Thursday, February 26, 2009

cinta-cantun


CINTA, KASIH, SAYANG dan HATI.

CINTA : (sebelum kahwin)

C = cubit kiri, kanan rasa.
I = impian indah ibarat syurga.
N = nikah impian utama.
T = taat setia membawa bahagia.
A = awal dan akhir bersama-sama

(selepas kahwin)

C = cuka yang dituang pada luka.
I = iblis yang merosak minda.
N = nafsu semata-mata.
T = tuba yang dibalas semula.
A = api dalam neraka.

KASIH :
(sebelum kahwin)

K = kongsi semua suka duka.
A = abang adik, ayang anja.
S = sumpah janji di bibir sentiasa.
I = istana bahagia dah dicipta.
H = hatiku hatimu jua.

(selepas kahwin)
K = kaki tangan naik kat kepala.
A = abuk pun tara, nak makan apa??
S = simpati langsung tak ada.
I = ironi membakar jiwa.
H = hidup mati sama je.

SAYANG :
(sebelum kahwin)
S = sikit-sikit SORRY, sikit-sikit SORRY, mengada!
A = asal free mesti nak jumpa.
Y = you lap me, I lap you!
A = apa saja sanggup diduga.
N = nak itu, nak ini... mesti dapat.
G = gula-gula, coklat, teddy bear hadiah utama.

(selepas kahwin)

S = salah sikit kiamat dunia.
A = air tak sedap, basahlah mata.
Y = yang betul dia je.
A = ada takde, bagi anak reti la.
N = nak dilawan, digelar derhaka.
G = gaduh sampai lebam.

HATI :

(sebelum kahwin)
H = hanya dikau yang daku cinta.
A = air paip pun manis macam gula.
T = tak jumpa sehari boleh jadi gila.
I = igauan indah tak terkira.

(selepas kahwin)

H = hantu jembalang lagi sempurna.
A = air mata jadi teman setia.
T = tempat mengadu dah tak ada.
I = ikut hati mati, ikut rasa binasa... nak buat macam mana?

Wednesday, February 25, 2009

TAJUL MULUT DAN RAHSIA MANUSIA


o Tajul Muluk Dan Rahsia Manusia

a) TANAH - anak pertama, kelima, kesembilan.

b) AIR - kedua, keenam, kesepuluh

c) API - ketiga, ketujuh, kesebelas

d) ANGIN- keempat, kelapan, keduabelas


WANITA BERUNSUR TANAH

1) Merendah diri,serta hormat dan patuh, setia serta rela berkorban.
2) Tidak cerewet, tidak meninggi diri, tidak sombong dan bukan seorang pemarah.
3) Tenang diri, aman, dan memberi sokongan.
4) Tidak suka membantah atau membangkang.
5) Berwatak manis, lemah lembut, bersih dan sentiasa menjaga kecantikan.

WANITA BERUNSUR AIR

1) Menghidupkan hati pasangan dan pemberi semangat.
2) Mengambil berat.
3) Hatinya bersih dan boleh membahagiakan pasangan.
4) Menenangkan pasangan.
5) Sangat romantis.
6) Mudah menangis.

WANITA BERUNSUR API

1) Cintanya sentiasa hangat dan memberahikan.
2) Cergas, cepat dlm gerak geri dan tangkas menguruskan rumah tangga.
3) Penasihat yang baik.
4) Pandai dan cekap mengurus rumahtangga.
5) Pandai menghias diri agar kelihatan cantik selalu.
6) Berwaspada selalu.

WANITA BERUNSUR ANGIN

1) Lemah lembut dan menenangkan.
2) Pandai bermain kata dan memujuk rayu.
3) Sopan santun dan berbudi pekerti mulia.
4) Bijak mewujudkan suasana selesa.
5) Hati yang cepat berubah ubah

NOVEL BICARA HATI (BAB1-BAB3)

Bicara Hati
Damya Hanna

SINOPSIS

D
alam satu kemalangan kecil yang tidak disengajakan, Tengku Syahran dan Zahlia bertemu.Ketika itu, Tengku Syahran sedang buntu memikirkan cadangan emaknya yang ingin menjodohkan dia dengan Linda, seorang wanita yang tidak pernah dicintainya.
Seminggu mengenali Zahlia,Tengku Syahran menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Zahlia untuk mengelak dirinya dikahwinkan dengan Linda.Zahlia terkejut dengan permintaan Tengku Syahran.Tengku Syahran tidak dikenali dan tidak mungkin Zahlia boleh jatuh cinta dengan pemuda itu.
Zahlia serba salah untuk menerima lamaran itu.Pelbagai cara dilakukan olehTengku Syahran untuk memenangi hati Zahlia.Akhirnya Zahlia akur tetapi dengan syarat iaitu hak-hak peribadi Zahlia tidak akan diganggu.
Setelah diijabkabul, Tengku Syahran mula berubah.Egonya tinggi dan dia tidak mengikut perjanjian yang telah ditetapkan.Zahlia rasa tertipu.Tengku Syahran telah mungkir janji.Kini timbul pelbagai konflik dalam rumah tangganya.
Benarkah hakikat bahawa perkahwinan yang berdasarkan kontrak tidak dapat mengundang rasa cinta, kasih, sayang dan kerinduan? Bicara Hati sebuah kisah yang dapat mengungkap segala rahsia.

Sayangku…

B

UKAN aku pinta untuk jatuh cinta.Mungkin satu ketentuan bahawa kita memang telah dijodohkan.Aku takut kehilangan teman yang aku sayang dan kehadiran kau memang tepat pada masanya.

Aku tidak pasti sebenarnya! Adakah wajar tindakan kita dalam mencipta ikatan yang tidak pernah aku fikirkan selama ini?

Tanpa kasih sayang seperti pasangan lain, kau dan aku bersatu! Jangka waktu yang kita ambil untuk menyempurnakan ikatan ini akhirnya telah menghanyutkan kita dengan perasaan sayang anugerah TUHAN.Aku berjaya menempatkan perasaan dalam jiwamu dan kau telah mencuri hatiku ini tanpa aku sedar.

Tetapi,mengapa mesti kita berjauhan hanya kerana sedikit rintangan yang datang dalam kehidupan kita? Mengapa harus kau dan aku menjadi mangsa perpisahan ini seandainya kita perlu memendam kerinduan yang amat membebankan? Jadi… janganlah kau meninggalkan aku bersama-sama kerinduan yang hanya akan menjadi milikmu.

Pulanglah! Kerana hanya kau yang kurindu…


Tatkala sendirian hatiku terdengar degupan cintamu…





Bab 1


Awak dah gila ke? Awak ingat saya ni perempuan murahan?” marah Zahlia sambil membeliakkan biji mata.
Tengku Syahran berasa gerun melihat wajah bengis gadis yang bertudung di hadapannya itu.Nampak lembut tapi garang.
Tengku Syahran masih ingat lagi peristiwa seminggu yang lalu.Kereta Honda Preludenya telah dilanggar oleh kereta gadis itu.Tengku Syahran sungguh geram.Ingin sahaja ditengking gadis itu yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Alia.
Dahlah hatiku tengah panas dengan karenah mak yang suka-suka nak kahwinkan aku dengan Linda.Ini pulak, kereta kesayanganku kena balun, bisiknya.
“Tolonglah Cik Alia! Cik Alia ajelah yang dapat tolong saya sekarang ni!” rayu Tengku Syahran.
“Tapi…” Zahlia jadi serba salah.Memang Zahlia terhutang budi dengan Tengku Syahran kerana tidak meminta wang ketika keretanya dilanggar.Tapi takkanlah kerana ingin membalas budi, dia perlu mengorbankan hidupnya? Menjadi isteri buat lelaki yang baru dikenalinya seminggu yang lalu.
“Tolonglah Cik Alia, jadi isteri saya.Itu aje permintaan saya!” Ayat itu masih terngiang-ngiang di telinganya.
“Arrrghhh!!!” Zahlia menjerit sambil menumbuk-numbuk meja yang ada di hadapannya.Biar satu dunia tahu dan dengar kebuntuannya ketika itu.
“Bagaimana? Setuju? Kita kahwin, bukan buat apa.Saya cuma nak minta tolong Cik Alia berlakon depan mak saya aje.Saya janji takkan ganggu Cik Alia selepas segala-galanya selesai.”
“Amboi-amboi senangnya awak cakap! Awak tu lelaki, bolehlah cakap macam tu.I’m a woman.kalau ada apa-apa berlaku, lelaki mana yang nakkan saya lagi?” petah Zahlia menghuraikan hujah.
Tengku Syahran terdiam seketika.Dia terlupa untuk memikirkan hal itu.Selama ini fikirannya kacau memikirkan paksaan emaknya yang mahu dia berkahwin dengan Linda.Tengku Syahran tidak mahu menurut kerana Linda tidak pernah dicintai.
“Mak mahu kamu berkahwin dengan Linda! Mak dah bincang dengan Datin Rohana dan dia setuju!” permintaan emaknya kedengaran lagi.
Tengku Syahran memicit-micitkan kepalanya.Tiba-tiba sahaja dia terasa pening.Otaknya berserabut lagi dan dia perlukan seseorang untuk meringankan beban itu.
“Encik Syah! Kalau awak nak buat keputusan, fikir dulu masalah yang akan timbul.Ini tak, main rempuh aje.Sorrylah…I can’t accept your offer.”
Zahlia bingkas berdiri.Dia berkira-kira untuk meninggalkan tempat itu.Suka-suka hati dia nak ajak aku kahwin guna cara tu!Gila… dia ingat aku ni perempuan yang senang ditolak dan ditarik sesuka hati.Boleh blahlah!!!
“Cik Alia! Saya betul-betul perlukan bantuan Cik Alia.Cik Alia mintalah berapa banyak wang yang Cik Alia mahu, saya sanggup bayar dengan syarat Cik Alia terima tawaran jadi isteri saya.”
Zahlia terlopong mendengarnya.Ini dah kes berat.Nahas, kalau mak aku tahu! Hatinya berdetik.
“Boleh?”
“Encik Syah,please! Jangan paksa saya.Lelaki jenis apa awak ni? Awak ingat kahwin tu perkara main-main ke? Kalau ini caranya nak mencipta ikatan, baik tak usah.Saya tak mahu jadi seorang hamba yang dibenci Allah.Menganggap perkahwinan sesuatu yang boleh ditolak tepi.” Panjang lebar Zahlia berkata seterusnya membuatkan Tengku Syahran terdiam.
“Saya tahu tapi saya bingung.Saya tak mahu berkahwin dengan gadis pilihan mak saya.Saya dah masak dengan perangai dia!” Tengku Syahran bersuara lemah.
Zahlia membisu.Tidak sangka di zaman berteknologi maklumat masih ada kes pasangan disatukan dengan pilihan keluarga.Kalau aku bantu, aku telah menyelamatkan dia dari keadaan.Tapi, aku pulak yang terjerat.Siapa yang mahu membantuku? Jerit hatinya.
“Tolonglah Cik Alia.Kita bernikah seperti biasa.Saya takkan ganggu hak privasi Cik Alia.Perjanjian kita lakukan secara peribadi.”
“Dan saya terjebak dalam keluarga awak?”
“Tak ada pilihan lain.Itu aje yang mampu saya minta dari awak, please!” Tengku Syahran masih merayu.
Zahlia mengalihkan pandangan ke luar restoran.Berharap ada seseorang yang lalu dan dapat membantunya ketika itu.Terbayang wajah Puan Azizah di ruang mata.Teringat Razif yang masih terlantar sakit di hospital dan wajah lembut Fatimah bagaikan menggamit dirinya dengan perasaan berdebar.
“Cik Alia, tolonglah…”
“Saya takut nak ambil risiko ini.Bagaimana saya nak tahu yang awak ni jujur? Sedangkan kita baru kenal seminggu.Lagipun saya tak pernah terfikir untuk berkahwin dalam masa terdekat ni.”
“Tapi Cik Alia…”
“Tolonglah Encik Syah, jangan ganggu saya lagi.Saya nak ucapkan terima kasih sebab awak tak mahu terima wang saya.Tapi saya tak mampu nak tolong…maafkan saya,” ujar Zahlia sambil mula hendak melangkah pergi.
“Kalau saya tawarkan Cik Alia wang, Cik Alia sudi terima tak?” Tengku Syahran masih tidak berputus asa.
Langkah Zahlia terhenti serta-merta.
“Jangan ingat dengan tawaran awak tu, saya akan terima! Perkahwinan apa kalau berdasarkan wang tetapi kasih sayang tak ada? Baik awak cari perempuan lain.Saya bukan perempuan jenis tu.Saya takut Hari Akhirat,” ujar Zahlia tenang.
Tengku Syahran mengetap bibir.Dia tahu tentang itu.Bukan dia tidak belajar agama.Malah sejak kecil lagi dia telah diajar tentang hukum-hakam ALLAH sehingga guru agama dipanggil datang ke rumah untuk mengajarnya.
Tapi hari ini, Tengku Syahran buntu.Dia terpaksa memikirkan sesuatu untuk menjaga perasaannya.Dia tidak mahu Linda bertamu di hatinya.Dia lebih rela tidak berkahwin daripada menjadi suami kepada perempuan yang gemar bertukar pasangan ketika di England dahulu.
Masih jelas di ingatan, Linda bermesra dengan seorang lelaki Inggeris di hadapan sebuah hotel sebelum kedua-duanya melangkah masuk ke dalam hotel itu.Malam esoknya, Linda kelihatan bersama lelaki lain pula.
Apabila perkara itu disuarakan kepada Tengku Badariah, sedaya upaya emaknya mahu menyangkal.Tengku Badariah tidak percaya anak sahabatnya, Datin Rohana sanggup berbuat begitu.Malah yang paling mengejutkan apabila Tengku Syahran dipaksa berkahwin dengan Linda.Inilah yang merunsingkan fikiran Tengku Syahran sehinggakan dia terpaksa membuat keputusan yang drastik dengan mencari perempuan lain yang sudi menjadi isterinya.
Kebetulan ketika dia sedang melarikan diri dari kekalutan itu, kemalangan kecil berlaku dan Tengku Syahran telah diketemukan dengan Zahlia.Gadis yang dirasakan sesuai untuk membantunya.
Namun, Tengku Syahran kecewa apabila Zahlia menolak tawarannya.Serta-merta Tengku Syahran terjelepok di atas lantai restoran itu.Zahlia terkejut dengan tindakannya.Beberapa pelanggan yang berada di situ juga turut memandang.
“Encik Syah! Apa awak buat ni? Hei, bangunlah!” serentak itu, Zahlia terus menarik tangan Tengku Syahran dan menuju ke meja yang ditinggalkan tadi.
Zahlia melabuhkan punggungnya di hadapan lelaki itu semula.Wajahnya sudah mula nampak resah.Raut wajah itu telah membuatkan hati wanitanya sedikit terusik.
“Saya pernah nampak Linda masuk ke dalam hotel.Setiap malam, dia bertukar pasangan.Saya tak mahu terikat dengan Linda.Dia perempuan yang tak pernah puas dengan hidup!”Hambar sungguh suara Tengku Syahran ketika itu.
Zahlia memasang telinga.Berkerut dahinya mendengar cerita yang baru diucap oleh Tengku Syahran.
“Kalau saya tak tunjukkan perempuan lain kepada mak saya dalam waktu terdekat ini, saya tak ada pilihan lain lagi selain dengan apa yang saya beritahu.Dia hanya pentingkan persahabatan!”
Zahlia mengetap bibir.Suara Tengku Syahran yang mendatar membuatkan dia terharu.
Bantulah saya…saya sanggup menawarkan wang jika itu yang Cik Alia pinta sebagai balasan,” ujar Tengku Syahran berharap pujukannya kali ini diterima.
Zahlia menelan air liur.Fikirannya bercelaru sama ada mahu menerima atau tidak! Tiba-tiba ingatan Zahlia melayang jauh.

“Alia,aku sayangkan kau! Aku hanya inginkan cinta dari kau, salahkah?” Razif menyuarakan rahsia hatinya pada Zahlia.
“Tak salah Razif.Tapi hatiku tak dapat terima kau.Aku tak boleh paksa.Aku dah anggap kau seperti sahabat,” beritahu Zahlia.Ada riak kekeruhan di wajah Razif.
“Tapi, aku terlalu cintakan kau,Alia.Sejak dari kecil,sejak kita mula mengenali erti kehidupan lagi.” Razif masih tidak berputus asa.
“Razif,jangan kau salah anggap dengan kasih sayang yang ku tunjukkan.Aku ada had dan batas tertentu di dalam tempat ni.Kita sama-sama yatim piatu dan bertanggungjawab di tempat ni.Maafkan aku.”
Zahlia masih tidak berganjak dengan keputusannya.Tidak mahu mengalah.
Razif terdiam.Nafasnya turun naik menahan sebak.Memang dia mencintai Zahlia sejak kecil.Walaupun perpisahan berlaku seketika tetapi cinta berputik di hati Razif tidak pernah padam.Kemunculan semula Zahlia berpuluh tahun lamanya menyemarakkan kembali perasaan yang kian terkubur.
“Tapi Alia…”
“Kita teruskan hubungan sebagai sahabat aje,” ujar Zahlia tenang.
Razif berasa pilu.Cintanya ditolak mentah-mentah.Mengapa? Rintih hatinya.
Pandangannya mula dirasakan berpinar-pinar.Dan tiba-tiba dia rebah di padang itu.Zahlia tersentak.Lantas dia meluru ke arah Razif yang tidak bergerak itu.Tubuh Razif digoyang beberapa kali sebelum dia menjerit meminta tolong.
Di hospital,segala-galanya terbongkar.Razif didapati menghidap kanser perut.Zahlia menangis tersedu-sedan di samping Fatimah,rakannya.Wajah Razif ditatap sayu.Masih lemah.Kenapalah Razif merahsiakan penyakitnya?


TIBA-TIBA Zahlia mengeluh.Lamunannya terhenti.Mula mengingati situasinya ketika itu.Zahlia memerlukan wang untuk rawatan Razif.
“Baiklah, Encik Syah! Saya terima tawaran awak itu.Tapi saya ada syarat yang perlu awak turuti.” Akhirnya Zahlia memberikan persetujuan.
Tengku Syahran mengangkat wajah dan terus merenung gadis bertudung putih itu.Anak mata gadis itu yang berwarna hazel ditatapnya lama.Cuba mencari cahaya keikhlasan dan akhirnya bibir Tengku Syahran menguntum senyuman lega.
“Syarat pertama; saya tak mahu tinggal dengan famili awak lepas kahwin.Kita pindah dan cari rumah lain.Saya tak mahu pergerakan saya terbatas.
Syarat kedua; saya nak terus bekerja tanpa ada sekatan memandangkan kita hidup dengan duit masing-masing.
Syarat ketiga; tidur di bilik masing-masing demi menjaga kelakuan dan tindakan kita daripada hilang pertimbangan dan menjadi rapat.Awak tak dibenarkan menyentuh tubuh saya, walaupun perkahwinan kita sah.Setuju?” Begitu panjang lebar Zahlia menyuarakan syaratnya.
Tengku Syahran termenung seketika.Sekejap duduk.Sekejap berdiri.Memikirkan syarat-syarat yang dikenakan oleh Zahlia.Akhirnya dia bersuara.
“Kenapa banyak sangat syarat?”
“Awak nak terima atau saya batalkan hasrat saya? Saya dah terima tawaran awak ni dah kira bagus.Atau…”
“Okey…okey…saya setuju!”
“Kan senang.Hah! satu lagi.”
“Ada lagi?”
“Tentang duit yang awak tawarkan tadi.Saya rasa elok awak tentukan sendiri jumlahnya.Pasti awak dah dapat agak berapa jumlah nilai pengorbanan saya ni kan?Saya tak mahu cakap banyak.Kalau boleh saya nak depositnya secepat mungkin!”
Tengku Syahran masih memikirkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi.Syarat kedua tu, tak kisah la.Tapi, syarat yang lain tu, macam mana aku nak ikut.Senang-senang nak suruh pindah.Ingat mak aku setuju? Dah la kahwin pun atas pilihan sendiri, mengamuk pulak orang tua tu nanti! Hatinya berkata-kata.
“Bagaimana Encik Syah? Setuju atau tak?” soal Zahlia lagi.
“Tengku Syahran mengetap bibir dan perlahan-lahan mengangguk lemah.
“Saya setuju.Tapi saya pun ada syarat yang perlu Cik Alia ikut.” Kini giliran Tengku Syahran pula mengenakan syarat.
“Awak pun ada syarat?” soal Zahlia separuh menjerit.
“Mestilah.Cik Alia kenakan saya tiga syarat dan saya hanya kenakan Cik Alia satu syarat aje.”
“Apa dia?”
“Saya nak Cik Alia panggil saya dengan panggilan yang sesuai.Saya mahu watak yang bakal Cik Alia lakonkan berkesan,okey?”
“Panggil awak dengan panggilan yang sesuai?Nak panggil apa?”
“Panggilan seorang isteri untuk seorang suami,” ujar Tengku Syahran.
“Apa?”
“Abang!”
Zahlia tertelan air liur.Dia nak suruh aku panggil dia dengan panggilan tu? Hisy… bagaimana aku nak sebut perkataan tu? Tak pernah aku terfikir nak sebut sampai macam tu sekali.Jiwanya meronta.
“Cik Alia setuju?”
Lama Zahlia terdiam tetapi akhirnya Zahlia mengangguk.
“Kalau begitu, esok saya akan siapkan dokumen tentang syarat tu,” tambah Tengku Syahran.
Zahlia mengangguk dan terus bangun.Kemudian, dia melangkah pergi dan meninggalkan Tengku Syahran setelah masing-masing mancapai kata sepakat.
Aduh! Bagaimana ni? Apa aku nak cakap dengan mak kalau dia tanya kenapa nak pindah? Takkan nak beri alasan nak hidup berdikari.Mak mesti tak bagi punya! Takut jadi macam alonglah…duduk jauh cepat bercerai.Itulah,inilah.Tengku Syahran seolah-olah mengajuk percakapan emaknya.
Tengku Syahran menggeleng.Membisu sambil jari-jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja.Lama dia terdiam dan akhirnya tersenyum.Ah, pandai-pandailah elakkan diri dari syarat tu.Gunakan ayah sebagai orang tengah.Mesti perempuan tu akan kalah kalau ayah pujuk.Aku takkan pindah! Muktamad kata-kata Tengku Syahran.
“Yes!” Tengku Syahran tersenyum kecil.





































Bab 2

M

AJLIS perkahwinan Tengku Syahran dan Zahlia telah diadakan secara besar-besaran bagi meraikan kedatangan orang baru di Villa Sakura.Walaupun Tengku Badariah sedikit terkilan dengan keputusan anaknya mengahwini orang kebanyakan, namun dia terpaksa juga menerima hakikat tentang jodoh pertemuan di tangan yang Maha Esa.Kini dia redha dengan kehendak anak keduanya yang beria-ria minta dikahwinkan segera dengan pilihan hatinya.Nak buat macam mana kalau dia dah suka? Ikutkan ajelah.Lagipun perempuan tu nampak dari golongan yang baik-baik.Pakai tudung, kelakuan pun sopan.Emmm… ada chance lah aku dapat cucu dalam setahun dua ni!Bisiknya di dalam hati.
“Yah, apa yang awak menungkan tu?” soal Tengku Ismail apabila mendapati isterinya tidak mengikuti topik perbualan.Tengku Badariah terkejut seketika.
“Hah, tak ada apa-apalah bang! Yah tengah perhatikan menantu kita tu.Sopan orangnya kan, bang?” beritahu Tengku Badariah.
“Sopan, lawa! Teringat awak masa muda-muda dulu,” ujar Tengku Ismail sambil ketawa kecil.
Tengku Badariah menoleh ke arah suaminya.
“Jadi, sekarang ni Yah dah tak lawa lagi ke?”
“Bukan begitu maksud abang! Apa yang abang perhatikan, Alia tu bakal jadi isteri yang baik seperti Yah,” beritahu Tengku Ismail.
“Yalah abang tu!”
“Ya! Lagipun biarlah Syah kahwin dengan pilihan dia.Kalau kita pilihkan isteri untuk dia, takut bukan taste dia.Peristiwa yang terjadi pada Kimi betul-betul buat abang serik,” ujar Tengku Ismail secara jujur.
“Yah pun rasa berdosa pada Kimi bang! Disebabkan Yahlah, dia kena tanggung semuanya ni.Itu pun Alhamdulillah Jasmin pergi tak bawa Murni sekali,kan bang?” Tengku Badariah berkata sambil mengingati cucu sulungnya yang berusia lima tahun.
“Em…syukurlah,” ringkas Tengku Ismail menjawab.
“Tapi Yah sebenarnya sedih jugak sebab Syah pilih sendiri jodoh dia.Kalau Syah kahwin dengan Linda,Yah lagi suka,” balas Tengku Badariah.
“Yah nak jodohkan dia dengan Linda? Hisy…simpang malaikat empat puluh empat.Abang tak berkenan sungguh dengan anak Datin Rohana tu.Perangainya melebihi orang barat.Pakai baju terbelah sana.Terbelah sini,” rungut Tengku Ismail.
“Abang jangan nak mengata anak kawan Yah.”
“Abang cakap apa yang betul.Abang memang tak berkenan dengan Linda tu,” bidas Tengku Ismail.
Tengku Badariah mula menarik muka masam.
“Abang memang begitu,semua kawan Yah tak elok.Kawan abang ajelah yang baik,” rajuk isterinya.
Tengku Ismail ingin ketawa tetapi ditahannya.Tengku Badariah memang pantang jika kawan-kawannya diumpat.Persahabatan pada Tengku Badariah terlalu suci untuk dipersoalkan.
“Abang tak cakap semua kawan Yah macam tu! Cuma segelintir saja yang abang tak berkenan perangainya.”
“Ah, malaslah nak layan abang!” Tengku Badariah terus melangkah pergi.
Tengku Ismail memandang Tengku Badariah yang melangkah semakin jauh.Kepalanya digeleng apabila kelibat isterinya itu hilang di sebalik kanopi dan orang ramai yang ada di situ.Para tetamu sudah semakin ramai memenuhi ruang legar pekarangan Villa Sakura.
Taman mini yang tersedia di tepi sudut sebelah kanan villa itu menarik perhatian ramai.Sehingga ada yang duduk berbual di situ sambil menikmati pemandangan air terjun buatan yang menyerikan suasana.
Di sudut bertentangan tersusun kerusi kayu berukir yang ditempah khas dari China.Di kelilingnya terdapat pasu-pasu kecil bunga kertas yang beraneka warna.
Di kejauhan, kelihatan Tengku Syahran sedang leka memerhati Zahlia yang berada di taman mini itu.Dia sedang rancak berbual dengan tetamu yang hadir.Sesekali wanita itu ketawa dan berbual dengan saudara-mara yang suka mengusik.
Tengku Syahran tersenyum.Pandai betul dia berlakon! Mujurlah pandai bawa diri.Bukan senang nak bergaul mesra dengan orang-orang kenamaan yang banyak karenah, bisiknya.
“Syah!!!” Tengku Syahran tersentak apabila namanya dipanggil.
Dia berpaling apabila bahunya dicuit.Abangnya, Tengku Hakimi sedang tersengih memandangnya.
“Apahal kau tenung isteri kau tu lama-lama? Kalau ya pun sabar-sabarlah sikit,” usik abangnya.
“Along ni merepek ajelah!”
“Apa yang merepeknya.Hei, along dah ada pengalaman tau! Kau ingat along tak nampak apa yang kau buat tadi? Perhatikan Alia macam nak telan.Along pun pernah rasa perasaan tu Syah,” tambah Tengku Hakimi lagi.
Tengku Syahran bersikap selamba.Entah perasaan apa yang dimaksudkan oleh Tengku Hakimi tidak pula dia terfikir.Yang dia ingat, dia sedang leka memerhatikan Zahlia tanpa apa-apa perasaan berdebar atau gementar.
“Along ni suka-suka mengata orang.”
“Along cakap ikut pengalaman.Kan along lebih dulu makan garam, lebih dulu rasa nikmat rumah tangga,” ujar Tengku Hakimi sambil membelai rambut Tengku Murni.
Tengku Syahran memandang wajah Tengku Murni.Cantik, macam mamanya Raja Jasmin.Namun dia berasa kasihan dengan Tengku Murni.Kecil-kecil lagi sudah kehilangan kasih sayang mama.Pada Tengku Syahran, Raja Jasminlah yang bertanggungjawab di atas penderitaan abangnya dan anak buahnya itu.
“Kau tak temankan Alia? Kasihan dia melayani tetamu sorang-sorang tu.”
“Tak apa bang.Biar dia biasa dengan keadaan rumah kita bila ada majlis keramaian macam ni.Baru dia tau,” jawab Tengku Syahran tenang.
“Kau ni, tak elok kalau orang tengok! Suami isteri kena bertindak mengikut kata sepakat.Bukan dia ke sana, kau ke sini,” nasihat Tengku Hakimi.
Tengku Syahran memandang alongnya semula.Ucapan itu terselit makna tersendiri.Mungkinkah along tidak mahu perkahwinan aku menjadi seperti perkahwinannya? Tengku Syahran meneka dalam hati.Raut Tengku Hakimi sudah jelas menyatakan tetapi Tengku Syahran tidak dapat menangkap.
“Along bila lagi? Syah tengok Murni ni macam tengah rindukan mama dia.Baik along cari calon cepat-cepat sebelum Kak Min buat tuntutan hak penjagaan sepenuhnya ke atas Murni.” Tengku Syahran terus mengubah tajuk.
Tengku Syahran sengaja meluahkan keresahannya sambil mencuit lembut pipi Tengku Murni.Tengku Syahran takut alongnya menderita lagi.Kecurangan Raja Jasmin sudah cukup azabnya.Jangan lagi alongnya menerima hukuman akan kehilangan Tengku Murni pula.
Tengku Hakimi terdiam sejenak.Tubuh Tengku Murni dipeluk erat.Dia memikirkan kemungkinan kata-kata adiknya itu.
“Entahlah Syah,along pun takut jugak,” ujarnya ringkas.
“Sebab itulah Syah harap along kahwin lagi.At least Kak Min tak boleh cari kelemahan along.Konon-konon along tak boleh jaga Murni seorang sebab along ni lelaki,” beritahu Tengku Syahran.
Tengku Hakimi membisu sambil matanya memerhati Zahlia yang semakin mendekati.Lama matanya terpaku pada sekujur tubuh yang sedang berjalan lembut dan penuh sopan.
“Di mana kau jumpa Alia? Selama ni kau tak pernah cerita pun? Along ingat nak cari isteri seperti dialah.Ada sifat-sifat keibuan.” Tengku Hakimi berkata.
“Along ingat lagi tak tentang accident kereta Syah dulu?”
“Ingat! Yang tiga bulan lepas tu, kan?” jawab Tengku Hakimi.
Tengku Syahran mengangguk.
“Dialah perempuan yang Syah maksudkan tu!”
“Oh… dia! Maknanya kau baru kenal dia tiga bulan dan terus jatuh cinta?” soal Tengku Hakimi seolah-olah kurang percaya dengan cerita adiknya itu.
“Emm… kuasa ALLAH! Love at first sight,” jawab Tengku Syahran segera.Cuba menyembunyikan keresahan hati dengan soalan yang pelbagai.
“Syah…” Tiba-tiba Zahlia bersuara dan menghampirinya.
Tengku Syahran menoleh dan Zahlia sudah pun berada di sisinya.Zahlia sempat mencuit pipi Tengku Murni sebelum melemparkan senyuman kepada Tengku Hakimi.
“Saya ada hal nak bincang dengan awak sekejap.Kita ke bilik,” beritahu Zahlia.
Dahi Tengku Syahran berkerut.Namun hatinya mengucap syukur.Kehadiran wanita itu telah menyelamatkannya dari ditanya dengan pelbagai soalan.
“Tentang apa?” tanya Tengku Syahran.
Zahlia tidak menjawab.Lidahnya kelu kerana Tengku Hakimi ada di situ.
“Adalah… saya tak boleh beritahu kat sini.” Lambat-lambat Zahlia bersuara.
“Aikk… Alia! Dah kahwin pun ber’saya’, ber’awak’ lagikah? Cubalah panggil Syah tu dengan panggilan yang manja sikit.Sejuk hati dia.Gelaran saya dan awak tu kan gelaran waktu bercinta,” usik Tengku Hakimi sambil memandang Zahlia.
Zahlia menyedari kesilapannya dan seraya tertunduk malu.Dia mula teringatkan syarat yang dikenakan oleh Tengku Syahran.
“Along ni tak habis-habis nak menyakat,” marah Tengku Syahran sambil ketawa kecil.
“Saya jumpa awak kat atas.” Zahlia segera berlalu.
“Pergilah Syah.Dia panggil tu.Nanti merajuk pulak,” gurau Tengku Hakimi lagi.
Tengku Syahran bingkas bangun.Ketawanya masih bersisa.Sebelum berlalu dia sempat menumbuk mesra bahu abangnya.Tengku Hakimi faham maksud adiknya.Kemudian dia ketawa lagi dengan tindakan Tengku Syahran.Mula merasai kebahagiaan yang bakal dikecapi adiknya.


Tengku Syahran duduk di birai katil yang dibaluti cadar baldu yang berwarna hijau lumut.Dia termanggu seketika.Matanya terus merenung tubuh Zahlia yang sedang berdiri membelakanginya.Apakah jawapan yang harusku berikan? Tengku Syahran mati akal.
“Syah cakaplah cepat! Apa yang harus saya buat lagi? Hari tu awak kata caranya senang! Sekarang?”
Zahlia bagaikan merayu.Sakit hatinya melihat kelakuan Tengku Syahran yang telah pun sah menjadi suaminya itu.Silap Tengku Syahran yang selamba dan bercakap tidak serupa bikin itu membuatkan hatinya geram.Fikirannya kini terus melayang kepada seorang gadis yang baru dikenali tadi.


“MACAM MANA you kenal Syah?” tanya seorang gadis lebih kurang sebaya dengan Zahlia.
“Masa accident dulu.Tak sangka jodoh kami bertemu dalam keadaan begitu,” jawab Zahlia tenang.
“Oh, ada jugak orang yang baru kenal tiga bulan terus kahwin ya?”
Soalan gadis itu mula tidak disenangi Zahlia.Namun, Zahlia cuba menyembunyikan perasaan gementarnya itu.Tetap bersabar.
“Siapa tahu kehendak ALLAH,” jawab Zahlia pendek.
“Ya, hati orang pun kita tak tahu.Niatnya baik atau buruk! Yalah sejak zaman teknologi mula berkembang sekarang ni, macam-macam virus kita ketahui.Actually, virus tu pun macam manusia jugak.Ada yang elok dan ada yang memudaratkan.Betul tak Zahlia?” ujarnya panjang lebar.Zahlia telan liur mendengarnya.
“Just call me Alia.”
“Okay.By the way, I’m Hazwin.” Gadis itu menghulurkan salam.Zahlia menyambutnya walaupun kata-kata gadis itu tadi masih terasa menyerap ke lubuk hati.
“Alia, Hazwin tu sepupu saya yang paling rapat.Saya yakin setelah awak mengenali dia, awak akan tahu dia tu sebenarnya tak seperti yang awak sangkakan.” Bicara Tengku Syahran menyedarkan Zahlia dari terus mengingati perbualan dinginnya dengan gadis yang dikenali sebagai Hazwin itu.
Zahlia mengeluh kecil.
“Habis tu, apa saya nak cakap kalau dia datang bersembang dengan saya lagi? Saya dah tak sanggup Syah! Saya tak mahu sepanjang perkahwinan kita, saya kena terus-terusan berbohong di hadapan semua orang! Itu baru Hazwin, kalau Linda bagaimana?” ujar Zahlia.
“Alah, pandai-pandailah awak kelentong.Bukannya susah,” jawab Tengku Syahran.
“Syah! Awak jangan nak pandai-pandai mengajar saya menipu pulak.Saya tolong awak ni, tak lebih dari untuk membalas budi dan sebab saya perlukan wang.Awak hanya suruh saya berlakon di hadapan keluarga awak.Awak tak beritahu perangai saudara-mara awak yang merimaskan,” jerit Zahlia geram dengan perangai Tengku Syahran.
“Eh… janganlah jerit! Nanti orang dengar,” marah Tengku Syahran.
“Ah, saya tak peduli! Awak memang nak perangkap saya.Ada niat lain awak mengahwini saya.Awak hanya mahu mengambil kesempatan ke atas diri saya,” jerit Zahlia lagi.Kali ini lebih kuat.
Tengku Syahran terkejut.Segera dia menerpa ke arah Zahlia.Mulut Zahlia ditekupnya dengan tapak tangan.Tubuh Zahlia ditolaknya tepat ke dinding.
“Diam! Jangan jerit.Aku tak suka dengar.Aku benci dengar perempuan yang suka menjerit!”
Zahlia terkesima dengan tindakan Tengku Syahran.Bahasa lelaki itu bertukar kasar tiba-tiba.Wajahnya direnung begitu tajam sekali.Rasa ingin menangis kerana diperlakukan sedemikian rupa.
“Bila mereka tanya, kau buka mulut.Bukannya susah! Aku dah bagi kau upah.Ingat, surat perjanjian tu ada pada aku.Sekali kau buat silap, kau tahulah akibatnya.Aku akan tuduh kau perempuan yang bukan-bukan,” ujar Tengku Syahran berbaur ugutan.
Berlinang air mata Zahlia jatuh ke pipi.Dia cuba melepaskan diri.Tangan Tengku Syahran ditepis kuat.
“Don’t you dare to touch me! Tolong hormati syarat yang patut awak patuhi.” Zahlia berkata dan mula menjarakkan diri dari Tengku Syahran.
Zahlia mula menangis teresak-esak.Segera dia mencapai tuala yang tergantung di penyidai dan terus melangkah ke bilik air.Malas dia hendak melayan Tengku Syahran.
Tengku Syahran bergerak ke katil.Dia merebahkan tubuh lalu jauh menyimpang.Dia cuba menenteramkan dirinya.Perlahan-lahan dia memejamkan mata.
Beberapa minit kemudian, Zahlia keluar dari bilik air setelah lengkap berpakaian.Baju kurung pesak yang baru dipakainya menyerlahkan lagi kulit kuning langsat miliknya.Cuma, kepalanya tidak dilitupi tudung seperti tadi kerana rambutnya masih basah.
Tengku Syahran dilihatnya sedang baring di atas katil sambil lengannya diletak di atas dahi.Mata Tengku Syahran yang pejam terus terbuka apabila terdengar derap langkah kaki yang berbunyi.Tengku Syahran terpandang Zahlia.Terkesima sebentar dia melihat diri sebenar Zahlia.
Selama ini, dia hanya melihat keadaan Zahlia yang bertudung.Kini nafsu lelakinya tiba-tiba bergelora.Pandangannya masih tajam menjamah tubuh wanita yang sedang menghadap cermin.Rambut lurus Zahlia yang basah direnungnya lama.
“Kenapa pandang saya macam tu?” soal Zahlia keras.
Gementar hati Zahlia melihat panahan mata nakal Tengku Syahran menjamah tubuhnya.Namun, Zahlia berpura-pura bersikap berani.Terus menyapu losyen di lehernya yang putih.Tengku Syahran menelan air liur.Zahlia tidak peduli dengan renungan itu.
“Nanti, awak bincang dengan ayah awak tentang syarat saya yang pertama tu.Saya tak mahu tinggal lama-lama di sini.Makin lama saya dalam rumah ni, makin gila saya melayani karenah awak.Saya nak tinggal di bilik sendiri,” luah Zahlia terus menyedarkan Tengku Syahran dari terus memerhatikannya.Dia tersentak seketika.
“Tapi kita baru kahwin.Takkan nak pindah dalam masa terdekat ni? Nanti apa kata mak?” Tengku Syahran cuba memujuk.
“Itu masalah awak.Awak pandai-pandailah kelentong.” Sengaja Zahlia menyindirnya.
Kemudian Zahlia mencapai sejadah dan membentangkannya.Dia hendak menunaikan solat Asar.Selesai bersolat, dia berdoa.Tengku Syahran masih lagi memerhatikan perbuatan Zahlia.Zahlia tidak ambil pusing dengan renungan itu.Dengan pantas dia mencapai tudung serkup dan disarungkan ke kepala.Diikuti dengan tudung yang tersangkut di tepi almari.Zahlia bersiap-siap untuk turun ke bawah.
Zahlia terus melangkah ke arah pintu.Tengku Syahran masih lagi terbaring di atas katil.Rimas dia melihat renungan lelaki itu.Lantas, tombol pintu dipulasnya dan sebelum dia melangkah keluar, sempat dia berpesan.
“Solat Asar jangan lupa.Nanti terlepas pulak!”
Bab 3

s

elesai jamuan makan malam, maka lengkaplah majlis gilang-gemilang bagi Tengku Ismail dan Tengku Badariah sekeluarga.Semua tetamu dan para jemputan sudah pulang.Hanya tinggal sahabat–handai terdekat.
Zahllia masih leka berbual-bual dengan beberapa orang saudara-mara Tengku Syahran.Kelihatan begitu mesra sekali.Tiba-tiba sahaja Tengku Syahran duduk di sisi Zahlia sambil tangannya diletakkan di atas paha wanita itu.
Zahlia terkejut.Hendak ditepis, nanti apa pula kata saudara-mara di hadapannya.Mahu tidak mahu, perbuatan Tengku Syahran terpaksa dibiarkan.
“Alia, kita jumpa ayah sekejap.Ada hal yang abang nak bincangkan tentang cadangan Alia tadi.”
Bergetar gegendang telinga Alia mendengar ucapan itu.Dia tidak sangka Tengku Syahran boleh berkata begitu.Heeiii…bahasakan diri abang.Yearkk… geli-geleman tekak aku.
“Sekarang ke?”
“Yalah.Habis tu nak tunggu bila lagi?” jawab Tengku Syahran sambil melirikkan mata ke arah sepupunya yang sejak tadi tersengih penuh makna.
“Jomlah.” Tengku Syahran menarik tangan Zahlia dan sama-sama melangkah mendapatkan Tengku Ismail.
Kemudian mereka bertiga memilih taman mini sebagai tempat perbincangan yang jauh dari keluarga dan saudara-mara.
“Betul ke ini rancangan kamu? Nanti apa pulak kata mak kamu?” soal Tengku Ismail sayu dengan rancangan Tengku Syahran.
Zahlia membisu.Tersentuh hatinya melihat keresahan yang terpancar di air muka ayah mentuanya.
“Kalau ikut saya ayah, memang saya tak kisah tinggal di sini.Tapi, Alia yang beria-ria nak pindah.Katanya senang nak ke tempat kerja.” Selamba ayat itu diucapkan oleh Tengku Syahran .
Zahlia terkedu mendengarnya.Kurang ajar betul mamat ni! Nak beritahu ayah dia tentang cadangan aku pun janganlah depan-depan aku, rungut hati kecilnya.
“Alia, betul ke apa yang Syah cakap? Kenapa tak nak tunggu dua, tiga bulan lagi? Ini belum pun sampai satu hari kamu berdua menjadi suami isteri, dah nak pindah,” rayu Tengku Ismail.
Zahlia tidak berani memandang wajah ayah mentuanya.Wajah lelaki yang separuh abad itu benar-benar menyucuk nalurinya.Terasa sayang pula Zahlia kepada ayah mentuanya walaupun baru beberapa kali mereka berjumpa sebelum hari perkahwinannya.
“Kalau mak kamu tahu bagaimana? Kecil hati dia nanti,” ujar Tengku Ismail lagi.
“Ayah, Alia sebenarnya tak kisah tinggal di sini.Tapi, seperti yang abang cakap, Alia nak ke tempat kerja senang.Tu yang Alia ingat nak cari rumah dekat-dekat situ aje.Lagipun tempat kerja abang tak jauh dari tempat Alia.Kan, bang?” panjang lebar Zahlia bercakap.Kata-kata itu tidak pernah terlintas di benaknya sebelum ini.
Tengku Syahran mengangguk tetapi di dalam hatinya, geli hati.Lucu dengan jawapan yang baru diluah oleh Zahlia.Nama tempat Zahlia bekerja pun dia tak tahu.
“Kalau kamu duduk di sini pun, bukannya susah.Tu, Pak Cik Osman kamu ada, dia boleh tolong hantarkan kamu, kalau kamu malas nak drive.Tak pun suruh aje Syah hantarkan.Dia kan dah jadi suami kamu.Kalau payah sangat,kamu berhenti ajelah Alia.Kerja dengan ayah.”
Zahlia terkesima dengan jawapan ayah mentuanya.Terus dia tunduk merenung meja kayu yang seni rekanya begitu unik.Jari-jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja yang rata dan licin itu.Tengku Syahran hanya membisu.Tiada tanda-tanda hendak membantu isterinya yang kehilangan hujah.
Biar Alia tahu, bukan senang nak pujuk Tengku Ismail.Apa, dia ingat dia seorang saja yang boleh besar kepala? Mentang-mentang kemukakan banyak syarat, ingat aku takut agaknya? Elehh… aku pun boleh tolak kalau nak! Cuma cara aku halus sikit.Reverse psychology ! Bisiknya di dalam hati.
“Tak mahulah,ayah.Buat apa Alia nak berhenti.Lagipun kalau Alia berhenti mengajar, tempat tu tak cukup cikgu.Zaman sekarang ni, ayah bukan tak tahu.Mana ada orang muda yang mahu kerja sukarelawan yang gaji sikit.Nanti, kesian anak-anak yatim tu,” bantah Zahlia bersungguh-sungguh.
“Ikut suka kamulah, kalau kamu nak terus kerja di situ.Tapi, hal pindah rumah ni ayah betul-betul tak setuju.Ayah bukan apa Alia, Syah… ayah dengan mak kamu dah tua.Dah tak lama di dunia ni.Jadi, ayah tak mahu anak menantu ayah duduk jauh-jauh selagi ayah masih hidup.”
Sedih hati Zahlia mendengar luahan hati ayah mentuanya.Dia menelan air liur yang begitu payah dirasakan.
“Ayah jangan cakap begitu.Ayah buat Alia berat hati.”
“Memang ayah sengaja buat kamu rasa macam tu.Kamu tu menantu ayah, Alia.Menantu yang satu-satunya ayah ada sekarang ni.Jadi, ayah merayu pada kamu, janganlah tinggalkan villa ni.Ayah yakin dengan adanya kamu,Villa Sakura ni akan berseri kembali.”
Fikiran Zahlia buntu memikirkan permintaan Tengku Ismail.Lain yang dirancang, lain pula yang jadi.Maha Suci ALLAH, tiba-tiba benaknya terasa berat untuk meninggalkan villa itu.Permintaan ayah mentuanya merupakan satu arahan buatnya.Peluang untuknya menolak memang tiada walaupun satu peratus.Dengan hati yang lemah, Zahlia mengangguk setuju.
“Baiklah ayah.Alia batalkan niat nak pindah rumah,” ujar Zahlia lembut.
Tengku Ismail berasa lega.Tengku Syahran pula tersenyum bangga.
“Tapi…”
“Tapi kenapa?” tanya Tengku Ismail.
Zahlia menoleh pada Tengku Syahran dengan wajah menahan geram.Dia sakit hati melihat suaminya itu dalam keadaan tenang.
“Abang tak kisah ke kalau Alia buat keputusan tak jadi pindah?” tanya Zahlia.
Tengku Syahran ketawa kecil.
“Tak kisah Alia.Keputusan Alia keputusan abang jugak.” Tengku Syahran menjawab sambil tersenyum.
“Aikk, apa yang dibualkan ni?” sapa Tengku Badariah mengejutkan mereka.
“Eh… Yah! Sejak bila Yah ada kat sini?” soal Tengku Ismail.
“Yah baru aje hantar Datin Rohana dengan Linda ke kereta.Ingatkan nak ke dapur, ternampak abang dengan anak menantu kat sini.Berbual apa ni?”
“Emmm… abang bersembang kosong aje.Sambil-sambil tu nasihatkan budak-budak ni tentang rumah tangga.Kawan Yah tu dah baliklah ya?”
“Abang jangan nak mengumpat kawan baik Yah.Kasihan Yah tengok Linda tu.Macam kempunan aje?” ujar Tengku Badariah.
“Memang kempunan.Kempunan nak naik pelamin dengan Syah!” usik Tengku Ismail.
Tengku Syahran meluat mendengar kata-kata emaknya.Matanya melirik ke arah wajah Zahlia yang bersahaja.Dia tahu Zahlia tidak berkecil hati dengan isu mereka sekarang.Apatah lagi ingin cemburu!
“Mak tak mahu berehat ke? Dah lewat ni!” soal Tengku Syahran memesongkan topik yang baru tercetus.
“Mak tak rasa penat lagi.Entahlah… seronok dapat menantu agaknya,” luah Tengku Badariah riang.
“Yah, abang tak nampak Ida dari tadi.Kenapa dia tak datang?” tiba-tiba Tengku Ismail bertanya.
Tengku Badariah mengelu seketika.
“Mak Nah sakit lagi bang! Makin teruk kata si Ida,” jawab Tengku Badariah.
“Balasan dialah tu.Suka menganiaya orang.”
“Hisy… abang ni tak baik.Buruk-buruk pun mak saudara Yah jugak!”
Tengku Ismail mengeluh mengingatkan nasib adik sepupu iparnya itu.
“Kasihan abang tengok si Ida tu.Merana betul zaman mudanya.”
“Entahlah bang.Orang tak suka tengok orang lain lebih sikit.Ada aje hasad dengkinya itu.”
“Dahlah anak entah ke mana!” Tengku Ismail mengeluh lagi.
Tengku Syahran dan Zahlia mendiamkan diri.
“Lega hati mak, kamu dah kahwin Syah.Tercapai impian mak nak tengok kamu naik pelamin,” ujar Tengku Badariah tiba-tiba.Matanya tepat memandang anak lelaki keduanya.
Zahlia terharu mendengar ucapan yang baru lahir dari mulut emak mentuanya.Bagaimana agaknya hati wanita ini bila mengetahui cerita sebenar?
“Sekarang mak dah ada cucu perempuan.Alia, lahirkan mak cucu lelaki pulak,” pinta Tengku Badariah membuatkan Zahlia tergamam.
Segera matanya melirik ke arah Tengku Ismail yang sedang tersenyum-senyum itu.Matanya di alih ke arah Tengku Syahran yang juga sedang tersengih penuh makna.Kenapa dengan Syah ni? Selamba je.Mak dia tengah mintak yang bukan-bukan, dia boleh tersengih macam kerang busuk.Baik!! Aku guna cara aku! Hatinya memberontak.
“Bolehkan Alia?” soal Tengku Badariah lagi.
Zahlia mengetap bibir.Wajahnya tunduk dan sesekali jari telunjuknya menggaru-garu dahi yang tidak gatal.
“Alia?” sapa Tengku Badariah lagi.
Zahlia menarik nafasnya dalam-dalam.
“Mak tanyalah pada abang.Kalau abang mahu anak dalam masa setahun ni, Alia tak kisah.” Tiba-tiba Zahlia menjawab.
Tengku Ismail dan Tengku Badariah berpandangan.Manakala Tengku Syahran bagaikan tidak percaya dengan jawapan yang baru didengarnya.
“Kalau itu jawapan Alia, mak gerenti Syah takkan membantah.Dia mesti ikut cakap mak,” jawab Tengku Badariah dalam nada gembira.
“Tapi, sebelum kahwin, abang dah pesan yang dia tak mahu anak dalam setahun ni.Susah katanya! Kalau ikut Alia, memang Alia nak, mak,” ujar Zahlia lagi.
Tengku Syahran makin terkejut mendengar kata-kata itu.Beraninya dia!
“Eh, apa pulak begitu? Anak kan pembawa rezeki.” Tengku Badariah berkata seolah-olah marah.
Zahlia mengerling ke arah Tengku Syahran dengan senyuman yang sedikit terukir di riak wajahnya.Lelaki itu sedang mengerutkan dahi.
“Biarlah Yah oi! Mereka dah merancang.Lagipun buat apa ada anak awal-awal? Biarlah mereka merasai hidup berdua lama-lama sedikit.” Tiba-tiba Tengku Ismail menyampuk.
Tengku Syahran masih tidak lepas merenung wajah isterinya.Wah, pandainya dia mengenakan aku.Jaga dia!
“Laa… abang ingatkan Alia yang tidak mahu beranak awal.Abang cakaplah macam tu.Alia pun bukannya nak beritahu abang yang Alia nak anak cepat.” Tanpa diduga Tengku Syahran berkata.
Zahlia mula mencari ayat yang sesuai untuk membalas.
“Maknanya abang tak kisah ada anak dalam masa setahun ni?” soal Zahlia kepada Tengku Syahran.
Biar benar perempuan ni! Suka-suka berjanji dengan mak aku.Kalau mak aku tuntut macam mana? Dahlah kahwin pun tak tentu hala, bisik hati kecil tengku Syahran.
“Abang?” suara gemersik itu berbunyi.
Tengku Syahran tersentak.Entah mengapa tiba-tiba Tengku Syahran mengangguk.Tengku Badariah dan Tengku Ismail tersengih.
“Mak bersyukur dapat menantu macam Alia ni.Pandai Syah cari,” puji Tengku Badariah.
Zahlia ketawa kecil.
“Janganlah puji sampai macam tu mak.Malu Alia,” jawab Zahlia malu-malu.
Tengku Ismail tersenyum melihat keramahan menantunya itu.Sedangkan Tengku Syahran masih membisu mancari jawapan sebenar tentang permintaan Tengku Badariah tadi.
Okeylah mak, ayah.Alia naik dulu.Nak rehat.Lagi lama Alia kat sini,lagi kembang hati Alia dibuat mak,” tambahnya.
Tengku Badariah dan Tengku Ismail ketawa.

bab 4-6

Bab 4

Z
ahlia sedang membaca novel Hati Seorang Wanita sambil berbaring ketika Tengku Syahran masuk ke biliknya lewat malam itu.Segera Zahlia bingkas bangun apabila terlihat wajah lelaki itu di muka pintu.Hati Zahlia berdebar tiba-tiba.
Tengku Syahran hanya melirik sekilas ke arah Zahlia sebelum dia melabuhkan punggungnya di sofa panjang yang terdapat di hujung katil.Heningnya suasana yang menemani mereka saat itu.Zahlia kaku.Tengku Syahran membisu.Yang kedengaran hanyalah bunyi angin yang berdesir masuk melalui lubang tingkap yang terbuka luas.
“Kau betul-betul maksudkan kata-kata kau pada mak tadi?” soal Tengku Syahran memecah kesunyian antara mereka.Bahasanya tetap kasar sejak petang tadi.
Zahlia menutup novel yang dibacanya itu dan memandang Tengku Syahran dengan pandangan yang agak pelik.Zahlia takut sebenarnya.Sifat Tengku Syahran terus berubah.Mana perginya sifat dan bahasanya yang lembut? Dulu bukan main lagi pujuk aku suruh tolong dia, ber’saya’ dan ber’awak’ konon.Penipu!
“Kenapa? Awak percaya ke?” tanpa menjawab soalan Tengku Syahran, Zahlia menanyakan soalan lain pula.
“Entahlah.Tapi, tengok gaya kau cakap tadi macam percaya.Kau betul-betul nak? Aku tak kisah! Sekarang jugak kau boleh dapat,” ucap Tengku Syahran bersahaja.
Tengku Syahran lantas bangun dan mengunci pintu.Zahlia terkesima.Lebih laju jantungnya berdegup.Tengku Syahran berpaling dan tersenyum.Makin melemahkan urat-urat sendi Zahlia.Zahlia tidak senang duduk.
“Gila.Awak dah lupa tentang syarat ketiga? Awak tak dibenarkan menyentuh saya walaupun kita halal untuk berbuat demikian.” Zahlia mengingatkan syarat perjanjian.
“Itu kita tolak tepi.Yang penting malam ni kita seronok!” ucap Tengku Syahran yang semakin mendekati Zahlia.
“Syah! Saya dah tolong awak.Ingat! Awak pernah kata awak takkan usik hak privasi saya.” Zahlia mengingatkan lagi.
Sebenarnya Tengku Syahran masih ingat tetapi dia sengaja mahu mengusik.Kekagetan wanita itu mencuit hatinya.Langkah Tengku Syahran terhenti kemudian kembali duduk di sofa.
“Habis, siapa suruh kau bagi mereka harapan? Kalau mereka menanti, bagaimana?”
“Awak nak suruh saya jawab apa masa mereka tanya? Tolak permintaan mereka terang-terang? Beritahu mereka yang kita kahwin hanya sekadar untuk dijadikan alasan agar awak dapat menolak kehadiran Linda? Cuba fikir sikit, Syah!” Zahlia meluahkan hujahnya.
Tengku Syahran bingkas berdiri.Merenung Zahlia dengan pandangan yang sungguh tajam.Bagaikan seekor harimau sedang menunggu mangsanya.
“Kau tau tak, selepas kamu masuk tadi, mereka sibuk mencari nama untuk cucu lelaki yang kau janjikan tu,” beritahu Tengku Syahran.
“Biarkanlah.Kalau awak tak buat apa-apa pada saya, tak adanya keluar budak tu pun,” jawab Zahlia.
“Tapi aku tak suka cara kau gunakan untuk memenuhi harapan mereka.Cara kau tu akan menghampakan mereka.Aku tak pernah cintakan kau.Jangan kau harap satu sen pun harta akan jatuh kalau kita berpisah.Aku pun tak ingin menyentuh kau.Aku tak akan benarkan kau mengandungkan anak aku.Kau dah dapat upah.Segalanya-galanya dah selesai.”
Zahlia terpana dengan kata-kata Tengku Syahran.Hatinya terguris.Begitu payah dia membuat keputusan untuk membantu Tengku Syahran.Rupa-rupanya dia tidak langsung menghargai pengorbanannya.
“Ingat! Jangan sebut pasal anak lagi.Benci aku mendengarnya!”
“Dahlah ,Syah! Tadi awak sendiri yang cakap, pandai-pandailah guna cara sendiri untuk buat orang percayakan kita.Bercakap mengikut kesesuaian keadaan.I’m doing my job,” Zahlia membalas kata-kata Tengku Syahran.
Tengku Syahran mendengus geram.Matanya merenung wajah Zahlia yang selamba.Namun riak yang selamba itu tiba-tiba bertukar keruh.Zahlia seperti mahu menangis menyesali nasibnya.
“Kenapa kau buat macam tu, Alia? Aku tak suka kau mereka-reka cerita yang tak wujud dalam skrip.Aku hanya mahu kau ikut apa yang aku suruh kau buat, jangan tambah benda yang tak mungkin berlaku.”
“Tadi awak yang cakap tokok-tambah apa yang patut.Saya dah ikut.Mak awak yang timbulkan soal anak.Awak nak suruh saya jawab apa? Beritahu mereka yang kita tak mungkin ada anak?” Zahlia berkata sambil melangkah ke tingkap.
“Okay, okay.It’s my fault.Tapi kau kena janji dengan aku yang kau takkan buat macam tu lagi,” pujuk Tengku Syahran setelah mendapati wajah Zahlia sudah mula keruh.
Zahlia mengetap bibir.Masih merenung gelap malam yang memenuhi ruang seisi alam.Perlahan-lahan dia mengeluh.Betapa kerdilnya dia ketika itu.Terasa menyesal pula kerana setuju dengan tawaran lelaki itu.
Zahlia tunduk.Kalau dikesali sekalipun, tidak guna lagi.Tengku Syahran sudah menjadi suaminya pagi tadi.Zahlia berpusing.Dia tersentak apabila mendapati Tengku Syahran berada betul-betul di belakangnya.Lelaki itu sedang memandangnya dengan satu pandangan yang agak luar biasa.Zahlia berdebar-debar.
“Syah, apa awak buat ni?”
Tengku Syahran tersenyum nakal.Kakinya melangkah sedikit ke hadapan untuk menghampiri Zahlia.
Takkan kau nak tanya lagi? Tadi kau sendiri yang cakap, kau tak kisah ada anak dalam tempoh setahun dua ni.Aku nak tuntut apa yang kau cakap,” ujar Tengku Syahran membuatkan Zahlia terasa bagaikan jantungnya direntap.
Segera kakinya melangkah ke belakang.Dia cuba menjarakkan diri.Namun, Tengku Syahran semakin hampir.Makin lebar senyumannya apabila Zahlia terperangkap di permukaan dinding.
“Syah, please.Jangan datang dekat saya!” Terketar-ketar Zahlia berkata.
Zahlia cuba bergerak ke tempat lain tetapi tidak berjaya.Tubuh Tengku Syahran telah pun berada di hadapannya.Ingin ditolak tubuh itu, namun dia tewas.Malah kedua-dua belah tangannya digenggam kemas.Dia tidak mampu menolak lagi.Tengku Syahran mula mendekatkan wajahnya ke wajah Zahlia.
Dada Zahlia berombak kencang.Wajah Tengku Syahran semakin hampir.Makin terasa hangat hembusan nafas lelaki itu.Perlahan-lahan Zahlia memejamkan mata.Dia takut menghadapi kenyataan yang bakal terjadi.Dia benar-benar tidak menyangka sampai begitu sekali tindakan Tengku Syahran terhadapnya.Dia berserah kepada keadaan.
Tiba-tiba kedengaran ketawa yang agak kuat.Lantas Zahlia membuka matanya.Genggaman yang kuat mencengkamnya tadi mula longgar dan akhirnya terlerai.Tengku Syahran menjauhkan diri dengan ketawa yang masih berbisa.Zahlia mengerutkan dahi.
“Kau ingat aku ni manusia jenis apa? Suka mungkir janji! Mesti kau fikir aku dah hilang akal kan?” soal Tengku Syahran sambil melangkah ke katil dengan ketawa yang masih kedengaran.Kemudian dia merebahkan tubuhnya sambil kedua-dua belah tangan dijadikan bantal.
“Kau ni kelakarlah, Alia.Aku tak seburuk yang kau sangkakan tau,” ucapnya lagi.
Zahlia memandang dengan perasaan geram.Dia main-mainkan aku? Kurang ajar betul!
“Awak memang dah gila sebenarnya Syah!” jerit Zahlia tiba-tiba.
Tengku Syahran tersentak.
“Alia, jangan jerit kuat-kuatlah.Aku dah pesan tadi kan!Nanti tak pasal-pasal ayah dan mak dengar!” marah Tengku Syahran.
“Biar mereka dengar.Awak peduli apa?” Zahlia terus menjerit.
“Alia!!!”
“Awak tipu saya Syah! Awak cakap awak boleh ikut semua syarat kalau saya sanggup kahwin dengan awak.Sekarang awak tengok apa dah jadi? Saya kena menghadap karenah adik-beradik awak, saya kena menghadap mak dan ayah awak dan saya kena menghadap muka awak hari-hari dalam bilik ni.” Suara Zahlia mula bergetar kuat.
Hatinya tiba-tiba diruntun pilu.Seluruh anggota badannya terasa lemah.Dia terjelepok di tepi dinding.Tiba-tiba sahaja perasaan sebak mencuit-cuit nalurinya.Zahlia sudah tidak dapat membendung perasaan sedihnya lagi.Lantas Zahlia menangis di situ juga.
Tengku Syahran bingkas bangun.Merenung Zahlia dengan rasa simpati.Wanita itu masih tersedu-sedan menangis sambil memeluk lutut.Timbullah rasa kesal di hati Tengku Syahran.
“Alia, aku terlupa!”
“Dah! Pergi! Jangan ganggu aku.Kau penipu! Kau pendusta!” jerit Zahlia sekuat hati.
“Okey, okey, aku takkan ganggu kau.Tapi tolong jangan jerit Alia.Nanti mak dan ayah dengar,” pujuk Tengku Syahran.
“Dahlah tu.Kau tidurlah atas katil.Biar aku tidur kat sofa ni aje,” pujuk Tengku Syahran lagi.
Tengku Syahran terus melangkah ke sofa dan merebahkan tubuhnya.Dia tidak mahu mengganggu Alia lagi.Biarlah Zahlia melayani perasaan sedihnya.Akhirnya, Tengku Syahran terlena di situ.







Bab 5


A
zan Subuh berkumandang, Zahlia terjaga.Dilihatnya jam sudah menunjukkan pukul 5.56 pagi.Dia bingkas bangun dan melangkah ke bilik air.Ketika itu Tengku Syahran masih lena di sofa panjang.Dua puluh minit kemudian Zahlia keluar dari bilik air dan terus menunaikan solat Subuh.
Setelah habis bersolat, dia memberanikan diri melangkah ke arah Tengku Syahran.Peristiwa semalam sudah lenyap dari fikirannya.Biarlah ia menjadi kenangan di hari pertama dia tinggal di villa itu.
“Syah… Syah… bangun! Dah Subuh ni.” Kejut Zahlia sambil menggoyang-goyangkan tubuh Tengku Syahran beberapa kali.Namun, tiada respons.Zahlia mengeluh.
Heiii… liatnya nak bangun? Beginikah cara hidup orang yang kaya harta? Detik hati kecilnya.
“Syah!” panggil Zahlia lagi.
Akhirnya Tengku Syahran menggeliat dan perlahan-lahan membuka mata.
“Apa hal ni?” agak keras suara Tengku Syahran.Mungkin marah kerana tidurnya diganggu.
“Bangunlah, solat Subuh!” balas Zahlia kembali dalam nada yang agak keras.
Tengku Syahran terdiam.Lantas bangun dan menuju ke bilik air.
Zahlia mengeluh dan pantas membuka telekung yang menutup sebahagian kepalanya.Telekung itu dilipat dan kemudian disidai di tempat biasa.Sejurus itu, dia melangkah ke meja solek.
Menatap wajahnya di cermin sebelum menyapu bedak.Setelah menyapu bedak di wajahnya, Zahlia menyisir rambutnya yang basah ke belakang.Begitu lurus dan tidak kusut langsung.Dia bersyukur kepada ALLAH kerana mengurniakan rambut yang cantik.
Sedang Zahlia leka menyisir-nyisir rambutnya tiba-tiba matanya terpandang wajah Tengku Syahran di sebalik pintu.Cepat-cepat dia mengambil sarung kepala dan menutupnya.
Tengku Syahran lantas mencapai sejadah dan menunaikan solat Subuh.Selesai bersolat,Tengku Syahran berdoa dan kemudian meletakkan kembali sejadah di tempat biasa.
Zahlia masih lagi berada di cermin solek sambil memerhatikan Tengku Syahran.Tengku Syahran naik rimas direnung begitu.Apa hal dengan dia ni? Tak habis-habis pandang aku! Hatinya merungut.
“Kenapa pandang macam tu? Dari tadi, kau pandang aku macam nak telan, aje?” tanya Tengku Syahran kehairanan.
Serta-merta Zahlia mengalihkan pandangan ke cermin semula.Kemudian menggelengkan kepala.Tengku Syahran pula melangkah ke katil yang telah pun dikemas rapi.Dia merebahkan tubuhnya di situ.Seketika, dia menoleh ke arah Zahlia yang masih membelek wajahnya di cermin itu.
“Awak tu yang tak senonoh? Curi-curi pandang orang,” marah Zahlia.
“Hai, pandang pun tak boleh? Kan awak tu isteri saya,” ujar Tengku Syahran.
Zahlia tidak menjawab lagi.Tidak guna layan orang macam ni.Makin dilayan, makin menjadi-jadi miangnya.Lantas dia mencapai tudung yang tersangkut di penyidai dan disarungkan ke kepala.Kemudian, dia melangkah dan menuju ke pintu.Sebelum melangkah keluar, dia sempat berkata,“Lepas Subuh tak elok tidur balik.Nanti otak bengap.”
Tengku Syahran mengetap bibir.Namun apabila menyedari kelibat Zahlia telah hilang, dia tersenyum.


ZAHLIA melangkah ke dapur.Dua orang tukang masak, iaitu Salmah dan Siti sedang sibuk menyediakan sarapan pagi.Zahlia terus menyapa mereka.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.Eh, Puan Zahlia! Awalnya bangun?” jawab Salmah yang tua dua tahun dari Zahlia.
“Emm, tak elok tidur lepas Subuh,” balasnya.
Salmah tersenyum.
“Biasanya jarang orang dalam villa ni bangun awal.Paling tak pun pukul 7.30 nanti, baru riuh sikit villa ni,” sampuk Siti.
Zahlia hanya mengangguk.
“Puan Zahlia…”
“Tak payah berpuan-puan dengan saya.Panggil Alia cukup,” potong Zahlia sebelum sempat Salmah berkata-kata.Salmah tersenyum simpul.
“Hah, Alia tak ke mana-mana?Ajaklah Syah berjalan-jalan.Orang baru kahwin ni elok pergi berbulan madu,” sambung Salmah yang berkelulusan ijazah dalam bidang Catering di Universiti Putra Malaysia dalam nada malu-malu.Siti yang mendengar hanya tersengih.
Zahlia menjungkitkan bahu.Tidak pernah dia memikirkan hal itu.Lagipun dia malas mahu bercakap banyak tentang Tengku Syahran.Malah apabila mendengar nama lelaki itu disebut tadi, dia segera terkenangkan jeritannya malam tadi.Terbayang kelakuan lelaki itu yang sengaja mengusiknya.
Ah, kalau perkahwinan ini sampai ke pengetahuan Razif, mesti Razif akan mentertawakannya.Betapa bodoh dirasakan kerana mengambil tindakan yang terburu-buru tanpa diketahui Razif.
Razif! Sudah sebulan dia tidak menjenguk Razif.Entah apalah khabarnya tidak diketahui.Hari pembedahan semakin hampir.
Zahlia segera teringatkan cek yang perlu ditunaikan.Cek yang telah diberikan oleh Tengku Syahran sehari sebelum berlangsungnya perkahwinan mereka.Dua hari lagi, Zahlia akan ke bank dan menunaikan cek itu.Kemudian dia akan menyerahkan wangnya kepada Razif agar pembedahan akan dijalankan dengan lancar.
Zahlia tersenyum lega.Tidak lama lagi, Razif akan sembuh sepenuhnya.InsyaAllah kalau diizinkan TUHAN.Razif adalah teman rapatnya sejak kecil di rumah anak-anak yatim sehinggalah dia diambil oleh Puan Azizah sebagai anak angkat.
Namun, hubungan mereka yang terputus mula menjadi baik apabila Zahlia mengambil keputusan untuk menjadi ahli sukarelawan mengajar anak-anak yang kehilangan ibu bapa sepertinya.Dia sendiri tidak menyangka akan bertemu dengan Razif semula di tempat yang sama.Tempat yang pernah didiami ketika kecil.
Zahlia tidak pernah menyesal memilih keputusan untuk mengajar anak-anak yatim.Malah dia bersyukur kerana ALLAH sentiasa membuka pintu hatinya untuk membuat kebajikan di muka bumi.Walaupun segulung Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berada di genggamannya.
“Alia tahu tak, Syah suka betul makan kuih pelita.Sebab itu sebulan sekali kami diarahkan membuat kuih tu.Lepas tu dalam sebulan biasanya kami akan masak makanan yang diminati oleh semua orang dalam villa ini. Alia suka makan apa? Nanti kami masakkan,” bicara Salmah mengaburkan lamunan Zahlia.
Zahlia terpinga-pinga.Namun dia cuba tersenyum.
“Saya makan semua Kak Mah.Tak kisah, selagi halal,” jawab Zahlia.
Kedua-dua tukang masak itu begitu pantas membuat kerja-kerja di dapur.Zahlia hanya memerhati sejak tadi.Dia mahu menolong tapi dihalang.
“Biasanya hari apa orang dalam rumah ni makan besar?” soal Zahlia.
Siti mengetap bibir.
“Tengok pada persetujuan ramailah.Setakat ni, Tengku Ismail lebih suka kalau hari terakhir setiap bulan dijadikan tarikh perjumpaan anak-beranak,” jawab gadis hitam manis itu bersungguh-sungguh.
Kemudian Zahlia melangkah pula ke rak-rak pinggan.Niatnya terbantut lagi.Salmah melarang keras dan memintanya menunggu di ruang tamu.Zahlia mengeluh kecil sebelum melangkah keluar dari dapur.Ruang tamu villa ini begitu besar.Begitu terserlah kecantikannya sejak akhir-akhir ini.Mungkin kerana menyambut kedatangan ahli keluarga baru.Zahlia tersenyum dalam hati.
Villa ini terlalu mewah untuk aku duduki.Sepatutnya Linda yang sesuai tinggal di sini seterusnya memegang gelaran menantu kepada Tengku Ismail dan Tengku Badariah.Sedangkan aku, hanyalah insan yang tiada ibu bapa.Hanya mendapat kasih sayang dari Puan Azizah,Razif, Fatimah dan anak-anak yatim.
Tiba-tiba Zahlia teringatkan Tengku Syahran.Kenapa aku bodoh sangat menerima tawaran lelaki itu? Sepatutnya aku membiarkan dia berkahwin dengan Linda.Baru dia tau! Baru sehari aku menjadi isterinya, dia sudah mengawal segala-galanya.Ah, bosan!
Linda! Zahlia tiba-tiba terasa kerongkongnya tersekat.Semalam dia ada perasan beberapa orang wanita sedang merenung tajam ke arahnya sambil berbisik-bisik.Tetapi, Zahlia tidak tahu yang mana satu Linda seperti yang dimaksudkan oleh Tengku Syahran.
Yang paling Zahlia ingat ialah Hazwin, sepupu Tengku Syahran yang sudah pun berkahwin.Masakan dia akan lupa wanita yang menegurnya sinis.
Zahlia mengeluh kecil.Perjuangannya di rumah itu baru bermula.Semalam dia hampir berputus asa.Hari ini? Entahlah, Zahlia kurang pasti.Belum pun sehari Zahlia menetap di situ, Tengku Syahran sudah menunjukkan aksi-aksi mahu berubah.Bahasa yang kasar dan perbuatan yang benar-benar menakutkannya semalam.
Zahlia tersentak apabila terasa bahunya dicuit.Dia berpaling dan Tengku Hakimi yang tersengih menghadapnya.
“Aikk, pagi-pagi dah termenung? Ingatkan apa?” soal Tengku Hakimi.
“Dah lama ke along turun?” soal Zahlia.
Tengku Hakimi menggeleng.
“Baru aje.Ingatkan nak melepak kat taman mini luar tu.Ternampak Alia tengah termenung kat sini.Kalau along tak tegur tadi, sampai ke benua mana Alia pergi pun along tak tau,” usik Tengku Hakimi.
Zahlia tersenyum kelat.
“Okeylah, along nak ambil angin kat luar.Alia nak ikut?” tanya Tengku Hakimi.
“Tengku Murni mana?” soal Zahlia.
“Tidur lagi.Penat sungguh dia semalam.Alia nak ikut tak? Kita sembang-sembang,” pelawa Tengku Hakimi lagi.
Lama Zahlia berfikir dan akhirnya dia mengangguk.















































Bab 6


T

ENGKU SYAHRAN terjaga dari tidur.Gelak ketawa Zahlia kedengaran sehingga ke biliknya.Tengku Syahran bingkas bangun dan mengintai disebalik tirai langsir.Dari bilik atas dia dapat melihat Zahlia ketawa.Tengku Hakimi yang berada di sebelahnya sedang rancak bercerita.
Tengku Syahran mengetap bibir.Cemburu juga dia melihat kemesraan itu.Zahlia nampaknya lebih senang dengan Tengku Hakimi.Dengannya? Tengku Syahran malas hendak fikir.
Sejak dia mengusulkan cadangan untuk memperisterikan Zahlia dalam rancangan itu, Zahlia sudah tidak kelihatan seperti kali pertama mereka bersua semasa berlakunya kemalangan.
Kini, wanita itu sedang ketawa dengan gembira.Cemburu? Ya, Tengku Syahran memang cemburu.Tetapi, bila difikirkan semula, untuk apa dia cemburu? Sedangkan dia tahu Zahlia bukan haknya yang mutlak.Mereka hanya sah sebagai suami isteri hanya di dalam sijil nikah dan surat perjanjian.Yang selebihnya, tidak.Tengku Syahran mengeluh.Kemudian dia menuju ke sofa di hujung katil.
Kasihan, Alia! Tak semena-mena terlibat sama dalam masalah hidup aku, keluh Tengku Syahran.Aku pun satu, guna bahasa yang kasar sangat tu kenapa? Baru sehari dah tunjuk belang… dahlah dia sudi tolong aku! Ah, perempuan tu keras kepala.Biarkan… dia rasa.Tiba-tiba terbayang di fikirannya wajah Zahlia yang muram malam tadi.Teresak-esak Zahlia menangis di tepi dinding.Sampai Tengku Syahran sendiri tidak tahu bila isterinya terlelap.
Namun, ketika Tengku Syahran terjaga lewat pukul 4.00 pagi,dia terpanggil untuk mengamati keadaan Zahlia.Isterinya hanya terbaring lesu di atas ambal tanpa bantal dan selimut.
Niat Tengku Syahran untuk ke bilik air hilang begitu saja.Yang terlahir di hati hanyalah nafsu lelakinya yang tiba-tiba bergelora.Bila teringatkan syarat-syarat yang dikenakan, terpaksalah dia mengawal nafsunya.


TIBA-TIBA pintu biliknya diketuk.Tengku Syahran menuju ke pintu dan membukanya.Wajah adik bongsunya Tengku Farhana muncul.
“Angah, mak suruh turun.Breakfast,” ucap gadis berumur 17 tahun itu.
“Baiklah, nanti Abang Ngah turun.”
Sepuluh minit kemudian, Tengku Syahran sampai di meja makan.Ahli-ahli keluarga yang lain sedang bersembang-sembang.Mata Tengku Syahran cuba mencari kelibat Zahlia.Dan tiba-tiba Zahlia muncul dari dapur membawa seteko air minuman.
“Maaf, Tengku Syahran! Saya nak buat semua kerja, tapi Puan Zahlia yang beria-ia mahu menolong,” ucap Salmah takut-takut apabila menyedari sejak tadi pandangan lelaki itu seakan terpaku ke arah Zahlia.
Tengku Syahran tersedar dari lamunannya.Segera dia mengangguk.
“Alia, mari duduk sebelah abang,” panggil Tengku Syahran sambil menarik kerusi kosong di sebelahnya.
Zahlia merenung Tengku Syahran.Lambat-lambat dia melangkah menuju ke kerusi itu.Hatinya tiba-tiba terasa pelik.Apa kenalah dengan mamat seekor ni! Bukan main romantik pulak? Bebel Zahlia.
Keluarga Tengku Ismail bersarapan dengan penuh meriah.Makanan yang terhidang begitu membuka selera.Sambil mengisi perut, mereka bersembang-sembang.Dan adakalanya mereka ketawa apabila masing-masing menyakat sesama sendiri.
Zahlia berlagak gembira pagi itu.Banyak kisah silam Tengku Syahran sampai ke pengetahuannya apabila Tengku Badariah ligat menceritakan kisah yang sudah lama menjadi sejarah.Walaupun pada awalnya Zahlia tidak berminat, namun apabila mengetahui yang sewaktu kecil, Tengku Syahran pernah dijodohkan dengan dua pupunya yang hilang menyebabkan Zahlia berminat tiba-tiba.Keluarga ini tidak akan lari dari memasang jodoh dengan anak-anak kenalan rapat.Fikir Zahlia.
Sesekali Zahlia ketawa gelihati apabila Tengku Hakimi mengusik Tengku Syahran.Tengku Hafizah, anak ketiga keluarga Tengku Ismail pula hanya ketawa dan tidak banyak bercakap.Tengku Farhana juga begitu.Tengku Murni pula hanya sesekali ketawa seolah-olah memahami topik yang sedang dibualkan.
“Eh… eh… Alia! Makanlah lagi.Mak tengok kamu makan sikit aje tu.Tambah lagi,” ujar Tengku Badariah sambil mencedok mi goreng ke pinggan Zahlia.
Zahlia ingin mengelak namun mi goreng itu sudah pun sampai ke pinggannya.Mahu tidak mahu, Zahlia terpaksa menghabiskannya.Tengku Syahran pula mengambil peluang menatap wajah isteri yang baru dinikahi semalam.
Penuh tatatertib wanita itu menyuapkan mi goreng ke mulutnya.Keasyikan Tengku Syahran memerhati gerak-geri Zahlia telah membuatkannya tidak menyedari yang perbuatannya juga sedang diperhatikan oleh Tengku Hafizah.
Segera Tengku Hafizah menyiku lengan Tengku Syahran membuatkan Tengku Syahran tersedar dari lamunan.
“Sakitlah,” ucapnya sedikit marah kerana khayalannya diganggu.Adik-beradik yang lain memandang ke arah mereka.
“Fiza, apa kau buat angah kau macam tu?” tegur Tengku Hakimi.
“Sorrylah angah.Fiza rimaslah tengok angah pandang Kak Alia macam tu.Meremang bulu tengkuk ni tau tak,” ucap Tengku Hafizah selamba.
Zahlia terhenti menyuap mi goreng ke mulutnya.Perlahan-lahan dia memusing memandang Tengku Syahran yang kelihatan resah.Tengku Farhana pula hanya tersenyum-senyum sejak tadi.
“Bukan apa angah, macamlah angah tak puas lagi menatap wajah Kak Alia.Sampai hari ni pun nak tenung lama-lama,” tambah Tengku Hafizah lagi.
“Yang kau sibuk-sibuk tu apasal? Suka hati angahlah nak pandang ke nak apa ke? Kak Alia dah jadi isteri angah, kalau kau nak suruh angah cium dia sekarang pun, angah boleh buat kalau kau nak tengok,” luah Tengku Syahran membuatkan wajah Zahlia tiba-tiba merah.Perasaan malu tiba-tiba menyelinap ke segenap wajahnya.
“Elehh, macam berani sangat? Ingat Fiza tak tau perangai angah yang penakut tu?” cabar Tengku Hafizah.
Tengku Syahran berasa geram.
“Kau cabar angah?”
“Buatlah.”
Segera Tengku Syahran menarik Zahlia menghampiri dan mencium pipi isterinya itu sekuat hati.Zahlia tersentak.Pantas menolak tubuh Tengku Syahran.Zahlia rasa malu tiba-tiba.
“Eleh, angah cium pipi aje.Tu dah biasa orang buat,” balas Tengku Hafizah tidak puas hati.
“Habis tu, kau nak angah cium apa pulak?” tanya Tengku Syahran.
Zahlia tersentak lagi mendengar kata-kata Tengku Syahran.
“Hisy… kau ni, malu Alia dibuatnya.Tengok muka Alia tu dah merah padam,” tegur Tengku Hakimi.
Zahlia tunduk.Perbuatan Tengku Syahran tadi betul-betul memeranjatkan.Selama ini pipinya tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki.Dan hari ini merupakan sejarah.Pipinya yang licin, telah disentuh oleh lelaki yang telah menjadi suaminya.Dan sentuhan itu bukanlah sentuhan biasa baginya.
“Betul jugak cakap along tu.Malaslah Fiza nak cabar angah lagi.Lagipun buat apa Fiza tengok angah cium kak Alia.Buang karan aje.Angah simpanlah ciuman angah tu elok-elok ya,” usik Tengku Hafizah lagi.
Zahlia terasa duduknya semakin tidak selesa.Tiba-tiba Zahlia terasa tangannya digenggam kemas oleh jari-jemari Tengku Syahran di bawah meja.Zahlia terpana seketika.Dia cuba menarik tangannya.Tetapi tewas dan akhirnya membiarkan sahaja.
“Alia, temankan mak pergi shopping hari ni boleh tak?” Tengku Badariah bersuara tiba-tiba.
Zahlia memandang wajah emak mentuanya.Pelik.Cepat benar wanita itu mengajaknya berjalan bersama.Padahal baru semalam dia sah bergelar menantu di rumah ini.
Tengku Ismail mengerling Tengku Badariah.Ada cahaya kurang senang di matanya dengan kata-kata isterinya itu.Dia tahu Tengku Badariah sekadar menguji.Malah isterinya pernah memberitahu yang dia akan menguji setiap ahli keluarga baru di villa itu.Tidak kira lelaki ataupun perempuan.
“Yah nak uji setiap menantu kita sehari selepas majlis perkahwinan,” ayat itulah yang masih diingatinya sehingga ke hari ini.
“Awak jangan nak buat benda yang tak pernah dibuat orang! Mana ada orang baru kahwin sehari dah keluar shopping sana-sini.Buang tabiat agaknya awak ni!” marah Tengku Ismail sewaktu isterinya menyuarakan cadangan itu.
“Alah,Yah bukan nak keluar betul-betul.Yah nak tengok reaksi mereka aje.Sudi tak keluar dengan mentua.”
Tengku Ismail hanya mampu mengeluh.Dia masih ingat ketika Raja Jasmin baru menjadi menantunya, isterinya itu telah mengajukan soalan yang sama.Tetapi Raja Jasmin menolak bulat-bulat tanpa apa-apa alasan.Akhirnya, Tengku Badariah muncung di dalam kamar tidur.



“BOLEH tak Alia?” suara Tengku Badariah memecah ingatan lama.
Tengku Ismail merengus kecil.
“Mereka baru berkahwin semalam, Yah! Nak bermanja-manja pun belum cukup, awak nak kacau masa mereka.Sabar-sabarlah dulu.Tunggu seminggu dua lagi ke?” bangkang Tengku Ismail.
Tengku Badariah menarik muka masam.Dia sudah menjelaskan pada suaminya yang dia hanya mahu menguji.Suaminya langsung tidak faham.
Tengku Farhana dan Tengku Hafizah ketawa geli hati.Mereka faham benar dengan perangai emak kesayangan mereka itu.Pantang ditegur, kalau tidak berjawab, pasti mengambil jalan mudah untuk merajuk.
Zahlia yang sedang membisu kerana tangannya masih digenggam terpaksa memikirkan cadangan Tengku Badariah.Dia telah mengambil cuti selama empat hari.Kini baru sehari dia menjalani kehidupan berkeluarga di villa itu tetapi setiap waktu benar-benar membuatkannya sesak.
Hendak terima atau tidak?Jika dia terima ajakan itu, dia risau emak mentuanya akan bertanya pelbagai soalan dan dia takut terlepas cakap tentang perkahwinan mereka.
Jika tidak terima, dia akan lebih terseksa menghadapi Tengku Syahran di mana-mana sudut villa itu, apatah lagi di dalam bilik.Itu pun baru hari ini, belum esok.Belum lusa.Pasti membosankan!
“Alia tak kisah.Kalau mak nak ajak, tanyalah abang dulu.Alia kan hak dia.”
Pandai sungguh Zahlia berkata-kata.Tengku Syahran terkejut.Beraninya dia nak keluar dengan mak aku.Tiba-tiba mak aku korek rahsia perkahwinan ni, apa kau nak jawab? Tak pasal-pasal heboh satu Malaysia.Perkahwinan anak Tengku Ismail sebenarnya disertai surat perjanjian! Mampus aku! Hatinya merintih.
Tengku Badariah pula tersenyum senang hati.Jawapan Zahlia melegakan hatinya.Dia menjeling suaminya yang hanya mampu menggeleng.
“Boleh, Syah? Mak nak keluar dengan isteri kamu sekejap?” pinta emaknya.
Nak bagi tak? Dia kan isteri aku? Kalau aku tak bagi, mak tak boleh nak cakap apa.Lagipun baru kahwin semalam.Betul jugak cakap ayah, nak bermesra dengan isteri pun belum puas lagi.Perempuan ni pun satu.Duduk aje la kat rumah.Bukan aku nak ganggu dia pun.Yang semalam tu, bukannya aku sengaja.Sekadar mengusik pun sampai terjerit-jerit.Nasib baik rumah ni, rumah batu… kalau tak?
“Syah!” lamunannya terhenti.
“Hmmm… boleh! Tapi…”
“Tapi apa?”
Zahlia memandang Tengku Syahran.Dia berasa lega suaminya memberi keizinan.Tidak salah jika dia mahu mengenali hati budi emak mentuanya itu.Dan yang paling penting, dia boleh melarikan diri dari perangai Tengku Syahran yang menyakitkan hati.Terbayang peristiwa semalam.Hampir-hampir dirinya membiarkan perlakuan lelaki itu.
“Syah pun kena ikut!”
Zahlia tercengang.Runtuh harapannya.Menghadap dia lagikah? Gerutu hatinya.Tengku Badariah pula membisu.Diam-diam dia pun turut setuju.
“Em, boleh jugak! Kita naik kereta Alia.Mak pun nak keluar dengan anak menantu mak yang baru kahwin ni.”
Zahlia tersentak lagi.Dengan pantas tangannya yang erat digenggam oleh lelaki itu, ditarik kasar.Tanda protes.Zahlia sakit hati apabila Tengku Syahran buat tidak reti.Dia hanya mendiamkan diri sambil menikmati sarapan dengan hati yang sebal.

bab 7-10

Bab 7

T

ENGKU BADARIAH, Tengku Syahran dan Zahlia malangkah masuk ke Mines Shopping Fair lewat tengah hari itu.Zahlia tidak banyak bercakap.Sepatah ditanya, sepatah dijawab.Sebenarnya Zahlia tidak berapa selesa berada disamping Tengku Syahran.
“Ha, Alia! Tengok baju baby ni cantik tak?” Tanya Tengku Badariah.
Zahlia terpana seketika.Emak mentuanya sedang berada di sebuah kedai pakaian bayi yang bernama Poney.Zahlia memandang Tengku Syahran yang nampak seperti ingin ketawa.Dia terpaksa menahan sabar.
“Ya mak, memang cantik.Tapi, kami belum bersedia lagi mak! Kami dah bincang semalam, Alia kata dia tak mahu anak lagi,” ujar Tengku Syahran selamba.
Zahlia menjegilkan matanya ke arah Tengku Syahran.Mengetap bibir tanda geram.Merah padam terasa wajahnya kerana dimalukan begitu di hadapan emak mentuanya.
Tengku Badariah memandang Zahlia.Meminta kepastian.Semalam, dua-dua kata tak kisah.Hari ni, ada pulak alasannya.Lambat lagilah aku nak timang cucu? Detik hatinya.
“Mak jangan dengar cakap abang tu.Dia tu nak menuduh aje.Depan mak, bukan main lagi.Padahal dia yang kata bila ada anak nanti susah nak berdua-duaan.Nak bermanja-manja! Malas Alia nak lawan cakap dia lagi.” Zahlia melawan kata.
Kini giliran Tengku Syahran pula menjegilkan mata.Jaga kau! Nak kenakan aku pulak!
“Mana satu yang betul ni? Siapa yang tak mahu anak?” tanya Tengku Badariah.
Zahlia dan Tengku Syahran berpandangan.Kemudian masing-masing menunjuk sesama sendiri.Tengku Badariah memandang kedua-dua anak menantunya bergilir-gilir.
“Kau berdua ni, patut sedar yang anak adalah pembawa rezeki.Bertambahnya anak, bertambahlah rezeki.Itu pun kamu berdua nak sekat-sekat.Bukannya susah, kalau ada anak nanti, kamu tinggalkan aje pada mak bila nak berdua-duaan.Mak kan ada! Boleh jaga,” nasihat Tengku Badariah.
Zahlia terdiam kerana terasa bersalah akibat berbohong tadi.Emak mentuanya bersungguh-sungguh mahukan cucu lelaki.Kasihan kalau Tengku Syahran tidak mencari calon secepat mungkin untuk melahirkan zuriat lelaki.Aku?Tak mungkin! Aku tak pernah sayangkan dia dan tak mungkin itu berlaku.Lelaki macam ni nak aku jadikan suami? Tak sanggup!
“Yalah mak! Sebenarnya Alia yang tak mahu lagi.Kami nak tunggu kedudukan rumah tangga stabil dulu.Baru fikirkan tentang anak.Kan bang?” Zahlia akhirnya mengalah.
Tengku Syahran terkejut kerana tidak sangka Zahlia sudi mengalah.Kali pertama Tengku Syahran bertemu dengan perempuan yang tidak suka membalas kata-katanya dengan perbalahan yang panjang.
Zahlia tidak seperti Nazirah.Sungguh berbeza! Nazirah pantang dicabar, pastinya disahut.Zahlia pula hanya sedikit rasa tercabar.Akan mengalah apabila dia rasa bersalah.
Keberanian Nazirah dalam segala hal telah mengikat hati Tengku Syahran.Nazirah adalah segala-galanya.Pakaian gadis itu memang mengikut perkembangan semasa.Tudung yang dipakai, ikut citarasa terkini.Kelembutan tetap ada walaupun nampak lincah dan bersahaja.
Nazirah! Sayang sekali gadis itu telah tiada.Dan kesannya hinggalah ke hari ini wajah itu terpahat di hati Tengku Syahran.Dia merana akibat peristiwa itu.Terasa sekejap perhubungannya dengan Nazirah.Padahal sudah hampir lima tahun mereka bersama.Memang telah tersurat gadis itu pergi dahulu menyahut seruan Illahi.
“Ni, kenapa tiba-tiba senyap?” tegur Tengku Badariah mematikan memori lamanya.
Kelihatan Tengku Badariah dan Zahlia sedang ketawa.Tengku Syahran hanya menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.Bayangan Nazirah telah hilang.Teringat Zahlia yang sudah menjadi isterinya.Dia akan cuba mengelak dari jatuh cinta pada wanita itu.Nazirah masih terpahat utuh dalam jiwa.Tiada insan lain.
Mungkin dia hampir tewas malam tadi tetapi hatinya tidak pernah terlintas untuk menyayangi mana-mana wanita lain selepas Nazirah.Tengku Syahran akui Zahlia berjaya menggugat nafsu lelakinya semalam.Dan Tengku Syahran sendiri tidak pernah lupa jika seorang lelaki dan permpuan duduk berdua-duaan, yang ketiga adalah syaitan.
Tengku Syahran seorang lelaki.Dia gagal menyekat keinginan lelakinya terhadap seorang wanita tambah-tambah lagi Zahlia adalah perempuan pertama yang tidur bersama di bilik itu walaupun di tempat yang berbeza.
“Syah, mak dah haus ni.Jomlah pergi basahkan tekak.” Lamunan Tengku Syahran melayang lagi.
Tengku Syahran mengangguk.
“Marilah.Kita ke Food Court kat sebelah sana,” ajak Tengku Syahran.
Mereka berjalan bersama menuju ke bahagian yang telah dikhaskan untuk ruang makan.Setelah memesan minuman, Tengku Syahran datang membawa dulang yang berisi minuman itu ke meja yang telah dipilih oleh Tengku Badariah dan Zahlia.
“Emm… leganya tekak ni.Haus benar,” ujar Tengku Badariah sambil meletakkan cawan kertas itu di atas meja.
Zahlia tersenyum.Turut menyedut minuman ringan di hadapannya.
“Dalam persatuan mak tu, selalunya aktiviti apa yang mereka jalankan untuk kaum wanita?” soalan Zahlia kedengaran.
Tengku Syahran hanya diam.Sudah dapat meneka tajuk perbualan kedua-dua wanita itu sering diselangi gelak ketawa sejak tadi.
“Banyak.Ada macam-macam pertandingan.Kadang-kadang kami buat lawatan.Biasanya bergantung pada persetujuan ahli jugak,” jawab Tengku Badariah sambil memandang wajah menantunya itu.
Cantik dia ni! Puji hati kecil Tengku Badariah.Matanya itu kemudian beralih pada anak mata Zahlia yang disedari ada tarikan di situ.Warna anak mata coklat cair itu seperti pernah dilihat sebelum ini.Tengku Badariah tidak tahu di mana.
“Ohh… kiranya mak ni aktif jugak lah ya? Dulu abang pernah cerita sikit aje tentang mak.” Zahlia mengerling wajah Tengku Syahran yang tidak mengikuti perbualan yang digembar-gemburkan.Lelaki itu hanya diam.
“Alah… penolong setiausaha aje,” ringkas Tengku Badariah menjawab.
Mata Tengku Syahran mula meliar ke ruang makan.Fikirannya tidak tertumpu apa-apa yang dibualkan.Dia malas mahu mencampuri urusan emaknya itu.
“Syah, kamu ni kenapa? Diam dari tadi?” Tengku Badariah menegur anaknya yang tidak banyak bercakap sejak tadi.
“Ehh, tak adalah mak! Syah okey.Tak tau nak cakap apa.Yalah, perempuan kalau bertemu perempuan, lelaki yang seorang kalahlah.”
Zahlia tergelak kecil.Dia hampir terlupa dengan kehadiran Tengku Syahran di sisinya.Dia terlalu seronok menanyakan hal-hal persatuan Tengku Badariah.Zahlia mula tertarik dengan wanita itu.Kewujudan Tengku Syahran terus dilupakan.Jika Tengku Badariah tak tegur tadi, pasti Tengku Syahran telah dianggap tidak pernah ada ketika itu.
“Alah mak… lelaki kalau senyap aje tu, jangan dianggap tak ada apa-apa.Tambah-tambah lagi bila mata gatalnya meliar tak tentu arah.Entah apa yang dilihatnya,” ucap Zahlia berbaur marah.
Sengaja dia bertindak begitu kerana mahu lakonannya berkesan.Jauh di sudut hati, dia bersimpati pada Tengku Badariah.Tidak langsung dapat mengesan perkahwinan yang diadakan secara tergesa-gesa itu sebenarnya merupakan satu muslihat.
Sudah tiga bulan dia mengenali Tengku Syahran sejak kemalangan itu dan hampir dua hari sudah dia bergelar isteri kepada lelaki yang tidak pernah dicintai.
Zahlia menjeling seketika kepada Tengku Syahran.Entah mampu atau tidak dia mengharungi hidup bersamanya tanpa melanggar surat perjanjian.Ya ALLAH! Minta dijauhkan hal-hal yang menakutkan.Bisik hati kecil Zahlia.
Tengku Badariah ketawa kecil apabila mendengar ayat yang diucapkan Zahlia seterusnya mematikan lamunan menantunya itu.Tengku Syahran pula hanya terkulat-kulat.
“Kamu berdua ni tak mahu merancang pergi honeymoon ke?” soalan Tengku Badariah membuatkan Tengku Syahran dan Zahlia tergamam.
Mereka berpandangan sesama sendiri.Kelu lidah masing-masing untuk berkata.Tengku Badariah sedang menanti jawapan.Wajah anak menantu itu ditatapi bergilir-gilir.
“Tak tau lagi mak.Syah dengan Alia belum fikirkan.Lagipun lusa kami dah start kerja! Nak pergi honeymoon pun tak sempat,” jawab Tengku Syahran tenang.Tangan Zahlia mula dicapai dan digenggamnya kemas di bawah meja.
Zahlia tetap diam.Tengku Badariah pula kurang setuju dengan jawapan itu.Berkerut-kerut dahinya memandang mereka.
“Kenapa cepat sangat nak kerja? Kamu berdua tak minta cuti panjangkah Syah, Alia?” tanya Tengku Badariah.
“Kami sibuklah mak! Syah kena uruskan projek terbaru syarikat.Alia pulak kena uruskan program terbaru untuk anak-anak yatim tu,” ujar Tengku Syahran selamba.
Tengku Syahran hanya tahu sedikit tentang rancangan Zahlia itu sebelum mereka berkahwin.Zahlia ada memberitahunya yang dia perlu menguruskan program untuk anak-anak yatim selepas tarikh mereka berkahwin.Disebabkan itu, masing-masing hanya memohon cuti selama empat hari sahaja.
Tengku Syahran tidak pernah tahu di mana Zahlia bekerja.Dia hanya tahu Zahlia mengajar anak-anak yatim di sebuah rumah kebajikan.Nama tempat itu langsung tidak diketahui.Latar belakang Zahlia juga tidak pernah diselidiki.Zahlia hanya pernah menceritakan sekali imbas tentang hidupnya yang sebatang kara.Tiada ibu bapa dan tinggal dengan keluarga angkat sejak berumur lima tahun.
Zahlia juga pernah berkata yang dia ditemui di tengah-tengah semak sewaktu kecil.Itu sahaja yang Tengku Syahran tahu.Tidak langsung mahu ditanya sama ada wanita itu ada apa-apa kelulusan dalam pelajaran, belajar di takat mana, pernah memasuki universiti atau tidak dan bermacam-macam lagi yang kini menjadi tanda tanya dalam benaknya.
“Kamu berdua kan baru berkahwin.Takkan tak teringin berbulan madu seperti orang lain?” pertanyaan Tengku Badariah mengembalikan fikiran Tengku Syahran ke alam realiti.
“Mak, kalau nak berbulan madu, tak payah nak pergi jauh-jauh.Dalam bilik pun boleh jugak, kan?” ujar Tengku Syahran.
Wajah Zahlia merona merah.Direntap terus tangannya yang berada di bawah meja.Dia nampak Tengku Syahran sedang senyum mengejek.Kurang ajar! Dah gatal sangat agaknya, gumam Zahlia.
“Hisy… mangarut sungguh budak ni.Kita cakap betul-betul, dia main-main pulak!” marah Tengku Badariah.
“Memanglah abang ni.Merepek-repek aje.Ada cakap macam tu depan mak.” Zahlia cuba bertenang sedangkan hatinya hanya ALLAH sahaja yang tahu.
Tengku Syahran ketawa berdekah-dekah.
“Betulkan apa yang abang cakap? Tak payah nak pergi jauh-jauh.Lebih afdal dalam rumah sendiri.” Tengku Syahran masih mengusik Zahlia.
Zahlia terus membisu.
“Dahlah tu.Jom kita balik.Kamu ni Syah tak habis-habis nak mengusik Alia.Kasihan mak tengok.” Tengku Badariah mencelah apabila melihat wajah Zahlia yang mula berubah.
“Marilah.Zohor pun dah nak habis ni,” ajak Tengku Syahran sambil melirik jam tangannya.
“Baik kita singgah masjid dulu.Lepas bersolat, baru kita balik,” cadang Tengku Badariah sambil memandang Zahlia yang masih terdiam.
Tengku Syahran mengangguk.Mereka kemudian beredar.







Bab 8


T

ENGKU SYAHRAN mula bekerja hari ini setelah empat hari bercuti.Awal pagi lagi dia sudah sampai di Neraca Holdings.Walaupun empat hari bercuti, rasanya macam seminggu.Apa tidaknya, perkahwinan yang tak dirancang.Tentu bosan.
“Assalamualaikum… Encik Syahran,” sapa Yani lembut.
Gadis yang kecil molek itu tersenyum manis menyambut kedatangan majikannya pada pagi itu.Tengku Syahran membalas senyuman setiausahanya seperti biasa.
“Ada appointment untuk saya pada hari ini?” tanya Tengku Syahran sedikit ceria.
Tidak tahu mengapa dia berasa segar sekali hari ini.Mungkin hari ini adalah hari pertama dia bersolat secara berjemaah dengan isterinya.Selama ini, dia tidak pernah menjadi imam.Zahlialah orang pertama.
“Happy aje Encik Syahran! Ada apa-apa ke?” tegur Yani membuatkan Tengku Syahran ketawa kecil.
Setiausahanya itu memang pandai mengambil hati.Buat kerja pun jarang ada yang silap.
“Saya tanya awak soalan itu ke?” berbaur gurauan kata-kata Tengku Syahran.
Yani tersenyum simpul.Menyedari kesilapannya.
“Maaf Encik Syahran! Emm… hari ini Encik Syahran ada appointment dengan Encik Adli,” ucap Yani sambil meneliti kalendar rancangan yang dikhaskan untuk temujanji Tengku Syahran.
Tengku Syahran mengerutkan dahi.Segera melepaskan pandangan pada pintu bilik Adli tidak jauh dari situ.Adli temannya sejak dari sekolah lagi sehinggalah ke universiti dan kini menjadi pembantu dalam perniagaannya.
“Apa dia mahu?”
“Encik Adli ajak Encik Syahran main boling malam nanti.Katanya kat tempat biasa dan tempatnya dah ditempah.” Yani masih memandang kalendar rancangan itu.
“Aikk… personal case pun awak catatkan dalam kalendar tu?”
“Dah tugas saya Encik Syahran.Encik Adli yang suruh saya tinggalkan pesan dan saya sebagai setiausaha Encik Syahran hanya menurut perintah.”
Tengku Syahran mengangguk.Kemudian dia melangkah ke biliknya dan melakukan kerja-kerja yang terbengkalai.Nasib baik dia tidak mengambil cuti panjang.Jika tidak banyaklah kerjanya yang terpaksa dibereskan.
Itu pun maknya masih sibuk menyoalkan tentang hal berbulan madu dan menyuruh Tengku Syahran membawa Zahlia melancong ke tempat orang.
Hehh… tak mungkin aku nak pergi jauh-jauh.Dalam bilik pun aku dah tak boleh nak tahan, bila dah jauh? Apa pulak jadinya! Lagi parah… Astaghfirullah-al-azim.
Tiba-tiba pintu bilik terbuka luas.Tengku Syahran terkejut.Adli muncul dalam senyuman.
“Assalamualaikum,” sapa Adli.
“Hmm… Waalaikumussalam.Kau dari mana?” soal Tengku Syahran seraya mencampakkan pen di atas meja.
Adli terus duduk di hadapannya.
“Aku dari bilik akulah.Mana lagi?”
“Anis sihat?”
“Okey.Semalam aje dia tak sedap badan.Faham-faham ajelah orang perempuan kalau pregnant! Kau bagaimana? Sejak jadi pengantin baru ni, bukan main lagi. Tak call aku pun masa cuti.Sibuk berhoneymoon ke?” usik Adli dengan ketawa nakal.
“Merepeklah kau.Nothing happen okay! Dia ke tempat lain dan aku ke tempat lain.Tak ada persamaan,” jawab Tengku Syahran.
Adli sudah tahu tentang perkahwinan Tengku Syahran dan juga tentang surat perjanjian.
“Aku takut kau tak mampu bertahan lama Syah! Dulu lagi aku dah ingatkan… Alia tu have something yang boleh membuatkan kau layu.Jangan sampai kau tersyok sendiri dahlah!”
“Hei, aku ingat lagi perasaan aku tau.Tak akan ada cinta untuknya kerana Nazirah tetap nombor satu.”
“Asyik-asyik Nazirah.Nazirah dah tak ada Syah.Sampai bila kau nak tutup pintu hati kau tu? Cuba bagi peluang kat diri-sendiri.”
Adli mengeluh dengan sikap temannya itu.Nazirah juga adalah sahabatnya ketika di universiti dahulu.Tidak sangka di waktu itu, Tengku Syahran menaruh hati pada Nazirah.Gadis bertudung yang ligat dan peramah itu.
“Sayangku pada Nazirah tak ada tandingan.Alia… kau suruh gantikan tempat Nazirah? Kirim salam ajelah.Bagi free pun aku tak ingin!” Tengku Syahran berkata riak.
“Wehh… bagi free tak ingin konon.Kalau dah tahu, kenapa kau ajak dia kahwin dengan kau? Dah buang tabiat!” Adli berasa sedikit geram dengan perangai keras kepala rakannya itu.
Pada pandangan Adli, Zahlia adalah dunia baru Tengku Syahran.Mungkin dahulu, Nazirah sahaja yang dia nampak.Tetapi kini, Zahlia bagaikan jelmaan baru Nazirah dan kelihatan sempurna untuk menjadi isteri kepada Tengku Syahran.Rupa ada!Budi bahasa kaya! Tidak tahulah Adli apa kelebihan Nazirah pada Tengku Syahran sehinggakan Zahlia kelihatan terlalu kecil di matanya.
“Aku kahwin dengan Alia sebab nak elakkan diri dari Linda.Kebetulan pulak Alia perlukan wang.Tak ada sebab lain untuk aku berkahwin dan jatuh cinta pada dia.” Tengku Syahran menjawab.
“Kau sure ke? Entah-entah sejak malam tu lagi… kau dengan Alia…”
“Hissyyy… cakap biar beralas beb.Aku tak seburuk yang kau sangkakan tau? Sesuka hati nak ambil kesempatan walaupun Alia dah jadi isteri aku yang sah.Aku masih waraslah,Li! Nazirah adalah segala-galanya.” Tengku Syahran berkata lagi.Dia terlupa perbuatan nakalnya pada Zahlia sejak hari pertama wanita itu tidur di biliknya lagi.Langsung tak ingat.
“Nazirah lagi! Eleh… dahlah.Aku nak lihat sejauh mana kemampuan kau untuk bertahan.” Adli seolah-olah mencabar.
Tengku Syahran ketawa kecil.
“Alright!” ujar Tengku Syahran pendek.
“Kau dah dapat message aku dari Yani?” Adli menukar topik.Dia sudah malas mahu berbalah dengan teman yang memang pandai menjawab.
“Dah.Kau jadi pergi malam ni?”
“Aku sure! Kau tu aje, pengantin baru.Aku takut Alia gari kaki kau, tak bagi keluar bilik,” seloroh Adli memecah keheningan kamar pejabat berhawa dingin itu.
“Yalah tu.Kita tengok kaki siapa yang kena gari.Kau ke aku?” Tengku Syahran membalas dengan ketawa.


“SYAH hari ni kita nak ke mana?” Nazirah bertanya sambil duduk di sebelah Tengku Syahran.
Tengku Syahran menoleh pada gadis yang baru sampai dan masih tercungap-cungap itu.Bibirnya mengukir senyuman walaupun sudah 15 minit gadis itu terlewat dari waktu yang dijanjikan.Tengku Syahran tidak kisah.Cintanya telah mengaburi mata.Hatinya buta untuk melayani perasaan rajuk.Nazirah terlalu baik untuk dimarahi.Mungkin dia terlewat kerana kuliah habis lambat.
“Suka hati Irahlah.Syah tak kisah.Bosanlah duduk kat apartment sorang-sorang.”
“Adli tak ada ke?” tanya Nazirah lembut sambil membuka beg kecil mengeluarkan alat soleknya.Wajahnya nampak pudar.Ingin di touch-up.
Gelagat Nazirah itu hanya diperhatikan oleh Tengku Syahran.Lelaki itu tahu, Nazirah memang suka bersolek.Tidak kira di mana berada, gadis itu pandai bergaya.
“Dia ada discussion group dengan Jeff.Esok mereka ada presentation kat tutorial,” jawab Tengku Syahran.
Nazirah menyimpan semula alat soleknya ke dalam beg.
“Irah sebenarnya tak ada mood nak jalan jauh.Apa kata kalau kita duduk kat sini dan berbual? Dah lama kita tak berbual berdua,” pinta Nazirah seraya merenung anak mata Tengku Syahran dalam-dalam.
Anak mata Tengku Syahran yang hitam berkilat itu telah memikat hatinya sejak kali pertama bertentang mata.Nazirah malu mahu berterus-terang.Dia takut Tengku Syahran tidak menyimpan perasaan terhadapnya.Disebabkan itu, Nazirah bersikap selamba apabila duduk bersama Tengku Syahran sehinggalah lelaki itu sendiri yang meluahkan perasaan yang sama kepadanya.
“Kenapa kat sini aje? Syah bosanlah hari-hari menghadap bangunan ni.Apa kata kalau kita mencuci mata pulak,”ujar Tengku Syahran sambil membalas renungan itu.
Kasih sayangnya suci dan tulus sekali.Dahulu, dia pernah putus cinta tetapi cinta dahulu hanyalah cinta monyet.Selepas berjumpa Nazirah, segala-galanya kembali indah.Tengku Syahran sayangkan gadis yang dikenali melalui Adli itu.Dia juga telah menyuarakan hasrat hati untuk memiliki gadis itu apabila tamat pengajian nanti.
“Boleh jugak.Tapi… carilah tempat yang ada privacy sikit.Irah nak berdua aje dengan Syah.Irah tak mahu ada sesiapa yang kacau sebab Irah takut Irah tak dapat hidup lama.”
Tengku Syahran pantas meletakkan jari-jemarinya di bibir Nazirah.Memberi isyarat supaya gadis itu tidak meneruskan lagi kata-katanya.Semenjak dua menjak ni, Nazirah sering berbicara yang pelik-pelik.Wajahnya lebih ceria dan berseri-seri.Tengku Syahran tidak tahu mengapa.
“Irah selalu cakap begitu.Syah tak suka dengar.Kan kita dah janji nak hidup semati.Kalau Irah betul-betul nak pergi, bawa Syah sekali.Kita pergi sama-sama.” Berkobar-kobar Tengku Syahran berkata.
Nazirah hanya tersenyum manja.Perasaan marah Tengku Syahran terus berkubur apabila mendengar ungkapan pelik Nazirah sebentar tadi.
“Syah tahu tak, mengingati mati ni hukumnya sunat.” Nazirah bersuara tenang.Masih tersenyum manja.
Tengku Syahran terdiam.Kata-kata Nazirah, membuatkan hatinya berdebar-debar.Apakah itu satu petanda? soal Tengku Syahran dalam hati.
“Cukuplah.Jom kita pergi.Nak naik cab ke?” Tanya Nazirah.
“Tak Syah drive.Sewa kereta,” jawab Tengku Syahran sambil bangun.
Debaran di hati sudah reda.Tiada lagi perasaan cemas yang mengacau fikirannya.Dia hanya ingat cintanya pada gadis itu yang kian bertambah.Tanpa langsung difikirkan yang hari itu adalah hari terakhir mereka bersama.


“SYAH!” teguran itu bergema bersama satu tepukan kecil di bahu Tengku Syahran.
Tengku Syahran tersedar.Bunyi bola boling yang kedengaran bergolek di sana-sini terus menyapa telinga.Adli sedang memandangnya.
“Turn kaulah,” beritahu Adli sengaja ditekankan suaranya.
Tengku Syahran bangun untuk membuat balingan.Adli memerhatikan gerak-geri Tengku Syahran dengan rasa hairan.Tengku Syahran sejak tadi asyik berkhayal.Tidak ada tumpuan langsung.Kenapa?
Tengku Syahran duduk semua di kerusinya.Balingannya hanya menjatuhkan lima pin sahaja.Dia tidak langsung menyedari yang dirinya sedang diperhatikan.
“Kau tengah fikirkan apa,Syah?” tanya Adli sambil memeluk tubuh.
“Tak ada apa-apalah.Aku teringatkan seseorang aje,” ujar Tengku Syahran sambil tangannya mencapai minuman dalam tin lalu diteguknya.
Adli terus membuat balingan.Kemudian duduk di kerusi yang bertentangan dengan Tengku Syahran.
“Pasal Alia ke?”
“Bukanlah.Buat apa aku nak ingatkan dia? Buang masa aje.Baik aku ingatkan kau,” ujar Tengku Syahran sambil tergelak.
Wajah Adli begitu serius.Adli kurang senang dengan kata-kata Tengku Syahran tadi.Kalau bukan Alia siapa?
Melihat wajah serius Adli, Tengku Syahran mematikan ketawanya.Dia membuat balingan terakhir untuk game kedua mereka.
Balingan yang masih tidak memuaskan.Hari itu, nasibnya kurang baik.Jatuhan pin tiada yang habis kesemuanya.Biasanya dialah juara.Mungkin malam ini, Adli bakal menyandang gelaran juara yang selama ini menjadi milik Tengku Syahran.
“Kalau bukan Alia, Nazirah?” soal Adli.
Tengku Syahran tunduk.Rindunya masih menggunung.Pertanyaan Adli menggamit kembali wajah yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu ke mindanya.Makin lenyaplah bayangan Zahlia yang hanya sesekali melayang ke ruang mata.
Adli tetap menanti tetapi Tengku Syahran tidak menjawab soalan tadi.
“Kau ni tak habis-habis dengan Nazirah.Tak tenteram rohnya.Nazirah dengan kau pun belum ada apa-apa pertalian.Sampai bila kau nak terus mengingati dia?” suara Adli tenang tetapi hati Tengku Syahran terguris.
Sampai hati Adli berkata begitu.Sesungguhnya cinta Tengku Syahran kepada Nazirah terlalu sukar untuk dilupakan.Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui betapa rasa cinta itu masih menyala.
“Sedarlah Syah! Kau dah kahwin tau… kau dah kahwin! Kisah kau dengan Nazirah sudah lima tahun berlalu.Isteri kau kat rumah tu, takkan kau nak biarkan hubungan kau dengan Alia hambar dan hidup macam biasa.
Selama mana seorang perempuan dengan lelaki boleh hidup sebilik tanpa ada apa-apa berlaku? Tak mungkin, kalau pun sehari dua kau boleh bertahan, belum tentu dalam waktu-waktu akan datang, kau dengan Alia tak ada apa-apa! Percayalah… aku dah kaji perkara ni sebelum kau kahwin lagi.” Adli melepaskan perasaan geramnya yang membuak-buak.
Adli tidak marahkan Tengku Syahran, tetapi haruslah ada batasnya.Nazirah sudah tiada.Zahlia yang seharusnya cuba didekati.Bukan terus berusaha agar cinta Nazirah kekal di hati.Sebaliknya rebutlah hati Zahlia yang Adli tahu masih belum berpunya.Bodohlah Syah, jika Zahlia dilepaskan begitu sahaja.
“Aku masih sayangkan Nazirah.” Lemah ucapan itu.
“Aku tahu! Tapi kau kena ingat, Nazirah dah tak ada.Alia dah jadi isteri kau.Cubalah dekati dia dan simpan kenangan kau dengan Nazirah.Alia tu tak ubah macam Nazirah.Lawa… kenapalah hati kau ni buta sangat?”
“Li, aku pernah cuba membuang wajah Nazirah jauh-jauh.Tapi aku gagal.Setiap waktu bayangannya tetap ada.Aku dah berusaha, Li.Malah sewaktu aku menyuarakan cadangan aku untuk mengahwini Alia, aku pernah jugak terfikir untuk cuba menyayangi Alia sepertimana aku menyayangi Nazirah.Tetapi gagal.Wajah Alia tak mampu untuk menggantikan tempat Nazirah.Mungkin apa yang kau cakap pasal lelaki tadi betul.Aku akui, hampir-hampir tertewas dengan perasaan nakal aku sendiri sewaktu kali pertama aku melihat Alia tak bertudung.Tapi entahlah…”
Tengku Syahran teringat perbuatan nakalnya malam itu.Dia memandang Adli.Minuman ringan di tangan diteguk lagi.Lega terasa tekaknya.Mujurlah Adli teman yang pandai menyimpan rahsia.Jika tidak, jenuh juga mahu mencari teman yang sudi berkongsi masalah.
“Aku tak suruh kau buang bayangan Nazirah terus.Mengingati tak apa.Jangan lebih-lebih.Alia tu, baik sangat.Aku tau Alia pun tak pernah cintakan kau.Tapi, apa salahnya kalau kau buat dia jatuh cinta kat kau! Tak semestinya bercinta sebelum berkahwin lebih bahagia daripada bercinta selepas berkahwin.Kau boleh buktikan.Alia tu masih solo.I think she’s the one for you,” pujuk Adli perlahan.
Tengku Syahran terdiam.
“Aku dengan dia dah berjanji.Dia ada syarat dan aku pun ada syarat.Kami tak boleh jatuh cinta.”
“Syarat untuk melarang kau dengan Alia bercinta ada ke? Kau jangan nak temberanglah Syah! Aku baca perjanjian tu tau!” Adli mencelah.
Tengku Syahran terdiam.Mengiakan kata-kata Adli di dalam hati.Dia tidak mahu bersuara secara terang.Lagipun dia sendiri sudah melanggar perjanjian itu sejak hari pertama lagi kerana berani mengusik wanita itu.Dan Zahlia pun apa kurangnya, tidak menggunakan panggilan yang termaktub dalam syarat pun.
“Kenapa senyap? Betul tak aku cakap tak ada?”
“Memanglah tak ada.Tapi aku takut bila dah separuh mati bercinta, tiba-tiba kena berpisah.Lagi parah.Aku merana dua kali.Alia? Sekali aje tau!”
“Alah… bila dah jatuh cinta takkan ada rintangan yang menghalang.Kalau kena berpisah pun, rujuklah balik.Apa yang susah?Lagipun hal ni hanya aku dan Anis sahaja yang tahu.Kalau kau dengan Alia tak heboh pada sesiapa, insyaALLAH segalanya beres.” Bersungguh-sungguh Adli memberikan pendapat.
Tengku Syahran merenung Adli yang sedang mencapai minuman tin yang masih belum dibuka.Selepas penutup itu ditarik, Adli meneguk perlahan-lahan.
“Aku…”
“Dahlah tu.Fikirkan hal ini kemudian.Aku yakin… kau dengan Alia sepadan.Mintalah petunjuk ALLAH, mana tau memang Alia jodoh kau.”
“Nampaknya hari ini aku kalahlah Li.” Tengku Syahran memerhatikan skrin markah di tepinya.Adli tersengih.
“Itulah.Biasanya kaulah juara.Hari ni biar aku pulak yang menang.”
“Kau nak aku buat apa ni?”
Adli terdiam.Mencari jawapan kepada pertanyaan Tengku Syahran.
“Belanja makan ajelah.”
“Jom…”
Mereka berjalan keluar dari pusat boling itu.
“Haa… esok malam datang rumah aku! Ajak Zahlia sekali.Anis yang beria-ia nak berkenalan dengan Alia.Kau mesti datang… kalau tak? Nahas!” bagaikan satu ugutan Adli berkata.
Tengku Syahran menjegilkan biji mata.
“Wah, kau ugut aku ya?”
“Lebih kuranglah.”
Tengku Syahran ketawa kecil.
“InsyaALLAH.Nanti aku tanya Alia dulu.”
“Lepas Maghrib tau!”
“Okey.”

















Bab 9
Z

AHLIA melihat jam di dinding.Sudah pukul 5.30 petang.Pagi tadi, Tengku Syahran ada memberitahu tentang pelawaan Adli.Hendak ditolak, Zahlia tidak sampai hati apabila terbayang Anissa yang sedang berbadan dua dan beria-ia mahu berkenalan rapat dengannya.Dengan pantas Zahlia mengemas buku-buku latihan yang berselerak di atas meja.
Sebelum kahwin, Zahlia pernah berjumpa dengan Anissa sewaktu mahu menandatangani perjanjian perkahwinan.Selepas itu, semasa hari perkahwinannya dan kini malam ini dia kan bertemu lagi dengan Anissa.
Sebaik saja Zahlia habis berkemas, Fatimah masuk ke bilik guru dengan membawa buku-buku latihan kelasnya.Fatimah memandang Zahlia sebelum mengalihkan pandangan pada jam di dinding.
“Hai Alia, tergesa-gesa nampak! Kau nak ke mana?” tegur Fatimah sambil meletakkan buku-buku latihan tadi di atas meja.
Zahlia menyangkut beg tangan ke bahu.Dia bergerak ke meja Fatimah.Fatimah sudah tahu berkenaan perkahwinannya.Zahlia sendiri yang berterus-terang.
“Aku ada hal dengan Syah.Dia ajak aku ke rumah kawan dia malam ni,” beritahu Zahlia lembut.
Fatimah mengangguk.Matanya merenung anak mata Zahlia seketika.Fatimah suka benar merenung anak mata Zahlia yang jarang-jarang dijumpai.Cantik dan menawan.Memang sesuai untuk mata yang bulat dan bundar beserta alis mata yang cantik terukir.Mata kau memang cantik Alia! Pujinya dalam hati.
“Kenapa pandang aku macam tu?” soal Zahlia.
Fatimah hanya menggeleng.
“Rajin pulak kau nak pergi? Kalau aku,dahlah kahwin pun cara macam ni.Tak pernah sayang-menyayangi.Lepas tu,nak menghadap muka dia… baik lupakan.Tapi, kau tu tak apalah.Nak menghadap muka suami kau sepanjang masa pun tak kisah.Sejuk mata turun ke hati.”
Kata-kata Fatimah menimbulkan persoalan dalam benak Zahlia.Dia membalas pandangan temannya itu.
“Mengapa kau cakap macam tu? Maksud aku… sejuk mata turun ke hati?”
“Laki kau tu… handsome, kacak, tampan apalagi kau nak? Kerabat diraja lagi, kalau aku dapat, jangan guna kontrak, kalau dia paksa kahwin pun aku rela.”
Zahlia tergelak.Kata-kata Fatimah tidak pernah difikirkan langsung.Dia berkahwin dengan Tengku Syahran pun bersebab.Sebab yang tiada pada pasangan lain.Mana mungkin dia jatuh cinta pada lelaki yang hanya dikenali seminggu.
Zahlia teringat sewaktu dia terkocoh-kocoh hendak ke hospital melawat Razif.Tiba-tiba dia terlibat dengan kemalangan kecil.Kemudian, tanpa diduga dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Tengku Syahran.Tidak terfikir langsung oleh mindanya akan timbul masalah yang mendatang.
“Wehh, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Fatimah mengawang-awangkan tangan di hadapan muka Zahlia.
Zahlia tersenyum.Terlupa yang Fatimah masih berada di situ.Zahlia pandang ke arah jam tangannya lagi.
“Aku nak balik dululah Imah.Dah dekat pukul 6.00 ni.Takut Syah sampai rumah dululah.Aku nak berebut bilik air ni!”
“Laa… itu ke sebabnya kau tergesa-gesa?”
Zahlia tersengih dan mengangguk.
“Syah kalau mandi mengalahkan orang perempuan.Baik aku masuk bilik air dulu.Asar pun dah nak habis ni.Okeylah ya? Assalamualaikum.”
Fatimah menjawab salam Zahlia.Matanya menyorot memandang kelibat Zahlia yang semakin menghilang.Dia mengukir senyuman di cermin tingkap apabila kereta Zahlia bergerak pergi.Zahlia memang sesuai dengan Tengku Syahran, fikir Fatimah.


ZAHLIA membantu Anissa menyediakan hidangan di atas meja.Ketika dia dan Tengku Syahran sampai di rumah Adli, Anissa masih sibuk memasak di dapur.Nampak kelam kabut wanita yang sedang mengandung itu menguruskan hidangan.
“Saya pesan pada Adli, suruh beritahu lepas Isyak, tapi dia terlupa dan kata lepas Maghrib.Tak sempat nak siapkan semuanya,” ujar Anissa sambil mengacau kuah kari untuk hidangan nasi beriani malam itu.
Zahlia hanya tersenyum sambil menyusun empat biji gelas di atas dulang.Kemudian, dia membantu Anissa membancuh air sarsi ke dalam jag.
“Tak apalah Anis, datang awal pun apa salahnya? Dapat jugak menolong.Anis kan dah sarat, tak penatkah ke hulu ke hilir dengan perut memboyot tu?” tanya Zahlia.
Anissa hanya ketawa kecil.
“Penat tak penat, memang kerja orang perempuan.Sebab itulah Syurga terletak di bawah tapak kaki ibu sebab penghormatan seorang ibu tiga kali ganda dari seorang ayah.Masa mengandung nilah baru kita sedar betapa banyaknya dosa kita pada ibu bapa kita dulu,” ujar Anissa.
Anissa teringatkan zaman remajanya yang terlalu sosial.Mujurlah dia berjumpa dengan Adli yang telah menyedarkannya tentang kehidupan.Jika tidak, pasti dia sudah terlajak jauh.
“Saya pun teringin jugak nak timang anak sendiri.Tapi, perkara tu tak mungkin berlaku dalam perkahwinan ni.”
“Beritahulah pada Syah.Mana tahu bila Alia pregnant, kamu berdua boleh jatuh cinta seterusnya menerbitkan perasaan sayang.”
“Ehh, tak mahulah.Saya bukan mahukan anak dari Syah.Tapi, dengan lelaki yang saya cintai.Bukan Syah… mungkin lelaki lain.Kami berkahwin, bukan atas kehendak perasaan.Tapi, keadaan yang memaksa kami.Anis kena faham.”
Zahlia sudah melangkah menuju ke pintu dapur.Tetapi langkahnya terhenti sebelum sempat dia menerpa ke luar apabila dia dapat menangkap perbualan Tengku Syahran dan Adli di ruang tamu.
“Aku dah cuba Li.Semalam, senyap-senyap aku dekati dia.Tapi, dia tu bosanlah.Depan famili aku bolehlah dia control perangai dia.Bila duduk dalam bilik, kalau bukan aku yang bersuara,alamatnya macam dalam penjaralah bilik tu.
Suara dia susah sangat aku nak dengar.Bengang aku… perempuan macam tu kau nak aku jatuh cinta? Tengoklah tadi, datang rumah kau pun nak kena naik kereta dia.Mengada-ngada! Aku boleh jadi gila macam ni!” Suara Tengku Syahran begitu yakin tanpa menyedari setiap kata-katanya mengguris perasaan Zahlia.
“Syah, cakaplah perlahan-lahan sikit.Dia ada kat dapur tu! Nanti dia dengar… nahas kau.”
“Biar dia dengar.Tension aku.Entah bilalah segala-galanya nak selesai.”
“Dulu kau yang beria-ia mahu dia kahwin dengan kau! Bila kau dah lepas dari Linda, kau cakap benda yang merepek-repek pulak.Patutnya kau berterima kasih Syah.Bukan mengutuk!”
“Aku tak pernah fikir pun hal tu.”
“Fikirkanlah.Try lagi dekati dia.” Suara Adli semakin jelas.
Zahlia terasa kakinya lemah di situ.Sampai begitu sekalikah perasaan benci Tengku Syahran terhadapnya.Patutlah semalam, kelakuan lelaki itu pelik sekali.Bercakap menggunakan nada suara yang meremangkan bulu tengkuk.Zahlia pula hanya menjawab setiap pertanyaan dengan suaranya yang selamba dan bersahaja.Rupa-rupanya itu muslihat lelaki itu mahu mendekatinya.
Zahlia sudah berkecil hati.Wajahnya terpancar sinar kemurungan.Perlahan-lahan dia melangkah ke ruang tamu.
Suasana menjadi hening.Perbualan Adli dan Tengku Syahran terhenti dengan sendiri.Zahlia tahu mengapa ia berlaku.Selepas menuang air, Zahlia berlalu ke dapur semula.Tanpa sedar ada titisan jernih mengalir ke pipi.Kegirangan hatinya telah berlalu pergi.
Kata-kata Tengku Syahran yang masih jelas telah membuka matanya tentang status dan harga dirinya di mata lelaki itu.Dia mula sedar,Tengku Syahran bukan haknya.Masih belum terlambat untuknya mengawal perasaan dari jatuh cinta pada lelaki itu.Zahlia yakin kini, lelaki yang datang dalam mimpinya dahulu pasti bukan Tengku Syahran.Habis, siapa? Gerak gaya dan tingkah laku kelihatan seperti Tengku Syahran.
Tapi, ucapan Tengku Syahran tadi telah membuatkan Zahlia pasrah.Jodohnya belum sampai.Mungkin ada yang lebih baik sedang menanti.
“Alia, jomlah ke depan.Semua dah settle.Tinggal nak makan aje.” Anissa menyentuh tangan Zahlia.Dia pelik dengan kebisuan Zahlia tiba-tiba.
Zahlia mengangguk dan menuruti langkah Anissa.


DI DALAM perjalanan pulang, Zahlia menyepi.Dia lebih selesa menumpukan perhatian melihat lampu-lampu di tepi jalan.Malam ini nampak gelap.Tiada bintang-bintang yang berkelipan di langit.Nampak kelam dan murung seperti memahami keadaan hatinya saat itu.
Tengku Syahran yang memandu kereta Proton Wira turut membisu.Tidak tahu tajuk apa yang hendak dibualkan.Lelaki itu kelihatan selamba dan seolah-olah tidak terbit perasaan bersalah dalam diri kerana telah berkata sesuatu yang mengguris perasaan Zahlia.
Entah-entah kat pejabat, lagi teruk dia mengata aku.Zahlia terus melayani perasaannya.Tiba-tiba Zahlia terasa tangannya diramas lembut.Zahlia terkejut.Dia menoleh dan mendapati tangan Tengku Syahran sedang melekat kemas di tangannya.Zahlia naik berang.Dia tahu itu satu muslihat.Sepantas kilat Zahlia menarik tangannya.Dahlah mengata aku, ada hati nak pegang-pegang pulak, gomelnya di dalam hati.
“Apa awak buat ni? Dah lupa syarat perjanjian kita?” marah Zahlia tanpa memandang Tengku Syahran.
Tengku Syahran tersenyum sinis.Zahlia memang pantang diusik begitu.Tengku Syahran sudah faham benar dengan perangai Zahlia sejak hari pertama lagi.Disebabkan itu Tengku Syahran suka mengambil peluang bila dia dan Zahlia di hadapan keluarga.Dipeluknya pinggang wanita itu sesuka hatinya.Atas nasihat Adli, Tengku Syahran cuba mendekati Zahlia.Mungkin masa itu adalah waktu yang sesuai.
Tengku Syahran mencapai tangan Zahlia sekali lagi.Didekatkan ke bibirnya tetapi belum sempat dia mencium tangan itu, Zahlia sudah menarik tangannya.
“Eh, jangan nak menggatal. Kawal diri tu sikit!” marah Zahlia dengan nada yang agak kuat.
Tengku Syahran terkaku.Kemarahan Zahlia membuatkan dia tidak jadi mahu meneruskan perbuatannya.
“Eleh… nak pegang sikit pun tak boleh.Bukannya nak buat apa!” Tengku Syahran menjawab perlahan tetapi dapat didengar oleh telinga Zahlia.
“Dengar sini Syah.Saya bukan perempuan murahan yang awak boleh usik sesuka hati.Kita tak pernah bercinta.Saya sedar siapa diri saya.Jangan sebab saya anak yatim, awak ingat awak boleh ambil kesempatan.Peluk sana… peluk sini… bila di belakang, mengata ikut sedap mulut,” rungut Zahlia.
Tengku Syahran mengerutkan dahi.Tidak faham dengan ayat Zahlia.Tengku Syahran teringatkan perbualannya dengan Adli tadi.Dia sudah dengarkah?
Tengku Syahran ingin bertanya lagi tetapi lidahnya kelu.Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk terus membisu sehingga sampai di Villa Sakura.



















Bab 10
S

UDAH sebulan Zahlia tinggal di Villa Sakura.Hari ini hari Ahad, Zahlia tidak bekerja.Selepas solat Subuh, Zahlia turun ke tingkat bawah.Niat di hati hendak terus melangkah ke dapur tetapi tidak jadi apabila Tengku Hafizah memanggilnya ke ruang tamu.
“Kenapa Fiza?” tanya Zahlia lalu duduk di kerusi berhadapan Fiza yang sedang bersila di hadapan meja.Buku-buku pelajaran Tengku Hafizah bersepah di sana-sini.
“Akak pernah belajar subjek accounting tak? Fiza tak fahamlah.”
Zahlia terdiam.Sejak bekerja di Sinar Iram, dia tidak pernah mengingati ijazah yang ada dalam simpanannya.Semuanya dilupakan demi kasih sayangnya pada anak-anak yatim.Zahlia sanggup melupakan ijazah perakaunan itu demi membantu rumah kebajikan yang pernah menjadi tempat tinggalnya suatu ketika dahulu.
“Fiza tak faham pasal belanja angkutan ni.Apa bezanya angkutan masuk dengan angkutan keluar? Bukankah kedua-duanya satu belanja.” Tengku Hafizah bersuara.
Zahlia turun ke ambal dan bersimpuh bersebelahan Tengku Hafizah.Dia mula menerangkan satu-persatu pada Tengku Hafizah.Tidak disangka ilmu itu masih melekat di kepalanya.
Tengku Syahran yang baru sampai di anak tangga pertama menghentikan langkah.Dia memasang telinga dengan setiap penerangan Zahlia pada Tengku Hafizah.Zahlia tidak langsung menyedari kehadiran Tengku Syahran.
“Wah, pandailah Kak Alia terangkan.Fiza dah faham sekarang.Thanks.” Tengku Hafizah menyambung tugasannya selepas penerangan Zahlia tamat.
Zahlia tersenyum dan bangun untuk duduk semula di atas kerusi.
“Dulu akak belajar kat mana?” tanya Tengku Hafizah sambil meneruskan kerjanya.
“Kat UKM.Bachelor of Accounting.” Zahlia menjawab.
Tengku Syahran terkejut mendengarnya.Selama ini dia sendiri tidak pernah tahu yang Zahlia juga mempunyai segulung ijazah.Dia hanya fikir wanita itu bekerja di rumah kebajikan anak-anak yatim itu kerana tiada kelulusan.Malah nama tempat kerja wanita itu juga tidak pernah diketahui sehingga ke hari ini.
“Wow, angah tak pernah cerita langsung tentang itu.Maknanya akak dah lama graduate?” soal Tengku Hafizah.
“Adalah dalam tiga tahun.”
Tengku Hafizah memandang Zahlia.Ketika itulah dia tersedar kewujudan abangnya di situ.
“Eh, angah! Marilah duduk kat sini.Kita sembang-sembang,” ujar Tengku Hafizah.
Zahlia berpaling.Tengku Syahran sedang tercegat sambil memandang Zahlia.Mungkin menanti bibir Zahlia pula yang memanggilnya.Zahlia mengetap bibir.Sejak peristiwa di rumah Adli dulu, dia sudah jarang bersuara dengan suaminya itu.Bercakap hanya waktu-waktu tertentu sahaja.
“Marilah bang.Nak sarapan pun, belum siap lagi.” Zahlia bersuara lembut.Dia terpaksa berlakon.Konon-kononnya kehadiran Tengku Syahran amat dihargai.
Tengku Syahran melangkah dan duduk di sisi Zahlia.Dia tetap cuba mendekati Zahlia atas sokongan Adli setiap hari dan Zahlia semakin hari semakin menjauhkan diri.Tengku Syahran tidak tahu mengapa.
Tengku Hafizah sudah menumpukan perhatian pada kerja.Zahlia pula membisu.Sesekali mata Tengku Syahran menjeling ke wajah Zahlia yang kelihatan tenang.
“Mengapa angah tak cakap yang Kak Alia pernah belajar subjek accounting? Kalau tak dah lama Fiza jadikan Kak Alia sebagai cikgu tak rasmi Fiza.” Tengku Hafizah bersuara sambil tangannya ligat menekan calculator.
Tengku Syahran menjeling lagi pada Zahlia yang sudah tertunduk malu.Zahlia tidak berani mahu melawan pandangan mata Tengku Syahran.Perkara itu tidak pernah diberitahu pada Tengku Syahran.
Tengku Syahran tersenyum tiba-tiba.
“Angah malas nak heboh.Nanti dia bangga diri pulak,” selamba Tengku Syahran menjawab.
Zahlia menyiku lengan Tengku Syahran.Dia benci apabila Tengku Syahran mengenakan dirinya dengan cara itu.
“Aduh, sakitnya! Sampai hati ayang buat abang macam ni.Abang cakap apa yang betul.Ayang tu bukan boleh dipuji lebih-lebih, nanti terkembang sendiri.Lepas tu bangga… kemudian riak.” Tengku Syahran tetap menyakat.
Tengku Hafizah tergelak manakala Zahlia bertambah bengang.Zahlia beristighfar di dalam hati.Berharap dirinya dapat bersabar dengan usikan Tengku Syahran yang merepek-repek itu.
Pada waktu yang sama ahli keluarga Tengku Syahran sudah turun dan bersiap-sedia untuk bersarapan.Selepas dipanggil oleh Siti, masing-masing mengambil tempat.Cuma Zahlia dan Tengku Syahran masih membisu di ruang tamu.
“Kenapa tak beritahu aku yang kau pernah belajar? Aku tak pernah tau pun,” bisik Tengku Syahran di telinga Zahlia.
Zahlia bingkas bangun.
“Buat apa nak beritahu? Awak tu siapa nak ambil tau semua hal saya.” Zahlia bergerak sedikit.
“Dengar sini Alia, kau tu isteri aku.Semua rahsia kau kena beritahu aku.Kalau aku dapat tau apa-apa cerita tentang kau lagi.Nahas!” ugut Tengku Syahran.
Zahlia telan air liur.Apa hal pulak! Suka hati akulah nak rahsiakan hal aku.Penyibuk!
Tengku Syahran sudah sampai ke meja.Zahlia tetap kaku, berdiri di ruang tamu.Dia tersedar apabila Tengku Badariah memanggilnya ke ruang makan.


“NERACA HOLDINGS bagaimana Syah?Projek Bayu Idaman tu kau dah settlekan pembentangan kertas kerjanya?” tanya Tengku Ismail sambil memandang Tengku Syahran.
Neraca Holdings adalah anak Syarikat Seri Nilam Corporation.Dahulu Neraca Holdings berada di bawah naungan Tengku Hakimi.Tetapi atas permintaan Tengku Ismail, Neraca Holdings telah diserahkan atas pengawasan Tengku Syahran dan Tengku Hakimi diminta membantu Tengku Ismail di Seri Nilam Corporation.
“Emm… okey ayah! Tan Sri Rahman dan hantarkan wakil untuk menguruskan projek itu.Kami dah setuju akan mulakan kerja pembinaan bulan depan,” jawab Tengku Syahran.
Mereka yang lain hanya diam sambil menikmati sarapan.Tengku Badariah merengus kecil.Dia tidak suka apabila hal-hal pejabat dibawa ke rumah tetapi Tengku Ismail memang selalu bertanyakan hal-hal pejabat apabila ada peluang di hadapan anak-anak.
“Habis, kau dah tengokkan tapaknya?”
“Dah.Syah rasa strategic.Sebab itulah boleh mulakan kerjanya awal sikit.Kalau tak, mahu dua tiga bulan lagi kerja-kerjanya dapat dimulakan,” ujar Tengku Syahran.
Tengku Ismail mengangguk.
“Abang ni kalau berjumpa Syah dengan Kimi tak bersembang pasal office boleh tak? Hari-hari minggu macam ni apa kata kalau kita sembang-sembang hal keluarga.Ini, bila bertemu mata… kalau tak Neraca Holdings mesti Seri Nilam Corporation abang tu.Bosan yah,” sampuk Tengku Badariah tiba-tiba.
Tengku Ismail mengarahkan pandangan pada Tengku Badariah.Kelakar juga mendengar teguran isterinya itu.Tetapi sikap ambil berat Tengku Ismail terhadap pejabat sukar disingkirkan.Memang itu sifat turun-temurun yang diwarisi dari ayah Tengku Ismail.
“Betullah ayah.Ana pun dah bosan dengar cerita pasal office ayah tu.Dari hari Isnin sampai ke hari Isnin minggu yang baru.Office! Office!Office! Boringlah.Sembanglah cerita yang lain pulak.” Tengku Farhana mencelah.
Tengku Hakimi dan Tengku Hafizah ketawa gelihati.Zahlia pula hanya membisu.Dia sedang memikirkan kata-kata serius Tengku Syahran tadi.
“Baiklah… kamu nak ayah sembang pasal apa?” soal Tengku Ismail.
Masing-masing membisu.Sedang mencari tajuk yang sesuai untuk dibualkan pada pagi itu.
“Haa… kita pergi bercuti nak ayah? Cuti sekolah dah dekat ni!” Tengku Farhana membuat cadangan.
Tengku Hafizah mencebik.Dia tidak bersetuju dengan cadangan adiknya kerana kolejnya masih belum bercuti apabila cuti sekolah bermula.
“Kau dah nak SPM.Sepatutnya cuti pertengahan tahun ni kau gunakan untuk ulangkaji pelajaran, bukannya berjalan,” marah Tengku Badariah.
Tengku Farhana menarik muka masam.Tengku Hafizah menahan ketawa melihat adiknya yang menarik muka masam itu.Tetapi wajah Tengku Farhana kembali ceria.Dia mula bersuara.
“Angah! Hari itu, angah cakap nak bawa Kak Alia pergi bercuti.Angah dah pilih tempat yang angah nak pergi?” soal Tengku Farhana menggegarkan jantung Zahlia.
Nak pergi bercuti? Zahlia tertanya di dalam hati.Dia menoleh ke arah Tengku Syahran yang sedang menghirup air milo. Tengku Syahran menoleh ke arah Zahlia.
“Sorrylah Alia! Abang tak beritahu tentang cadangan abang ni.Sengaja nak buat surprise,” jawab Tengku Syahran apabila menyedari wanita itu berkelakuan sedikit ganjil.
“Kak Alia takkan marah angah.Mana ada perempuan yang tak suka pergi bercuti lepas kahwin?” sampuk Tengku Hafizah.
“Betul tu.Ana sokong! Cakaplah mana angah nak bawa Kak Alia pergi?” tanya Tengku Farhana ingin tahu.
Tengku Syahran menoleh ke arah Tengku Ismail dan Tengku Badariah yang juga sedang menanti perkataan yang bakal diucapkan.Dia mencapai tangan Zahlia yang di atas meja perlahan-lahan.
Zahlia menarik nafas yang turun naik.Tadi suara lelaki itu serius sekali.Kini, genggaman tangan yang amat kuat mencengkam jari-jemari Zahlia amat menakutkan.Zahlia membatu.Tidak mampu menepis.
“Syah ingat nak ajak Alia buat umrah dulu, mak.Lepas itu, Syah cadang nak pergi bercuti di dalam negara aje,” ucap Tengku Syahran perlahan tepat merenung Tengku Badariah.
“Em… eloklah tu.Mak setuju,” jawab Tengku Badariah ringkas.
Zahlia menguis makanan di dalam piringnya.Matanya memandang kosong makanan itu sambil telinganya mendengar setiap perbualan yang tercetus.Dia masih terkejut.
“Syah rasa nak pergi Pulau Pangkor.Alia pun tak pernah pergi tempat tu.” Tengku Syahran menjelaskan lagi.
Zahlia mengerutkan sedikit dahinya.Mana dia tahu aku tak pernah pergi Pulau Pangkor? Sesuka hati aje nak buat cerita! Aku pernah pergi tau… Zahlia menjawab di dalam hati.
“Nanti! Nanti! Ana nak cakap sikit.Kalau angah nak buat umrah, Ana setuju.Tapi, tentang bercuti tu, kenapa tak pergi kat luar negara? Dalam negara bila-bila masa boleh pergi,” sampuk Tengku Farhana tiba-tiba.Tengku Hafizah mengangguk-angguk mengiakan kata-kata adiknya.
“Yalah. Fiza pun setuju cakap Ana.Kenapa angah tak bawa Kak Alia pergi Turkey ke, Bali ke, Agra ke? Angah ni tak romantiklah,” marah Tengku Hafizah.
“Kamu berdua ni tak habis-habis dari tadi.Yang nak pergi bercuti ni siapa? Angah ke kamu berdua?” kata Tengku Syahran sambil mengeluh.Sesekali dia melirik ke arah Zahlia yang bungkam di sisi.
“Hah, apa kata Kak Alia aje yang pilih tempat untuk berbulan madu ni.Yalah, kita kena jugak tanya tuan punya badan,” soal Tengku Farhana.
Zahlia telan air liur mendengar kata-kata Tengku Farhana.
“Betul tu Alia.Kamu takkan tak ada cadangan nak ke mana-mana?” tanya Tengku Hakimi memandang Zahlia yang diamuk resah.
“Cakaplah.Jangan malu-malu.Nanti pandai-pandailah Syah aturkan rancangannya,” sambung Tengku Hakimi lagi.
Zahlia melepaskan nafas.Berada antara ahli keluarga itu amat menyerabutkan fikiran.Zahlia memikirkan soalan Tengku Hakimi pula.Lama dia membisu sebelum menjawab.
“Alia ikut Syah aje along.Mana Syah nak pergi, Alia tak bantah.Tapi, kan elok kalau pergi kat dalam negara aje.Alia setuju jugak dengan cadangan Syah tu,” ucapnya lambat-lambat membuatkan Tengku Syahran tersenyum puas.Zahlia sudah pandai bertindak mengikut keadaan dan kesepakatan.
“Tengok tu, kan angah dah cakap Kak Alia ni mesti ikut cakap angah punya,” ujar Tengku Syahran memandang adiknya dengan pandangan yang sedikit berlagak.Tengku Farhana dan Tengku Hafizah mencebik.
“Perasan, sebenarnya Kak Alia malu nak cakap kat depan angah.Takut angah kecil hati,” ujar Tengku Farhana.
Zahlia tersenyum tawar.Sarapannya sudah tidak tertelan.Dia berkira-kira mahu meninggalkan ruang makan itu.
“Okeylah, Alia dah habis makan ni.Alia nak kemas dulu,” beritahu Zahlia tiba-tiba.
Tengku Syahran menoleh ke arah Zahlia.Hairan seketika.Marahkah dia dengan rancangan mengejutku ini? Ah, ini merupakan kebaikan untuk aku berbincang dengan dia tanpa gangguan orang.Pedulikan…
Zahlia bingkas bangun.
“Maknanya Alia ikut cakap Syah?” soal Tengku Ismail yang sejak tadi membisu.
Zahlia tersenyum kecil kemudian mengangguk sebelum berlalu ke dapur dengan pinggan kotornya.