti ke belum masanya?” Tengku Badariah menyoal sambil tepat memandang perut Zahlia yang makin membesar.
Zahlia tersenyum kecil.
“Belum.Kalau ikut jangkaan doktor, lebih kurang dua atau tiga minggu lagi.Lagipun, tak ada pulak baby ni meragam tak tentu hala.Lagi membuatkan Alia banyak bergerak adalah,” ujar Zahlia sambil mengusap-usap perutnya.
Tengku Badariah cuba tersenyum.Entah mengapa rasa bersalah bertubi-tubi datang ke sanubarinya.Kasihan menantuku ini! Di saat menunggu hari yang paling bahagia, suami pula tiada di sisi,detik hati kecilnya.
Tengku Badariah mengeluh.Zahlia pelik mendengar keluhan itu.
“Maafkan mak kerana membuatkan kamu kehilangan Syah.Sumpah, mak tak sangka hati Syah begitu keras sekali sehingga enam bulan lamanya dia meninggalkan kamu.Mak rasa berdosa Alia.” Tangisan Tengku Badariah kedengaran tiba-tiba.
Zahlia kaget apabila Tengku Badariah memeluk tubuhnya.Lama dia membiarkan pelukan itu sebelum membalasnya sepenuh hati.
“Dahlah tu mak.Alia tak apa-apa.Perkara tu pun dah lama berlaku.Mak janganlah risau.” Zahlia cuba memujuk.
“Mak rasa bersalah.Kamu tak pernah marahkan mak.Kamu buat mak rasa berdosa.Kalau anak kamu lahir nanti, di mana kita nak cari Syah? Syah ni pun satu! Merajuknya melampau-lampau.Sampai tak ingin menjenguk kamu walaupun sekali.” Tengku Badariah sudah meleraikan pelukannya.
Zahlia mendiamkan diri.
“Maafkan mak, Alia.”
“Dahlah.Jom kita ke bawah.Mama dah siap masak agaknya.Kejap lagi, bolehlah kita makan.” Zahlia bangun sambil menarik tangan emak mentuanya.
Ketika sampai ke ruang tamu, semua ahli keluarga sedang duduk sambil berbual.Raja Khalida sedang memasak di dapur.Atau mungkin sedang menghidangkan lauk-pauk di atas meja.
Awal-awal lagi Zahlia telah dilarang menjejakkan kaki ke dapur.Dia hanya dipinta berehat dan duduk diam-diam.
Zahlia duduk bertentangan dengan Tengku Hafizah.Mata Tengku Hafizah mengisyaratkan sesuatu pada Zahlia.Zahlia hanya menjungkitkan kening seolah-olah mengerti dengan isyarat itu.Zahlia menarik nafas dalam-dalam.
“Mak, ayah! Sebenarnya hari ni ada sesuatu yang Alia nak beritahu.Alia harap mak dan ayah tak marahkan Alia kerana terburu-buru mengambil keputusan ni tanpa menunggu mak dan ayah balik dari Mekah.”
“Apa dia?” tanya Tengku Ismail seolah-olah tidak sabar.
“Sebenarnya, Alia…”
“Assalamualaikum.”
Belum pun sempat Zahlia meluahkan isi hati yang sedang berbuku di dada, kedengaran suara seorang lelaki memberi salam di luar rumah.
Suasana yang bising terus menjadi senyap.Masing-masing berpandangan sesama sendiri.Tengku Badariah tidak menunggu lama untuk mengetahui pemilik suara itu, lantas dia berlari ke muka pintu.
Tengku Badariah terpaku.Tengku Syahran turut terpaku.Zahlia yang sejak tadi hanya duduk di ruang tamu, turut bangun dan melangkah keluar rumah.Dia juga menjadi pemerhati di situ.
Tengku Badariah tidak dapat menahan sebak.Di tubir matanya, air jernih kian sarat bertakung dan perlahan-lahan air mata itu gugur ke pipi.
“Mak, ampunkan Syah, mak.Ampunkan Syah!” Tengku Syahran menerpa ke arah Tengku Badariah lalu dipeluk tubuh yang sudah berbulan-bulan ditinggalkan.
Tengku Badariah juga membalas pelukan Tengku Syahran.Kedua-duanya menangis dalam pelukan.
“Mak pun nak minta maaf dari kamu.Mak berdosa kerana bertindak kejam pada kamu dan Alia.Maafkan mak!” Tengku Badariah menangis tersedu-sedan.
Tengku Syahran sudah merungkaikan pelukan.Pantas mendapatkan Tengku Ismail pula.
“Ayah,” sapanya sambil memeluk Tengku Ismail.
Tengku Ismail turut memeluk Tengku Syahran.Simpatinya tidak henti-henti apabila melihat tubuh yang susut dan kurus itu.
Tengku Syahran berjumpa dengan adik-beradiknya pula.Bertanya khabar dan kemudian barulah dia mendapatkan Zahlia yang tidak bersuara sejak tadi.
Tubuh Zahlia dirangkul kemas.Dahi Zahlia dicium lembut.Zahlia terasa jari-jemarinya disulam.Zahlia hanya membiarkan.Malah dia membalas sulaman itu agar menjadi erat.
“Mak, ayah! Kami dah ambil keputusan untuk hidup bersama,” ucap Tengku Syahran sambil menoleh ke arah Zahlia.
Tengku Badariah memandang Tengku Ismail.
“Kalau begitu, pindahlah kembali ke Villa Sakura semula.Jangan tinggalkan rumah itu lagi,” pinta Tengku Badariah.
“Syah rasa biarlah kami merasai hidup berdikari pulak mak.Syah nak uruskan rumah tangga Syah sendiri.Lagipun Alia dah ambil keputusan tak mahu bekerja lagi.Biarlah dia menjaga keperluan Syah dan anak kami nanti.Mak tak payahlah risau.”
“Mak tak mahu kamu dan Alia berada jauh dari mak.Kalau boleh, mak mahu semua menantu dan anak-anak mak tinggal di Villa Sakura.Sekarang, semuanya dah tinggal jauh.Kamu memang tak sayangkan mak agaknya.” Tengku Badariah merajuk.
Tengku Hakimi dan Sofea ingin ketawa melihat wajah mencuka Tengku Badariah.Tengku Hafizah dan Tengku Farhana turut tersenyum.
“Mak, kami tak nak susahkan mak.Izinkanlah kami hidup sendiri.” Zahlia pula berkata.
Tengku Badariah mengetap bibir.Termakan juga hatinya dengan pujukan menantunya.Tidak lama kemudian, bibir Tengku Badariah mengukir senyuman.Tidak lagi mahu melayani rajuk.
























Bab 64

T
ENGKU SYAHRAN ternampak kelibat Zahlia sedang duduk mengelamun seorang diri di luar rumah.Bunyi bising tetamu-tetamu yang hadir di kenduri doa selamat rumahnya bagaikan tidak langsung mengganggu lamunan wanita itu.Entah apa yang mengganggu hati isterinya itu tidak langsung dapat dikesan oleh Tengku Syahran.
Timbul di sudut hatinya untuk menyakat isteri kesayangannya itu.Perlahan-lahan kakinya melangkah ke situ.Sampai di situ, segera Tengku Syahran memeluk tubuh isterinya.
“Abang! Terkejut Alia.” Zahlia bersuara sedikit marah.
Tengku Syahran ketawa kecil.Dia mencium pipi Zahlia sebelum merungkaikan pelukan.Lalu melabuhkan punggung di sisi Zahlia.
“Kenapa duduk sorang-sorang kat sini? Kan ramai kat sana! Sayang tak nak makan ke?” soal Tengku Syahran lembut.
Zahlia membalas pandangan suaminya tanpa ragu.Bibirnya mengukir senyuman nipis.
“Alia belum lapar lagi.Abang dah makan ke?”
“Belum jugak.Kita makan sekalilah ya?” pinta Tengku Syahran.
Zahlia mengangguk.
“Tapi… baby ni tak lapar ke?” tanya Tengku Syahran seraya mengusap perut isterinya lembut.
Zahlia ketawa.
“Belumlah…” jawabnya ringkas.
“Hari ni baby boy ni meragam tak?” soal Tengku Syahran mengusap lagi perut Zahlia yang semakin membesar.
Perbuatan itu membuatkan Zahlia memandang Tengku Syahran dengan dahi yang berkerut.
“Mana abang tau yang ni… baby boy?” Zahlia sengaja manyoal.
Tengku Syahran tersenyum sumbing.
“Ikut gerak hati,” jawabnya ringkas.
“Ehh, mana boleh macam tu? Kalau nak keluar perempuan… perempuanlah.Kalau nak keluar lelaki… lelakilah,” ujar Zahlia selamba.Dia ingin ketawa dengan jawapan Tengku Syahran tadi.
“Alah, bagilah abang anak kembar lelaki,” pinta Tengku Syahran penuh harapan.
“Kembar? Alaa… penatlah Alia.Abang ingat senang ke nak lahirkan anak kembar?” Zahlia merungut kecil.
“Okeylah… kalau keluar sorang pun soranglah.Abang tak kisah.Tapi mesti lelaki tau.”
“Kalau ada rezeki ALLAH nak bagi… kita terima aje bang.Alia tak kisah apa-apa pun jantina anak kita.Lelaki dan perempuan kan sama aje.Anugerah ALLAH.” Zahlia memeluk lengan suaminya pula.
Tengku Syahran terdiam.Mengakui kata-kata itu.Dia sebenarnya turut tidak kisah.Apa yang lahir dari bibirnya itu hanya sekadar harapan.Kalau yang lahir bukan seperti yang diharapkan, tidak mungkin dia tidak akan mengakui zuriatnya.
Tengku Syahran menerapkan senyuman manis.Dia bahagia apabila Zahlia memeluknya sebegitu.Seakan kesepian hatinya telah terisi.Tiada lagi wajah Nazirah yang datang mengganggu seterusnya menjerat dirinya dari bercinta.Kini hanya belaian lembut Zahlia yang menjadi igauan setiap hari.Belaian yang selalu membangkitkan rindu yang berpanjangan di hati.Tanpa sedar melekat satu ciuman dari bibirnya ke pipi isterinya.
Zahlia terkejut.
“Hei, tak malu ke? Ramai orang kat sana tau!” Zahlia menjarakkan wajahnya.
Terdengar gelak ketawa suaminya itu yang bernada usikan.
“Eleh, bukannya nampak!Lagipun Alia dah jadi milik abang selama-lamanya.Abang punya sukalah.Kalau tak pun… jom kita masuk bilik,” ujar Tengku Syahran.
“Hisyy… abang ni tak habis-habis.Tak ada kerja lain ke? Kenduri ni, kat rumah kita cik abang ooiii,” marah Zahlia sedikit tersipu.
“Itu kan satu kerja jugak.”
“Ah, sudah… sudah… tak larat Alia nak layan abang kat sini.Ada aje nak dijawabnya.Alia nak pergi kat sana.” Zahlia ingin bangun tetapi Tengku Syahran pantas menyambar pergelangan tangannya.
“Alia nak pergi mana? Duduklah dulu dengan abang.”
“Alahh… Alia nak ke sana,” ujar Zahlia sambil menuding jari telunjuk ke arah ruang makan.
Tengku Syahran mengetap bibir.Bingung melihat gelagat isteri yang sentiasa aktif.
“Alia dah lapar ke? Abang ambilkan,” soal Tengku Syahran.
“Bukan.”
“Habis? Baby yang lapar?”
Zahlia menggeleng lagi.
“Alia nak pergi jenguk mak dengan mama tu.Kesian mereka.Kenduri ni kat rumah kita, tapi mereka yang kena layan tetamu.”
“Tak payahlah risau.Fiza dengan Ana kan ada.Biar mereka yang tolong.Alia duduk diam-diam kat sini.”
“Tapi…”
“Puteri… dengar cakap abang, okey.Puteri tunggu kat sini.Abang pergi ambilkan air.”
Tengku Syahran berlalu pergi.
Zahlia duduk bersendirian semula.Memerhati Raja Khalida, Tengku Badariah dan Puan Azizah yang sedang sibuk melayani tetamu.
Zahlia tiba-tiba ternampak Fatimah sedang melayani suaminya Bernard atau nama Islamnya Ahmad Adam.Zahlia tersenyum.Jodoh mereka bertemu di depan aku rupanya! Kemudian, Zahlia terpandangkan Adli dan Anissa.Pasangan suami isteri itu dilihatnya sedang ketawa melayani keletah Fiqa.Zahlia turut tersenyum.Teringat keletah Fiqa yang rapat dengannya ketika dia tinggal di rumah Adli dulu.
Matanya beralih ke sudut lain pula.Bibir Zahlia tersenyum membalas senyuman Hazwin yang jauh melambai-lambaikan tangan sambil mengusap perutnya.Zahlia turut melambaikan tangan.Hazwin bakal bergelar ibu beberapa bulan lagi.
Zahlia bersyukur.Kemudian dia terlihat wajah ceria Sofea di sudut kecil taman rumahnya.Wanita itu nampak berseri-seri semenjak disahkan mengandung.Semua itu anugerah ALLAH.Zahlia terasa bahagia dikelilingi dengan insan yang benar-benar mengasihi dirinya.
Tiba-tiba Zahlia teringatkan Razif yang masih terlantar sakit.Razif sudah mengenali suaminya.Malah sudah berkali-kali Tengku Syahran melawat Razif sendirian apabila Zahlia kadang-kadang tidak sihat.Maklumlah berbadan dua.
Zahlia tersenyum lagi.Segala kemarau yang pernah melanda hidupnya dahulu sudah kembali pulih.Zahlia tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran.

No comments:

Post a Comment