Bab 4
Z
ahlia sedang membaca novel Hati Seorang Wanita sambil berbaring ketika Tengku Syahran masuk ke biliknya lewat malam itu.Segera Zahlia bingkas bangun apabila terlihat wajah lelaki itu di muka pintu.Hati Zahlia berdebar tiba-tiba.
Tengku Syahran hanya melirik sekilas ke arah Zahlia sebelum dia melabuhkan punggungnya di sofa panjang yang terdapat di hujung katil.Heningnya suasana yang menemani mereka saat itu.Zahlia kaku.Tengku Syahran membisu.Yang kedengaran hanyalah bunyi angin yang berdesir masuk melalui lubang tingkap yang terbuka luas.
“Kau betul-betul maksudkan kata-kata kau pada mak tadi?” soal Tengku Syahran memecah kesunyian antara mereka.Bahasanya tetap kasar sejak petang tadi.
Zahlia menutup novel yang dibacanya itu dan memandang Tengku Syahran dengan pandangan yang agak pelik.Zahlia takut sebenarnya.Sifat Tengku Syahran terus berubah.Mana perginya sifat dan bahasanya yang lembut? Dulu bukan main lagi pujuk aku suruh tolong dia, ber’saya’ dan ber’awak’ konon.Penipu!
“Kenapa? Awak percaya ke?” tanpa menjawab soalan Tengku Syahran, Zahlia menanyakan soalan lain pula.
“Entahlah.Tapi, tengok gaya kau cakap tadi macam percaya.Kau betul-betul nak? Aku tak kisah! Sekarang jugak kau boleh dapat,” ucap Tengku Syahran bersahaja.
Tengku Syahran lantas bangun dan mengunci pintu.Zahlia terkesima.Lebih laju jantungnya berdegup.Tengku Syahran berpaling dan tersenyum.Makin melemahkan urat-urat sendi Zahlia.Zahlia tidak senang duduk.
“Gila.Awak dah lupa tentang syarat ketiga? Awak tak dibenarkan menyentuh saya walaupun kita halal untuk berbuat demikian.” Zahlia mengingatkan syarat perjanjian.
“Itu kita tolak tepi.Yang penting malam ni kita seronok!” ucap Tengku Syahran yang semakin mendekati Zahlia.
“Syah! Saya dah tolong awak.Ingat! Awak pernah kata awak takkan usik hak privasi saya.” Zahlia mengingatkan lagi.
Sebenarnya Tengku Syahran masih ingat tetapi dia sengaja mahu mengusik.Kekagetan wanita itu mencuit hatinya.Langkah Tengku Syahran terhenti kemudian kembali duduk di sofa.
“Habis, siapa suruh kau bagi mereka harapan? Kalau mereka menanti, bagaimana?”
“Awak nak suruh saya jawab apa masa mereka tanya? Tolak permintaan mereka terang-terang? Beritahu mereka yang kita kahwin hanya sekadar untuk dijadikan alasan agar awak dapat menolak kehadiran Linda? Cuba fikir sikit, Syah!” Zahlia meluahkan hujahnya.
Tengku Syahran bingkas berdiri.Merenung Zahlia dengan pandangan yang sungguh tajam.Bagaikan seekor harimau sedang menunggu mangsanya.
“Kau tau tak, selepas kamu masuk tadi, mereka sibuk mencari nama untuk cucu lelaki yang kau janjikan tu,” beritahu Tengku Syahran.
“Biarkanlah.Kalau awak tak buat apa-apa pada saya, tak adanya keluar budak tu pun,” jawab Zahlia.
“Tapi aku tak suka cara kau gunakan untuk memenuhi harapan mereka.Cara kau tu akan menghampakan mereka.Aku tak pernah cintakan kau.Jangan kau harap satu sen pun harta akan jatuh kalau kita berpisah.Aku pun tak ingin menyentuh kau.Aku tak akan benarkan kau mengandungkan anak aku.Kau dah dapat upah.Segalanya-galanya dah selesai.”
Zahlia terpana dengan kata-kata Tengku Syahran.Hatinya terguris.Begitu payah dia membuat keputusan untuk membantu Tengku Syahran.Rupa-rupanya dia tidak langsung menghargai pengorbanannya.
“Ingat! Jangan sebut pasal anak lagi.Benci aku mendengarnya!”
“Dahlah ,Syah! Tadi awak sendiri yang cakap, pandai-pandailah guna cara sendiri untuk buat orang percayakan kita.Bercakap mengikut kesesuaian keadaan.I’m doing my job,” Zahlia membalas kata-kata Tengku Syahran.
Tengku Syahran mendengus geram.Matanya merenung wajah Zahlia yang selamba.Namun riak yang selamba itu tiba-tiba bertukar keruh.Zahlia seperti mahu menangis menyesali nasibnya.
“Kenapa kau buat macam tu, Alia? Aku tak suka kau mereka-reka cerita yang tak wujud dalam skrip.Aku hanya mahu kau ikut apa yang aku suruh kau buat, jangan tambah benda yang tak mungkin berlaku.”
“Tadi awak yang cakap tokok-tambah apa yang patut.Saya dah ikut.Mak awak yang timbulkan soal anak.Awak nak suruh saya jawab apa? Beritahu mereka yang kita tak mungkin ada anak?” Zahlia berkata sambil melangkah ke tingkap.
“Okay, okay.It’s my fault.Tapi kau kena janji dengan aku yang kau takkan buat macam tu lagi,” pujuk Tengku Syahran setelah mendapati wajah Zahlia sudah mula keruh.
Zahlia mengetap bibir.Masih merenung gelap malam yang memenuhi ruang seisi alam.Perlahan-lahan dia mengeluh.Betapa kerdilnya dia ketika itu.Terasa menyesal pula kerana setuju dengan tawaran lelaki itu.
Zahlia tunduk.Kalau dikesali sekalipun, tidak guna lagi.Tengku Syahran sudah menjadi suaminya pagi tadi.Zahlia berpusing.Dia tersentak apabila mendapati Tengku Syahran berada betul-betul di belakangnya.Lelaki itu sedang memandangnya dengan satu pandangan yang agak luar biasa.Zahlia berdebar-debar.
“Syah, apa awak buat ni?”
Tengku Syahran tersenyum nakal.Kakinya melangkah sedikit ke hadapan untuk menghampiri Zahlia.
Takkan kau nak tanya lagi? Tadi kau sendiri yang cakap, kau tak kisah ada anak dalam tempoh setahun dua ni.Aku nak tuntut apa yang kau cakap,” ujar Tengku Syahran membuatkan Zahlia terasa bagaikan jantungnya direntap.
Segera kakinya melangkah ke belakang.Dia cuba menjarakkan diri.Namun, Tengku Syahran semakin hampir.Makin lebar senyumannya apabila Zahlia terperangkap di permukaan dinding.
“Syah, please.Jangan datang dekat saya!” Terketar-ketar Zahlia berkata.
Zahlia cuba bergerak ke tempat lain tetapi tidak berjaya.Tubuh Tengku Syahran telah pun berada di hadapannya.Ingin ditolak tubuh itu, namun dia tewas.Malah kedua-dua belah tangannya digenggam kemas.Dia tidak mampu menolak lagi.Tengku Syahran mula mendekatkan wajahnya ke wajah Zahlia.
Dada Zahlia berombak kencang.Wajah Tengku Syahran semakin hampir.Makin terasa hangat hembusan nafas lelaki itu.Perlahan-lahan Zahlia memejamkan mata.Dia takut menghadapi kenyataan yang bakal terjadi.Dia benar-benar tidak menyangka sampai begitu sekali tindakan Tengku Syahran terhadapnya.Dia berserah kepada keadaan.
Tiba-tiba kedengaran ketawa yang agak kuat.Lantas Zahlia membuka matanya.Genggaman yang kuat mencengkamnya tadi mula longgar dan akhirnya terlerai.Tengku Syahran menjauhkan diri dengan ketawa yang masih berbisa.Zahlia mengerutkan dahi.
“Kau ingat aku ni manusia jenis apa? Suka mungkir janji! Mesti kau fikir aku dah hilang akal kan?” soal Tengku Syahran sambil melangkah ke katil dengan ketawa yang masih kedengaran.Kemudian dia merebahkan tubuhnya sambil kedua-dua belah tangan dijadikan bantal.
“Kau ni kelakarlah, Alia.Aku tak seburuk yang kau sangkakan tau,” ucapnya lagi.
Zahlia memandang dengan perasaan geram.Dia main-mainkan aku? Kurang ajar betul!
“Awak memang dah gila sebenarnya Syah!” jerit Zahlia tiba-tiba.
Tengku Syahran tersentak.
“Alia, jangan jerit kuat-kuatlah.Aku dah pesan tadi kan!Nanti tak pasal-pasal ayah dan mak dengar!” marah Tengku Syahran.
“Biar mereka dengar.Awak peduli apa?” Zahlia terus menjerit.
“Alia!!!”
“Awak tipu saya Syah! Awak cakap awak boleh ikut semua syarat kalau saya sanggup kahwin dengan awak.Sekarang awak tengok apa dah jadi? Saya kena menghadap karenah adik-beradik awak, saya kena menghadap mak dan ayah awak dan saya kena menghadap muka awak hari-hari dalam bilik ni.” Suara Zahlia mula bergetar kuat.
Hatinya tiba-tiba diruntun pilu.Seluruh anggota badannya terasa lemah.Dia terjelepok di tepi dinding.Tiba-tiba sahaja perasaan sebak mencuit-cuit nalurinya.Zahlia sudah tidak dapat membendung perasaan sedihnya lagi.Lantas Zahlia menangis di situ juga.
Tengku Syahran bingkas bangun.Merenung Zahlia dengan rasa simpati.Wanita itu masih tersedu-sedan menangis sambil memeluk lutut.Timbullah rasa kesal di hati Tengku Syahran.
“Alia, aku terlupa!”
“Dah! Pergi! Jangan ganggu aku.Kau penipu! Kau pendusta!” jerit Zahlia sekuat hati.
“Okey, okey, aku takkan ganggu kau.Tapi tolong jangan jerit Alia.Nanti mak dan ayah dengar,” pujuk Tengku Syahran.
“Dahlah tu.Kau tidurlah atas katil.Biar aku tidur kat sofa ni aje,” pujuk Tengku Syahran lagi.
Tengku Syahran terus melangkah ke sofa dan merebahkan tubuhnya.Dia tidak mahu mengganggu Alia lagi.Biarlah Zahlia melayani perasaan sedihnya.Akhirnya, Tengku Syahran terlena di situ.
Bab 5
A
zan Subuh berkumandang, Zahlia terjaga.Dilihatnya jam sudah menunjukkan pukul 5.56 pagi.Dia bingkas bangun dan melangkah ke bilik air.Ketika itu Tengku Syahran masih lena di sofa panjang.Dua puluh minit kemudian Zahlia keluar dari bilik air dan terus menunaikan solat Subuh.
Setelah habis bersolat, dia memberanikan diri melangkah ke arah Tengku Syahran.Peristiwa semalam sudah lenyap dari fikirannya.Biarlah ia menjadi kenangan di hari pertama dia tinggal di villa itu.
“Syah… Syah… bangun! Dah Subuh ni.” Kejut Zahlia sambil menggoyang-goyangkan tubuh Tengku Syahran beberapa kali.Namun, tiada respons.Zahlia mengeluh.
Heiii… liatnya nak bangun? Beginikah cara hidup orang yang kaya harta? Detik hati kecilnya.
“Syah!” panggil Zahlia lagi.
Akhirnya Tengku Syahran menggeliat dan perlahan-lahan membuka mata.
“Apa hal ni?” agak keras suara Tengku Syahran.Mungkin marah kerana tidurnya diganggu.
“Bangunlah, solat Subuh!” balas Zahlia kembali dalam nada yang agak keras.
Tengku Syahran terdiam.Lantas bangun dan menuju ke bilik air.
Zahlia mengeluh dan pantas membuka telekung yang menutup sebahagian kepalanya.Telekung itu dilipat dan kemudian disidai di tempat biasa.Sejurus itu, dia melangkah ke meja solek.
Menatap wajahnya di cermin sebelum menyapu bedak.Setelah menyapu bedak di wajahnya, Zahlia menyisir rambutnya yang basah ke belakang.Begitu lurus dan tidak kusut langsung.Dia bersyukur kepada ALLAH kerana mengurniakan rambut yang cantik.
Sedang Zahlia leka menyisir-nyisir rambutnya tiba-tiba matanya terpandang wajah Tengku Syahran di sebalik pintu.Cepat-cepat dia mengambil sarung kepala dan menutupnya.
Tengku Syahran lantas mencapai sejadah dan menunaikan solat Subuh.Selesai bersolat,Tengku Syahran berdoa dan kemudian meletakkan kembali sejadah di tempat biasa.
Zahlia masih lagi berada di cermin solek sambil memerhatikan Tengku Syahran.Tengku Syahran naik rimas direnung begitu.Apa hal dengan dia ni? Tak habis-habis pandang aku! Hatinya merungut.
“Kenapa pandang macam tu? Dari tadi, kau pandang aku macam nak telan, aje?” tanya Tengku Syahran kehairanan.
Serta-merta Zahlia mengalihkan pandangan ke cermin semula.Kemudian menggelengkan kepala.Tengku Syahran pula melangkah ke katil yang telah pun dikemas rapi.Dia merebahkan tubuhnya di situ.Seketika, dia menoleh ke arah Zahlia yang masih membelek wajahnya di cermin itu.
“Awak tu yang tak senonoh? Curi-curi pandang orang,” marah Zahlia.
“Hai, pandang pun tak boleh? Kan awak tu isteri saya,” ujar Tengku Syahran.
Zahlia tidak menjawab lagi.Tidak guna layan orang macam ni.Makin dilayan, makin menjadi-jadi miangnya.Lantas dia mencapai tudung yang tersangkut di penyidai dan disarungkan ke kepala.Kemudian, dia melangkah dan menuju ke pintu.Sebelum melangkah keluar, dia sempat berkata,“Lepas Subuh tak elok tidur balik.Nanti otak bengap.”
Tengku Syahran mengetap bibir.Namun apabila menyedari kelibat Zahlia telah hilang, dia tersenyum.
ZAHLIA melangkah ke dapur.Dua orang tukang masak, iaitu Salmah dan Siti sedang sibuk menyediakan sarapan pagi.Zahlia terus menyapa mereka.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.Eh, Puan Zahlia! Awalnya bangun?” jawab Salmah yang tua dua tahun dari Zahlia.
“Emm, tak elok tidur lepas Subuh,” balasnya.
Salmah tersenyum.
“Biasanya jarang orang dalam villa ni bangun awal.Paling tak pun pukul 7.30 nanti, baru riuh sikit villa ni,” sampuk Siti.
Zahlia hanya mengangguk.
“Puan Zahlia…”
“Tak payah berpuan-puan dengan saya.Panggil Alia cukup,” potong Zahlia sebelum sempat Salmah berkata-kata.Salmah tersenyum simpul.
“Hah, Alia tak ke mana-mana?Ajaklah Syah berjalan-jalan.Orang baru kahwin ni elok pergi berbulan madu,” sambung Salmah yang berkelulusan ijazah dalam bidang Catering di Universiti Putra Malaysia dalam nada malu-malu.Siti yang mendengar hanya tersengih.
Zahlia menjungkitkan bahu.Tidak pernah dia memikirkan hal itu.Lagipun dia malas mahu bercakap banyak tentang Tengku Syahran.Malah apabila mendengar nama lelaki itu disebut tadi, dia segera terkenangkan jeritannya malam tadi.Terbayang kelakuan lelaki itu yang sengaja mengusiknya.
Ah, kalau perkahwinan ini sampai ke pengetahuan Razif, mesti Razif akan mentertawakannya.Betapa bodoh dirasakan kerana mengambil tindakan yang terburu-buru tanpa diketahui Razif.
Razif! Sudah sebulan dia tidak menjenguk Razif.Entah apalah khabarnya tidak diketahui.Hari pembedahan semakin hampir.
Zahlia segera teringatkan cek yang perlu ditunaikan.Cek yang telah diberikan oleh Tengku Syahran sehari sebelum berlangsungnya perkahwinan mereka.Dua hari lagi, Zahlia akan ke bank dan menunaikan cek itu.Kemudian dia akan menyerahkan wangnya kepada Razif agar pembedahan akan dijalankan dengan lancar.
Zahlia tersenyum lega.Tidak lama lagi, Razif akan sembuh sepenuhnya.InsyaAllah kalau diizinkan TUHAN.Razif adalah teman rapatnya sejak kecil di rumah anak-anak yatim sehinggalah dia diambil oleh Puan Azizah sebagai anak angkat.
Namun, hubungan mereka yang terputus mula menjadi baik apabila Zahlia mengambil keputusan untuk menjadi ahli sukarelawan mengajar anak-anak yang kehilangan ibu bapa sepertinya.Dia sendiri tidak menyangka akan bertemu dengan Razif semula di tempat yang sama.Tempat yang pernah didiami ketika kecil.
Zahlia tidak pernah menyesal memilih keputusan untuk mengajar anak-anak yatim.Malah dia bersyukur kerana ALLAH sentiasa membuka pintu hatinya untuk membuat kebajikan di muka bumi.Walaupun segulung Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berada di genggamannya.
“Alia tahu tak, Syah suka betul makan kuih pelita.Sebab itu sebulan sekali kami diarahkan membuat kuih tu.Lepas tu dalam sebulan biasanya kami akan masak makanan yang diminati oleh semua orang dalam villa ini. Alia suka makan apa? Nanti kami masakkan,” bicara Salmah mengaburkan lamunan Zahlia.
Zahlia terpinga-pinga.Namun dia cuba tersenyum.
“Saya makan semua Kak Mah.Tak kisah, selagi halal,” jawab Zahlia.
Kedua-dua tukang masak itu begitu pantas membuat kerja-kerja di dapur.Zahlia hanya memerhati sejak tadi.Dia mahu menolong tapi dihalang.
“Biasanya hari apa orang dalam rumah ni makan besar?” soal Zahlia.
Siti mengetap bibir.
“Tengok pada persetujuan ramailah.Setakat ni, Tengku Ismail lebih suka kalau hari terakhir setiap bulan dijadikan tarikh perjumpaan anak-beranak,” jawab gadis hitam manis itu bersungguh-sungguh.
Kemudian Zahlia melangkah pula ke rak-rak pinggan.Niatnya terbantut lagi.Salmah melarang keras dan memintanya menunggu di ruang tamu.Zahlia mengeluh kecil sebelum melangkah keluar dari dapur.Ruang tamu villa ini begitu besar.Begitu terserlah kecantikannya sejak akhir-akhir ini.Mungkin kerana menyambut kedatangan ahli keluarga baru.Zahlia tersenyum dalam hati.
Villa ini terlalu mewah untuk aku duduki.Sepatutnya Linda yang sesuai tinggal di sini seterusnya memegang gelaran menantu kepada Tengku Ismail dan Tengku Badariah.Sedangkan aku, hanyalah insan yang tiada ibu bapa.Hanya mendapat kasih sayang dari Puan Azizah,Razif, Fatimah dan anak-anak yatim.
Tiba-tiba Zahlia teringatkan Tengku Syahran.Kenapa aku bodoh sangat menerima tawaran lelaki itu? Sepatutnya aku membiarkan dia berkahwin dengan Linda.Baru dia tau! Baru sehari aku menjadi isterinya, dia sudah mengawal segala-galanya.Ah, bosan!
Linda! Zahlia tiba-tiba terasa kerongkongnya tersekat.Semalam dia ada perasan beberapa orang wanita sedang merenung tajam ke arahnya sambil berbisik-bisik.Tetapi, Zahlia tidak tahu yang mana satu Linda seperti yang dimaksudkan oleh Tengku Syahran.
Yang paling Zahlia ingat ialah Hazwin, sepupu Tengku Syahran yang sudah pun berkahwin.Masakan dia akan lupa wanita yang menegurnya sinis.
Zahlia mengeluh kecil.Perjuangannya di rumah itu baru bermula.Semalam dia hampir berputus asa.Hari ini? Entahlah, Zahlia kurang pasti.Belum pun sehari Zahlia menetap di situ, Tengku Syahran sudah menunjukkan aksi-aksi mahu berubah.Bahasa yang kasar dan perbuatan yang benar-benar menakutkannya semalam.
Zahlia tersentak apabila terasa bahunya dicuit.Dia berpaling dan Tengku Hakimi yang tersengih menghadapnya.
“Aikk, pagi-pagi dah termenung? Ingatkan apa?” soal Tengku Hakimi.
“Dah lama ke along turun?” soal Zahlia.
Tengku Hakimi menggeleng.
“Baru aje.Ingatkan nak melepak kat taman mini luar tu.Ternampak Alia tengah termenung kat sini.Kalau along tak tegur tadi, sampai ke benua mana Alia pergi pun along tak tau,” usik Tengku Hakimi.
Zahlia tersenyum kelat.
“Okeylah, along nak ambil angin kat luar.Alia nak ikut?” tanya Tengku Hakimi.
“Tengku Murni mana?” soal Zahlia.
“Tidur lagi.Penat sungguh dia semalam.Alia nak ikut tak? Kita sembang-sembang,” pelawa Tengku Hakimi lagi.
Lama Zahlia berfikir dan akhirnya dia mengangguk.
Bab 6
T
ENGKU SYAHRAN terjaga dari tidur.Gelak ketawa Zahlia kedengaran sehingga ke biliknya.Tengku Syahran bingkas bangun dan mengintai disebalik tirai langsir.Dari bilik atas dia dapat melihat Zahlia ketawa.Tengku Hakimi yang berada di sebelahnya sedang rancak bercerita.
Tengku Syahran mengetap bibir.Cemburu juga dia melihat kemesraan itu.Zahlia nampaknya lebih senang dengan Tengku Hakimi.Dengannya? Tengku Syahran malas hendak fikir.
Sejak dia mengusulkan cadangan untuk memperisterikan Zahlia dalam rancangan itu, Zahlia sudah tidak kelihatan seperti kali pertama mereka bersua semasa berlakunya kemalangan.
Kini, wanita itu sedang ketawa dengan gembira.Cemburu? Ya, Tengku Syahran memang cemburu.Tetapi, bila difikirkan semula, untuk apa dia cemburu? Sedangkan dia tahu Zahlia bukan haknya yang mutlak.Mereka hanya sah sebagai suami isteri hanya di dalam sijil nikah dan surat perjanjian.Yang selebihnya, tidak.Tengku Syahran mengeluh.Kemudian dia menuju ke sofa di hujung katil.
Kasihan, Alia! Tak semena-mena terlibat sama dalam masalah hidup aku, keluh Tengku Syahran.Aku pun satu, guna bahasa yang kasar sangat tu kenapa? Baru sehari dah tunjuk belang… dahlah dia sudi tolong aku! Ah, perempuan tu keras kepala.Biarkan… dia rasa.Tiba-tiba terbayang di fikirannya wajah Zahlia yang muram malam tadi.Teresak-esak Zahlia menangis di tepi dinding.Sampai Tengku Syahran sendiri tidak tahu bila isterinya terlelap.
Namun, ketika Tengku Syahran terjaga lewat pukul 4.00 pagi,dia terpanggil untuk mengamati keadaan Zahlia.Isterinya hanya terbaring lesu di atas ambal tanpa bantal dan selimut.
Niat Tengku Syahran untuk ke bilik air hilang begitu saja.Yang terlahir di hati hanyalah nafsu lelakinya yang tiba-tiba bergelora.Bila teringatkan syarat-syarat yang dikenakan, terpaksalah dia mengawal nafsunya.
TIBA-TIBA pintu biliknya diketuk.Tengku Syahran menuju ke pintu dan membukanya.Wajah adik bongsunya Tengku Farhana muncul.
“Angah, mak suruh turun.Breakfast,” ucap gadis berumur 17 tahun itu.
“Baiklah, nanti Abang Ngah turun.”
Sepuluh minit kemudian, Tengku Syahran sampai di meja makan.Ahli-ahli keluarga yang lain sedang bersembang-sembang.Mata Tengku Syahran cuba mencari kelibat Zahlia.Dan tiba-tiba Zahlia muncul dari dapur membawa seteko air minuman.
“Maaf, Tengku Syahran! Saya nak buat semua kerja, tapi Puan Zahlia yang beria-ia mahu menolong,” ucap Salmah takut-takut apabila menyedari sejak tadi pandangan lelaki itu seakan terpaku ke arah Zahlia.
Tengku Syahran tersedar dari lamunannya.Segera dia mengangguk.
“Alia, mari duduk sebelah abang,” panggil Tengku Syahran sambil menarik kerusi kosong di sebelahnya.
Zahlia merenung Tengku Syahran.Lambat-lambat dia melangkah menuju ke kerusi itu.Hatinya tiba-tiba terasa pelik.Apa kenalah dengan mamat seekor ni! Bukan main romantik pulak? Bebel Zahlia.
Keluarga Tengku Ismail bersarapan dengan penuh meriah.Makanan yang terhidang begitu membuka selera.Sambil mengisi perut, mereka bersembang-sembang.Dan adakalanya mereka ketawa apabila masing-masing menyakat sesama sendiri.
Zahlia berlagak gembira pagi itu.Banyak kisah silam Tengku Syahran sampai ke pengetahuannya apabila Tengku Badariah ligat menceritakan kisah yang sudah lama menjadi sejarah.Walaupun pada awalnya Zahlia tidak berminat, namun apabila mengetahui yang sewaktu kecil, Tengku Syahran pernah dijodohkan dengan dua pupunya yang hilang menyebabkan Zahlia berminat tiba-tiba.Keluarga ini tidak akan lari dari memasang jodoh dengan anak-anak kenalan rapat.Fikir Zahlia.
Sesekali Zahlia ketawa gelihati apabila Tengku Hakimi mengusik Tengku Syahran.Tengku Hafizah, anak ketiga keluarga Tengku Ismail pula hanya ketawa dan tidak banyak bercakap.Tengku Farhana juga begitu.Tengku Murni pula hanya sesekali ketawa seolah-olah memahami topik yang sedang dibualkan.
“Eh… eh… Alia! Makanlah lagi.Mak tengok kamu makan sikit aje tu.Tambah lagi,” ujar Tengku Badariah sambil mencedok mi goreng ke pinggan Zahlia.
Zahlia ingin mengelak namun mi goreng itu sudah pun sampai ke pinggannya.Mahu tidak mahu, Zahlia terpaksa menghabiskannya.Tengku Syahran pula mengambil peluang menatap wajah isteri yang baru dinikahi semalam.
Penuh tatatertib wanita itu menyuapkan mi goreng ke mulutnya.Keasyikan Tengku Syahran memerhati gerak-geri Zahlia telah membuatkannya tidak menyedari yang perbuatannya juga sedang diperhatikan oleh Tengku Hafizah.
Segera Tengku Hafizah menyiku lengan Tengku Syahran membuatkan Tengku Syahran tersedar dari lamunan.
“Sakitlah,” ucapnya sedikit marah kerana khayalannya diganggu.Adik-beradik yang lain memandang ke arah mereka.
“Fiza, apa kau buat angah kau macam tu?” tegur Tengku Hakimi.
“Sorrylah angah.Fiza rimaslah tengok angah pandang Kak Alia macam tu.Meremang bulu tengkuk ni tau tak,” ucap Tengku Hafizah selamba.
Zahlia terhenti menyuap mi goreng ke mulutnya.Perlahan-lahan dia memusing memandang Tengku Syahran yang kelihatan resah.Tengku Farhana pula hanya tersenyum-senyum sejak tadi.
“Bukan apa angah, macamlah angah tak puas lagi menatap wajah Kak Alia.Sampai hari ni pun nak tenung lama-lama,” tambah Tengku Hafizah lagi.
“Yang kau sibuk-sibuk tu apasal? Suka hati angahlah nak pandang ke nak apa ke? Kak Alia dah jadi isteri angah, kalau kau nak suruh angah cium dia sekarang pun, angah boleh buat kalau kau nak tengok,” luah Tengku Syahran membuatkan wajah Zahlia tiba-tiba merah.Perasaan malu tiba-tiba menyelinap ke segenap wajahnya.
“Elehh, macam berani sangat? Ingat Fiza tak tau perangai angah yang penakut tu?” cabar Tengku Hafizah.
Tengku Syahran berasa geram.
“Kau cabar angah?”
“Buatlah.”
Segera Tengku Syahran menarik Zahlia menghampiri dan mencium pipi isterinya itu sekuat hati.Zahlia tersentak.Pantas menolak tubuh Tengku Syahran.Zahlia rasa malu tiba-tiba.
“Eleh, angah cium pipi aje.Tu dah biasa orang buat,” balas Tengku Hafizah tidak puas hati.
“Habis tu, kau nak angah cium apa pulak?” tanya Tengku Syahran.
Zahlia tersentak lagi mendengar kata-kata Tengku Syahran.
“Hisy… kau ni, malu Alia dibuatnya.Tengok muka Alia tu dah merah padam,” tegur Tengku Hakimi.
Zahlia tunduk.Perbuatan Tengku Syahran tadi betul-betul memeranjatkan.Selama ini pipinya tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki.Dan hari ini merupakan sejarah.Pipinya yang licin, telah disentuh oleh lelaki yang telah menjadi suaminya.Dan sentuhan itu bukanlah sentuhan biasa baginya.
“Betul jugak cakap along tu.Malaslah Fiza nak cabar angah lagi.Lagipun buat apa Fiza tengok angah cium kak Alia.Buang karan aje.Angah simpanlah ciuman angah tu elok-elok ya,” usik Tengku Hafizah lagi.
Zahlia terasa duduknya semakin tidak selesa.Tiba-tiba Zahlia terasa tangannya digenggam kemas oleh jari-jemari Tengku Syahran di bawah meja.Zahlia terpana seketika.Dia cuba menarik tangannya.Tetapi tewas dan akhirnya membiarkan sahaja.
“Alia, temankan mak pergi shopping hari ni boleh tak?” Tengku Badariah bersuara tiba-tiba.
Zahlia memandang wajah emak mentuanya.Pelik.Cepat benar wanita itu mengajaknya berjalan bersama.Padahal baru semalam dia sah bergelar menantu di rumah ini.
Tengku Ismail mengerling Tengku Badariah.Ada cahaya kurang senang di matanya dengan kata-kata isterinya itu.Dia tahu Tengku Badariah sekadar menguji.Malah isterinya pernah memberitahu yang dia akan menguji setiap ahli keluarga baru di villa itu.Tidak kira lelaki ataupun perempuan.
“Yah nak uji setiap menantu kita sehari selepas majlis perkahwinan,” ayat itulah yang masih diingatinya sehingga ke hari ini.
“Awak jangan nak buat benda yang tak pernah dibuat orang! Mana ada orang baru kahwin sehari dah keluar shopping sana-sini.Buang tabiat agaknya awak ni!” marah Tengku Ismail sewaktu isterinya menyuarakan cadangan itu.
“Alah,Yah bukan nak keluar betul-betul.Yah nak tengok reaksi mereka aje.Sudi tak keluar dengan mentua.”
Tengku Ismail hanya mampu mengeluh.Dia masih ingat ketika Raja Jasmin baru menjadi menantunya, isterinya itu telah mengajukan soalan yang sama.Tetapi Raja Jasmin menolak bulat-bulat tanpa apa-apa alasan.Akhirnya, Tengku Badariah muncung di dalam kamar tidur.
“BOLEH tak Alia?” suara Tengku Badariah memecah ingatan lama.
Tengku Ismail merengus kecil.
“Mereka baru berkahwin semalam, Yah! Nak bermanja-manja pun belum cukup, awak nak kacau masa mereka.Sabar-sabarlah dulu.Tunggu seminggu dua lagi ke?” bangkang Tengku Ismail.
Tengku Badariah menarik muka masam.Dia sudah menjelaskan pada suaminya yang dia hanya mahu menguji.Suaminya langsung tidak faham.
Tengku Farhana dan Tengku Hafizah ketawa geli hati.Mereka faham benar dengan perangai emak kesayangan mereka itu.Pantang ditegur, kalau tidak berjawab, pasti mengambil jalan mudah untuk merajuk.
Zahlia yang sedang membisu kerana tangannya masih digenggam terpaksa memikirkan cadangan Tengku Badariah.Dia telah mengambil cuti selama empat hari.Kini baru sehari dia menjalani kehidupan berkeluarga di villa itu tetapi setiap waktu benar-benar membuatkannya sesak.
Hendak terima atau tidak?Jika dia terima ajakan itu, dia risau emak mentuanya akan bertanya pelbagai soalan dan dia takut terlepas cakap tentang perkahwinan mereka.
Jika tidak terima, dia akan lebih terseksa menghadapi Tengku Syahran di mana-mana sudut villa itu, apatah lagi di dalam bilik.Itu pun baru hari ini, belum esok.Belum lusa.Pasti membosankan!
“Alia tak kisah.Kalau mak nak ajak, tanyalah abang dulu.Alia kan hak dia.”
Pandai sungguh Zahlia berkata-kata.Tengku Syahran terkejut.Beraninya dia nak keluar dengan mak aku.Tiba-tiba mak aku korek rahsia perkahwinan ni, apa kau nak jawab? Tak pasal-pasal heboh satu Malaysia.Perkahwinan anak Tengku Ismail sebenarnya disertai surat perjanjian! Mampus aku! Hatinya merintih.
Tengku Badariah pula tersenyum senang hati.Jawapan Zahlia melegakan hatinya.Dia menjeling suaminya yang hanya mampu menggeleng.
“Boleh, Syah? Mak nak keluar dengan isteri kamu sekejap?” pinta emaknya.
Nak bagi tak? Dia kan isteri aku? Kalau aku tak bagi, mak tak boleh nak cakap apa.Lagipun baru kahwin semalam.Betul jugak cakap ayah, nak bermesra dengan isteri pun belum puas lagi.Perempuan ni pun satu.Duduk aje la kat rumah.Bukan aku nak ganggu dia pun.Yang semalam tu, bukannya aku sengaja.Sekadar mengusik pun sampai terjerit-jerit.Nasib baik rumah ni, rumah batu… kalau tak?
“Syah!” lamunannya terhenti.
“Hmmm… boleh! Tapi…”
“Tapi apa?”
Zahlia memandang Tengku Syahran.Dia berasa lega suaminya memberi keizinan.Tidak salah jika dia mahu mengenali hati budi emak mentuanya itu.Dan yang paling penting, dia boleh melarikan diri dari perangai Tengku Syahran yang menyakitkan hati.Terbayang peristiwa semalam.Hampir-hampir dirinya membiarkan perlakuan lelaki itu.
“Syah pun kena ikut!”
Zahlia tercengang.Runtuh harapannya.Menghadap dia lagikah? Gerutu hatinya.Tengku Badariah pula membisu.Diam-diam dia pun turut setuju.
“Em, boleh jugak! Kita naik kereta Alia.Mak pun nak keluar dengan anak menantu mak yang baru kahwin ni.”
Zahlia tersentak lagi.Dengan pantas tangannya yang erat digenggam oleh lelaki itu, ditarik kasar.Tanda protes.Zahlia sakit hati apabila Tengku Syahran buat tidak reti.Dia hanya mendiamkan diri sambil menikmati sarapan dengan hati yang sebal.
Wednesday, February 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment