K
ETIKA Zahlia membuka pintu bilik, Tengku Syahran sedang membaca akhbar Bacaria di sofa panjang.Lelaki itu tidak menegurnya walaupun dia nampak Zahlia terjengul di muka pintu.
Berkerut dahi Zahlia.Apa sudah berlaku dengan lelaki itu? Hatinya tertanya-tanya.Sungguhpun begitu, Zahlia terus melangkah ke bilik air selepas mencapai sepasang baju kurung yang tergantung di dalam almari.
Sewaktu Zahlia keluar dari bilik air, kedudukan Tengku Syahran masih seperti tadi.Tumpuannya masih melekat di dada akhbar tanpa sesaat pun berganjak ke tempat lain.Zahlia terus menukar tudung berwarna putih yang dipakainya dengan tudung hijau muda pula.Wajahnya hanya dicalit dengan sedikit bedak asas tanpa apa-apa alat solek.
Selepas mengambil beg tangan, kakinya melangkah ke arah pintu.Belum pun sempat kakinya sampai di situ, langkahnya terhenti.Zahlia berpaling semula.Menggerakkan kaki ke arah Tengku Syahran.Zahlia melabuhkan punggung di lantai berhadapan Tengku Syahran.
“Syah, saya nak pergi melawat kawan saya.Awak izinkan tak?” pertanyaan Zahlia membuatkan tumpuan Tengku Syahran beralih kepada Zahlia.
Terus matanya difokuskan ke arah wajah yang tenang dan lembut di hadapannya.Mata yang bening dan redup menawan itu ditatap sepuas hati.Kemarahannya mulai reda apabila senyuman kecil muncul di bibir merekah itu.
Arrrhhh… wanita ini mempunyai kuasa mistik yang mampu mencairkan hati lelakiku.Mana perginya kekuatanku sebagai seorang lelaki? Jerit Tengku Syahran sekuat hati.
“Pergilah.Tapi jangan balik lambat sangat.”
Bagaikan satu kuasa, Tengku Syahran meluahkan kata-kata itu.Tiada nada keras dan marah di situ.
“Terima kasih,” ujar Zahlia lantas mencapai tangan Tengku Syahran.
Tengku Syahran tersentak.Tangannya dicium dengan penuh syahdu.Penuh tatatertib seorang muslimah yang sejati.Hati lelakinya bagaikan tersentuh.Tindakan itu seakan mencambahkan lagi kasih sayangnya pada wanita itu.
Bagaikan ingin mengalir air matanya.Haruskah dibiarkan dirinya terus membohongi dengan bersikap tenang apabila bersama wanita itu? Tengku Syahran memejam mata.Apabila kelopak matanya terbuka, Zahlia sudah pun menarik tangan dan bangun.Berhasrat untuk melangkah pergi.
Tengku Syahran segera menyambar pergelangan tangan Zahlia.Tidak sangka sampai begitu sekali tindakan refleksnya terhadap wanita itu.
Zahlia tergamam.Tubuhnya tercampak ke hadapan.Tanpa disedari, Zahlia terduduk di atas paha suaminya membuatkan Tengku Syahran juga seakan terkedu.Untuk sesaat dua, pasangan itu bagaikan dikejutkan dengan satu kejutan elektrik yang amat asing bagi kedua-duanya.Tidak tahu apakah petandanya!
Cis, kenapa boleh jadi macam ni? Kelam kabut Zahlia bangun.Wajahnya yang putih bersih nampak kemerah-merahan walaupun pagi masih sejuk dan dingin.Jelas menunjukkan dirinya malu dengan adegan singkat sebentar tadi.
Apabila Zahlia sudah stabil untuk berdiri tegak, dia memandang Tengku Syahran.Tengku Syahran kelihatan relaks dengan wajah yang kelihatan selamba.Zahlia bengang.Pantas, kakinya melangkah meninggalkan suaminya itu.Tengku Syahran tersenyum puas apabila kelibat Zahlia hilang di sebalik pintu.
Aku akan tawan hatinya.Sebagaimana Nazirah tertawan dengan diriku.Tunggu Alia! Aku akan lakukan sesuatu yang akan menunjukkan betapa sayangnya aku pada kau!
ZAHLIA menuruni anak tangga dengan berhati-hati.Debaran di dada masih segar terasa sejak kakinya melangkah keluar dari biliknya.Tambahan pula perasaan malu yang menguasai diri seolah-olah membuatkan dirinya bagaikan di awang-awangan.
Zahlia menarik nafas dalam-dalam.Cuba menenangkan dirinya yang terasa kekok ketika berjalan.Sayup-sayup telinganya menangkap suara riuh orang berbual di ruang tamu.
Sewaktu kakinya menjejaki ke ruang tamu, beberapa pasang anak mata sedang memandangnya.Zahlia terdengar namanya dipanggil.
“Alia, kamu nak ke mana tu?” soal Tengku Badariah lembut.
Zahlia melempar senyuman manis.
“Mak, Alia nak pergi melawat kawan Alia yang kat hospital tu.Mungkin Alia balik petang sebab Alia nak menjenguk Sinar Iram sekejap,” ujar Zahlia masih tersenyum.
Beberapa pasang mata yang asing masih tepat merenungnya sejak tadi.
“Sebelum tu, mari berkenalan dulu dengan kawan-kawan persatuan mak,” pinta Tengku Badariah kepada menantunya.
Zahlia terpaksa mengangguk.
“Ni menantu saya.” Tengku Badariah memperkenalkan Zahlia kepada rakan-rakannya.
Zahlia tersenyum.
“Ini Puan Rahimah, setiausaha persatuan.” Zahlia menghulur tangan kepada wanita yang sedang duduk di hadapannya.Wanita itu menyambut dengan wajah yang ceria.
“Yang ni pulak, Datin Rohana.Alia dah kenalkan? Mama Linda.”
Zahlia mengangguk dan menghulur tangan ke arah wanita yang memandangnya jengkel.Zahlia pura-pura tidak mengerti dengan pandangan itu.
“Yang ni, orang penting dalam persatuan, Raja Khalida.” Tengku Badariah menunjukkan ibu jari ke arah wanita yang berada bertentangan dengannya.
“Auntie Khalida ni adik sepupu mak.Alia kena panggil Mak Su.Masa majlis kahwin Alia dengan Syah, Mak Su kamu ni tak dapat datang,” ujar Tengku Badariah lagi.
Zahlia menghulur tangan dan mula mengalihkan tumpuan ke arah wanita seterusnya.Senyuman yang terukir di bibirnya sedikit kaku.Perlahan-lahan senyuman manisnya hilang bersama leraian salam yang baru disambut.Pantas tangannya ditarik laju.
“Alia pergi dulu, mak.”
Zahlia terus melangkah keluar sepantas mungkin.Tanpa menghiraukan sepasang mata yang masih memandangnya keluar tanpa jemu.Diakah wanita itu? Zahlia tertanya di dalam hati.
ZAHLIA duduk di sisi Razif yang mula beransur pulih.Razif sahaja yang banyak bersuara berbanding Zahlia.Zahlia lebih senang mendengar setiap perkataan yang dibicarakan oleh Razif.Fikirannya melayang mengingati wajah wanita yang ditemui di Villa Sakura tadi.
“Weh… kenapa ni Alia? Dari tadi aku tengok kau asyik termenung aje,” sergah Razif.
“Tak ada apa-apalah.Tiba-tiba aku rasa tak sihat,” jawab Zahlia cuba berlagak tenang.Razif mengerutkan dahi.Wajah keruh itu ditatap lama.
“Kau jangan nak tipu aku, Alia.Aku kenal kau sejak kecil.Walaupun kita pernah berpisah, tapi hanya sekejap.Kita ditakdirkan berjumpa semula.Aku tau keadaan kau kalau kau ada masalah,” serkap jarang Razif mengena.
“Tak apa Razif.Aku masih mampu menanggung masalah aku.Janganlah kau risau.It’s just a small matter.I can handle it on my own.” Zahlia mula mengukir senyuman.
“Are you sure? Your face looks like you’re hiding something horrible,” balas Razif dengan dahi yang berkerut.
Zahlia ketawa.
“Tak adalah.Merepek aje kau ni.Dahlah, aku nak ke Sinar Iram.Kau nak kirim apa-apa?”
“Kirimkan salam aku pada semua,” ujar Razif sambil tersenyum.
“Itu aje?”
“Emm… haa… beritahu Fatimah, aku rindukan dia.Dia tak mahu melawat aku lagi ke?”
Zahlia bingkas berdiri.Membalas senyuman lelaki itu seikhlas mungkin.Selepas mengucapkan salam, Zahlia keluar dari bilik itu.Meninggalkan Razif keseorangan.
ZAHLIA tiba di Sinar Iram sejam kemudian.Membatu seketika sebelum menolak pintu kereta dan melangkah keluar.Wajah wanita yang ditemui ketika keluar dari Villa Sakura tadi datang menyapa fikirannya.
Zahlia mengeluh.Mengapa wanita itu wujud lagi? Soalan itu terbit di benaknya.Zahlia ingin melupakan wajah itu tetapi sepanjang pemanduannya tidak kira ketika mahu ke hospital mahupun ke Sinar Iram, wajah itu jugalah yang datang menyapa.
Dia sepupu Tengku Badariah? Jadi, namanya Raja Khalida? Zahlia bengang.Semakin ingin menjauhi semakin dekat wanita itu berada dengannya.Zahlia benci mahu melihat wajah itu lagi.
Zahlia ingin melangkah ke pejabat guru.Dia pening memikirkan masalah tadi.Ketika itu matanya ternampak kelibat Fatimah.
“Imah,” jerit Zahlia.
Fatimah berpusing apabila terdengar namanya dipanggil.Fatimah ternampak Zahlia.Pantas kaki Fatimah berlari-lari anak ke arah Zahlia dengan senyuman lebar.
“Wah, dah tiga minggu aku tak jumpa kau! Apa khabar?” sapa Fatimah seraya memeluk tubuh Zahlia.
“Emm… aku sihat.Baru sampai semalam.” Suara Zahlia lemah.
“Ohh… bagaimana dengan percutian kau? Ada apa-apa berlaku antara kau dan Syah?” pertanyaan Fatimah menimbulkan keluhan di bibir Zahlia.
Zahlia ingin melupakan masalah Tengku Syahran.Fikirannya masih cair dengan masalah yang baru menimpa.Dia fikir mahu melupakan wajah Tengku Syahran apabila sampai di Sinar Iram kerana masalah Raja Khalida baru menyapanya tadi.Tetapi, pertanyaan Fatimah tadi telah menyebabkan Zahlia teringatkan masalahnya semula.
Zahlia mengeluh lagi.
“Kenapa?” soal Fatimah.
Fatimah melepaskan pelukan.Pelik memandang Zahlia.
“Aku ada masalah.” Zahlia bersuara lambat-lambat.
“Masalah? Dengan Syah?”
“Semua.Syah… wanita tu… entah apa-apa lagi.Aku bingung.Apa aku nak buat ni?”
“Alia… ceritakan pada aku.Mungkin aku boleh tolong kau,” ujar Fatimah lembut memujuk.
Zahlia melangkah menuju ke taman yang disediakan untuk anak-anak yatim bermain di waktu petang.Zahlia duduk di sebuah kerusi yang terdapat di situ.Fatimah menurut dari belakang.
“Kenapa Alia? Apa masalah kau?”
“Dia…”
Zahlia tunduk.Patutkah dia memberitahu segala masalahnya pada Fatimah? Tentang perasaan Tengku Syahran dan kewujudan Raja Khalida yang tiba-tiba? Tapi, Zahlia tertekan.Masalah yang menggunung secara mendadak bagaikan mengusutkan segala urat fikirannya.Masalah tentang perasaan Tengku Syahran dan Raja Khalida.Arrhhh… parahnya terasa menanggung masalah ini.
“Alia, aku tak faham apa yang berlaku! Kau tak jelaskan lagi apa yang mengganggu fikiran kau berkenaan dengan Syah… wanita itu… siapa?”
Zahlia mengeluh.
“Entahlah… aku pun tak pasti sama ada ini merupakan satu masalah atau satu pembaharuan.Tapi, sejak Syah beritahu aku, kepala aku pening.Tiba-tiba wanita tu muncul, aku tak tau nak buat apa lagi Imah.”
Fatimah mengerutkan dahi.Kata-kata Zahlia tidak langsung dapat ditangkap.Fatimah semakin tidak mengerti apatah lagi mahu memahami.Fatimah mencapai tangan Zahlia lalu digenggam kemas.
“Kenapa dengan kau ni? Ceritakan pada aku satu-persatu.Kata-kata kau tak jelas, aku tak faham.”
“Aku nak tumpang rumah kau sekejap.Aku nak tenangkan fikiran.Aku tak mahu balik ke rumah hari ni.Aku…”
“Okey… okey… aku bawa kau,” ujar Fatimah.
“Aku cuma nak rehat.Aku nak bersendirian seketika… hari ni aje.”
Zahlia melangkah longlai.Dia meninggalkan Fatimah di kerusi itu dengan penuh tanda tanya.Zahlia sudah tahu di mana rumah Fatimah kerana rumah itu juga merupakan rumah kakitangan Sinar Iram.
Zahlia perlukan rehat.Dia ingin melupakan segala masalahnya seketika.
Bab 26
K
ETUKAN yang bertalu-talu di muka pintu menghilangkan daya tumpuan Adli untuk terus menyambung kerja.Adli mengeluh kecil kerana diganggu.
“Masuk!” kedengaran suara Adli agak tinggi.
Daun pintu terbuka.Tengku Syahran muncul.Serta-merta Adli mengukir senyuman.Sudah hampir lima minggu dia tidak berjumpa dengan Tengku Syahran.
“Come! Come in Syah!” suaranya kembali ceria.
Tengku Syahran melabuhkan punggung di sofa yang disediakan di satu sudut dalam bilik berhawa dingin itu.
“Mana kau menghilang? Tak call aku.Setahu aku, cuti kau dah tamat dua minggu lepas.Ni dah almost five weeks, satu berita pun kau tak kirim.Majikan jenis apa kau ni, Syah?” soal Adli melepaskan geram.
Tengku Syahran menyandarkan tubuh ke belakang.Senyuman hambar diukir sekadar membalas pertanyaan temannya itu.Adli menongkat dagu.Memerhatikan tingkah laku teman yang berada tidak jauh dari mejanya.Pelik.Ni mesti ada problem ni? Getusnya.
“Hey… what’s up? Macam mana percutian kau? Is everything all right?”
Soalan itu membuatkan Tengku Syahran melepaskan keluhan kecil.Dia tidak menjawab pertanyaan Adli.Adli masih menanti jawapan.
“What happened to you, Syah? Apa kena ni?” Adli terus menghampiri Tengku Syahran dan duduk di sisinya.
“Aku tensionlah, Li.” Sayup-sayup terdengar suara Tengku Syahran berbisik di telinganya.
“Haa… at last dengar jugak suara kau! Kali ni apa problemnya lagi? Zahlia again?” teka Adli.
Tengku Syahran mengeluh dan lambat-lambat mengangguk.
“Apa halnya dengan Zahlia? Dia dah tahu tentang perasaan kau?” penuh psikologi Adli menyoal.
Orang kalau kemaruk macam nilah! Kena guna cara lembut dan berhati-hati.Bisik Adli sendirian.Tengku Syahran hanya mengangguk.
“Any response?”
“Negative!”
“Negative? Apa maksud kau?” hampir-hampir terbeliak biji mata Adli mendengar jawapan itu.Tengku Syahran mengeluh.
“Seminggu aku cari dia.Entah apa kenanya dia tu! Takkan sebab aku beritahu dia tentang perasaan aku, dia lari.” Tengku Syahran merungut.
Adli membuntangkan mata.
“Alia lari? Ke mana?”
“Entah? Aku buntu sekarang.Seminggu dia menghilangkan diri selepas balik bercuti hari tu.Dia kata nak melawat kawan dia kat hospital.Takkan sehari suntuk dia duduk kat hospital tu.” Tengku Syahran masih membebel.Tidak langsung menjawab soalan yang ditanyakan kepadanya.
Adli menelan air liur.Masih terkejut dengan berita yang baru diterima.
“Kau tak cari dia di rumah maknya?”
“Tak.Aku dah siasat, dia ada sewa hotel.Bengang aku Li.Kenapalah susah sangat dia nak terima aku? Aku dah cuba.Sungguh-sungguh aku beritahu dia.Tapi, kau tau apa reaksi dia masa di Tokyo dulu? Dia kurungkan diri dalam bilik air.Bila aku cakap lagi soal kasih sayangku, beria-ia dia menyanggah kata-kataku.Asyik-asyik soal keturunan yang dibangkitkan.
Aku tak kisah dari mana asal-usulnya.Aku boleh terima dia walaupun berjuta kali dia katakan yang dia dijumpai orang di dalam semak.Aku tak peduli, asalkan dia sayangkan aku dan aku sayangkan dia.That’s enough for me.” Tengku Syahran melepaskan keluh-kesahnya sepuas hati.
Kasihnya pada Zahlia sudah terlalu suci untuk disia-siakan.Zahlia patut sedar tentang itu.Tetapi, wanita itu terlalu payah untuk difahami! Arghh…
Adli yang sejak tadi mendiamkan diri, mengetap bibir.Sepantas kilat tangannya menepuk-nepuk bahu Tengku Syahran.Seolah-olah dengan cara itu, dapat mengurangkan beban fikiran yang ditanggung oleh temannya itu.
“Sabarlah.Kau kena bagi dia masa.Mungkin dia masih terkejut dengan penerangan kau,” pujuk Adli masih menepuk-nepuk bahu Tengku Syahran.
“Pasal masa tu, aku tak kisah.Ambillah seberapa banyak masa pun kalau itu dapat meleraikan segala kekusutan.Tapi, sampai bila? Sampai heboh mak dan ayah aku tau pasal perkahwinan kami? Aku tak mahu hal ni dilewat-lewatkan.Kalau boleh aku nak selesaikan secepat mungkin.”
Tengku Syahran meraup mukanya sebelum menyelak rambutnya yang terjuntai di dahi ke belakang.
“Hei, relakslah! Kau masih ada banyak masa untuk memenangi hati dia.Jangan buat kesimpulan yang negatif walaupun kadang-kadang yang negatif tu penting dalam kehidupan tapi at least kau kena cuba dulu.Apalah kau ni Syah? Owner of BBA from Oxford University boleh jadi selemah ni dalam soal cinta? Buat malu aje!” Adli berkata bagaikan satu cabaran bagi Tengku Syahran.
“Aku tak belajar cara-cara nak memikat perempuan! Apa kau ingat, nak dapatkan Bachelor of Business Admin tu kena lulus subject yang belajar tentang kaedah untuk memenangi hati seorang perempuan?Jangan mengarutlah Li.”
“Siapa cakap mengarut? Tulah kau, tak tau nak praktikkan apa yang kau belajar dulu dalam kehidupan.Cuba kau fikir macam subject accounts yang kita belajar dulu.Banyak gunanya Syah! Okeylah aku ambil contoh yang paling senang debit dan kredit.”
Tengku Syahran mula menumpukan minat pada Adli yang beria-ia memberikan contoh dalam situasinya ketika itu.
“Semua orang tahu debit akan menambahkan akaun aset dan kredit pulak akan mengurangkan akaun aset, right?” Tengku Syahran mengangguk dengan pertanyaan Adli.
“Okey, cuba kau lihat debit dan kredit dari sudut kau sebagai seorang lelaki.Apa yang kau dapat?” soal Adli sambil memain-mainkan keningnya.
Dahi Tengku Syahran berkerut.Kurang jelas dengan contoh yang diberi.Segera dia menggeleng.Gagal menangkap maksud yang ingin disampaikan.
“Kau ni betullah, Syah! Lambat sangat nak tangkap maksud aku.Macam ni, aku ibaratkan kau macam satu akaun aset tunai.Maknanya dalam akaun kau, akan terlibat akaun hasil dan belanja.Faham?”
Tengku Syahran mengangguk.
“Okey.Dalam akaun tunai kau, hasil yang paling penting ialah lelaki dan suami.Secara automatik, pangkat lelaki dan suami yang kau sandang tu dah termasuk dalam bahagian debit kerana kedua-dua benda tu hasil penting dalam akaun kau! Faham tak?”
Tengku Syahran mengangguk lagi.
“Jadi, kau kena tau.Nilai di bahagian debit akaun kau dah cukup tinggi untuk seorang perempuan.Sekiranya kau nak tambah nilai tunai, kau kena cari banyak hasil, kan?”
Tengku Syahran mengangguk.
“So, tambahkan akaun kau dengan sifat-sifat semulajadi seorang lelaki dan suami.Itu dah cukup untuk memikat seorang perempuan, Syah.Seelok-eloknya jangan ada belanja di bahagian debit yang boleh mencatatkan akaun kau.Tapi harus diingat! Belanja jugak kadang-kadang perlu untuk mendapatkan sesuatu hasil.
Contohnya ibaratkan perasaan cemburu kau sebagai satu belanja.Itu akan menunjukkan yang kau sayangkan dia.Bererti kasih sayang tu suatu hasil.” Penerangan itu membuatkan mulut Tengku Syahran diam.Fikirannya ligat berputar memikirkan kebenaran kata-kata rakannya itu.
“Aku tau kau masih tak jelas dengan penerangan aku.Lebih elok kalau aku ringkaskan.Kau tunjukkan kelebihan kau dengan sifat-sifat kau yang penyayang, suami yang memahami dan mengambil berat atau apa-apa sifat baik yang boleh menambahkan nilai kepercayaan Zahlia terhadap kau.Itu salah satu hasil yang akan menaikkan martabat kau sebagai seorang lelaki dan suami.Sebaliknya buang sifat-sifat buruk macam cemburu buta, panas baran dan apa-apa yang mencacatkan diri kau jauh-jauh.Jangan tertulis walaupun satu keburukan kau di bahagian kredit yang boleh menghakis kepercayaan Zahlia terhadap diri kau.”
Tengku Syahran sudah hampir faham dengan maksud yang disampaikan oleh Adli.Perlahan-lahan hatinya mengiakan kata-kata teman yang memang ada kebenarannya.Dengan lemah kepalanya disandar ke belakang.Terasa kelegaan yang dicari-cari datang menyapa.
“Habis tu, aku nak buat apa?” pertanyaan Tengku Syahran dianggap lucu oleh Adli.Mahu sahaja lelaki itu ketawa besar di saat-saat genting ini.
“Pikatlah dia.” Adli berkata selamba.Punggungnya mula diangkat.Melangkah ke arah tingkap biliknya.
“Aku takut jawapan dia negative.”
Tiba-tiba kedengaran ketawa yang agak kuat di tepi tingkap.Tengku Syahran berpaling.Berkerut dahinya menahan marah dengan nada ketawa Adli yang menyakitkan hati.
“Aduh… susah betul berkawan dengan orang yang tengah kemaruk ni,” gerutu Adli dalam sisa ketawanya.Tangan kasarnya tidak habis-habis menepuk dahi.
“Li, jangan ketawakan aku boleh tak? Aku tengah tension ni!” bebelnya keras.
Adli semakin galak ketawa.Kelakar betul mamat ni! Getusnya di dalam hati.
“Kau tak boleh buat keputusan sendiri! Kalau jodoh kau dengan Alia memang telah ditentukan, kau buatlah apa cara sekalipun.Takkan ada benda yang boleh pisahkan kau dengan dia.”
Adli memusingkan tubuhnya betul-betul tegak di hadapan Tengku Syahran.Sisa geli hati masih ada.Tengku Syahran sedikit tenang dengan penerangan itu.
“But… kalau jodoh kau bukan dengan dia, kau kena redha.Itu ketentuan,” sambung Adli menggetarkan perasaan Tengku Syahran.Berulang-ulang kepalanya digoyang.
“Syah ingat! Perempuan yang baik hanya untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik.Itu janji ALLAH.Mungkin kalau bukan Alia, ada perempuan yang lebih baik telah ditakdirkan untuk kau.”
Tengku Syahran tergamam.Kata-kata Adli memang masuk dek akal! Tapi, mampukah dia menghadapi hari itu?
“Tapi, aku yakin, Li.Aku dapat rasakan Alia adalah jodoh aku.Mungkin masih samar-samar, tapi perasaan aku lain bila bersama dia.Aku ingat lagi, dua tiga hari lepas… aku pernah berdoa minta petunjuk ALLAH dalam mimpi.Walaupun tak berapa jelas muka perempuan tu, aku masih terasa Alialah perempuan yang ada dalam mimpi aku tu.Dia sedang duduk dengan aku berdua-duaan.Aku nampak dia macam tengah pegangkan sesuatu.” Bersungguh-sungguh Tengku Syahran menafsirkan mimpinya beberapa hari yang lalu.
Adli menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.Parah sungguh! Sampai bab-bab mimpi pulak mamat ni.
“Okey, okey, kau takut kehilangan dia, kan?” soal Adli.
Tengku Syahran mengangguk.
“Pelanlah sesuatu,” terang Adli.
“Maksud kau?”
“Gunakan kuasa kau sebagai suami untuk mengikat dia dalam hidup kau! Takkan itu pun aku nak ajar.” Adli tersengih nakal.
Lama Tengku Syahran terdiam.Senyuman Adli bagaikan tersirat satu niat jahat.Dia yang pada awalnya kurang jelas dengan kata-kata itu, namun tiba-tiba dia menggeleng.
“No… no… no… aku takkan guna cara kotor untuk dapatkan dia.Berdosa Li.Aku tak nak nanti dia benci aku pulak,” bantah Tengku Syahran dengan jari telunjuknya digoyangkan beberapa kali.
“Tapi, kau berhak, kan? Walaupun perkahwinan kau tanpa perasaan sayang pada awalnya, kau jangan lupa dia tetap isteri kau sekarang.Dia sudah sah untuk kau selama-lamanya.Tak salah, kan?” Adli mula meracuni fikiran rakannya.
“Aku akan musnahkan kepercayaan dia terhadap aku.Aku tak akan melakukan perkara yang dia tak rela.Tak adil namanya.”
“Kalau macam tu, fine! Terserah pada kau.Aku cuma nak tolong kau.Kalau kau tak setuju, kau carilah pelan lain.” Adli mengangkat kedua-dua belah tangannya.
Tengku Syahran mengeluh.Cadangan Adli terlalu sukar untuk diterima.Tetapi, jika berjaya, dia juga yang untung.Zahlia akan menjadi miliknya yang mutlak.Bukankah itu yang diinginkan? Namun, sanggupkah dia melukakan hati Zahlia dengan perkara yang sukar untuk dia gambarkan? Arrhhh… susahnya nak ramalkan!
“Aku akan fikirkan dulu, Li.Mungkin kalau terpaksa… aku…” Tengku Syahran menghentikan bicara.Malu tiba-tiba untuknya meneruskan kata.
“Dahlah.Berusaha dan berdoa.Apa-apa hal aku tetap sokong kau dari belakang,” balas Adli sambil tersenyum.Memahami perasaan lelaki yang dibebani masalah itu.
“Terima kasih, Li.Aku dah rasa lega sekarang.” Adli terus tersenyum.
“Anissa apa khabar?” tanya Tengku Syahran mengalihkan topik.
Wajah Adli bertukar ceria.Senyumannya makin lebar.Riak seorang bakal bapa yang sedang menanti kelahiran cahaya pertama.
“Dia sihat.Mungkin awal bulan depan sampailah harinya! Aku berdebar-debar,Syah.” Jawab Adli sambil ketawa.Tengku Syahran juga ketawa.
Alangkah bahagianya jika dia dapat merasai debaran itu.Debaran seorang bapa yang sedang menanti kelahiran cahayamata pertama bersama orang tercinta dan jika orang yang tercinta itu adalah Zahlia, dialah insan yang paling bahagia di dunia.
Tengku Syahran sedar angan-angannya itu seperti menanti bulan jatuh ke riba.Saat manis sebegitu bagaikan sepotong mimpi yang datang di siang hari.Sesuatu yang sukar terjadi.Tetapi tidak mustahil!
“Okeylah, Li! Aku minta diri dulu.Dah terlalu banyak aku curi masa kau.Terima kasih kerana sudi mendengar masalah aku.”
“Fikir elok-elok cadangan aku, Syah! Aku cabar kau.”
Tengku Syahran berpusing.Lambat-lambat bibirnya tersenyum.
“Beritahu aku bila Anis bersalin.” Tengku Syahran membalas sambil memulas tombol pintu.Kelibatnya serta-merta hilang apabila daun pintu tertutup rapat.
Bab 27
J
AM sudah menunjukkan pukul 10.30 malam.Zahlia masih berada di dalam kereta.Kalau diberi pilihan, dia rela tidur di situ dari masuk ke dalam rumah.Tetapi, apa pulak kata emak mentuanya nanti.
Baru seminggu ini Zahlia pulang ke rumah setelah bermalam di rumah Fatimah dan hotel untuk menenteramkan fikirannya.Zahlia mengeluh.Jam di tangan diamati lagi.Sudah hampir pukul 10.45 malam.Hatinya berdoa moga-moga semua rakan-rakan persatuan Tengku Badariah sudah pulang.Sejak akhir-akhir ini, hati Zahlia tidak tenteram.Tiba-tiba sahaja Raja Khalida muncul dalam mindanya.Semakin hampir dan kerap datang mengacau fikirannya.
“Mama mahu Alia tinggal dengan mama.”
Ayat itu bergema lagi.Waktu itu umurnya baru mencecah 15 tahun.Wajah asing itu amat digeruni walaupun pakaiannya kelihatan mahal dan menarik.
Raut wajah Puan Azizah diamati sekali imbas.Sinar sedih terpancar di situ sungguhpun bibir halus itu cuba tersenyum.Zahlia memandang kedua-dua wajah di hadapan.Keliru dengan situasi yang sedang berlaku.
“Alia, mak rasa mak dah jaga Alia sebaiknya.Sekarang, Alia boleh buat pilihan untuk tinggal dengan mak atau mama Alia.”
Suara Puan Azizah kedengaran tersekat-sekat.Setitis air jernih mengalir di pipi.Zahlia terharu.Zahlia menghampiri Puan Azizah.Hangat tubuh itu dipeluk erat.
“Mak, kenapa cakap macam tu? Alia takkan tinggalkan mak! Mak nak halau Alia ke?”
“Bukan Alia.Bukan itu niat mak.Ini mama kau sebenarnya, Raja Khalida! Mama kau lebih berhak ke atas kau,” beritahu Puan Azizah.
Zahlia menggeleng.Sengaja tidak menghiraukan kewujudan wanita yang tidak dikenalinya itu.
“Tak.Mak yang berhak ke atas Alia.Mak yang jaga Alia dari kecil sampai sekarang,Kenapa dia tiba-tiba datang mengaku sebagai mama Alia?” bentak Zahlia nyaring memecah suasana tengah hari itu.
Wajah wanita yang tidak dikenali itu kelihatan terkejut.Puan Azizah hanya mengetap bibir.
“Alia, tak elok cakap macam tu sayang! Ini mama Alia.Mama yang lahirkan Alia.Alia kena hormatkan dia.” Lembut tutur kata Puan Azizah cuba mencairkan hatinya.
“Mari dekat mama sayang.” Tiba-tiba wanita yang bertudung itu bersuara.
Zahlia menggeleng.
“Saya tak kenal makcik.”
“Panggil ‘mama’ Alia.Dia mama Alia,” pintas Puan Azizah.
“Kenapa mak tak habis-habis cakap yang dia mama Alia? Alia tak kenal dia mak! Kalau betul dia mama Alia, kenapa dia buang Alia dalam semak? Kenapa baru sekarang dia datang cari Alia? Sebab Alia anak luar nikah, kan?”
Zahlia menangis tersedu-sedan.Kakinya terus berlari keluar.Lebih senang untuknya melayani perasaan sedihnya yang tiba-tiba menerpa ke sanubari.Jiwanya semakin perit melihat wajah tenang wanita yang duduk di sisi Puan Azizah.Wanita yang bertanggungjawab menjadikan hidupnya begitu.
“Kau anak haram! Anak luar nikah! Mak bapak kau berzina! Sepatutnya kau tak dibenarkan masuk dalam kelas kami.Kau dah busukkan nama kelas akaun yang terbaik dalam sekolah ni.”
Ayat yang pernah diucapkan kepadanya oleh seorang teman sekelas bagaikan duri tajam yang amat berbisa.Sehingga saat ini, ayat itu masih kuat tersemat dalam ingatannya.
Zahlia melepaskan keluhan lagi.Bayangan peristiwa 10 tahun lalu melayang pergi.Zahlia tersedar kembali.Cepat-cepat dia mencapai beg untuk keluar dari kereta.Ketika kakinya hendak melangkah keluar, Tengku Badariah menegurnya.
“Alia baru balik?”
Zahlia terpaksa tersenyum.
Niatnya ingin berlalu, terbantut lagi.Wajah wanita di sebelah emak mentuanya mengukir senyuman.Wanita yang anggun bertudung itu sedang merenungnya.
“Alia kenal dengan auntie ni, kan? Mak Su Khalida?” tanya Tengku Badariah.
Zahlia mengangguk.
“Mak, Alia masuk dulu,” ujarnya hambar dan berlalu meninggalkan kedua-dua wanita itu.
ZAHLIA baru sahaja menunaikan solat Isyak.Setelah habis berdoa, terus dia menyidai telekungnya di balik pintu.Ketika itu, Tengku Syahran sedang berdiri di tepi tingkap.Sengaja dibuka tingkap itu seluas-luasnya.Ingin membiarkan angin malam menyusup masuk.
Hati Tengku Syahran begitu geram melihat perangai Zahlia.Baru seminggu ini dia pulang ke rumah.Tengku Syahran tidak berani hendak bertanya ke mana hilangnya dia tempoh hari? Hanya emaknya, Tengku Badariah yang memberitahu Zahlia selamat setelah dia menghubungi emak mentuanya itu.
Tengku Syahran masih lagi berdiri di situ.Hatinya benar-benar tertekan dengan tindak-tanduk Zahlia beberapa hari kebelakangan ini.Zahlia lebih suka berdiam diri.Setiap hari dia akan pulang lebih dari jam 10.00 malam.Tengku Syahran betul-betul geram dengan perangai Zahlia.
“Kenapa balik lambat?” nada Tengku Syahran yang tinggi memeranjatkan Zahlia.
“Banyak kerja.” Dengan pantas Zahlia menjawab.
“Jangan tipu abang, Alia! Abang tau Alia keluar dari Sinar Iram pukul berapa!” tempelak Tengku Syahran menyanggah jawapan Zahlia.
Zahlia terlopong seketika.Bagaimana dia tahu?
“Betulkan apa yang abang cakap? Alia dah keluar dari Sinar Iram pukul 5.00?” Tengku Syahran masih bertempik.Dada Zahlia bergetar.Tempikan yang kuat dan nyaring itu amat menakutkan dia.
“Apa Alia buat lepas pukul 5.00? Waktu sekarang baru ingat nak balik.”
Zahlia diam membatu.Hilang kekuatan untuk menuturkan kata-kata.
“Alia ingat abang ni apa? Tunggul? Sejak bila timbul hukum suami yang kena tunggu isteri balik kerja?” Tengku Syahran melepaskan kemarahan yang kian meledak.Zahlia tunduk.
“Saya…” tidak terkeluar kata-kata itu dari mulut Zahlia.
“Lepas Alia keluar dari Sinar Iram, Alia pergi shopping kan? Mana barang-barangnya? Bagi pada lelaki yang kat hospital tu, kan?” berkerut-kerut dahi Tengku Syahran melafazkannya.
Zahlia mula mengangkat wajah.Memandang raut wajah Tengku Syahran lama.Hairan dengan kata-kata lelaki yang tahu setiap aktivitinya hari itu.
“Awak intip gerak geri saya ya?” soal Zahlia tiba-tiba.
“Kalau abang intip Alia kenapa? Alia takut rahsia terbongkar?”
“Apa awak repekkan ni Syah? Rahsia apa ni?” Zahlia mula membentak.Geram dituduh bukan-bukan.
“Jangan nak tipu abang! Hari-hari Alia ke Hotel Istana, apa yang Alia lakukan? Alia jumpa lelaki lain, kan?”
“Syah, tolong jangan berperangai macam budak-budak boleh tak? Otak saya tengah berserabut ni!”
“Berserabut memikirkan masalah Razif?”
Razif? Kenapa pulak nama lelaki itu yang disebut-sebut?
“Syah!”
“Baik Alia cakap betul-betul! Alia ada simpan jantan lain kat hotel tu ya?”
Pangg! Satu tamparan hebat mengena pipi Tengku Syahran.
Zahlia tersentak.Tidak menyangka tindakan yang datang secara spontan itu terlalu melampaui batasan.Berombak-ombak dadanya menahan kesabaran yang telah hilang.Tengku Syahran juga kelihatan terkejut dengan keadaan Zahlia.Merah padam mukanya menahan sakit.
“Jadi, semuanya betullah?” bentak Tengku Syahran sambil melangkah keluar.Hempasan pintu yang kuat seolah-olah menyedarkan Zahlia dari mimpi ngeri.Setitis mutiara jernih menitik di pipi.Menangisi hatinya yang makin dilanda pilu.
TENGKU SYAHRAN memulas tombol pintu perlahan-lahan.Hatinya berdoa moga-moga wanita yang diyakini telah terlena itu tidak tersedar dengan kepulangannya.Esok pagi-pagi dia akan keluar.Itu rancangannya sebelum masuk ke bilik itu.
Namun rancangannya terbantut.Ketika daun pintu di tolak, raut yang sejuk mengetuk pintu hati yang sedang kepanasan segera menerpa ke anak mata.Dia tewas lagi! Riak yang tenang menyambut kepulangannya gagal memberi peluang untuknya terus melayani rasa kecewa.Who is she? Marahnya di dalam hati.
Zahlia sedang menggosok baju apabila ternampak kelibat Tengku Syahran masuk ke dalam bilik.Sengaja dia menanti lelaki itu.Pada awalnya dia ingin terus tidur tanpa memikirkan hal yang baru berlaku.Tidak berjaya kerana rasa bersalah terus-terusan mengacau fikirannya.
Zahlia ingin menjadi seperti Fatimah Az-Zahra, wanita yang dijanji ALLAH sebagai wanita penghulu syurga kelak.Puteri kesayangan Rasulullah S.A.W. yang pernah merayu-rayu suami kesayangannya Saidina Ali Karamullahu Wajhah sebanyak 70 kali pusingan demi meminta maaf atas keterlanjuran kata yang tidak disengajakan.
Sedangkan dia? Perbuatan yang melampaui batas tadi benar-benar telah menjadikan dirinya isteri yang derhaka! Dia rasa berdosa.
Tengku Syahran mengerling sekilas ke arah wanita yang sedang leka memancutkan air ke arah baju kemeja berlengan panjang yang terbentang di papan gosok.Pandangannya beralih ke arah longgokan baju berhampiran isterinya itu.Kesemuanya milik Tengku Syahran.Hanya beberapa helai pakaian yang dikenali bukan miliknya.
Tengku Syahran melangkah ke arah tingkap.Berdiri di situ melayani perasaan yang kian bercampur aduk di dalam jiwa.Marah, sayang, cemburu, terharu dan resah menjadi satu.Semuanya kerana Zahlia!
‘Gunakan kuasa kau sebagai suami untuk mengikat dia dalam hidup kau! Takkan itu pun aku nak ajar.’ Ungkapan Adli terkeluar dari ingatan disertai sengihan nakal lelaki itu.
Tengku Syahran memejamkan mata.Tidak dapat membayangkan betapa kecewanya Zahlia jika dia melakukan sesuatu yang wanita itu tidak rela.Astaghfirullah-al-azim! Kalimat suci itu terkumat-kamit di bibirnya bersama raupan di muka yang berkali-kali.
Tengku Syahran berpaling.Terperanjat apabila melihat Zahlia berada di belakangnya.Sedang duduk tertunduk di permaidani.
“Maafkan saya.” Ringkas Zahlia berkata dengan suara yang tersekat-sekat.Ada air jernih mengalir dari matanya.
Perkataan maaf yang halus tersemat di tangkai hati Tengku Syahran hampir-hampir membuatkan lelaki itu menyerahkan keegoannya.Siapa perempuan ni sebenarnya? Kenapa aku boleh jadi selemah ini bila berhadapan dengannya? Shit! Sumpah seranah yang memarahi diri sendiri dibiarkan bergema di dalam diri Tengku Syahran.
“Saya tau saya tak menjalankan tanggungjawab saya sebagai isteri dengan sempurna.Walaupun perkahwinan kita adalah sesuatu yang drastik, saya patut melayani awak dengan baik.Tapi, saya terpaksa Syah! Saya tak mahu wujudkan perasaan sayang dalam diri saya mahupun awak dengan perhubungan ni.Saya takut kita sama-sama kecewa.” Panjang Zahlia meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Alia gagal! Perasaan sayang dah pun wujud dalam diri abang.” suara Tengku Syahran terkeluar juga.Zahlia menelan air liur.
Aku gagal? Tapi kenapa? Betulkah aku tak mahu perasaan sayang wujud dalam perhubungan ni? Habis, apa yang sedang aku lakukan? Kenapa aku boleh duduk meminta maaf seolah-olah aku benar-benar seorang isteri yang solehah? Ah, kacau!
“Alia…”
Tengku Syahran duduk bertentangan dengannya.Mematikan segala persoalan yang mengganggu-gugat perasaan.Wow, kacak juga rupanya dia ni! Ada tahi lalat kecil di atas bibirnya.Selama ni aku tak perasan pun!
Macam mana nak perasan, Alia? Kau tu yang tak pernah nak menatap muka dia lama-lama.Sekarang, tengoklah! Tataplah muka suami kau puas-puas.
“Kenapa Alia mesti halang perasaan tu? Fikirkan Alia.Sebelum kita bernikah, abang dah siasat.Kita tak ada apa-apa tanggungjawab yang menghalang untuk kita meneruskan perkahwinan,” ujar Tengku Syahran.
Zahlia terasa bagaikan digam.
“Kenapa Alia tak balik rumah seminggu yang lepas?Alia tidur kat mana?” soal Tengku Syahran lembut.Tidak bertempik seperti tadi.
“Hotel.”
“Dengan siapa?”
“Seorang diri.”
“Alia buat abang risau.Takkan sebab abang berterus terang, Alia nak lari.”
Zahlia tunduk.Dia mempunyai masalah lain yang tidak mahu dikongsi dengan Tengku Syahran lagi.Masalah itu pun masih menjadi tanda tanya di benaknya.Ah… wajah Raja Khalida juga yang diingati saat itu.
“Abang tak kerja dua minggu.Abang cari Alia serata tempat.Mak, ayah, semua tanya.Abang tak tau nak jawab apa.Mereka semua ingat abang yang bersalah padahal abang tak tau apa puncanya,” ujar Tengku Syahran.
Zahlia mendiamkan diri.Terus diburu rasa bersalah.
“Abang dapat siasat gerak geri Alia apabila ternampak kereta Alia keluar dari hotel.Abang ikut kereta Alia dan abang dapat tau Alia kerja dekat Sinar Iram.Alia keluar pukul berapa, semua abang siasat.Kenapa Alia buat macam ni?”
“Maafkan saya.” Zahlia tidak menjawab soalan Tengku Syahran sebaliknya meluahkan kekesalannya.
“Dahlah… abang bagi Alia masa untuk fikirkan tentang hal kita.Jangan terburu-buru.”
“Tapi…” Zahlia cuba membantah.
“Alia fikirkanlah.Kita tak ada apa-apa yang mengikat ke arah tanggungjawab lain,” ucap Tengku Syahran lembut.
“Atau Alia dah ada orang lain dalam hati?”
“Awak syak saya ada hubungan dengan Razif?” soal Zahlia.
“Habis tu, ada lelaki lain?”
“Stop it Syah!” Zahlia mula menjeling membuatkan Tengku Syahran tersenyum.
“Abang berhak cemburu, kan?” Tengku Syahran mengangkat kening.
“Tak kena pada tempat.”
“Apa yang tak kenanya?Alia isteri abang kan?”
“Stop saying that word boleh tak? Jangan lupa yang perkahwinan kita ni atas dasar apa?”
“I don’t care! Lantaklah dengan perjanjian tu.Yang penting sekarang, Alia dah pun jadi isteri abang.Abang takkan lepaskan Alia.” Tengku Syahran tersenyum nakal.
Zahlia mengetap bibir.Geramnya dia dengan kata-kata suaminya itu.Penipu besar betullah dia ni! Mungkir janji.Kalau tahu ini yang akan berlaku, jangan harap aku nak tolong dia.Harap muka aje handsome, perangai macam budak-budak.Bebel Zahlia dengan wajah yang mencuka.
“Sekarang abang perintahkan Alia urut badan abang.Abang penat ni,” katanya dengan muka selamba.Ditumbuk-tumbuk bahunya dengan riak yang menyakitkan hati.
Zahlia membeliakkan mata.
“Jangan nak mengada-ngada,” ujar Zahlia.
“Eh… eh… sepatutnya awak bersyukur sebab abang hanya suruh Alia urutkan badan abang.Kalau abang minta hak abang sebagai suami, Alia rela mengabdikan diri untuk abang? Alia sanggup jalankan kewajipan Alia sebagai isteri yang sempurna?”
Zahlia terdiam seketika.
“Okeylah.Kalau macam tu, tidur dengan abang malam ni.”
Zahlia ternganga.
“Syah!”
“Kenapa? Takut? Ingat Alia! Abang ada hak ke atas diri Alia.Abang boleh paksa kalau Alia tak rela.So… Alia nak buat apa? Nak menjerit? Biar semua orang tahu.Bila orang tanya, abang boleh cakap Alia tak nak ikut permintaan abang!” potong Tengku Syahran lagi sambil ketawa.
Zahlia menjeling Tengku Syahran yang masih ketawa.Sakitnya hati! Sabar… sabar Alia!
“Habis tu, syarat yang…” Zahlia ingin bersuara tetapi dipintas segera.
“Pedulikan syarat tu! Sekarang abang nak rasa kenikmatan urutan dari isteri abang.Cepat! Atau Alia nak ikut permintaan abang yang kedua tu? Kalau yang tu, kecil tapak tangan, sebesar padang bola abang tadahkan.” Tengku Syahran masih ketawa.Semakin galak mengetuk gegendang telinga Zahlia.
“Awak ni…”
“Hei, berdosa ingkar perintah suami tau!” pintas Tengku Syahran lagi dengan mata yang sengaja dibuntangkan.
Zahlia menggigit bibir.Nak ikut cakap dia? Kenapa dia ni tiba-tiba jadi macam ni? Tadi, bukan main garang! Sekarang, mengada-ngada pulak!
Zahlia mengeluh.Lambat-lambat dia bangun dan melangkah ke belakang Tengku Syahran.Sebaik saja tangannya melekat di bahu suaminya itu, Tengku Syahran membuka mulut untuk bersuara.
“Nanti kejap! Abang nak baring dulu.Alia urut abang masa abang tengah baring, okey sayang?” Tengku Syahran bingkas bangun.
Dahi Zahlia berkerut.Mengada-ngada! Dengusnya.
Tengku Syahran melangkah ke sofa panjang yang telah menjadi tempat lenanya kini.Namun, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah ketika melintasi katil yang diselimuti cadar tebal.Tengku Syahran mengangkat kening.
“Aha! Katil ni nampak best.Malam ni abang nak tidur kat sinilah!”
Zahlia terlopong mendengarnya.
“Kalau awak tidur kat sini, mana saya nak tidur malam ni?” bantah Zahlia.
Tengku Syahran menjungkit bahu.
“None of my business! Kalau Alia tak kisah, tidurlah sebelah abang.Kalau Alia takut, Alia carilah mana-mana port yang Alia rasa selesa.” Tengku Syahran mencuit dagu Zahlia.
“Awak dah melampau Syah!”
“Syhhh… jangan jerit kuat-kuat.Nanti, mak dengan ayah dengar!”
“Syah!”
“Oppss! Abang dah tak sabar nak rasa urutan Alia ni.Alia urut abang sampai abang tertidur tau.Jangan curi tulang.Cepatlah!”
Tengku Syahran menarik t-shirt yang tersarung di badan.Lantas merebahkan diri ke atas katil.Em, nikmatnya!
Zahlia kelu tanpa sebarang kata.Setiap gerak geri Tengku Syahran diperhatikan dengan rasa meluat dan terkejut.
“Cepatlah sayang!”
Zahlia tersedar.Tengku Syahran sudah pun berbaring di hadapannya.Dengan lemah, Zahlia memanjat katil dan duduk di sisi Tengku Syahran.Tangannya menggigil-gigil mendekati tubuh lelaki yang tidak berbaju dan menampakkan separuh tubuhnya itu.Semakin hampir… hampir… dan terus melekat.
Bahu suaminya itu dicengkam lembut dan diurut perlahan-lahan.Seumur hidupnya inilah kali pertama Zahlia berbuat demikian dengan lelaki.Berdegup kencang jantungnya.Rasa nak tercabut kepala lutut.
Tengku Syahran hanya senyap dan kadangkala kepalanya sahaja yang bertukar ke kiri dan ke kanan.Posisi tubuhnya tetap seperti tadi.Mungkin sedang merasai kenikmatan urutan isterinya itu.Zahlia terus mengurut.
Semakin lama urutan Zahlia semakin perlahan.Dirinya sudah terlalu letih.Berkali-kali tangannya menutup mulut yang tidak henti-henti menguap.Adakalanya kepala Zahlia tersenggok-senggok menahan rasa mengantuk.Apabila tangannya berhenti bergerak, suara Tengku Syahran akan kedengaran.Dia akan mengurut semula dengan mata yang terpejam.
Kali ini, dia sudah terlalu mengantuk.Matanya tertutup rapat.Segalanya menjadi sunyi dan senyap tiba-tiba.Lampu yang terpasang sudah tidak kelihatan cahayanya lagi.Jari-jemari Zahlia semakin longgar mencengkam tubuh lelaki itu.Tanpa disedari, tangan halusnya terkulai layu bersama-sama tubuhnya yang tiba-tiba rebah di sisi suaminya.
ZAHLIA menggosok-gosok matanya berkali-kali.Rasa malasnya hendak membuka kelopak mata.Lalu dibiarkan matanya terpejam.Sesekali tangannya menggaru-garu kepala dan membetulkan rambut yang menutup muka.Kemudian tangannya dijatuhkan semula ke atas tilam.
Tilam? Kerasnya tilam ni? Zahlia teraba-raba.Matanya masih pejam.Lama tangannya memegang benda yang disangka tilam.Cahaya yang terasa merecik-recik ke wajah memaksa dirinya untuk bertindak.Perlahan-lahan dia membuka matanya.
Berderau darahnya apabila mendapati dirinya berada di sisi Tengku Syahran.Sedang berbaring memeluk tubuh suaminya itu.Segera dia bangun.Terkejut dengan situasi yang baru terjadi.Nafasnya berombak kencang.
Wajah Tengku Syahran yang masih terlentang diamatinya lama.Tengku Syahran terjaga dan melemparkan senyuman nakal.Dengan pantas Zahlia menarik selimut menutupi tubuhnya.Mujurlah baju tidur berlengan panjang yang dipakainya tidak terdedah sedikitpun anggota tubuhnya.
“Dah puas hati dapat tidur dengan abang?” Tengku Syahran bersuara tenang.Zahlia mengerutkan dahi.Nafasnya terasa sesak.Apa maksud lelaki ini?
“Kenapa awak tidur kat sini? Nak ambil kesempatan ya?” marah Zahlia keras.Dia sudah terlupa apa yang berlaku.
Tengku Syahran bangkit.Duduk menghadap Zahlia dengan wajah selambanya.
“Siapa yang ambil kesempatan? Abang atau Alia?” Tengku Syahran bertanya.
Zahlia mendengus.
“Syah, kan awak biasa tidur kat kerusi! Kenapa awak tidur kat sini?” marah Zahlia lagi.Suaranya sedikit meninggi.
“So… abanglah yang ambil kesempatan? Alia tak ingat ke apa yang berlaku semalam?” soal Tengku Syahran sambil menjungkitkan keningnya.
Semalam? Zahlia terkedu.Terus menelan air liur.Pahit.Fikirannya mula teringat peristiwa semalam.Suaminya itu ada memberitahu untuk tidur di katil itu.Zahlia sudah mendengar dengan terang-terang.Jadi siapa yang ambil kesempatan sebenarnya? Akukah? Alamak!
“Kenapa senyap? Cakaplah! Setahu abang, semalam abang dah beritahu Alia kan yang abang nak tidur atas katil ni! Jadi, sekarang ni salah siapa, hmm?”
Zahlia kehilangan kata-kata.Segera tunduk.Malu dengan setiap kata-kata Tengku Syahran.
“Pandang mata abang waktu abang tengah bercakap! Kenapa tunduk? Malu? Atau Alia takut jatuh cinta dengan abang?” Zahlia telan air liur lagi.Kepalanya terus dibiarkan jatuh.Malu.
“Kenapa dengan Alia ni? Kita dah jadi suami isteri hampir dua bulan.Apa salah abang tidur atas katil ni? Sampai bila Alia nak biarkan abang tidur atas kerusi? Alia tak pernah nak faham perasaan abang.” Tengku Syahran melepaskan lagi kemarahan.
“Syah! Ini semua kehendak awak.Kita takkan jatuh cinta.Awak sepatutnya takkan jatuh cinta.Itu kata-kata awak sewaktu kita baru bernikah.Saya takkan lupa.Tapi, awak tengok sendiri.Siapa yang mungkir janji? Awak berkeras takkan jatuh cinta pada saya dan sejak terdengar perbualan awak dengan Adli di rumahnya dulu, saya jugak dah tanamkan dalam diri saya yang saya takkan jatuh cinta pada awak!” Zahlia mula membalas.
Tengku Syahran hampir ternganga.Maknanya dia sudah mendengarnya?
“Ingat Syah! Kita tetap akan berpisah.Saya tak mahu jadi isteri awak lagi… ego awak tinggi.”
Mendengarkan kata-kata Zahlia, Tengku Syahran tersenyum.Dahulu, egonya memang tinggi tetapi disebabkan Zahlia, Tengku Syahran sanggup merendahkan egonya.Dia sudah jatuh sayang dan dia akan pastikan Zahlia menjadi miliknya.
“Abang akan berusaha mendapatkan Alia.Kalau Alia berkeras lagi… tunggulah harinya.Macam-macam cara abang boleh buat..Keras atau halus, nantikan.Alia tetap akan jadi isteri abang sampai bila-bila,” balas Tengku Syahran.
Zahlia mengecilkan matanya.Nafasnya menderu laju.Dia ingin melawan lagi.
“Dahlah.Abang nak mandi! You want to join me?”
Tengku Syahran turun dari katil.Soalan yang sengaja diajukan kepada Zahlia sekadar usikan baginya.Hatinya bagaikan digeletek melihat wajah Zahlia yang merah padam.Baru tau aku siapa!
Kaki Tengku Syahran melangkah perlahan ke bilik air.Membiarkan Zahlia melayani rasa malunya.Nafas Zahlia terasa bagaikan terhenti.Malunya aku!
“Aaaa… satu lagi abang nak pesan.Next time, kalau nak tidur off lampu dulu.Membazir.Mata dah tertutup, bukan nampak apa-apa kalau pasang lampu.Tak taulah pulak abang kalau Alia ambil kesempatan yang ada nak menatap muka abang yang handsome ni puas-puas!” ujar Tengku Syahran sambil melangkah bersama ketawanya.
Arrhhh… Zahlia terasa ingin menjerit sekuat hatinya.Melepaskan segala tekanan yang terbuku di hati ketika lelaki itu melangkah masuk ke bilik air.
Wednesday, February 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Arghhhhhh!!!
ReplyDelete