Bab 34
L
AGU Impian Kasih nyanyian kumpulan nasyid In-Team bergema di corong radio kereta Honda Prelude yang dipandu oleh Tengku Syahran.Tiada suara atau kata-kata yang terluah sejak tadi.Zahlia hanya membisu seribu bahasa.Yang kedengaran hanyalah suara Tengku Syahran yang menyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak lagu sambil jari-jemarinya mengetuk-ngetuk stereng kereta.
“Sedap kan lagu ni, Alia?” bicara Tengku Syahran memecah kesunyian.
“Hmmm…” ringkas Zahlia menjawab pertanyaan suaminya.Dia tiada mood untuk bersembang.
“Abang suka lagu ni.Tambah-tambah part yang chorus tu.Banyak memuji kaum wanita, mengagungkan wanita terutamanya wanita solehah, kan?” ujar Tengku Syahran bersungguh-sungguh.
“Hmmm…” Zahlia masih menjawab acuh tak acuh.
“Lagu ni sesuai untuk Alia.Abang nak tujukan lagu ni khas untuk Alia.Abang harap Alia sudi terima lagu ni ikhlas dari abang,” ucap Tengku Syahran sambil tersenyum riang.
Zahlia tidak menjawab kali ini.
“Alia tak suka lagu ni?” soal Tengku Syahran tidak jemu-jemu memancing minat Zahlia untuk berbicara.
“Hmmm…” Zahlia tetap seperti tadi.
Tengku Syahran mengerling sekilas ke arah Zahlia.Wajah lembut itu ditenung dengan rasa penuh kesabaran demi mengambil hati isterinya itu.Zahlia berlagak selamba.Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
“Kita nak makan kat mana ni?” Tengku Syahran cuba mengubah tajuk.
“Ikut abang ajelah.Abang yang jemput Alia,” jawab Zahlia hambar.
Tengku Syahran menoleh lagi ke arah isterinya yang seolah-olah tidak gembira berada di sisinya.Terkumat-kamit bibir Tengku Syahran beristighfar menahan sabar dengan karenah Zahlia.
“Kenapa ni? Alia macam tak suka aje keluar makan dengan abang?” lembut tutur kata Tengku Syahran langsung tidak menyentuh sudut hati Zahlia.
“Kita makan kat restoran tu.Ada banyak lauk yang Alia suka, nanti mesti Alia rasa nak pergi lagi,” ujar Tengku Syahran sambil menunjukkan restoran makanan yang berdekatan.
Zahlia terus-terusan membatu.Tidak berminat langsung.
Tengku Syahran mengeluh.
“Kalau Alia tak nak makan tak apalah.Cukup sekadar temankan abang makan, ya?” Tengku Syahran tetap bersuara.
Zahlia tetap diam.Malah tidak langsung menoleh ke arah restoran yang ditunjukkan.
Tengku Syahran merasakan kesabarannya mula tercabar.Kebisuan Zahlia kali ini menimbulkan rasa tidak senang di dalam hatinya.Tengku Syahran tidak mahu keadaan yang sunyi dan hambar itu melayari di seluruh ruang antara mereka.
“Alia, kalau tak nak keluar dengan abang, kenapa tak cakap dari tadi?” suara Tengku Syahran mulai tegang.
Zahlia bersikap selamba.Suara itu tidak langsung menerbitkan rasa takut di dalam hatinya.
Tengku Syahran mengetap bibir.Dirinya betul-betul tercabar dengan sikap Zahlia hari itu.Pantas sekali pedal minyak ditekan kuat.Kereta meluncur laju.Sampai di simpang jalan yang ada tanda ‘U’,Tengku Syahran memusing stereng dengan kasar sekali.
Zahlia tersentak dengan situasi yang sepantas kilat itu.Mujurlah tali pinggang yang dipakai mengikat tubuhnya dari tercampak ke hadapan.
“Apa ni bang?” marah Zahlia keras.
Kecut perutnya dengan kelajuan kereta yang dipandu oleh Tengku Syahran.Lelaki itu tidak mengendahkan kata-katanya.Terus memecut laju dengan rasa sebal yang meluap-luap.Perasaan amarah yang menggelegak tidak dapat disabarkan.
SETENGAH jam kemudian, kereta Honda Prelude sampai di Sinar Iram semula.Tengku Syahran menghentikan keretanya betul-betul di hadapan pintu besar rumah kebajikan itu.
Zahlia menelan air liur.Terasa kelat.Berdebar-debar hatinya melihat lelaki di sisi yang langsung tidak menoleh ke arahnya.Yang jelas kelihatan hanyalah wajah lelaki itu yang kelihatan merah menahan marah.Tiada riak mesra ketika menyambutnya tadi.
“Abang!” Zahlia menegur takut-takut.Wajah bengis Tengku Syahran mengundang rasa gementar.
“Kalau Alia tak sudi nak temankan abang makan, tak apalah.Alia pergilah sambung kerja,” suara Tengku Syahran agak kasar.Sedikit pun tidak menoleh ke arah Zahlia.
Zahlia terasa bersalah.
“Abang, Alia…”
“Keluar…” Tengku Syahran memotong.
Setitis air mata Zahlia gugur di pipinya.
“Alia minta maaf.”
“Cukup.Abang dah tak ada selera nak makan.Kalau hari-hari Alia layan abang macam ni, biar abang mati lagi senang.”
“Abang!” Zahlia terperanjat dengan kata-kata Tengku Syahran.
Mendengarkan ayat itu, hatinya tidak henti-henti meluncurkan perasaan bersalah.Terlalu berat rasanya mahu memikul ayat itu sebagai hukuman.Air matanya gugur lagi.
“Keluar Alia.”
“Alia minta maaf bang.”
“Sudah.Selera abang dah mati.Abang dah tak lalu nak makan.Alia puas hati, kan? Sekarang keluar.” Tengku Syahran melepaskan ayat bersama kesedihan yang berbuku di hati.
“Alia tak bermaksud macam tu! Alia cuma…”
“Cuma apa? Alia nak makan dengan kawan-kawan Alia? Pergilah! Abang izinkan.Buatlah apa yang Alia nak buat, ikut suka hati Alia.Abang izinkan semuanya.Sekarang, abang cuma nak Alia keluar.” Suara Tengku Syahran sudah pun tersekat-sekat.Nafas di dadanya sudah tidak menentu.
“Abang… Alia minta maaf bang.Alia bersalah!”
Zahlia menangis tersedu-sedan di tempat duduknya.Tengku Syahran tidak langsung memberi peluang kepadanya untuk memohon maaf.Zahlia tahu dia bersalah.Dia sedar kesilapannya tadi.Tapi, bukankah dia sudah memohon maaf?
“Keluar!” suara Tengku Syahran mula keras.
Berdesir nyaring suara itu ke segenap urat saraf Zahlia.Betul-betul membuatkan Zahlia ketakutan.Tubuhnya terangkat.Degupan jantung yang bergetar sudah lari dari keadaan asal.Air liur yang ditelan bagaikan payah menyusur ke kerongkong.Bibirnya digigit demi menahan rasa sebak yang menongkol di dada.
Entah mengapa kemarahan lelaki itu kali ini amat mengusik nalurinya.Air mata yang gugur dibiarkan lencun di wajah.Bengkak matanya tidak mahu difikirkan.Zahlia benar-benar rasa bersalah.Perasaan yang amat menakutkan Zahlia.
“Abang…”
Zahlia mencapai tangan lelaki itu.Dia cuba merayu dan berharap pujukan itu dapat memakan hati Tengku Syahran.Namun, tangannya ditepis kuat.Zahlia menangis lagi.
“Abang, Alia merayu…”
“Aku cakap keluar… keluar!!!” tengkingan yang lebih kuat mematikan semangat Zahlia.
Kali ini tanpa menunggu lama, Zahlia menolak pintu kereta.Dia melangkah keluar.Sejurus selepas pintu kereta di tutup, Honda Prelude itu meluncur pergi.Meninggalkan dirinya yang tidak henti-henti dihantui rasa bersalah yang teramat.Zahlia terus menangis.Berlagu-lagu mengiringi sendu yang muncul.
Sementara itu, di dalam Honda Prelude, tanpa disedari ada air mata hangat yang menyusur keluar dari mata Tengku Syahran.Jiwa lelakinya amat sebak.Rasa sebak yang terlalu menggigit perasaan seterusnya menjadikan Tengku Syahran seorang yang sensitif tiba-tiba.
Tengku Syahran gagal membendung kesabarannya lagi.Dia turut mempunyai batasan ego seorang suami yang perlu dijaga.Sampai bila dia harus kalah dengan kuasa cinta isterinya? Hanya menerima semua kesalahan isteri dengan kata-kata maaf? Dia juga seorang lelaki yang punya perasaan.Masih mengharap kasih seorang isteri yang amat disayangi.Sukar sangatkah? Walaupun diakui dia hampir termakan dengan pujuk rayu wanita itu tadi!
Sungguh! Dia benar-benar tersentuh hati melihat air mata wanita kesayangannya gugur.Kalau boleh dia ingin suara pujukan wanita itu bergema menemani tidurnya.Tetapi, semua itu hanya impiannya yang mustahil.Tengku Syahran gagal merebut hati wanita itu.Hati yang terlalu keras untuk dilembutkan.
Tengku Syahran menyeka air matanya dengan tapak tangan.Lencun air itu membasahi pipi tidak dihiraukan mengalir dan menitis ke baju kemeja yang dipakai.Sesungguhnya itulah kali pertama dia benar-benar tersentuh dengan sikap isterinya.
Zahlia tidak pernah mahu memberi peluang untuknya menunjukkan rasa cinta kasihnya yang tulus.Jika beginilah ujian yang perlu dilalui untuk memiliki wanita itu, Tengku Syahran merasakan dirinya telah tewas.Egonya yang sudah lama disimpan patut dipamerkan semula.Dia tidak boleh kalah lagi.
Tengku Syahran terus memandu keretanya ke destinasi tanpa tujuan.Laju keretanya dipandu membawa sekali jiwanya yang lara.Tengku Syahran menangis pilu.Tangisan yang berselirat dengan rasa kecewa dan sengsara yang menyucuk ulu hati.Tengku Syahran terus kalah dengan perasaannya.
Bab 35
K
EPULANGAN Zahlia dari tempat kerja petang itu tidak disambut seperti selalu.Suasana begitu dingin.Selalunya, Tengku Syahran akan mengusik dan bergurau dengan Zahlia.
Hari itu, segala-galanya berubah.Wajah ceria Tengku Syahran tidak lagi menyambutnya di muka pintu.Dia hanya melemparkan wajah murung tanpa sedikitpun memandang Zahlia.
Zahlia tertunduk di atas katil.Gerak-geri Tengku Syahran yang terbaring lesu di atas kerusi panjang menyerbu rasa kebimbangan.Zahlia tahu suaminya itu masih marah.Zahlia sendiri rasa menyesal dengan sikapnya tadi.Benteng ego yang dibina untuk menyekat cinta lelaki itu rupa-rupanya gagal berdiri lama.Kini rasa cinta lelaki itu telah berjaya meresap ke jiwanya lalu melunturkan tembok keegoannya.
Zahlia sedar akhirnya hati wanitanya turut memerlukan kasih sayang seorang lelaki itu.Tengoklah tadi, betapa sengsara dirinya ditinggalkan lelaki itu dengan perasaan bersalah yang menikam jiwa.Terlalu seksa dia mengenangkan kembali kemarahan Tengku Syahran yang kuat menjerut dahan jantungnya.
Azan Maghrib yang berkumandang merungkaikan suasana hening yang setia menemani kedua-dua insan di dalam bilik itu.Bergelimpangan jatuh segala isi hati Zahlia yang melayang-layang di dalam lembaran rahsia hatinya sekejap tadi.
Lemah kakinya menapak ke bilik air dengan air mata yang ingin tumpah.Derita perasaan yang ditanggung dipujuk sendiri.Tidak diduga kolam matanya pecah juga akibat sarat dengan air mata.Laju kakinya meninggalkan lelaki itu.Tidak sanggup melihat wajah Tengku Syahran yang sedang berkecil hati dengan sikapnya tadi.
Zahlia keluar dari bilik air setelah selesai membersihkan diri.Tengku Syahran pula menyusul untuk mengambil wuduk.Ketika lelaki itu keluar, Zahlia sudah pun membentangkan sejadah dan sedang menantinya untuk berjemaah.
Tengku Syahran tidak bersuara.Hanya mengimamkan solat Maghrib seperti biasa.Selesai berdoa, Zahlia duduk menghadap Tengku Syahran yang masih berwajah sugul.Tangan suaminya dicapai dan dikucup.Seperti selalu pasti satu kucupan lembut akan singgah di dahi dan pipi Zahlia.Tetapi, hari itu kucupan tidak langsung menyapa wajah Zahlia.Yang memedihkan Zahlia, wajahnya tidak dipandang langsung walau sejenak.
Tengku Syahran menarik tangannya semula.Wajah Zahlia tidak ingin dipandang dan direnung lagi.Marahnya masih berbaki.Kelembutan Zahlia sewaktu menarik tangannya tadi tidak berjaya melemahkan perasaan amarah yang berbara.Kalau pun dia sedar suatu hari nanti dia pasti kalah bila berhadapan dengan wanita itu, untuk hari ini biarlah dia melayani perasaan sedihnya sendiri.Dia ingin melihat sejauh mana kesungguhan Zahlia memujuk hatinya.
Tengku Syahran ingin berlalu namun tangan kasarnya direnggut lembut.Jasadnya terikat di situ.Halusnya tapak tangan itu seakan meresapi ke sanubari.Namun tangan itu tidak dibiarkan lama bergayut di tangannya.Pantas ditepis tangan halus yang ingin menyimpul jari-jemarinya.
Zahlia tidak berputus asa.Sekali lagi pergelangan tangan Tengku Syahran disambar.Dirinya yang sejak tadi duduk membungkam di atas sejadah, mulai bingkas.Dia berdiri berhadapan dengan Tengku Syahran.
“Abang janganlah macam ni! Alia sedar salah Alia tapi jangan hukum Alia dengan berperangai begini,” ujar Zahlia lembut memegang kedua-dua pergelangan tangan suaminya.
Zahlia merenung wajah Tengku Syahran dengan hati yang sebak.Dinginnya riak wajah Tengku Syahran membangkitkan naluri kesedihan.Bagaikan turut mengerti, dengan sendiri air mata Zahlia merembes keluar.Berair kedua-dua belah pipinya.
“Alia takut kalau abang betul-betul tinggalkan Alia sebelum memaafkan Alia! Alia tak mahu menanggung dosa yang besar seumur hidup.” Tersangkut-sangkut Zahlia berkata bersama air mata yang semakin berjuraian.
Tengku Syahran masih tenang.Dasar perempuan! Asyik-asyik air mata! Rungutnya dalam diam.
“Abang, maafkanlah Alia.Alia berdosa! Alia berjanji Alia takkan buat lagi.Hukumlah Alia! Pukullah Alia! Tapi tolong jangan seksa jiwa Alia dengan tindakan berdiam diri abang tu.Alia risau kata-kata abang tengah hari tadi betul-betul terjadi,” pujuk Zahlia sambil menangis tersedu-sedan.
“Memang itu yang Alia nak, kan? Bila abang dah mati, Alia tak perlu terikat dengan apa-apa lagi.Alia bebas nak buat semua perkara ikut suka hati Alia.Jadi, kenapa nak merayu-rayu pada abang lagi? Cukuplah abang dah bosan mendengarnya.” Suara Tengku Syahran akhirnya kedengaran.
Zahlia menggeleng.
“Alia tak pernah terniat macam tu.Sampai hati abang tuduh Alia yang bukan-bukan.”
“Habis, Alia buat abang terseksa tak apa? Alia tak menjawab setiap pertanyaan abang pun tak apa?” Tengku Syahran melepaskan kesedihan.Tangannya ditarik kasar.
Zahlia menangis pilu.Telekung yang dipakai, ditarik keluar perlahan-lahan.
“Itu Alia akui memang salah Alia.Sebab tu Alia nak minta maaf.Tapi, hukuman abang pada Alia macam kesalahan Alia terlalu berat!”
“Ohh… dah pandai nak mengajar abang bagaimana nak menghukum? Jadi, cara abang ni salahlah? Alia ajelah yang betul? Alia tau tak betapa seksa abang menahan sabar dengan setiap perbuatan Alia dari dulu.
Hari-hari abang berdoa agar hati Alia lembut untuk menerima abang.Rupa-rupanya ini balasan yang abang dapat dari kelembutan abang.Mungkin keimanan abang belum cukup untuk ALLAH jadikan sebab sebelum memakbulkan doa abang.Atau Alia sendiri yang sebenarnya yang sengaja menyeksa jiwa abang,” ujar Tengku Syahran mengalihkan pandangan ke arah lain.
“Alia takut jatuh cinta pada abang.Sebab tulah Alia layan abang macam tu,” beritahu Zahlia jujur.
Tengku Syahran merenung wajah itu semula.Melawan pandang mata wanita itu yang masih berair.Tiba-tiba satu keluhan keluar dari bibirnya.
“Kenapa mesti seksa diri sendiri? Alia bukan aje menghukum diri Alia sendiri tapi jugak menghukum perasaan abang! Sudahlah.Alia takut jatuh cinta, kan? Okay, fine! Abang akan halang perasaan Alia dari jatuh cinta pada abang mulai sekarang.Lepas ni, abang takkan ganggu hidup Alia lagi.Kita akan teruskan ikatan ni sampai segala-galanya selesai.Atau Alia nak abang selesaikan sekarang jugak? Kalau nak, jom kita cari saksi.” Tengku Syahran berkata pilu.Satu pengucapan yang tidak ikhlas lahir dari hati.
Keputusan itu hanya menambahkan lagi kesayuan di hati Zahlia.Kasih sayang lelaki itu lenyap tiba-tiba.Semua kerana keegoannya! Dengan lemah Zahlia melutut di hadapan Tengku Syahran.Dia rela mengalah dari terus berperang dengan perasaan bersalah pada suami sendiri.Biarlah egonya punah kalau dengan cara itu,api kemarahan Tengku Syahran akan berjaya dipadamkan.
“Abang…”
“Kenapa? Bukankah itu sebenarnya yang Alia nak! Buat apa nak melutut di hadapan abang?”
“Abang, hukumlah Alia dengan cara lain.Tolong jangan hukum Alia dengan keputusan abang tadi.Alia mengaku, Alia bersalah.Alia berdosa sejak kita bernikah lagi.Tolong bang, jangan seksakan lagi hati Alia.Alia rela abang sakiti tubuh Alia.Abang pukullah Alia sekuat mana pun.Tapi, jangan sakiti hati Alia dengan kata-kata abang tadi. Alia merayu.” Zahlia semakin tersedu-sedan.
Tengku Syahran mendengus kecil.Tangannya mengurut dahi dengan mata terpejam.Gelisahnya hati mendengar rayuan wanita itu.Tetapi, dia tidak harus mengalah.Persetankan dengan pujuk rayu isteri kau Syah! Dia nak peralatkan kau! Kata-kata itu menghasut.
Tengku Syahran perlu mengajar Zahlia.Ya, wanita itu perlu diajar berkenaan kasih sayang!
“Semua ni kehendak Alia sendiri! Abang takkan ganggu hidup Alia lagi.Mungkin ini yang Alia mahu.” Tengku Syahran membalas.
“Habis, mana janji abang nak menunggu hati Alia terbuka untuk abang? Abang tipu! Bila hati Alia dah mula menyayangi abang, abang main-mainkan perasaan Alia.Sebab tu Alia tak mahu jatuh cinta.Alia dah agak, semua lelaki sama!” marah Zahlia kuat bersama tangisan.
Tengku Syahran tidak mengendahkan kata-kata itu.Dia terus berlalu membiarkan wanita itu dengan air matanya.
Malam itu, Zahlia terlena bertemankan air mata.Tidurnya diselangi sedu-sedan yang berlagu-lagu.Hukuman Tengku Syahran bagaikan mimpi ngeri.Namun, Zahlia belum pasrah.Hatinya masih kuat untuk mencari jalan membuka hati lelaki itu semula.Dia yakin, lelaki itu pasti pulang kepadanya!
HARI itu Zahlia tidak mengajar.Dia telah memohon cuti.Matanya bengkak.Ada teman-temannya yang bertanya tetapi Zahlia nekad mendiamkan diri.Dia melangkah ke Proton Wiranya selepas memohon cuti dari Puan Hajah.Zahlia berharap dia akan dapat memujuk suaminya nanti.Biarlah berapa lama pun dia menghambakan diri asalkan lelaki itu sudi memaafkannya.
Zahlia melemparkan barang-barangnya ke tempat duduk belakang.Kemudian, kakinya melangkah ke tempat memandu.Ketika jari-jemarinya baru hendak memegang tempat pembuka pintu, dirinya ditegur oleh suara seorang lelaki…
Zahlia menoleh.Wajah lelaki yang seakan-akan mirip melayu itu sedang tersenyum ke arahnya.Zahlia tidak jadi membuka pintu.Berdiri menghadap lelaki itu dengan tanda tanya.
“Saya kenal saudara?” soal Zahlia pelik.
Suaranya yang serak akibat terlalu banyak menangis itu dibiarkan terluah.Bengkak di matanya tidak langsung disorokkan.Hanya merelakan segala-galanya didengar dan dilihat oleh lelaki yang tidak dikenali itu.
“Maaf mengganggu.Saya Bernard,” ujar lelaki itu dengan tangan kanan dihulur ke arah Zahlia.
Zahlia mengangguk.
“Maaf! Saya tak dapat nak sambut salam saudara.” Zahlia berkata jujur.
“Oh, saya faham.Boleh saya ambil masa Cik…”
“Alia!”
“Haa, Cik Alia?”
“Saya dah bersuami.”
“Ohh, saya nak curi sedikit masa Puan Alia sebentar, boleh?”
“Untuk apa? Bagaimana saya nak tau saudara ni orang yang bercakap jujur?” soal Zahlia selamba.
“Kita bercakap di sini,” jawab Bernard tenang.
Zahlia terdiam sejenak.Akhirnya dia mengangguk.
“Saya nak minta bantuan Puan Alia berkenaan dengan sesuatu yang agak rumit bagi saya,” ujar lelaki itu ketika mereka melabuhkan punggung di sebuah tempat yang dikhaskan untuk berbincang.
“Panggil saya Alia cukup.Dan saudara, saya kena panggil?”
“Ben.”
“Okey, Encik Ben.”
“Ben,call me Ben!”
“Okey, Ben.Apa yang Ben mahu saya tolong?” tanya Zahlia mulai senang dengan bahasa sopan lelaki itu yang tidak diketahui bangsanya itu.
“Saya… nak masuk Islam.Kalau Alia boleh tolong, saya nak minta Alia ajarkan saya tentang hukum-hakam Islam.” Bernard berkata lembut.
Namun, Zahlia sedikit terpana dengan ucapan yang kedengaran luhur menampar gegendang telinganya.Wajah lelaki itu ditatap sekejap mencari sepalit sinar kejujuran.
“Saya tak salah dengar, kan?” soal Zahlia serius.
Bernard ketawa kecil.Kepalanya digeleng.
“Saya sungguh-sungguh Alia.Saya serius nak masuk Islam dan saya berharap Alia sudi membimbing saya,” ujar Bernard lagi.
Zahlia terdiam.
“Boleh saya tanya sesuatu?” tanya Zahlia masih ragu-ragu.
“Go ahead.”
“Kenapa awak pilih saya? Macam mana awak boleh ke sini mencari saya tiba-tiba?”
“Kalau saya kata dari musuh Alia, Alia percaya tak?” Bernard berkata beria-ia.
“Siapa?”
“Linda!!”
“Linda?” Zahlia sedikit terkejut.
“Saya dah agak Alia mesti terkejut.Tapi, jangan risau.Saya datang ni sebagai kawan bukan sebagai musuh.Hal ni tak ada kena-mengena dengan Linda,” beritahu Bernard.
“How do I know?”
“Trust me!”
“Tapi,kenapa saya?”
“Sebab saya yakin dengan Alia.Dulu, saya pernah luahkan hasrat saya untuk memeluk Islam pada Linda tapi dia macam tak menggalakkan saya masuk Islam.Saya rasa pelik.Sepatutnya seorang Islam amat mengalu-alukan kedatangan orang baru.Sebab tu saya cari Alia,” pinta Bernard masih tepat memandang wajah Zahlia.
“Saya bukan tak mahu membantu Ben tapi saya masih ragu-ragu.Kenapa mesti saya yang Ben pilih? Banyak orang lain di luar yang Ben boleh cari… but why me?” Zahlia melepaskan tanda tanya yang bergelimpangan di lubuk hati.
“Sewaktu saya keluar makan dengan Linda dulu, saya pernah ternampak Alia bersama rakan-rakan.Kali pertama mata saya terlihat Alia, hati saya dah tertarik.Maksud saya dari air muka Alia, saya dapat rasakan Alia punya sense yang memberi kesimpulan di benak saya bahawa Alia orang yang saya cari sebagai kawan.Bila saya dengar Linda marah-marah, saya tertanya-tanya di dalam hati apa kesalahan Alia? Lalu saya tinggalkan dia sendirian.Saya tak mahu berkawan dengannya lagi.Dia tak sesuai untuk saya… mungkin itu petunjuk ALLAH.”
Kata-kata Bernard kali ini amat menyentuh hati Zahlia.Betapa besar kekuasaan ALLAH terhadap makhluk-NYA sehingga insan yang dilahirkan dari agama berlainan amat tertarik dengan Islam.
“Alia sudi bantu saya?” soal Bernard sekali lagi.
Kali ini barulah Zahlia mengangguk.
“InsyaALLAH setakat yang saya mampu.Tapi, Ben tak boleh bercakap ikut sedap mulut, yang penting hati,” ujar Zahlia.
“Saya tau.Saya dah bersedia Alia.”
“Esok, saya bawa Ben ke pejabat agama.Sebelum masuk Islam, Ben perlu mempelajari rukun-rukun dan perkara-perkara asas.Saya tak mahu di sudut hati Ben suatu hari nanti, tercetus rasa menyesal.” Zahlia berkata lagi.
“Saya yakin Alia,” ucap Bernard sambil tersenyum lega.
“Alia!!!” jeritan seorang perempuan sayup-sayup menyentakkan mereka.
Pandangan Zahlia bertukar ke tempat itu.Begitu juga Bernard.Kelihatan Fatimah tercungap-cungap sedang berlari-lari anak ke arahnya.Zahlia mengerutkan dahi.Bernard hanya diam memerhatikan tubuh wanita yang manis bertudung yang semakin menghampiri mereka.
“Kenapa Imah?” tanya Zahlia cemas.
“Razif… Alia… Razif…” Fatimah bersuara tidak tentu arah.
“Kenapa dengan Razif?” Zahlia tidak sabar ingin tahu.
“Razif pengsan dekat toilet.”
“Ya ALLAH! Macam mana boleh berlaku ni?”
“Aku tak tau.Tapi, ada budak beritahu dia terbaring dekat toilet.Macam mana ni Alia? Tak ada siapa sekarang ni! Siapa nak tolong angkatkan Razif?”
Fatimah kelam-kabut.Apa yang harus dibuat? Setitis air jernih dibiarkan mengalir di pipinya yang basah.Pemandangan yang kabur membuatkan Fatimah segera menyapu air mata yang mengganggu penglihatannya.
Bernard memandang wanita yang tidak dikenali itu dengan rasa sayu.Wajah yang pernah dilihatnya bersama-sama Zahlia suatu waktu dahulu semakin jelas di matanya.
“Sabar dulu Imah! Kita cari jalan.” Zahlia berlagak tenang.
Namun hatinya turut berasa kepiluan dari berita itu.Razif teman kesayangan rupa-rupanya masih menanggung kesakitan penyakitnya.
“Alia, biar saya tolong.” Suara Bernard memecah kekusutan.
Fatimah dan Zahlia berpandangan.
“Siapa ni Alia?” tanya Fatimah.
“Oh, lupa aku kenalkan.Ni, Bernard! Nanti aku ceritakan pada kau.Ben… ni Fatimah, kawan saya,” beritahu Zahlia.
Fatimah dan Bernard hanya sempat bertukar senyuman.
“Cepatlah! Saya tolong,” ujar Bernard lembut.
Fatimah dan Zahlia berpandangan sekali lagi dan segera mengangguk.
Bab 36
R
AZIF tersenyum apabila ternampak kelibat Zahlia masuk ke dalam bilik.Dia duduk di atas katil sehingga wanita itu menghampiri.
“Assalamualaikum.” Zahlia meletakkan buah tangan di hujung katil.
“Waalaikumussalam.Mana yang lain? Takkan kau seorang aje.”
“Yang lain sibuk hari ni.Aku pun singgah sekejap aje.Aku ada hal.” Zahlia melabuhkan punggung di sebuah kerusi.
“Kalau sibuk, lain kali tak payahlah susah-susahkan diri.” Razif berkata tenang.Zahlia tahu Razif tersentuh dengan kata-katanya tadi.
“Razif aku tak bermaksud macam tu.Sebenarnya Imah pun datang tadi, tapi Puan Hajah minta tolong dia gantikan Hanim.Hanim demam,” jawab Zahlia memujuk Razif.
“Habis, kenapa kau tak boleh lama? Aku bosanlah duduk sini, Alia!”
“Aku ada hal dengan suami aku.” Zahlia berbohong.Sebenarnya dia ingin pulang awal sebelum suaminya.Dia mahu memujuk suaminya lagi.
“Aku cemburukan suami kau, Alia.Dia beruntung memiliki kau.”
Zahlia mengetap bibir.Memaksa diri mengukir senyuman.
“Rawatan kau bagaimana? Kau rasa sihat?” Zahlia mengubah tajuk.
Razif mengangguk.
“Aku rasa lebih sihat dari dulu.By the way, kau tolong ucapkan terima kasih aku pada… siapa lelaki cina tu?”
“Nama lamanya Bernard.Nama barunya Ahmad Adam.”
“Maksud kau?”
“Dia dah masuk Islam dua hari lepas.”
Razif hampir terkejut.Wajah pucatnya kelihatan tersentak sedikit.
“Alhamdulillah.” Akhirnya dia melafazkan perkataan itu.
“Okeylah Razif.Aku nak balik dulu.InsyaALLAH aku jenguk kau lagi.”
“Kirimkan salam aku pada suami kau.”
Zahlia bingkas.
“Bila kau nak kenalkan suami kau pada aku? Dah lebih lima bulan kau kahwin.Aku tak pernah kenal dia.”
Zahlia berfikir sejenak.
“Aku akan kenalkan dia.Tapi bukan di sini tempatnya… aku akan tunggu bila kau betul-betul dah sihat nanti.” Ujar Zahlia.
“Okeylah, aku balik dulu.Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
ZAHLIA tersenyum melihat Tengku Syahran masuk ke dalam bilik.Tanpa menoleh ke arah Zahlia,Tengku Syahran melabuhkan punggungnya di atas kerusi.Wajahnya begitu serius.Zahlia memberanikan diri untuk menegurnya.
“Abang penat? Alia urutkan abang ya?”
“Tak usah.Aku tak perlukan perempuan seperti kau untuk mengurut aku!”
Zahlia terdiam.Kaku tertunduk ke bawah.Lelaki itu masih berkecil hati dengannya.Ah, silap aku!
Zahlia memujuk hatinya.Dia perlu kuatkan semangat.
“Abang dah makan? Kita makan sama-sama nak?” Zahlia duduk di sisi Tengku Syahran.
“Kau nak makan dengan aku? Tak payahlah Alia.Selera aku akan mati bila menghadap muka kau.” Tengku Syahran membalas santai.Cukup membuatkan Zahlia terasa hati.Tetapi wanita itu hanya menutup mulut.Tidak mahu membalas.
“Abang masih marahkan Alia? Abang belum memaafkan Alia lagi?” soal Zahlia dengan suara yang lunak dan lembut.Tidak cepat berputus asa memujuk suaminya.
Namun Tengku Syahran hanya mendengus.
“Untuk apa? Untuk memudahkan kau menyakitkan hati aku lagi? Tak puas-puas lagi dengan setiap tindakan kau? Cukuplah Alia… jangan sia-siakan air liur kau tu!” balas Tengku Syahran tanpa sedikit pun menoleh ke arah Zahlia.
“Abang janganlah dera perasaan Alia.Alia ikhlas meminta ampun dari abang.Maafkan Alia, ya?” Zahlia mencapai tangan lelaki itu.
“Dah.Benci aku mendengarnya.Setiap hari aku bersabar dengan perangai kau tapi apa yang aku dapat? Seorang isteri yang hanya mementingkan diri sendiri! Kau ego Alia.Aku benci perempuan macam kau!” Tengku Syahran bangun.Ingin melangkah keluar.
“Sekelip mata cinta abang berubah.Abang tak bersungguh-sungguh dalam meluahkan cinta.Abang cepat mengalah.” Zahlia bersuara kuat tiba-tiba.Geram juga kata-kata maafnya tidak dipedulikan.
“Itu yang sebenarnya kau mahu, kan? Takut jatuh cinta konon! Aku takkan ganggu kau lagi! Dan aku tak ingin kau mengganggu aku lagi!” Tengku Syahran melenting.Zahlia sudah pandai membalas setiap bicaranya.
“Bukan itu maksud Alia, bang.Alia tak mahu bagi abang harapan.Alia anak luar nikah.Alia tak mahu rosakkan keturunan abang dengan perkahwinan ni!”
“Ah, jangan jadikan itu sebagai alasan.Sebetulnya kau memang mahu menyakitkan hati aku.Sia-sia aku menyayangi kau kalau ini yang kau balas.”
“Abang!” Zahlia menghampiri lagi.Suaranya lebih lembut dari tadi.Manja menyapa telinga Tengku Syahran.
“Memang silap Alia melayan abang sebegitu.Alia dah sedar.Tapi, tolonglah bagi Alia masa untuk berubah.Alia akan cuba jadi isteri yang baik.Abang pimpinlah Alia.” Sambung Zahlia.
Dia memeluk tubuh Tengku Syahran.Terasa hangat pelukannya walaupun Tengku Syahran kaku dan dingin sekali.
“Maafkanlah Alia.” Zahlia berbisik perlahan.
Tengku Syahran menolak tubuh itu.
“Tak payah mengaburi mata aku dengan kelembutan kau.Aku dah bosan dengan sifat pura-pura kau selama ini.”
Zahlia terdiam.Sampainya hati lelaki itu berkata begitu.
“Aku tak nak tengok muka kau mengganggu aku lagi.” Tengku Syahran melangkah keluar dari bilik itu.
Zahlia cuba menyabarkan hatinya.Tengku Syahran sedang menghukum dirinya.Dia sedar akan hal itu.Dia harus redha.Alia akan berusaha memujuk abang, desisnya di dalam hati.
Zahlia mencapai tudung.Dia turun ke ruang tamu.Tengku Syahran tiada di situ.Zahlia mengintai di dapur.Kelibat lelaki itu tetap tiada.
Zahlia ternampak Tengku Hafizah sedang melintasi ruang tamu.
“Fiza, nampak angah tak?” tanya Zahlia lembut.
“Haa… dia duduk kat tepi taman.Kak Alia pergilah.Dia tengah duduk sorang-sorang tu.Tadi, Fiza nak temankan, dia kata tak payah! Muka nampak macam tengah tak ada mood aje.”
Zahlia mengangguk.Dia melangkah keluar.Menghampiri lelaki yang keseorangan melayani perasaannya.Zahlia menuju ke situ dan terus merangkul leher suaminya.
“Abang, janganlah hukum Alia lagi.Alia akan ikut cakap abang selepas ni.Abang cakap aje apa yang patut Alia lakukan, Alia akan turut.Tapi… tolong maafkan Alia!” Zahlia berbisik dekat telinga lelaki itu.
Terasa panas nafas Zahlia menampar cuping telinganya.Mata Tengku Syahran sedang merenung pancutan air buatan manusia berhadapan meja berukir itu.
“Alia ingat lagi, abang pernah cakap yang abang akan tunggu sampai Alia menyayangi abang.Takkan cepat sangat abang berputus asa.” Zahlia cuba memancing.
Tengku Syahran merengus.Bosan diperlakukan begitu.
“Alia minta ampun.Abang ampunkan Alia,ya?” sambung Zahlia lagi.
“Sudah! Aku kata jangan ganggu aku lagi!” tangan yang melingkari leher Tengku Syahran ditarik kasar.Tengku Syahran bangun dan terus meninggalkan Zahlia.
Zahlia berasa pilu.Dia mengeluh kecil.Dia yakin yang dia perlu berbuat sesuatu.
ZAHLIA menghentikan keretanya betul-betul di hadapan pintu pagar rumah Adli.Dia mengesat air mata yang menemaninya sepanjang perjalanan.Dia membetulkan tudung yang tersangkut dan menutup sebahagian kepalanya.Dia keluar dan menekan loceng rumah itu berkali-kali.
Semalam, selepas Tengku Syahran meninggalkannya sendirian di taman mini itu, Zahlia hampir mahu melupakan niatnya untuk memujuk lelaki itu.Namun, dia teringatkan Anissa tiba-tiba.Mungkin Anissa akan dapat membantunya meringankan beban itu.
Zahlia menarik nafas.Dia menekan punat loceng rumah itu sekali lagi.Dalam waktu yang sama, dia ternampak kelibat Anissa keluar dari rumah menuju ke pintu pagar.
“Alia…” Anissa tersenyum.
“Masuklah.”
Zahlia mengikut.Dia duduk di kerusi yang terhias di ruang tamu sambil menanti Anissa yang sedang membuat air di dapur.Tidak berapa lama kemudian, Anissa muncul bersama dulang di tangan.
“Kenapa muram dari tadi? Alia ada masalah?” tegur Anissa sambil menuang air sirap ke dalam gelas.
Zahlia terdiam.Masih berkira-kira untuk menceritakan hal itu atau tidak.
Anissa duduk di sisinya.
“Ada problem dengan Syah?” teka Anissa.
Zahlia mula mengangguk.
“Salah saya,” jawab Zahlia perlahan.
“Kenapa?”
“Saya kecilkan hati dia.”
Anissa terdiam.Mengeluh kecil.
“Alia sedar tak ia merupakan satu dosa bagi seorang isteri?” soal Anissa.
Zahlia mengangguk lemah.
“Habis, kenapa buat begitu?”
“Saya tak sedar bagaimana Syah betul-betul marah dengan tindakan saya hari tu.Dah beberapa hari dia tak tegur saya.Saya takut, Anis! Saya isterinya.Kalau dia tak maafkan saya, saya akan berdosa sepanjang hayat.” Suara Zahlia tersangkut-sangkut bersama sendunya.
“Alia dah cuba minta maaf pada dia?”
“Setiap hari.Tapi, dia tetap macam tu.Bercakap pun dah tak macam dulu.”
Anissa menggigit bibir.Berbelas juga hatinya melihat wajah Zahlia yang sudah kuyup.Tetapi, dia tidak tahu bagaimana mahu membantu.
“Alia mahu saya beritahu pada Adli? Mungkin Adli boleh tolong.”
“Please jangan! Saya cuma perlukan seseorang untuk meringankan beban fikiran saya.Saya buntu sekarang ni.”
Anissa meneguk air sirap di hadapannya.
“Saya tak tau bagaimana nak bantu.”
“Cukuplah sekadar tolong menjadi pendengar, saya akan cuba selesaikan masalah yang berpunca dari saya sendiri,” jawab Zahlia.
Suasana kembali menyepi.Zahlia tertunduk.
“Syah dah pernah kecewa dengan perasaannya dulu.Alia tolonglah jangan mensia-siakan perasaan sayang dia tu.”
Zahlia mengangkat wajah.Mengerutkan dahi mendengar ucapan Anissa.
“Dia pernah kecewa?”
“Perkara tu dah lama berlaku.Dia terlalu sayangkan perempuan tu.Sampaikan masa dia bernikah dengan Alia pun, sayangnya masih belum pudar untuk perempuan tu.”
Zahlia leka mendengar cerita tersebut.Ini bermakna betullah apa yang pernah Hazwin cakapkan dahulu?
“Tapi, sampai sekarang saya dan Adli pelik sungguh dengan Syah.Sebelum berkahwin, dia yang beria-ia takkan jatuh cinta pada Alia.At last, dia kalah jugak! Kami tak tau ubat apa yang Alia bagi sampaikan dia boleh angau macam tu sekali.” Anissa berterus terang lagi.
Zahlia terdiam.Sedikit cemburu sebenarnya.Siapa perempuan itu? Dia ingin bertanya tetapi malu.
“Jangan kecewakan dia, Alia.Sekali dia jatuh cinta, selamanya dia akan sayang.Tengoklah kisahnya dengan Nazirah,” ujar Anissa lagi.
Oh, nama perempuan tu Nazirah! Hmm… macam pernah dengar.Bila? Zahlia cuba mengingati dirinya.Tetapi sungguh, Zahlia terlupa!
“Kemalangan tulah yang membuatkan Syah menderita sungguh-sungguh.Saya dapat lihat yang dia betul-betul rasa kehilangan bila dia menangis tak henti-henti disebabkan kehilangan Nazirah dari hidupnya.Sehinggalah Alia muncul, dan dia jatuh cinta selepas beberapa bulan berkahwin dengan Alia.Is that amazing story? Alia boleh ubati penyakit cinta Syah dengan sendiri,” ujar Anissa.
Zahlia terasa cemburunya hilang.Simpatinya mengingatkan perasaan lelaki itu yang tidak pernah dipedulikan.Zahlia menghela nafas.
“Saya sayangkan Syah, Anis! Saya dah tak boleh menafikan perasaan tu.Tapi, kalau dia terus-terusan menghukum saya macam ni, saya takut perasaan tu akan bertukar.” Zahlia bersuara setelah lama mendiamkan diri.Benarkah pernyataan ini? Zahlia sendiri masih keliru.
Anissa tersenyum mendengar penjelasan itu.Zahlia mengaku juga akhirnya.Anissa terasa lega.Sekurang-kurangnya dia tahu Tengku Syahran tidak bertepuk sebelah tangan.
“Pujuklah dia Alia! Tak mungkin rajuknya berpanjangan.Dia bukan macam kita, perempuan yang tak boleh tersentap sikit.Lagipun, he loves you so much.It’s not a big deal.”
“Saya akan cuba walaupun dia betul-betul marah dengan perbuatan saya.”
“Jangan berputus asa.Terus berusaha.Saya akan bantu Alia dari belakang.”
“Tolong jangan ceritakan hal ni pada Adli.Saya tak mahu sesiapa tahu kecuali Anis seorang.”
Anissa mengangguk.
“Tapi, kalau dah terdesak, saya tak ada jalan lain.Terpaksa.” Anissa mengingatkan Zahlia kemungkinan itu.
Zahlia tersenyum dan mengangguk.
Wednesday, February 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
lagi....
ReplyDelete