Wednesday, February 25, 2009

bab 15-18

Bab 15
T

ENGKU SYAHRAN menoleh ke kiri bilik pejabatnya, dia ternampak Zahlia.Dia menoleh ke kanan, bayangan Zahlia menggamit lagi.Pandangan Tengku Syahran tertuju pada skrin komputer pula, wajah Zahlia tetap menyapa.Sedang tersenyum, adakalanya bagaikan sedang merenung dirinya.
Sejak akhir-akhir ini bayangan Zahlia sering mengganggu tanpa mengira waktu dan tempat.Bila dipejamkan mata, wajah lembut itu tetap melayang datang menyebabkan Tengku Syahran resah.
Kerja-kerja pejabat seringkali dibiarkan terbengkalai.Bila dia berada dalam kesunyian, seringkali wajah Zahlia muncul.Ke mana hilangnya senyuman Nazirah yang sering dipuja dahulu.
Tengku Syahran mengeluh berat.Tubuhnya bersandar di kerusi.Dia mula mencari posisi yang sesuai untuk duduk dengan lebih selesa.Serius wajahnya bersama kerutan kecil di dahinya.
Tengku Syahran menelan air liur.Aku dah jatuh cintakah? Soalnya sendirian.Waktu itu juga, tanpa segan silu gemersik suara halus Zahlia bagaikan menggigit cuping telinganya.Mengusir pergi suara manja Nazirah yang semakin pudar.Hati Tengku Syahran bagaikan terikat.Segala-gala milik Zahlia sudah terkukuh terpahat di dalam jiwa.
Betulkah aku mencintai dia? Kalau tak, kenapa semalam aku tak sabar-sabar menanti dia pulang di muka pintu? Tengku Syahran tertanya sendiri apabila mengenangkan sikapnya semalam yang resah menunggu kepulangan Zahlia di muka pintu utama Villa Sakura.
Tengku Syahran teringat pula kes tangannya yang melecur dahulu.Semuanya gara-gara leka memerhatikan wajah Zahlia.Dia terbayang anak mata Zahlia yang berlaga dengannya.Mungkin waktu itu hatiku sudah tertarik padanya! Tapi mengapa begitu mudah?
Tengku Syahran masih tidak dapat menerima hakikat itu.Kerjanya dibiarkan seketika.Perlahan-lahan Tengku Syahran menarik laci meja.Menarik sebuah fail keluar dari situ.
Fail itu dibuka dan tangannya mula mencapai sekeping foto Zahlia yang diambil senyap-senyap sewaktu dia membuka pintu almari Zahlia dua hari lalu.Foto itu ditatapnya lama.Lembut, manis dan ayu wajahnya.Mata Zahlia seperti sedang membalas renungan matanya.Tengku Syahran menggigit bibir.
Dirasakan hatinya sudah tertawan.Fikirannya semakin angau kerana berperang dengan perasaan sendiri.Tengku Syahran mendekati foto itu ke wajahnya lalu dilekatkan ke bibir.Lama dia begitu sambil melayani perasaan hanyut.
Serentak itu pintu bilik terbuka luas.Tengku Syahran tersentak.Pantas sungguh sekeping foto itu dibaling ke bawah meja.Ternampak Adli sedang menapak ke dalam dengan wajah yang tidak mengerti.
“Kenapa tak ketuk dulu?” marah Tengku Syahran.
Adli memakukan langkah.Pelik dengan ucapan Tengku Syahran.Selama ini dia tidak pernah mengetuk pintu sebelum masuk.Tidak pernah pula Tengku Syahran mengamuk atau marah-marah.Tetapi, hari ini, wajah Tengku Syahran jelas menampakkan kurang senang dengan sikapnya yang masuk tanpa mengetuk pintu tadi.
“Lain kali kalau nak masuk bilik aku, ketuk dulu.” Tengku Syahran melepaskan keluhan.Dadanya masih berdebar.
Adli menutup pintu.Dia berjalan ke meja Tengku Syahran sambil menggaru-garukan kepalanya.
“Selama ini kau tak pernah marah aku pun bila aku buat begitu! Hari ni nak mengamuk pulak.” Adli duduk di kerusi bertentangan Tengku Syahran.
Tengku Syahran sengaja buat sibuk.Buat-buat tidak faham dengan ucapan Adli.
“Apa halnya?” tanya Tengku Syahran masih cuba menumpukan perhatian pada kerja biarpun hatinya masih bergelodak dengan pelbagai debaran.
“Aku nak ingatkan kau tentang appointment kita dengan Encik Kasim tengah hari nanti,” ujar Adli.
“Encik Kasim?”
“Hmm… Pengurus Projek Bayu Idaman.Takkan kau dah lupa? Baru dua hari lepas kita berjumpa dengan dia di tapak projek.” Adli memandang Tengku Syahran.
Tengku Syahran gugup.Dia sudah terlupa segala-galanya.Yang dia ingatkan sekarang adalah Zahlia yang sedang tersenyum manis.Bukan Nazirah apatah lagi Encik Kasim!
“Woi, kau ni kenapa? Nampak gelisah sejak aku masuk tadi.Kau ada masalah?” Adli mengetuk permukaan meja.
Tengku Syahran meraup mukanya kemudian tersengih.
“Aku okey.Kau jangan risau.Ada lagi yang kau nak beritahu aku?” tanya Tengku Syahran.
Adli faham dengan maksud kata-kata Tengku Syahran.Dia tahu lelaki itu tidak mahu diganggu saat ini.Perlahan-lahan Adli bangun.
“Aku balik bilik aku dululah.Lastly aku cuma nak tanya kau tentang program kita malam ni, jadi tak?” soal Adli.
Tengku Syahran terdiam.Program? Program apa? Dia tertanya-tanya.Tidak langsung teringatkan apa-apa yang pernah diberitahu Adli tentang program sebelum ini.
“Aku lupalah, Li.Program apa?” Tengku Syahran tersengih lagi.
Adli mencelikkan mata.Ganjil betul sikap Tengku Syahran yang seolah-olah telah menjadi seorang yang pelupa sejak kebelakangan ini.
“Kau kata nak main squash.”
“Hah? Aku yang cakap ke?” soal Tengku Syahran.
Adli mengangguk.Masih berdiri di hadapan Tengku Syahran dan berkira-kira mahu keluar.Namun langkahnya terhenti.Perangai Tengku Syahran semakin menghairankan sehingga meninggalkan tanda tanya dalam diri Adli.
Tengku Syahran memandang jam.Sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.Sebentar lagi dia ada temujanji dengan Encik Kasim.Pukul 3.00 petang, dia perlu ke Seri Nilam Corporation untuk berbincang tentang belanjawan syarikat dengan Tengku Hakimi.
Kalau dia pergi main squash, sekurang-kurangnya pukul 8.00 malam sampai di stadium.Balik pulak, paling tidak mesti pukul 11.00.Nak makan dan minum lagi dengan Adli dah pukul berapa? Habis, bila masa aku dapat berjumpa dengan Alia?
Alia? Alamak, kenapa dia juga yang aku ingatkan saat ini? Aku seperti rindukan dia setiap masa.Mana Nazirah pergi?
“Syah! Jadi tak ni?”
“Err… aku rasa… aku rasa tak jadilah, Li.Aku ada hal malam ni.” Tengku Syahran berkata walaupun dia tahu itu satu pembohongan.
“Okeylah.Aku pun ingat nak batalkan.Anissa tu kasihan pulak ditinggalkan dalam waktu-waktu yang macam ni.Kalau begitu, aku balik bilik dulu.Pukul 1.00 nanti, appointment dengan Encik Kasim.Jangan lupa tau?”
“Alright!” jawab Tengku Syahran.
Adli melangkah keluar.Selepas kelibat Adli hilang, Tengku Syahran membongkok dan mencari foto Zahlia yang dicampakkan di bawah meja tadi.Sebelum menyimpan semula gambar itu ke dalam fail, sempat Tengku Syahran mengucup gambar itu sekali lagi.


ZAHLIA menumpukan perhatian pada kerja-kerja terhadap program terbaru Sinar Iram.Namun hatinya tidak dapat menumpukan sepenuhnya kepada program itu.Fikirannya terasa tidak tenteram.
Entah kenapa sejak beberapa hari ni, dia sibuk memikirkan sikap Tengku Syahran.Suaminya itu tidak lagi sedingin selalu.Lebih kerap memerap di rumah dan selalu mengambil peluang untuk beramah mesra dengannya.
Zahlia kebingungan.Tengku Syahran yang dahulu terlalu menghambarkan dan kini Tengku Syahran amat merimaskannya.Zahlia masih keliru dengan sikap Tengku Syahran semalam.
Sewaktu kereta Proton Wira Zahlia memasuki pekarangan garaj Villa Sakura, Tengku Syahran sedang menantinya di pintu utama dengan senyuman.Zahlia yang kepenatan hanya membalas senyuman itu sekali imbas dan terus naik ke atas.
Ketika Zahlia selesai menunaikan solat Asar, Tengku Syahran sudah berada di dalam bilik dan sedang merenungnya.Zahlia kaget waktu itu.Masih terasa betapa laju degupan jantungnya ketika mata hazel miliknya berlaga dengan anak mata yang hitam pekat itu.
Namun, Zahlia sengaja buat tidak mengerti.Dia terus melipat pakaian yang bertimbun di atas katil.Tetapi, sikap Tengku Syahran tetap pelik.Tiba-tiba Tengku Syahran turut serta membantunya melipat pakaian sambil mengambil peluang untuk bersembang dengannya.
Zahlia hanya melayani sambil lewa.Kadangkala dia terdengar pula bicara lelaki itu yang tersasul dengan panggilan ‘abang’ dan adakalanya bagaikan sengaja diucapkan.Zahlia tetap berlagak selamba.Buat tidak dengar walaupun di hatinya hanya ALLAH yang tahu betapa dia berdebar mendengar ungkapan itu.


“ALIA, kelas Alia dah nak start ni! Alia dah siapkan kertas kerja Program Ikatan Kasih tu? Kak Mon nak tengok sekejap.” Suara Maimon kedengaran di telinga Zahlia.
Zahlia membesarkan anak matanya.Tersentak dengan teguran Maimon yang mengejutkan.Lama dia membisu sebelum otaknya mendapat mesej untuk bertindak.
“Ini kertas kerjanya.Lepas Kak Mon tengok, bagi pada Alia balik ya? Alia nak buat fotokopi.” Zahlia menghulurkan beberapa kertas kerja kepada Maimon.
Maimon menyambutnya.Dia membelek-belek muka hadapan kertas itu sebelum memandang Zahlia dengan wajah yang terpinga-pinga.
“Kenapa?” soal Zahlia.
“Ini bukan kertas kerja program tu.Rasa Kak Mon, ini kertas kerja program tahun lepas.”
Maimon menghulurkan kembali kertas-kertas itu kepada Zahlia.Zahlia menggigit kuku.Wajahnya sudah panik sambil membalas renungan Maimon.
“Mana kertas tu pergi?” soal Zahlia sambil bangun.
Fatimah yang turut berada berhampiran mereka mula mengangkat wajah.Zahlia kelihatan kalut dan cemas mencari-cari kertas yang berselerakan di atas meja.Fatimah menghampiri.Berdiri antara Zahlia dan Maimon.
“Kau cari apa Alia?” tanya Fatimah.
Zahlia sudah menggaru-garu kepalanya yang dilitupi tudung.Kemudian bercekak pinggang sambil melepaskan nafas yang turun naik menahan penat.Ada percikan peluh di dahinya.
“Aku cari kertas kerja Program Ikatan Kasih.Kau ada nampak tak aku letak kat mana? Aku rasa aku letak kat sini tadi.” Zahlia mengeluh.
Fatimah mengetap bibir.
“Bukankah kau bagi kat aku tadi? Kau suruh aku semak susunan ayatnya, kan?” ujar Fatimah seraya meletakkan beberapa helai kertas yang telah disusun di atas meja Zahlia.
Zahlia terdiam.Dia dapat mendengar suara Maimon yang sedang ketawa gelihati bersama Fatimah.Lambat-lambat Zahlia turut ketawa.
“Kak Mon tengok dulu ya?”
Zahlia mengangguk dan melihat Maimon berlalu dengan ketawa kecil.Zahlia mengeluh lagi.Membiarkan Fatimah memandangnya dengan pandangan yang pelik.
“Apa sebenarnya yang berlaku pada kau, Alia? Dah dua tiga hari aku tengok kau jadi pelupa.Kau sihat tak?”
Zahlia duduk.Melepaskan segala kesesakan di dadanya.Peluh yang tadi merimaskan muka, terasa semakin dingin dan mula menyejukkan wajah.Zahlia terdiam sejenak membuatkan Fatimah tetap setia menanti.
“Atau kau ada masalah dengan Syah?” soal Fatimah lagi.
“Eh, tak adalah! Aku okey.” Pantas Zahlia menyangkal pertanyaan Fatimah sambil menyusun kertas-kertas yang berselerakan.
“Ya ke?” soal Fatimah penuh makna tersendiri.Ada senyuman mengusik di situ.
“Betullah.Tak ada apa yang berlaku antara aku dengan Syah.Kami still macam dulu.Dia dengan hal dia dan aku dengan hal aku.”
Zahlia cuba tersenyum tetapi dia sendiri tidak tahu rasa sebenar senyuman itu.Yang dia tahu senyuman itu bagaikan dipaksa terukir di bibirnya.Seolah-olah senyuman itu dapat mengawal gelodak yang semakin tidak menentu.
“Aku ada kelas sekarang.Aku pergi dulu!”
Zahlia mencapai bahan-bahan pengajarannya.Bergerak pantas untuk menuju ke kelas.Fatimah terdiam.Dia seperti terlihat sesuatu pada gerak laku Zahlia yang dari sehari ke sehari semakin pelik.Pasti ada sesuatu! Luahnya di dalam hati.


“HAI, termenung jauh nampak?” tegur satu suara.
Zahlia terkesima.Berpaling ke arah suara yang menegurnya.Tengku Syahran tersenyum membuatkan Zahlia tersipu malu kerana ditegur begitu.Tengku Syahran terus melabuhkan punggungnya di sebelah Zahlia.
Suasana bilik yang terasa panas telah menyebabkan Zahlia mengambil keputusan keluar dari bilik, Tengku Syahran sedang sibuk menyiapkan kerjanya.Zahlia berasa bosan dan terus berlalu meninggalkan bilik itu.
Zahlia tidak berani menatap wajah Tengku Syahran.Dia tunduk dan membisu.Lidahnya bagaikan kelu untuk berbicara.Tidak tahu mengapa, dia terasa lain bila ada di samping lelaki itu.
Tengku Syahran juga mendiamkan diri.Turut merasakan kelainan seperti yang sedang dialami oleh Zahlia.Sekejap-sekejap, Tengku Syahran melirikkan mata pada Zahlia.Wajah lembut itu kelihatan ayu pada pandangan matanya tiba-tiba.Kau memang telah mencuri hatiku, Alia! Desis hati Tengku Syahran.
Tengku Syahran ternampak Zahlia sedang menggosok tangan tanda wanita itu sedang kesejukan.Kalau diikutkan hati, Tengku Syahran ingin menarik wanita itu ke pelukannya.Pasti cara itu, kesejukan yang terasa akan hilang.Ah, tak mungkin berlaku!
“Kerja dah siap?” soal Zahlia memulakan perbualan.
“Dah,” jawab Tengku Syahran ringkas.
Zahlia masih menggosok-gosokkan tangannya.
“Sejuk ke?” soal Tengku Syahran pula.
“Hmm… dalam bilik tadi panas.Tak sangka pulak dekat luar terlalu sejuk.”
“Minggu depan kita akan berangkat.Tiket dah ada.Passport pun dah settle,” beritahu Tengku Syahran.
Zahlia menyepi sebentar.
“Terima kasih,” jawab Zahlia.
“Untuk apa?”
“Semua yang berlaku… Alhamdulillah hampir dua bulan kita berjaya lalui hidup dalam perkahwinan yang tiba-tiba ni kan?” soal Zahlia.
Tengku Syahran mengangguk.Tersenyum sedikit meskipun dalam cahaya yang suram.Tengku Syahran memerhati ke sekeliling taman mini.Dia sudah kehilangan idea untuk bersuara lagi.Hendak berbual tentang apa lagi? Pejabat aku? Adli dan Anissa? Tempat kerja dia? Projek Bayu Idaman? Hisyy… tak masuk akal.
“Perasaan kau, Syah! Beritahu dia tentang perasaan kau!” suara hatinya memberikan jawapan.
Tengku Syahran terkesima.Kaku terasa bibirnya untuk berbicara soal itu.Tak mungkin aku akan luahkan tentang perasaan aku padanya malam ni.Aku belum bersedia!
“Dulu, masa kau beritahu Nazirah yang kau cintakan dia, adakah kau perlukan persediaan?” soalan itu tercetus di hati nurani Tengku Syahran.
“Tak!” jawab Tengku Syahran pendek.
“Habis… gunakan cara tu.Beritahu dia secara spontan.Cepat! Sebelum terlambat.Dia dah mengantuk tu!” hasutan itu bergema lagi di hatinya.
Tengku Syahran memandang Zahlia yang sedang menutup mulut kerana menguap.Hatinya berdebar-debar.Tertunduk semula.
“Tapi aku malu!
“Dulu aku pernah beritahu dia yang aku tak akan jatuh cinta pada dia.Nanti apa kata dia?” soal Tengku Syahran.
“Tak usah fikirkan hal tu.Yang penting hati kau.Dulu, mana kau tau yang kau akan jatuh cinta.Kau kan manusia? Ada perasaan.”
Tengku Syahran menarik nafas dalam-dalam.Suara hatinya berjaya menghasut naluri lelakinya.Dia menjilat bibirnya yang terasa kering.Seolah-olah cara itu dia dapat mencari ayat yang sesuai untuk memberitahu rahsia hatinya yang sudah dicuri oleh Zahlia.
Aku… saya… abang… I? Tengku Syahran terfikir-fikir.Nak guna yang mana satu? Aku? Terlalu kasar.Saya? Terlalu formal.Abang? Tengku Syahran menelan air liur.I? Tak mungkin.
Habis, yang mana satu? Aku nak guna yang mana ni? Tengku Syahran menggigit kuku.Selama ni tak pernah terfikirkan hal itu.Tetapi malam itu Tengku Syahran tercari-cari bahasa yang sesuai.Ah, guna ajelah yang mana-mana!
“Eerr… aku… ss…saya… abang dah… jatuh cinta!” Tengku Syahran bersuara perlahan.
Fuhh, lega!!! Tengku Syahran melepaskan keluhan.Dia terasa tenang selepas mengucapkan kata-kata itu.Dadanya sudah kembali pulih dari nafas yang menyesakkan.
Tetapi, Zahlia sepi di sebelah.Diam dan kaku.Tengku Syahran telan air liur.Dia masih tunduk kerana malu untuk menatap wajah Zahlia.Kenapa senyap? Dia dengarkah? Atau sudah pekak?
“Beritahu lagi sekali Syah! Kuat sikit.Dia tak dengar kot!” hati Tengku Syahran berbisik lagi.
Tengku Syahran menggigit bibir.Memberitahu sekali lagi bermakna dia perlu melepasi tahap kritikal lagi sekali.Ya, ALLAH! Bantulah aku.Doa lelaki itu.
Tengku Syahran menarik nafas semula.Lebih dalam dari tadi.Bibirnya sudah terbuka sedikit untuk mengulangi bicara.
“Ab… bang dah jatuh cinta pada Alia!” sedikit kuat ucapannya dari tadi.
Tengku Syahran terasa nyawanya hendak tercabut.Mintak-mintaklah kali ni Alia dengar! Tengku Syahran berbisik.Dia sudah bersedia dengan alasannya.Tengku Syahran jatuh cinta tanpa sedar.Nak buat macam mana? Takdir! Cakap aje macam tu.
Tetapi, Zahlia masih kaku.Tengku Syahran terus diterpa perasaan malu.Pasti Zahlia sedang mentertawakan aku kerana tewas dengan perasaan! Gerutu Tengku Syahran.
Tengku Syahran memberanikan diri untuk mengangkat wajah.Takut-takut.Tengku Syahran ternampak tangan kanan Zahlia sedang menongkat kepala.Tindak-tanduk wanita itu beku dan senyap.
Tengku Syahran mengintai wajah Zahlia.Tidak jelas kerana tiada cahaya yang terbias ke wajahnya.Tengku Syahran memanjangkan leher.Menjegil biji matanya tiba-tiba.
Laa… dia dah tidur? Maknanya dia tak dengar? Dan aku kena luahkan sekali lagi? Ya,ALLAH! Kenapa dengan aku ni? Apa dah jadi? Mengapa semua ni berlaku padaku?
Tengku Syahran bersandar di kerusi.Merenung Zahlia lagi.Nafas Zahlia kedengaran kecil dan Tengku Syahran terasa damai di jiwanya.Tangan Tengku Syahran perlahan-lahan menghampiri tangan kiri Zahlia yang sedang berada di atas meja.Dia gugup sebenarnya tetapi demi hati yang kian tersemai perasaan cinta, Tengku Syahran memberanikan diri.
Tangan kiri Zahlia sudah digenggam.Lembut dan halus sehingga meresapi ke sanubari.Tengku Syahran tunduk.Aku cintakan kau! Maafkan aku kerana tak dapat menyembunyikan lagi perasaan ini! Aku benar-benar cintakan kau.Ucap Tengku Syahran separuh berbisik.
Tengku Syahran terkejut.Zahlia sudah bergerak.Pantas Tengku Syahran menarik tangannya semula.Pada waktu itulah kelopak mata Zahlia terbuka.
“Eh, saya tertidur ya?” tanya Zahlia dalam suara seraknya.Tanpa mengesyaki apa-apa.
Tengku Syahran mengangguk.
“Hmm… ingatkan nak kejut, tak sampai hati! Pergilah naik… tidur.” Tengku Syahran berkata.
Zahlia bingkas.Dia menggaru-garu kepalanya yang masih bertudung.
Rutin dan kebiasaannya apabila keluar bilik.Mesti bertudung!
“Saya naik dulu ya?”
“Hmmm….”
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Tengku Syahran merapatkan bibir.Perasaannya berperang semula.Arggghhh… bagaimana aku nak beritahu dia lagi? Soalan itulah yang menemani tidur Tengku Syahran malam itu.Entahkan lena entahkan tidak hanya Tengku Syahran sahaja yang tahu.












Bab 16
P

AGI ini, Zahlia akan ke Hospital Kajang melawat Razif.Zahlia telah pun meminta izin Tengku Syahran dan dia mengizinkan.Kini, Zahlia telah sampai di hadapan pintu bilik yang tertera nama Mohd Razif.Jantungnya berdegup begitu kencang sekali.
Zahlia melangkah ke dalam bilik yang pintunya memang sudah terbuka.Matanya melilau-lilau mencari katil nombor 12 dan akhirnya dia terpandang Razif sedang merenungnya tanpa berkelip-kelip.Zahlia melangkah ke arahnya.
“Zif,” sapanya lembut.
Razif tidak menyahut.Malah segera mengalihkan tubuh ke arah lain.
“Aku minta maaf.” Zahlia berkata separuh merayu.
Razif buat tidak tahu.Hatinya masih bengkak kerana lambat mengetahui perkahwinan Zahlia.
“Zif, janganlah macam ni.Aku rasa berdosa tau.Kau buat aku rasa bersalah sangat.I’m sorry,” ujar Zahlia sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya.
“Lain kali, bagilah salam dulu,” marahnya.
“Aku tengok kau macam tengah marah.Kalau aku bagi salam, nanti kau tak jawab.Aku tak nak bagi kau dosa.” Lembut Zahlia berkata.
“Aku ingat kau memang tak sudi berkawan dengan aku lagi.” Kata-kata itu membuatkan Zahlia ketawa.
“Kau tak marah?” soal Zahlia.
“Marah… tapi dah reda.Lain kali kalau kahwin, jemputlah orang,” ujar Razif.
“Ingat perkara kahwin tu boleh ber’lain kali’ ke?” soal Zahlia.
Razif terus ketawa besar.
“Kenapa tak beritahu aku, kau dah ada calon? Senyap-senyap aje.Tahu-tahu dah kahwin.”
Zahlia tersengih.Merenung Razif dengan pandangan simpati.Kesian Razif! Dia tidak tahu cerita di sebalik perkahwinan ini.Hati Zahlia berkata-kata.
“Hei, ni kenapa pulak ni? Tiba-tiba senyap aje?” kejutan itu membuatkan Zahlia tersedar.Segera dia menggeleng.
“Kau macam mana? Dah sihat?” soal Zahlia.
“Well, macam nilah Alia.Kalau sakit dah teruk begini, tak payah berubat pun tak apa.”
Zahlia mengerutkan dahi mendengar kata-kata Razif.Kata-kata itu tidak disenanginya.
“Kenapa kau cakap macam tu? Tak elok.Semuanya datang dari ALLAH.Setiap yang berlaku ada rahmat di sebaliknya.Kau dah lupa apa yang pernah kita belajar dulu?” soal Zahlia sedikit tenang walaupun dia marah dengan keluhan Razif.
Kata-kata Ustazah Faridah masih terngiang-ngiang di telinganya.
“Setiap peristiwa ada rahmat dan hikmah yang terselindung.Semuanya datang dari ALLAH.Dia sengaja menurunkan dugaan kepada kita untuk menguji kesabaran kita.Maka, kesabaran itulah yang akan menunjukkan keimanan kita kepadaNYA.Di situlah ALLAH akan menilai ketaqwaan setiap makhluknya.”
“Entahlah Alia! Aku rasa dah banyak dosa yang aku buat sekarang ni.Bila ada benda yang tak kena aje, mesti aku membentak tak tentu pasal.Kalau macam tu, baik aku mati dari menanggung banyak dosa.” Ucapan itu berbaur sayu.Zahlia mengeluh kecil.
“Zif… Zif… sepatutnya bila fikiran dilanda buntu, kau kena mengucap panjang.Ada pulak membentak nak marah-marah.Sebab itulah, fikiran tak tenang,” jawab Zahlia selamba.
Razif tersengih kelat.Matanya jatuh ke jari-jemari Zahlia yang masih merah berinai.Walaupun inai itu sudah separuh hilang dari kukunya, hati Razif tetap terusik.Inai itu tandanya wanita itu sudah menjadi isteri orang.Razif tidak kenal siapa suami Zahlia.Namun, Razif pasti lelaki itu sungguh bertuah memiliki Zahlia.
Hati Razif dilanda cemburu.Entah kenapa sampai hari ini rasa kasihnya kepada wanita itu masih mekar.Malah, dia hampir hilang nyawa apabila mengetahui berita perkahwinan itu dari Fatimah dan yang paling penting dia masih tidak dapat menafikan kasih sayangnya sehingga ke hari ini.
“Bila nak kenalkan suami kau?” soalan yang tak terduga itu lahir dari bibir Razif.Zahlia tersenyum malu.
“Nantilah.Aku kenalkan.” Ringkas ucapan Zahlia.
Perlahan-lahan Razif mengambil tangan Zahlia mendekatinya.Zahlia tersentak.Namun, dibiarkan sahaja kerana dia tahu Razif sahabatnya yang paling setia di sisi.
“Aku akan doakan kau bahagia.Walaupun aku kecewa sebab tak berjaya memiliki kau, tapi aku yakin hidup kau akan bahagia.Lelaki itu seorang lelaki yang bertuah Alia.Bahagiakanlah dia.”
Ucapan itu membuatkan Zahlia menelan air liur.Sampai begitu sekali harapan Razif? Tiba-tiba hati Zahlia dilanda rasa bersalah.Namun bibirnya membalas senyuman kecil.
“Okeylah, aku nak pergi bank.Ada orang dermakan kau RM 30,000 untuk rawatan dan pembedahan.Nanti, aku datang melawat kau lagi,” jawab Zahlia pantas menarik tangannya yang masih di dalam genggaman Razif.
Razif mengangguk.


TENGKU SYAHRAN menaiki keretanya dengan perasaan berkecamuk.Dia tidak tahu kuasa apa yang memaksanya memerhati gerak-geri Zahlia pagi itu.Sedangkan dia tahu Zahlia akan ke hospital untuk melawat rakannya.Zahlia sendiri sudah meminta keizinannya dan dia membenarkan.
Tetapi hati Tengku Syahran bagaikan tidak senang.Selang beberapa minit Zahlia pergi, dia juga keluar.Mengikuti kereta Zahlia dari belakang.Sampai sahaja di Hospital Kajang, dia meletakkan kereta Honda Preludenya tidak jauh dari situ.
Dengan pantas dia melangkah keluar dari kereta dan mengikut Zahlia.Sampai di wad 10A, terpampar nama Razif di situ.Tengku Syahran hanya menunggu di luar.Hatinya diserbu perasaan cemburu apabila kedengaran isterinya ketawa mesra dengan Razif.Kemudian dia ternampak lelaki itu meramas-ramas jari-jemari Zahlia.Sakit benar hati Tengku Syahran dibuatnya.
“Damn!” jeritnya dan terus melangkah pergi.
Di dalam kereta dia menumbuk-numbuk stereng kereta melepaskan geram.Kenapa harus ianya terjadi? Tengku Syahran sudah mula menyayangi Zahlia.Tiba-tiba Zahlia berpaling tadah kepada orang lain pula.
Tengku Syahran membatukan diri di dalam kereta.Perbualannya dengan Adli ketika di Hotel Crystal Crown dahulu terbayang di fikiran.Waktu itu, dia dengan Zahlia masih belum berkahwin.



“KAU jangan jadi gila Syah! Aku takut kau terjatuh cinta kat dia nanti.Tak pasal-pasal kau yang parah,” ujar Adli selamba.
“Li, aku dah pernah kecewa sebab cinta.Aku dah lali.Dalam hidup aku, yang aku yakin Cuma cintaku pada Nazirah.Lepas Nazirah meninggal, semua perempuan yang datang kat aku tak pernah setia.Aku yakin aku takkan jatuh cinta pada perempuan tu,” jawab Tengku Syahran.
“Kau jangan cakap besar Syah. Orang perempuan ni lain sikit, aku bukan apa.Kau tu lelaki, pergi mana-mana pun nafsu tetap ada.Aku takut, malam pertama kau tu, terus kau terkam dia.Time tu, perjanjian entah ke mana, sayang entah ke mana,” ujar Adli.
Tengku Syahran hanya ketawa mendengar kata-kata Adli.Adli adalah teman baiknya sejak sekolah menengah sehingga melanjutkan pelajaran bersama-sama ke London.
Adli jugalah yang memperkenalkan Nazirah kepadanya.Bila berita sedih diterima tentang kematian Nazirah, Adlilah teman yang menemani Tengku Syahran.Persahabatan mereka bagaikan isi dengan kuku.
“Eleh… aku tengok perempuan tu macam mata duitan aje.Dia terima rancangan aku pun lepas aku cadangkan wang sebagai ganjaran.Tak mahulah aku hidup sekatil dengan perempuan macam tu,” ujar Tengku Syahran lagi.
Kali ini Adli pula ketawa.Tengku Syahran mengerutkan dahi.
“Kenapa?” soal Tengku Syahran kehairanan.
“Kau ni sebelum dapat, cakap beria-ia.Tengoklah lepas dapat nanti, siapa yang tersungkur.Lepas tu, kau akan datang pada aku dan cakap yang kau fall in love.Masa tu aku tak heran sebab aku dah kenal hati budi kau Syah.Lagipun aku dengar Zahlia tu lemah lembut orangnya.Pandai ambil hati.Kalau kau tak tersangkut, mak bapak kau pulak yang tersangkut.Ingat Syah, bila berdua-duaan macam-macam benda boleh berlaku.”
“Macam mana kau kenal dia, Li?” tanya Tengku Syahran pelik.
“Dulu, syarikat lama tempat aku bekerja pernah tawarkan dia satu jawatan.Aku pernah jumpa dia sekali waktu serahkan surat untuk temuduga.Tapi, aku tak tau kenapa dia tolak tawaran tu, sedangkan terlalu banyak faedah yang ditawarkan.”
“Maksud kau?”
“She is a brilliant woman! Pemilik Bachelor of Accounting.Aku tengok kelulusan dia.Fuhh… macam nak tersembul biji mata,” beritahu Adli.
Tengku Syahran terdiam.Tiba-tiba bibirnya mencebik.
“Dahlah, malas aku nak cakap dengan kau.Makin sakit hati aku,” ujar Tengku Syahran dengan nada marah.
Adli hanya ketawa besar.
Tengku Syahran tersedar dari lamunan apabila terdengar bunyi hon kereta di belakang.Tengku Syahran tidak sedar bila keretanya sudah berada di tengah jalan.Dia mengeluh berat.Kata-kata Adli terngiang-ngiang lagi.
Kenapa aku tak pernah ingat perjumpaan aku dengan Adli sebelum aku kahwin dengan Alia? Adli pernah berjumpa dengan Alia? Adli dah beritahu aku yang Alia ada ijazah perakaunan! Adli dah nasihatkan aku tentang perasaan manusia yang senang terpengaruh! Kenapa aku tak ingat?
Tengku Syahran merengus kecil mengingatkan peristiwa yang berlaku sebelum perkahwinannya.Waktu itu Tengku Syahran buta untuk menilai sikap dan kelembutan Zahlia.Dan betapa beraninya dia memberitahu yang hatinya takkan jatuh cinta pada wanita itu secara terang.Kecilkah hati wanita itu? Tengku Syahran sendiri tidak pernah ambil tahu.
Mungkin benar kata Adli, aku sekarang dah jatuh cinta! Habis tu, apa yang patut kulakukan? Tengku Syahran cuba mencari jalan.Akhirnya, dia memecut Honda Preludenya menuju ke Neraca Holdings untuk mencari Adli.


PINTU bilik yang tertera nama ‘Ahmad Adli’ diketuk bertalu-talu.Apabila terdengar suara orang mengarah masuk, barulah Tengku Syahran memulas tombol pintu.Kelihatan Adli sedang membelek-belek beberapa fail di atas meja.
“Hai… sibuk sangat ke, sampai tak sempat nak tengok siapa yang datang?” sapa Tengku Syahran membuatkan Adli mengangkat wajah.
Segera bibir Adli melemparkan senyuman.
“Eh, kau Syah! Sorrylah, tak sedar aku.Kau dari mana? Tadi aku ke bilik kau, tak ada orang pun,” beritahu Adli sambil menutup fail yang berselerak di atas meja.
Tengku Syahran terus melabuhkan punggung di kerusi tanpa disuruh.Dia sudah terbiasa dengan Adli yang menjawat jawatan Pengurus Sumber Manusia di Neraca Holdings itu.
“Aku dari hospital ni,” ujar Tengku Syahran.
“Siapa sakit? Ayah kau ke?” soal Adli sedikit cemas.
“Eh, tak adalah.Ada hal sikit,” jawab Tengku Syahran acuh tak acuh.
Masakan dia ingin membuka pekung di dada dengan memberitahu Adli yang dia ke hospital kerana mengintip perbuatan isterinya.Bodohlah dia!
“Apahal kau datang ni? Aku tengok muka kau macam ada problem aje, kenapa?” soal Adli pelik.
Selama ini Tengku Syahran akan masuk ke biliknya bila perlu sahaja.Itu pun kalau dia dilanda masalah.Selebihnya mereka lebih senang berjumpa di luar waktu pejabat.
Tengku Syahran menelan air liur.Hatinya memberontak ingin memberitahu Adli tentang perasaannya pada Zahlia, tetapi dia takut di tertawakan.
“Apasal ni Syah? Kau ni macam ada masalah besar aje.Macam kali pertama aku tengok semasa kau jatuh cinta dengan Nazirah.”
Tengku Syahran sedikit tersentak mendengar nama Nazirah disebut.Tetapi bukan itu persoalan yang mengganggu fikirannya saat ini.Perkara berkenaan dengan Zahlia yang mengacau.
“Syah… apasal senyap aje ni? Peliklah aku tengok kau.Kenapa ni?” Adli bertanya lagi.
Tengku Syahran menarik nafas.Dia resah duduk di situ.Serasa seperti dunianya tidak menentu dan hilang segala tarikan graviti.Dunia Tengku Syahran seakan terawang-awang.
“Syah… kau ada problem dengan Alia ke?” soal Adli berusaha memancing jawapan dari teman baiknya itu.
Tengku Syahran ingin mengangguk tetapi dia tidak jadi.Dia hanya menyorotkan pandangan pada wajah Adli yang sudah meletakkan pen di atas meja.Kelu lidahnya.
“Aku masih menunggu. Jangan sampai aku bosan dahlah.” Adli seperti memberi amaran.
Tidak terluah ucapan Tengku Syahran dirasakan.Tengku Syahran menyaruk rambutnya ke belakang dengan kedua-dua belah tangan.Berusaha mengumpul kekuatan.
“Mengapa ni?” soalan Adli semakin berbaur geram.
“Aku rasa… aku rasa… kan… aku dah jatuh cinta.” Lambat-lambat Tengku Syahran bersuara.
Adli terdiam.Terkedu juga dia.Benarkah? Pelbagai soalan terkeluar di lubuk hati Adli, tetapi Adli ketawa.Ketawanya bersambung-sambung membuatkan wajah Tengku Syahran menjadi kelat.
“Dengan siapa?” soal Adli.
Perlukah soalan itu ku jawab? Tanya Tengku Syahran di benaknya.Tengku Syahran tidak menjawab.Hanya membalas pandangan Adli yang masih ketawa.
“Wife kau tu ke? It’s impossible!” Adli meneka sendiri ketika ketawanya mula reda.
Tengku Syahran terus mengangguk.Adli menyambung ketawa kembali membuatkan Tengku Syahran bertambah malu.Lucu sangatkah bila jatuh cinta? Tak salah bukan?
“Tulah, aku dah beritahu, jangan cakap besar.Orang perempuan ni lain.Tengok apa dah jadi pada kau, baru dua bulan kau kahwin, dah surrender? Apalah kau ni Syah, lemah sangatlah.Ubat apa yang bini kau kasi sampai rupa kau teruk macam ni?”
Tengku Syahran hanya mendengar kata-kata Adli tanpa sebarang alasan.Dia tahu dia yang silap.Egonya tinggi konon-kononnya dia takkan jatuh cinta dengan Zahlia, tetapi apa dah jadi? Kalau dia tak jatuh cinta, kenapa dia cemburu melihat kemesraan Zahlia dengan pemuda yang tidak dikenali itu? Razif… ya, Razif namanya!
“Apa aku nak buat ni, Li?” soal Tengku Syahran seperti orang bingung.
“Buat apa? Pikat ajelah dia? Dia pun dah jadi bini kau, kan? Aku dah banyak kali beritahu kau supaya dekati dia dan kau dah berjaya jatuh cinta.Ini bermaksud dia pun begitu.”
“Aku taulah.Tapi, aku takut.Dia tu susah sikit, keras hati.”
Adli mengeluh.Syah… Syah… sampai dah kahwin pun, macam orang tak waras.Setiap kali jatuh cinta mesti dia tak tentu arah, desis hati kecil Adli.
“Orang yang keras hati ni, lawannya lembut.Jadi, kau kenalah berlembut dengan dia.Kalau dia dah keras hati, kau balas dengan berkeras, makin keraslah gamaknya,” jawab Adli bersahaja.
“Aku tak tahu nak mulakan dari mana.Aku pun tak sedar bila aku start jatuh cinta pada dia.Yang aku tahu, aku cemburu bila ada lelaki telefon dia.Lepas tu, dia menangis tiba-tiba.Aku cemburu tau tak!” luah Tengku Syahran masih dipagut rasa cemburu.
Adli ketawa lagi.Tak sangka Tengku Syahran semakin teruk sekarang.Kasihan, desis hati kecilnya.
“Kau ni tak habis-habis nak ketawakan aku apasal? Aku tengah bingung ni.Tolonglah aku, Li.” Tengku Syahran seperti merayu.
“Macam nilah, kau fikir apa yang Alia suka.Dia suka bunga tak? Kalau dia suka, kau belikan.Ataupun kau belikan dia barang-barang perempuan.Macam baju ke, kasut ke,” jawab Adli.
Tengku Syahran cuba memikirkan cadangan Adli.Perlahan-lahan dia menggeleng.
“Alia bukan jenis perempuan yang macam tu.Mana dia suka bunga-bunga ni.Kasut dengan baju tu pun aku rasa dia tak sukalah.Kau tengoklah cara dressing dia pun.Simple dan taklah memilih macam si Linda tu,” ujar Tengku Syahran sambil menjuihkan bibir.
“Eh, bukan ke hari tu kau yang cakap Alia tu jenis perempuan yang mata duitan? Sekarang cakap dah lain pulak?” bidas Adli sengaja memulangkan paku buah keras.
“Kau ni nak sindir aku ke, nak tolong aku?” soal Tengku Syahran seolah-olah merajuk.Adli tersengih.
“Perangai kau ni kan Syah, semakin hari semakin pelik.Dah pandai merajuk sekarang ni.Mesti si Alia tu yang ajarlah ni.Hmm… ada kemajuan,” ujar Adli sambil ketawa.
“Li!!” keras Tengku Syahran menjerit.
“Okeylah, okey, apa kata kalau kau ajak dia dinner.Time tu, kau beritahulah dia, yang kau dah fall in love pada dia.Habis cerita.”
Tengku Syahran segera teringatkan rancangan percutiannya tiga hari lagi.Perlahan-lahan dia tersenyum.
“Eh, ni apasal pulak ni.Sengih-sengih tak tentu pasal?” soal adli pelik melihat kelakuan Tengku Syahran yang tiba-tiba.
“Aku baru teringat yang aku ada buat pelan nak pergi bercuti.Haa… time tu aku beritahu dia,” ucap Tengku Syahran.
Adli mengerutkan dahi.Pelik dengan kenyataan yang baru diterima.Hari tu, dia kata perkahwinan ni sebab nak elakkan diri dari Linda.Tanpa perasaan cinta pun ada hati nak pergi bercuti? Pelik betul dia ni!
“Eh, kalau dah pergi bercuti maknanya dia taulah yang kau sayangkan dia.Buat apa kau nak takut lagi?” soal Adli.
“Sebenarnya aku rancang nak duduk jauh dari keluarga buat sementara waktu ni.Aku dengan Alia nak pergi kerjakan umrah dulu.Selepas tu, kami pergi bercuti supaya Alia dapat rehatkan fikiran dia dari famili aku.Kami pergi ni pun bukannya nak berbulan madu betul-betul, olok-olok aje,” jawab Tengku Syahran.
“Hah… buat lagi pelan macam tu.Kat sana dugaan kau lagi banyak, dahlah berdua aje.Dalam bilik sejuk-sejuk macam tu.Lagi naya Syah,” beritahu Adli.
Tengku Syahran terdiam.Yang pasti, hatinya sudah lega sikit.Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyuman.
“Kalau dah terpaksa buat ajelah.Lagipun dia kan bini aku.Kalau aku dah tak tahan, dia tak rela, aku paksa.Takkan dia nak membantah, berdosa ingkar perintah suami.” Kata-kata Tengku Syahran itu menghamburkan ketawa lagi di bibir Adli.Adli menggeleng-geleng.
“Kau ni Syah! Tak senonoh.Cakap tak serupa bikin, hisy…pelik aku dengan orang macam kau ni.Dahlah.Kau dah makan? Kita pekena roti canai, syok jugak ni,” ajak Adli.
“Boleh jugak,” balas Tengku Syahran.
“Sejak aku jatuh cinta ni… rasa macam tak lalu nak makan,” sambung Tengku Syahran.
Adli tersenyum lucu.
“Marilah… aku bawa kau ke tempat yang jual roti canai angau.Sesuai untuk orang yang macam kau.”
Tengku Syahran membesarkan mata.Adli pula sudah mula ketawa.Akhirnya Tengku Syahran turut ketawa.Tidak tahan melihat ketawa Adli.
























Bab 17

L
INDA duduk menonton televisyen.Namun hatinya masih bengkak.Perkahwinan Tengku Syahran masih menjadi punca utama.Sakit hatinya masih terasa bila berita perkahwinan itu sampai ke telinganya.
Linda berasa geram.Wajah ceria Tengku Syahran sekeluarga bagaikan sembilu yang mencucuk ulu hatinya.Semua tetamu yang hadir pada hari itu memuji-muji kecantikan pengantin perempuan.Hati Linda terus dilanda cemburu yang tidak menentu.
Cis! Kurang asam! Jaga kau Alia! Buat pertama kalinya, Linda tewas.Selama ini semua kehendaknya dipenuhi.Dia mehukan kereta, mamanya akan belikan.Dia mahukan rumah, papanya sediakan banglo yang sudah siap dengan kolam renang.Kalau inginkan seorang lelaki, petik saja jari, pasti tersusun datang di hadapan mata.
“Kau perempuan murah Linda! Jangan harap aku akan berkahwin dengan kau! Aku tak ingin perempuan seperti kau untuk menjadi isteri aku.” Linda masih belum dapat melupakan kata-kata Tengku Syahran suatu ketika dahulu.
Kini, Linda terasa dia telah kalah.Tengku Syahran benar-benar mengotakan janjinya.Linda terasa dirinya kerdil sekali kerana Tengku Syahran tidak mahu dirinya dijadikan isteri.Linda tidak tahu kenapa hanya Tengku Syahran yang menjadi fokus utamanya sejak kebelakangan ini.Sedangkan semua lelaki yang pernah didampingi lebih hebat dari Tengku Syahran.Punya rupa, harta, dan pangkat yang lebih power! Bukan sahaja di tempat awam, malah sanggup menjadi teman di ranjang ketika dia ingin melepaskan nafsunya.
Alat kawalan televisyen dicapai.Siaran mula bertukar arah.Berulang-ulang.Tiada yang menarik padanya.Off.Alat kawalan itu dicampak ke hadapan.Berdentum bunyi pasu bunga yang dibeli dari Indonesia jatuh ke lantai.Pecah berderai.
Linda mencapai rokok di atas meja.Dinyalakan apinya dan disedut sedalam mungkin.Tiba-tiba kelibat Datin Rohana berlari-lari anak ke arahnya.Bunyi kaca yang pecah berderai amat memeranjatkan.Terkejut wanita itu bila melihat kelakuan anak perempuannya yang semakin tidak keruan.
“Linda, apa yang kau buat ni?” tengking Datin Rohana segera merampas rokok itu dari tangan Linda.
Linda hanya tersenyum.Fikirannya kacau.
“Mama jangan ganggu Linda.Linda bosanlah!” terkapai-kapai tangan Linda ingin mengambil semula rokok itu dari tangan ibunya.
“Kau jangan jadi gila! Benda ni tak elok untuk baby dalam kandungan kau tu,” marah Datin Rohana.
“Ala mama.Baby ni pun teringin nak merasa.Bagilah mama.Sikit aje,’ rengek Linda.
“Dah.Pergi naik atas.Ada anak perempuan pun tak boleh diharap,” jerkah Datin Rohana.
Pening kepalanya memikirkan perangai Linda sejak akhir-akhir ini.Semakin menjadi-jadi ketagihannya merokok.Tambah-tambah lagi keadaan Linda yang berbadan dua, pasti memudaratkan bayi yang sedang dikandungnya itu.Ini semua Tengku Syahran punya pasal.Jantan tak guna! Jerit Datin Rohana di dalam hati.
“Mama, bagilah mama!”
“Linda apa nak jadi dengan kau ni? Jangan kerana lelaki tu, kau nak musnahkan diri kau.Fikirkan anak dalam perut kau! Syah dah malukan keluarga kita.Sedar sikit!” Linda memandang wajah ibunya tanpa perasaan.
“Kau ingat sikit Linda, kandungan kau dah nak masuk dua bulan.Jangan harap Syah tu nak kat kau.Dia dah kahwin.Dah ada isteri.Itulah kau, dulu lagi mama dah pesan, nak enjoy tu jangan melampau-lampau sangat.Ini tak, keluar dengan jantan tak habis-habis.Malam keluar, pagi baru balik.Sampai boleh jadi anak dalam perut tu.” Lantang suara Datin Rohana membebel.
Linda sudah tidak menghiraukan kata-kata ibunya.Malas mahu melayan setiap bebelan itu.Hanya akan menambahkan sakit hatinya sahaja.Ah, biarkan!


“PAPA rasa elok kalau Linda pergi bercuti beberapa hari.Rehatkan fikiran.” Datuk Firdaus mengemukakan cadangan.
Anak perempuan kesayangannya itu tetap membisu.Tiada riak-riak ingin membalas kata-kata papanya.Datin Rohana hanya memerhatikan kelakuan Linda.Malas dia mahu membuka mulut.Suaminya itu seakan tidak mengerti perasaan anaknya.
Berita tentang kandungan Linda tidak langsung diberitahu kepada Datuk Firdaus.Kalau sampai ke pengetahuan suaminya, pasti dia akan mengamuk sakan.Entah-entah dihalaunya keluar dari rumah itu nanti.
“Linda, kau tak boleh patah semangat! Kan banyak lelaki lain dalam dunia ni.Syah bukan jodoh kau,” ujar papanya namun nasihat papanya itu tidak melekat ke dalam benaknya.
“Kau nak teman lelaki, papa boleh carikan.Kawan-kawan papa tu semuanya ada anak bujang.Kau pilih aje.Nak lawyer, doctor. Engineer? Semua ada.Apa yang kau nak risaukan?” Datuk Firdaus merenung wajah itu sepenuh kasih.
Datin Rohana mencebik.Kata-kata suaminya bukannya boleh dipakai.Takkanlah Datuk Firdaus tidak mengerti kehendak anak perempuan tunggalnya itu.Kalau berkehendakkan sesuatu pasti dipenuhi.Kini, lelaki yang telah mengutuk diri anaknya itu yang menjadi pujaannya.Tetapi tidak berjaya dimiliki.Pastinya hati anak tunggalnya itu akan terluka kerana niat Linda mendampingi Tengku Syahran adalah kerana dendam.
“Anak papa kan cantik, manja, lawa! Mesti ada yang lebih kacak menanti kau suatu hari nanti,” pujuk Datuk Firdaus lagi.
Linda medengus.Malas mahu melayan kata-kata papanya.Hatinya masih terluka.Dicampur rasa gerun dengan kandungannya yang kian membesar.Di mana ingin disorokkan perutnya apabila janin itu sampai ke usia lima bulan.Ingin digugurkan, dia takut.Sudah tiga kali dia gugurkan kandungan.Kali ini doktor tidak berani mengambil risiko.Linda terpaksa melahirkan bayi itu kalau mahu nyawanya selamat.
“Honey, papa bawa kau berjalan ke London nak? Kita satu family pergi holiday,” cadang Datuk Firdaus lagi.
“Tak payahlah papa.Linda tau jaga diri.” Keras Linda menjawab sebelum melangkah pergi meninggalkan papa dan mamanya di situ.
“Itulah awak, bagi muka sangat dengan anak.Tengok apa dah jadi?” marah Datuk Firdaus kepada Datin Rohana ketika Linda hilang di balik tangga.Datin Rohana mendengus.
“Abang jangan nak tuduh saya! Salah abang jugak.”
“Eh, Rohana! Siapa sebenarnya yang ikut sangat cakap anak? Awak tu, Linda suruh beli kereta, awak belikan.Dia nak rumah, awak paksa saya beli.Sekarang semua benda yang dia nak, kena jadi milik dia.Itu, suami orang tu pun nanti dirampasnya,” bentak Datuk Firdaus kuat.
“Abang, abang kena ingat Linda tu satu-satunya anak yang kita ada.Abang tau tak betapa payahnya saya nak melahirkan dia sebelum doktor sahkan yang saya tak boleh beranak lagi.Harta yang kita ada ni pun tak habis kalau kita beli sepuluh biji banglo lagi bang,” balas Datin Rohana semakin kuat.





Datuk Firdaus mengeluh.
“Ha, itulah modal yang awak ungkitkan.Kalau wang itu kita pergi Mekah mengerjakan haji, kan elok anak-beranak.Ini, bila saya ajak awak banyak sangat alasannya.Ada meetinglah, busylah.Itulah, inilah! Kali ni saya dah daftarkan nama kita sekeluarga.Kalau awak tak nak pergi dahlah.Biar saya pergi sendiri.” Datuk Firdaus terus bangun dan meninggalkan Datin Rohana di situ.































Bab 18
T

ENGKU HAKIMI dan Sofea sedang berada di dalam kereta.Mereka sedang menuju ke pejabat guaman milik rakan Sofea.Masing-masing tidak bersuara.Maklumlah pertama kali bersama.
“Cikgu, cikgu tak kisah kalau saya panggil nama?” soal Tengku Hakimi dengan nada yang tersipu-sipu.
Sofea tidak menjawab pertanyaan Tengku Hakimi.Dia hanya melemparkan senyuman.Beberapa minit kemudian, Sofea pula bersuara.
“Kalau saya tanya Kimi satu soalan, Kimi boleh jawab tak?”
“Depends on the question.Tanyalah?”
Lagu I Don’t Wanna Miss A Thing nyanyian Aerosmith berkumandang di dalam kereta.Suasana sunyi seketika.
“Bagaimana Kimi kenal dengan bekas isteri Kimi?”
“Kenapa tanya soalan tu?”
Sofea hanya menggeleng.Dia tidak tahu apa yang hendak dijawab.Kemudian dia mengalihkan pandangan ke luar.
“Kami kenal dalam satu pertemuan yang diatur oleh keluarga,” ujar Tengku Hakimi.
“Kimi sayangkan dia?” soal Sofea masih memandang ke luar.
“Terlalu walaupun ia berputik melalui cinta pandang pertama.Kemudian kami berkahwin tapi tak sangka perkahwinan kami hanya sempat bertahan selama dua tahun aje.Dia tak setia sedangkan saya bermati-matian menyintai dia.”
Sofea menoleh pada Tengku Hakimi yang sudah berubah wajah.Menyesal pula kerana membuka cerita itu.Tetapi hatinya membuak-buak ingin mengetahui kisah lelaki itu.Dia berasa selesa berdamping dengan anak jiran sebelah rumahnya itu.
“Maafkan saya kalau pertanyaan saya telah membuatkan Kimi terkenangkan kisah silam.”
“Tak apa.Kisah tu dah lama berlalu.Dia betul-betul dah berubah.Saya akan cuba menerima hakikat itu.Yang penting, Murni milik saya sepenuhnya.”
“Tapi dia juga mama kepada Murni.Bukan niat saya mahu mencampuri urusan peribadi Kimi.Tapi, sebagai seorang wanita, saya dapat rasa yang dia merindui anaknya.”
“Saya tak halang dia menjenguk Murni, Sofea! Dia ada hak untuk datang berjumpa dengan Murni tapi saya takkan benarkan Murni tinggal dengannya sepanjang hayat.”
“Murni pulak macam mana? Dia masih kecil dan memerlukan kasih seorang mama.Kimi tak boleh memikirkan hal ini bagi sudut Kimi aje.Kena fikirkan jugak kehendak Murni.”
“Maksud Sofea?”
“Di sekolah, Murni selalu bertanyakan hal yang pelik-pelik.Setiap hari pasti ada perkataan mama yang disebut.Saya kasihankan dia, Kimi!”
Sofea teringatkan kata-kata Tengku Murni beberapa hari yang lalu yang menyuruhnya menjadi mama kepadanya.Tersentuh hati Sofea mendengarnya tetapi dia hanya mendiamkan diri.Hanya hari ini baru dia berkesempatan bercerita tentang hal itu.
Tengku Hakimi terdiam.Dia pula teringat kata-kata Tengku Murni bersama Tengku Syahran beberapa hari yang lalu.Tengku Hakimi tahu anaknya memang rindukan belaian kasih seorang mama.Cuma dia yang masih takut untuk memperjudikan hidupnya kepada seorang wanita yang bergelar isteri.Dia takut cintanya dipermainkan lagi.Masih terasa keperitannya sehingga kini.
“Kahwinlah lagi, Kimi.Ia bukan aje baik untuk Murni tetapi jugak untuk Kimi.Takkan selamanya Kimi mahu hidup bersendirian?” soal Sofea lembut.
Hati Tengku Hakimi tersentuh mendengar ayat Sofea.Dikerling sekilas ke arah Sofea.Gadis manis yang bertudung itu.Tiba-tiba dia terasa sesuatu yang aneh terbit dalam sanubarinya.Tengku Hakimi mengeluh.
“Kalau saya pilih Sofea sebagai calon mama kepada Murni, Sofea sudi terima?” tanpa diduga Tengku Hakimi berkata begitu.
Sofea terkedu.Semakin laju denyutan jantungnya.Dia melamar akukah?
“Saya beri Sofea masa untuk fikirkan hal ini.Kalau Sofea setuju, saya akan suruh mak dengan ayah saya masuk meminang.Kita kahwin secepat mungkin.Saya tak perlukan masa untuk bercinta sebelum kahwin.Cukuplah sekadar saya mendapat seorang isteri yang setia dan mampu menjaga saya dan Murni seikhlas hati.Saya akan bercinta melalui itu.”
Sofea tertunduk.Kelu lidahnya untuk membalas kata-kata Tengku Hakimi.Pada waktu itu mereka telah sampai di hadapan firma guaman milik rakan Sofea.Enjin kereta telah dimatikan.Sofea membisu di dalam kereta.
“Tolong fikirkan Sofea.Saya tau tindakan saya terburu-buru.Tapi saya perlukan wanita yang dapat menyayangi Murni lebih dari diri saya.Saya dapat lihat ciri-ciri itu dalam diri Sofea,” ujar Tengku Hakimi lagi.
Sofea terus membisu.
“Jika betul-betul Sofea setuju, percayalah… saya takkan sia-siakan hidup Sofea.Saya akan cuba menyintai dan menyayangi Sofea dengan syarat, setia!”
Sofea mula menoleh ke arah Tengku Hakimi.Melawan pandangan mata lelaki itu.
“Soal jodoh saya telah serahkan pada umi dan ayah saya.Kalau Kimi mahu jadikan saya sebagai isteri, berjumpalah dengan umi dan ayah saya dulu,” beritahu Sofea sedikit gugup.
Tengku Hakimi tersenyum dan mengangguk.
“Terima kasih.Saya akan hantar mak dan ayah saya.Jomlah… kita dah sampai.”
Tengku Hakimi keluar diikuti Sofea dari belakang.


“KAMU nak kami meminang Sofea?” tanya Tengku Badariah sedikit terkejut.
“Betul ke ni? Kamu tak main-main?” ayahnya Tengku Ismail pula inginkan kepastian.
Tengku Hakimi telah menyuarakan hasratnya itu pada suatu malam ketika mereka sedang duduk bersembang.Tengku Ismail terkejut dengan pengakuan anaknya itu.
Selepas memberitahu hasratnya itu, Tengku Hakimi tidak bersuara.Hatinya berdebar-debar.Benarkah tindakannya? Tidakkah tergesa-gesa?
Tiba-tiba wajah Sofea terbayang di ruang mata.Senyumannya memikat kalbu, tingkah lakunya sopan.Orangnya lembut.Jauh berbeza dengan Raja Jasmin.Sudah jatuh cintakah aku? Tengku Hakimi tertanya-tanya dalam hati.
“Mak tak nak kau ambil keputusan yang tergesa-gesa.Nanti apa pulak kata ayah dan umi Sofea? Tak pasal-pasal mereka ingatkan kau nak kahwin dengan Sofea sebab terdesak.Takut kehilangan Murni.” Suara Tengku Badariah memecahkan lamunan Tengku Hakimi.
Tengku Hakimi mendongak memandang emaknya.Memang jelas raut emaknya itu kelihatan risau.
“Kimi dah fikirkan semalaman.Kimi rasa Sofea yang sesuai jadi mama kepada Murni.Lagipun Sofea ada beritahu yang soal jodohnya telah diserahkan pada ayah dan uminya.Mak dan ayah hanya perlu merisik,” balas Tengku Hakimi.
“Kamu tak takut kalau keluarganya menolak?” tiba-tiba Tengku Ismail bersuara.
Tengku Hakimi menelan air liur.Tidak langsung dia terfikirkan tentang hal itu.
“Kemungkinan lamaran Kimi ditolak mungkin datang dari ayah atau uminya.Kalau Sofea, Kimi rasa dia dah setuju.Kimi dah tanya dia face to face, dia yang cadangkan suruh Kimi tanya pada ayah dan uminya,” beritahu Tengku Hakimi.
“Kalau begitu hal ni dah tak jadi masalah.Kau beritahu Sofea, malam ni kita datang ke rumahnya.Yah, awak cari cincin untuk buat syarat.Kalau pinangan diterima, barulah beli yang betul-betul,” ujar Tengku Ismail.
Tengku Hakimi tersenyum lega.Debaran di dadanya mula hilang dan segera dia melangkah ke tingkat atas untuk menghubungi Sofea.

2 comments: