Wednesday, February 25, 2009

bab 31-33

Bab 31

K
ERETA Honda Prelude milik Tengku Syahran menyusur laju membelah jalan raya.Zahlia sejak tadi tidak berkata sepatah pun.Dia asyik memandang ke luar.Anak mata Tengku Syahran sekali-sekala menjeling ke arah Zahlia.Tengku Syahran berasa sunyi.Akal jahat Tengku Syahran mengatur rancangan.
Tangan nakal Tengku Syahran mula menjalar dan menggenggam jari-jemari runcing isterinya.Zahlia terasa seperti ada arus elektrik sedang mengalir di seluruh badan dan urat nadinya.Tangkas sekali Zahlia menangkis sentuhan nakal Tengku Syahran.
“Apa ni?” marah Zahlia.
“Alia marahkan abang pasal soal anak yang mak sebut tadi ke?” Tengku Syahran menyoal Zahlia.
Tengku Syahran mahu penjelasan.Dia tidak mahu belenggu yang meresahkan itu terus meliuk lentok di dalam diri Zahlia.Seminit tidak mendengar suara lunak Zahlia, Tengku Syahran pasti diburu rindu.Begitu terseksa jiwanya dengan keadaan itu.
Zahlia masih diam membatu.Dia mengikut Tengku Syahran malam itu kerana motifnya yang tersendiri.Bukanlah dia sengaja ingin duduk berdua-duaan seperti yang selalu dilakukan oleh Tengku Syahran untuk mengambil kesempatan.Sebenarnya Zahlia sedang melarikan diri dari realiti hidupnya.
Jika benar Raja Khalida adalah mamanya, biarlah.Tetapi, untuk mengakui kebenaran itu di hadapan umum, tidak sama sekali.Zahlia malu.Gelaran anak luar nikah yang sering dimomokkan oleh rakan-rakan sekolahnya dahulu masih terpahat utuh di dalam hati.Selama-lamanya Zahlia akan dihantui rasa benci terhadap Raja Khalida.
Zahlia terasa panas sentuhan Tengku Syahran melekap di tangannya sekali lagi.Di saat ini, Zahlia sedar yang dia memerlukan seseorang di sisi.Ingin sahaja diluahkan segala masalah itu kepada Tengku Syahran.Tetapi, Zahlia tidak mampu.Lelaki itu hanya sibuk dengan kasih sayangnya sedangkan Zahlia sedang bingung dengan masalah hidupnya.
“Alia!” panggil Tengku Syahran berserta satu ciuman lembut di tangan Zahlia.
Zahlia menarik tangannya.Segala memorinya pada Raja Khalida hilang sama sekali.Teringat kembali perasaan amarahnya yang masih menggunung pada Tengku Syahran.
“Kenapa ni Alia? Senyap aje dari tadi?” suara lembut itu menyapa telinga Zahlia.

Zahlia mencebik.Dia tahu Tengku Syahran sengaja memancingnya untuk berbicara.Kelembutan suara lelaki itu tidak langsung mengusik jiwanya.Malahan mengundang rasa menyampah yang teramat.
“Abang tau Alia marahkan abang sebab abang tipu mak tadi, kan?” Tengku Syahran tetap tidak jemu mengajak Zahlia turut sama berbual.
“Tau pun.” Pendek Zahlia membalas.
Sungguhpun nada itu keras tetapi ia tetap membuatkan Tengku Syahran tersenyum.Sekurang-kurangnya Zahlia sudah mampu untuk bersuara.
“Abang buat macam tu sebab abang nak tolong Alia.Kalau abang tak cakap macam tu, apa alasan Alia nak bagi pada mak?”
Zahlia terdiam.Matanya di arah ke luar tingkap.Memang Zahlia tidak mempunyai alasan yang kukuh.Mujurlah Tengku Syahran sudi membantu.Jika tidak, pasti otak Zahlia sudah tergeliat untuk mencari alasan.
“Tapi abang tak boleh cakap macam tu! Macam bagi mak harapan pulak.Dulu abang jugak yang marah-marah.Jangan sesuka hati bagi mak harapan konon.Tengok sekarang?Abang yang lebih-lebih.”
Tengku Syahran mengerutkan dahi.Abang? Matanya dikerling ke tempat duduk belakang.Kosong.Hanya dia dan Zahlia di dalam kereta itu.Abang? Betul ke apa yang aku dengar ni?
“Err… abang kurang jelaslah dengan bahasa yang Alia gunakan tu.Boleh ulang balik tak?” Tengku Syahran cuba meminta kepastian.
“Abang jangan nak bergurau sekarang.Alia tengah marah ni!” Zahlia mendengus.
Tengku Syahran terdiam.Lama dia mendiamkan diri.Ligat fikirannya memikirkan perubahan kata-kata Zahlia.Akhirnya ada ketawa kecil meletus di bibirnya.
“Apa abang ni?” Zahlia menekan.Geram telinganya mendengar bunyi ketawa Tengku Syahran.
“Tak.Abang keliru dengar bahasa yang Alia pakai tu! Sejak bila pulaklah isteri abang ni tau bahasakan diri dengan nama.Panggil abang pun…’abang’,” ujar Tengku Syahran dengan ketawa yang masih bersisa.
Zahlia mengetap bibir.
“Itu yang abang mahu, kan? Sekarang Alia dah ikut syarat perjanjian abang tu.Abang pun jangan nak mungkir janji.Ingat semua syarat Alia tu terutamanya syarat yang ketiga.” Zahlia menekan lagi.
Tengku Syahran mematikan ketawanya.Membiarkan ia berganti dengan senyuman berbunga.Kepalanya digeleng berkali-kali.
“Keras kepala betul isteri abang ni! Entah apalagi yang abang perlu buat untuk melembutkan hati Alia.” Tengku Syahran berkata sebelum membelokkan kereta di pekarangan Pusat Rawatan Islam Kajang.


SEBAIK sahaja meletakkan kereta di pekarangan hospital itu, Tengku Syahran dan Zahlia terus melangkah ke wad bersalin.Kelihatan Adli sedang duduk di samping isterinya.Zahlia dan Tengku Syahran sempat bersalam-salaman dengan ahli keluarga Adli dan Anissa sebelum melabuhkan punggungnya di sisi Anissa.Bibirnya mengukir senyuman.Wajah Anissa ceria.Terpancar seri seorang ibu.
Seorang jururawat masuk dan membawa seorang bayi perempuan.Naluri Zahlia tersentuh.Alangkah indahnya suasana begini.Tiba-tiba hatinya dipalu dengan sifat-sifat keibuan yang mengacau fikiran.Entah mengapa dia terasa seperti mahu menikmati suasana sebegitu.Dikelilingi orang yang tersayang di saat menerima cahayamatanya.Pasti itulah memori paling indah untuk diungkapkan.
Mata Zahlia berubah arah memandang tepat ke wajah suaminya yang berada tidak jauh dari situ.Lelaki itu sedang leka bersembang dengan ahli keluarga Adli.Zahlia terus merenung suaminya.Memerhatikan senyuman dan ketawa lelaki itu yang begitu rancak sekali.Seperti pernah dilihatnya sebelum ini.Di mana? Dalam mimpikah? Ah, lupakan!
Zahlia tidak sedar ada senyuman kecil terukir di bibirnya.Dia ralit dengan dunianya yang mengkhayalkan.Tiba-tiba dia disapa dengan suara bayi yang merengek-rengek lalu melenyapkan dunia indah ciptaannya.Terus berganti dengan suara bising orang berbual yang membingitkan telinga.Tanpa disuruh, Zahlia mengeluh.
Keluhannya itu mengundang tanda tanya di benak Anissa.Perlahan-lahan tangan Anissa menyentuh jari-jemari Zahlia.Dingin dan lembut.Pantas sekali Zahlia mengukir senyuman pada Anissa.Seolah-olah cuba disembunyikan angan-angan yang bersadaian di jiwanya sebentar tadi.
“Saya dah selamat.Alia bila lagi?” Anissa bersuara setelah agak lama memerhati gerak geri wanita bertudung itu.
Anissa tertarik dengan sifat Zahlia yang lemah lembut itu.Mata yang berkaca-kaca itu seperti sedang memendam sesuatu sebagai rahsia.Anissa selalu ingin berkongsi perkara itu tetapi dia takut Zahlia akan tersalah anggap dengan kebaikannya.
Anissa mematikan hasratnya itu.Dia tidak mahu perkenalan singkatnya dengan Zahlia terputus begitu sahaja.Anissa mahu mencipta hubungan baik.Sekurang-kurangnya dia masih mempunyai kawan untuk meluahkan apa-apa masalah.
Zahlia sengaja tergelak.Kata-kata Anissa sebentar tadi memang tidak masuk akal.Bukankah Anissa sudah jelas dengan cerita di sebalik perkahwinannya dengan Tengku Syahran?
“Saya serius Alia.Kenapa ketawa?” suara Anissa kedengaran lembut.
Zahlia mematikan gelak.Pandangannya terus terpahat bertentangan dengan Anissa.Anak mata seorang ibu itu bagaikan merenjis satu sinar kemilau dalam jiwa Zahlia.Sedikit-sedikit bertukar menjadi pancaran cahaya yang amat menyenangkan.Zahlia menggeleng laju.Mematikan perasaan itu dari terus menambat hati.
“Orang lelaki ni Alia, kita kena ikat dengan anak.Lagipun anak kan pembawa rezeki dalam rumah tangga.Tak mungkin Alia dengan Syah tak teringin langsung nak menimang anak sendiri?” kata-kata Anissa seperti gurindam yang bergemaung di telinga Zahlia.
Mempunyai anak sendiri memang merupakan impian Zahlia sejak dahulu.Tetapi, Tengku Syahrankah lelaki yang bertanggungjawab menjadi bapa kepada anak-anaknya nanti? Jika ya, siapa lelaki yang ada dalam mimpinya ketika dia menunaikan solat sunat Istikharah suatu waktu dahulu? Tengku Syahrankah? Zahlia sering bingung dengan persoalan itu.
Lamunan Zahlia rentung apabila terasa jari-jemarinya diusap lembut.Teringat pertanyaan Anissa yang masih belum berjawab.
“Susah saya nak cakap, Anis.Siapa yang tak mahu timang anak sendiri? Semestinya saya mahu, cuma perkara ni tak mungkin berlaku antara saya dengan Syah,” jawab Zahlia menoktahkan persoalan yang melayang-layang dalam diri Anissa.
Anissa mengerutkan dahi.Ayat yang diucapkan oleh Zahlia amat menghairankan.Tidak mungkin berlaku antara dia dan Syah?
“Kenapa pulak tak mungkin? Alia kan perempuan dan Syah pulak lelaki.Sesuatu yang tak mustahil.Lainlah kalau antara saya dengan Alia.memang tak mungkin.”
Anissa tetap tidak berpuas hati dengan jawapan Zahlia.Kalau boleh Anissa mahukan perkahwinan Zahlia dan Tengku Syahran berkekalan selamanya.Jangan berputus setelah segala-galanya selesai.Zahlia terlalu baik untuk seorang lelaki seperti Tengku Syahran.Walaupun kerap kali Tengku Syahran mengadu kepada Adli bahawa Zahlia seorang yang keras kepala, Anissa yakin Tengku Syahran amat menyayangi Zahlia.
Zahlia ketawa dan membalas kata-kata Anissa dengan gelengan.Setiap patah perkataan Anissa itu sikit-sikit cuba ditangkis dari meniti dalam fikiran.Sesungguhnya Zahlia takut ayat-ayat Anissa akan merencanakan perasaan sayang.Ego Zahlia masih teguh berdiri.Zahlia tidak mahu tewas.
“Cuba Alia lihat tu! Takkan tak tersentuh hati tu langsung?” Anissa menunjukkan jari ke arah satu sudut bilik itu.
Zahlia memahatkan pandangan pada tempat yang ditunjukkan.Terkesima dia seketika.Tertawan juga hatinya dengan aksi Tengku Syahran yang kelihatan kekok mengendong bayi dalam pelukan.Tercetus sedikit rasa gelihati di dalam diri yang menyeru senyuman kecil terukir di bibirnya.
Zahlia merelakan pandangannya terus mendarat pada tingkah laku Tengku Syahran.Walaupun pekerti suaminya nampak kekok, nurani Zahlia tetap merisik perasaan aman dalam kamar hatinya.Agaknya, begitulah keadaan lelaki itu apabila memegang zuriatnya sendiri nanti.
Lamunan Zahlia berpendar-pendar hilang dari ingatan semasa semua tetamu meminta diri untuk pulang.Kini, hanya aksi Tengku Syahran dengan bayi perempuan itu,tanpa menyedari dirinya turut diperhatikan oleh ekor mata Tengku Syahran dari jauh.
Tengku Syahran tertawa dalam hati.Pipi mulus bayi yang sedang nyenyak dipelukan kadangkala diusap perlahan.Adli tergelak melihat sahabatnya yang seperti baru kali pertama memegang anak kecil.Kelakar betul!
“Woi, Syah! Kau dengan Alia bagaimana? Dah positif?” soalan yang ingin ditanya sejak tadi terkeluar juga dari mulut Adli.
Hilang konsentrasi Tengku Syahran pada bayi itu.Deria penglihatan Tengku Syahran terus difokuskan pada Adli.Demi melihatkan wajah itu, Tengku Syahran tergelak.
“Aku rasa kan, betullah cakap kau tu, Li! Aku kena ikat dia dengan kuasa aku.”
“Maknanya kau dengan Alia belum…”
“Hisy… kau ingat benda tu perkara main-main ke? Ini soal perasaan tau.Aku tak sampai hati nak paksa-paksa dia.Kesian! Bila aku tenung mata dia, hati membara aku ni boleh cair tau tak?” Tengku Syahran mengakui apa yang bertakhta di dalam benaknya.
“Kau ni pesimislah Syah! Mudah berputus harap terhadap diri sendiri.Kau tak cuba lagi, kan? Mana kau tahu? Entah-entah perangai dia yang kau kata keras kepala tu boleh lentok lepas kau ikat dia dengan kuasa kau.Itulah… aku dah bagi petua kau tak nak.Tengok aku ni, dah selamat keluar seorang.” Adli seolah-olah angkuh dengan gelaran bapa yang baru disandang.
Perilaku Adli itu hanya melayarkan cebikan kecil di wajah Tengku Syahran.Meluat Tengku Syahran mendengar pengakuan Adli yang nampak berlagak.
“Eleh, kau dulu lagi teruk.Takkan kau tak ingat masa kau dengan Anis bergaduh selang dua hari selepas kau dengan dia bernikah.Mana tempat kau lari? Rumah aku jugak, kan! Sebabnya Anis belum bersedia, kau yang terover-over.Bagi petua konon.Boleh blahlah!” ada kekekan kecil meletus di bibir Tengku Syahran.
“Syhhh… dengar bini aku tu karang!” potong Adli sambil meletakkan jari telunjuk di bibir.
Adli mengintai wajah isterinya dari jauh.Lucu juga dia apabila teringat memori hidupnya itu.Betul juga kata Tengku Syahran.Orang perempuan ni tak boleh dipaksa sikit.Cepat sangat melatah!
“Tapi kan Li! Hari tu aku ada jugak gertak Alia suruh tolong urutkan aku.Niat aku mula-mulanya sekadar bergurau, tak tau pulak dia mengikut.Yang aku tak tahan nak ketawa sangat, masa aku terjaga pagi tu.Bukan main sedap dia peluk aku macam bantal peluk.Tapi, nasib baik dia terjaga awal.Kalau tak mahu aku…,” Tengku Syahran membuat aksi jahatnya.
“Kau ni Syah, cakap tak serupa bikin! Kalau betul dia tak terjaga pun belum tentu kau nak tuttttt….” Adli mengusik Tengku Syahran.Biar Tengku Syahran sedar kata-katanya tadi merupakan satu cabaran.
“Kau jangan cabar aku, Li.Kau belum kenal aku siapa! Jangan terperanjat suatu hari nanti tiba-tiba Alia lahirkan dua pasang anak kembar untuk aku.Baru kau kenal langit tu tinggi ke rendah.” Tengku Syahran berkata bersungguh-sungguh.
“So, take it as a challenge!”
Tengku Syahran mengangguk.Dia akan buktikan pada Adli suatu hari nanti dia akan berjaya memiliki Zahlia sebagai suri hidupnya sehingga ke akhir hayat.Tidak lagi perlu bersusah payah membiarkan otaknya berserabut dengan surat perjanjian yang merepek-repek.
Di waktu itu hanya kuntum-kuntum bahagia yang berseri dalam taman hidupnya.Dia mempunyai dua pasang anak kembar yang lincah berlari-lari di halaman rumah ketika menantinya pulang dari kerja.Manakala Zahlia pula dengan penuh sabar menantinya di muka pintu.
“Abang, Alia nak pegang pulak boleh tak?” gemersik suara halus Zahlia meratah-ratah segala impian indah yang baru diangankan sejenak tadi.
Perlahan-lahan tangan Tengku Syahran menghulurkan bayi perempuan ke dalam dakapan Zahlia yang sedang berdiri.Zahlia tersenyum.Berhati-hati menyambut anak kecil itu.Dia melabuhkan punggungnya di sisi Tengku Syahran.Lelaki itu mula mengambil peluang untuk memerhati gerak geri Zahlia ketika berada dalam suasana begitu.
Adli beredar dan menuju ke arah Anissa.Dia ingin memberi kesempatan untuk pasangan itu menyendiri.Mungkin sebagai langkah pertama.
Zahlia mengusap pipi bayi perempuan itu kudus.Kepalanya ditunduk sedikit lalu satu kucupan gugur di atas ubun-ubun anak kecil itu.Mata hazelnya terus mengamati ke sekeliling bentuk wajah polos si bayi.Lebih iras kepada bentuk wajah Adli berbanding Anissa.Mata, kening dan bibir lebih memberat kepada ibunya dan hidung kecilnya kelihatan serupa seakan hidung Adli.
Zahlia terus tersenyum tanpa menghiraukan mata Tengku Syahran yang terlalu asyik memerhatinya sejak tadi.Wajah bayi itu mula melerahkan perasaan indah yang merejah-rejah nurani Zahlia.Satu kucupan tersua lagi.Kali ini di pipi si kecil.Zahlia terasa bahagia.
“Alia tak teringin merasai perasaan ni lagi untuk anak sendiri pulak?” persoalan Tengku Syahran merempuh segala rasa keindahan yang terukir di lubuk hati.Lenyap bersama perasaan bahagia yang baru bertakhta.
Senyuman yang terterap di bibir halusnya ketika menatap wajah bayi itu tadi mati serta-merta.Wajah Tengku Syahran dikerling sekali imbas.Lambat-lambat Zahlia menggeleng.
Tengku Syahran mencebik nakal.Dia tahu Zahlia berbohong.Masakan begitu asyik mata wanita itu melayarkan pandangan ke wajah si bayi tanpa wujud satu perasaan tulus.Siap dengan ciuman yang berkali-kali lagi.
“Eleh, jangan nak tipu abang! Sekeras mana pun hati Alia, mesti tersentuh jugak bila Alia tengok muka baby girl ni, kan?”
Pertanyaan Tengku Syahran diabaikan dari berlabuh di kotak fikiran.Zahlia malas mahu menjawab pertanyaan lelaki itu yang hanya akan melemahkan nalurinya.Tabir egonya masih tegak bergantung.Belum bersedia untuk diruntuhkan.
“Senyap aje tu, betullah, kan?” suara Tengku Syahran semakin dekat di telinga.
Zahlia segera menjarakkan kepalanya jauh sedikit dari Tengku Syahran.Namun, cengkaman tangan Tengku Syahran tiba-tiba terpaku di bahunya.Zahlia terikat.
“Jangan cuba nak melarikan diri dari abang.Selagi Alia masih hak abang, selagi itulah abang takkan lepaskan Alia.Abang pernah cakap jangan cabar kelelakian abang.Mungkin bukan hari ini, esok, lusa, tulat, siapa tau? Tiba-tiba Alia sendiri yang datang pada abang.”
Tengku Syahran berbisik di telinga Zahlia.Dibiarkan Zahlia didatangi perasaan gementar dengan kata-katanya yang seolah-olah satu ugutan.Terselit satu senyuman nakal di pinggir bibir apabila kening matanya dimain-mainkan.
“Abang jangan Alia ni mudah takut dengan ugutan abang tu! Apa abang fikir Alia ni tak ada maruah? Nak menyerah aje bila digertak? Abang silap,” balas Zahlia berani.
Tengku Syahran terasa bahagia.Zahlia memang memanggilnya dengan perkataan keramat itu.Alhamdulillah… Tengku Syahran bersyukur.
Zahlia mencium bayi itu lagi.Dia memang berdebar dengan kata-kata Tengku Syahran tadi.Zahlia memejamkan matanya sejenak.Mengambil kesempatan itu untuk menenangkan fikiran yang mula berkocak.Termangu dirinya apabila Tengku Syahran menarik kerusi dan duduk menghadap dirinya.Keadaan itu mengacaukan lagi fikiran Zahlia yang masih belum bertenang.
“Kenapa tak pandang abang? Berdebar-debar?” bunyi suara itu merungkaikan perasaan gementar yang bermukim.
Zahlia masih berlagak santai.Kali ini tanpa dipaksa, Zahlia membalas renungan suaminya.Melucup laju panahan matanya telus ke dasar hati.Benar-benar menggigit naluri.
“Wah, satu perubahan yang drastik.” Ucapan itu mematikan renungan Zahlia.Serta-merta dahi Zahlia mengedut.
“Maksud abang?”
“Alia dah berani nak lawan pandangan mata abang! Bukan main asyik.Bagaimana? Ada timbul perasaan asing?” Gementar?” Tengku Syahran bertanya sambil tersengih.
“Tak sama sekali.” Laju Zahlia menyangkal ucapan Tengku Syahran.
“Konkrit betul ego Alia ni.Tak mungkin selamanya Alia nak menjaga anak orang kat Sinar Iram tu.Cuba Alia bayangkan bila kita ada anak sendiri nanti.Yang lelaki, mesti kacak dan segak macam abang.Yang perempuan pulak, mesti sopan, cantik,lemah-lembut dan semestinya mempunyai sepasang anak mata yang cantik seperti ibunya! Alia tak teringin ke?” Tengku Syahran tetap cuba menarik minat isterinya.
“Nak memang nak.Tapi, bukan dengan abang.Dengan orang lain!”
“Eh, amboi! Cerdiknya dia menjawab.That thing wouldn’t happen to you with another guy but only between you and me.Remember that? You are mine!” Tengku Syahran membantah kata-kata isterinya.
“Tak ingin Alia serahkan tubuh Alia ni pada abang.Tak rela!” Zahlia masih utuh dengan keputusannya.
“Eleh, tengoklah nanti! Betapa hebatnya abang untuk menjadi ayah kepada anak-anak yang Alia kandungkan.Abang akan buka mata Alia luas-luas.Biar Alia sedar sesaat tak mendengar suara romantik abang ni, Alia boleh jadi gila.” Kata-kata Tengku Syahran hanya melahirkan rasa jengkel di laman hati Zahlia.Geli-geleman dia mendengar pengakuan tersebut.
“Dahlah.Malas nak layan abang.Jomlah kita balik.Dah lama benar kita kat sini.Nanti mengganggu Adli dengan Anissa pulak.” Zahlia berkata memintas perbualan Tengku Syahran yang mula melalut-lalut.
Tengku Syahran tersengih nakal.
“Kenapa awal sangat? Alia dah tak sabar nak dukung anak sendiri ke?” usik Tengku Syahran membuatkan Zahlia membuntangkan mata.
“Jangan nak merepek-repek.Alia tampar nanti.”
“Tamparlah.Bila melekat aje tangan Alia kat pipi abang, jagalah! Abang tarik Alia naik atas katil… tu tengok katil tu… tak ada orang.Macam bagi peluang kat kita aje.Bila dah naik atas katil, abang akan tarik tirai tu dan tak ada orang akan nampak kita.” Tengku Syahran ketawa besar.
Zahlia menahan geram.
“Kenapa senyap? Takut? Susah-susah sangat kita sewa hotel aje nak? Kita raikan bulan madu kita secara rasmi! Nak tak sayang?” usik Tengku Syahran dalam nada gelaknya.
“Abang tidurlah seorang diri.Alia boleh balik naik teksi.Kalau mak tanya, cakap aje abang tinggalkan Alia kat tengah jalan seorang diri.”
“Lepas tu, bila mak tanya abang pulak, abang jawablah Alia tak mahu lahirkan cucu untuk mak.”
Zahlia terus kehilangan kata.Setiap ayat yang diucapnya pasti ada balasan yang menyakitkan hati.Zahlia tunduk.Sempat matanya menjeling tajam wajah Tengku Syahran.
“Dah habis modal? Okeylah sayang, jom kita balik! Selagi Alia belum bersedia, abang takkan buat macam tu! Alia ingat abang ni buruk lantak? Nak terkam sesuka hati walaupun yang halal tak sudi nak bagi?”
Jawapan Tengku Syahran menenangkan kegelisahan di hati Zahlia.Perlahan-lahan mereka melangkah ke arah Adli dan Anissa.Setelah bersalaman, mereka melangkah pulang.

























Bab 32

J

IWA Linda berasa tidak tenteram.Dua hari lepas,Linda telah dihalau keluar dari rumahnya.Papanya malu akibat perbuatan tidak bermaruah yang dilakukan oleh Linda.Kini, Linda sedang mengandung tiga bulan hasil hubungannya entah dengan lelaki mana, dia kurang pasti.
Ini adalah kandungan terbaru.Kandungan dahulu yang hampir berumur dua bulan ketika perkahwinan Tengku Syahran dan Zahlia telah disahkan mati.Pada awalnya, Linda berasa gembira.Tapi, kini dia mengandung lagi.Linda tidak tahu apa yang perlu dilakukan.Mamanya pula tidak ada.Entah di pelosok dunia mana menyembunyikan diri, Linda tidak tahu.
Linda bengang.Hatinya masih membara bila mengenang kembali sewaktu dia terserempak dengan Tengku Syahran dan Zahlia beberapa minggu lalu di Pusat Rawatan Islam Kajang.Fikirannya tidak dapat menerima hakikat jika benar Zahlia sedang mengandung zuriat Tengku Syahran.
“Jaga kau Syah! Kau dan Alia akan musnah selepas ini.” kata-kata itu diucap berselang-seli dengan ketawanya yang kian bergema nyaring.
Namun ketawa Linda tiba-tiba mati apabila pintu biliknya diketuk berulang kali.
“Masuk!" jerit Linda kuat.
Pintu bilik terbuka.Dua orang lelaki yang bertubuh tegap masuk.Linda menoleh pada jam yang terdampar di atas meja.Serta-merta bibirnya menguntum senyuman.
“Good.Very punctual,” kata Linda.
“That’s our job,” jawab salah seorang daripada mereka.
“I am Linda.” Linda bangun menghulurkan salam perkenalan.
“Faizal and this is my partner, Naim!”
“We’ve known from our boss that Mrs.Linda…”
“Wait! Wait! Miss Linda.I’m not married yet!” potong Linda sepantas kilat.
Faizal terdiam seketika.Matanya berarak pada perut Linda yang nampak berisi.Berkerut dahinya tiba-tiba.
Melihatkan wajah lelaki itu, air muka Linda berubah.Segera dia merebahkan tubuh di kerusinya semula.
“Forget about this thing! You can call me Linda or Miss Linda.Remember, your job is just do as I say.But, don’t you ever get to know what I am doing.” Linda bersuara agak keras.
“Relaks.Okey, apa yang kami perlu buat?” Naim mula menyampuk apabila keadaan dirasakan sedikit tegang.
“Haa… that is a good question! I nak you all siasat gerak geri dua orang manusia ni secepat mungkin,” ujar Linda sambil melemparkan sekeping gambar di atas meja.
Naim mengambilnya sambil matanya dikerling ke arah Faizal.Gambar itu bertukar tangan ke genggaman Faizal.
“Apa yang perlu kami lakukan?”
“Tolong siasat apa yang mereka lakukan setiap hari.I nak you all gunakan rakaman dalam CD.I tak suka you bagi gambar-gambar yang you ambil dengan kamera buruk.Cara tu dah lapuk.Dan pastikan gambarnya terang dan jelas.” Panjang Linda berkata dengan wajah serius.
“Kerja ni agak payah.Kami perlukan dua minggu untuk selesaikan semua,” beritahu Naim.
Linda mengerutkan dahi.Matanya merenung wajah kedua-dua lelaki itu berselang-seli.
“Why it takes too long?” tanyanya tidak berpuas hati dengan syarat yang dikenakan.
“Tugas ni bukan mudah Cik Linda.Kami perlu tau biodata peribadi mereka.Dua minggu tu pun kadang-kadang pendek untuk kami.”
“Okay, fine! You ambillah berapa banyak masa sekalipun.Tapi, pastikan keputusan yang I perolehi nanti memuaskan hati.Jangan duit yang you dapat lumayan, namun kerja satu pun tak menjadi!” beritahu Linda seperti menyindir.
“I have said, that is our job.Don’t worry!” jawab Faizal selamba.
“Okey! Kita jumpa dua minggu dari sekarang,” ujar Linda.
Kedua-dua lelaki itu mengangguk.


ZAHLIA membungkam di meja kerjanya.Dia lebih senang dengan situasi begini.
“Woi, mak cik! Asyik mengelamun aje.” Teguran Fatimah mengejutkan Zahlia.
Lamunannya lenyap.Wajah ayu Fatimah yang hitam manis menyapa ruang mata.Zahlia menerapkan senyuman di bibir.
“Kau ni kenapa Alia? Senyap aje?” soal Fatimah yang sedang duduk di kerusi di hadapan mejanya.
“Tak ada apalah Imah.Kalau tak ada benda nak buat, inilah kerjanya! Mengelamun aje,” jawab Zahlia sambil ketawa.
“Eleh, cakap ajelah yang kau tengah rindukan laki kau tu,” potong Fatimah segera.
Ada senyuman mengusik terlempar di bibirnya.
Zahlia hanya menjungkit bahu.Malas hendak melayan usikan Fatimah.Namun, bunyi deringan telefon yang agak jauh tiba-tiba mengganggu kebisingan suasana di dalam bilik itu.Zahlia sempat menjeling ke arah jarum jam yang sedang bergerak.Menunjukkan angka 12.00 tengah hari.Mesti lelaki tu! Terdetik tekaan itu di dalam hati.
“Laki kau agaknya Alia.” Fatimah turut berpendapat yang sama.
Zahlia berpura-pura tidak tahu.
“Alia telefon! Abang sayang kau,” jerit seorang guru lelaki membuatkan Zahlia menjegilkan mata.
Guru itu hanya ketawa besar.Seronok dapat menyakat Zahlia.
“Assalamualaikum.” Zahlia berkata selepas meletakkan gagang telefon ke cuping telinga.
“Waalaikumussalam sayang! Hai, tengah buat apa?” suara Tengku Syahran kedengaran.
“Dah makan?” tanya Tengku Syahran lagi.
Zahlia terdiam.
“Abang laparlah sayang.Kita lunch sama-sama nak? Abang ambil Alia.” Tengku Syahran tetap bersuara untuk menarik minat Zahlia untuk berbual.
Senyap.
“Aikk… kenapa senyap aje ni? Tak sihat? Abang bawa ke klinik?” lelaki itu tetap berbicara.
Zahlia membisu.Hanya mendengar celoteh suaminya tanpa balasan.
“Susah betul nak dengar suara Alia dalam telefon.Dulu, bila abang telefon jugak Alia jawab sikit-sikit.Sekarang… macam ada lombong emas.” Kedengaran ketawa kecil yang dibuat-buat.
Zahlia tetap membisu.
“Cakaplah Alia.Apa-apa pun.Asalkan rindu abang ni terubat sikit.Abang terseksa ni.Tak concentrate nak buat kerja! Please sayang.” Lembut Tengku Syahran merayu.
Zahlia tetap tidak bersuara.
Tiba-tiba satu keluhan dilepaskan.
“Tak apalah kalau Alia sibuk.”
Klik! Talian terputus.
Zahlia terkedu.Tiada lagi suara romantis itu menyapa telinganya.Bunyi itu hilang.Kosong.Lemah sekali Zahlia meletakkan gagang itu ke tempat asalnya.Marahkah lelaki itu? Bersahut-sahut soalan itu terpelanting di benaknya.Keluhan terlepas dari bibirnya pula.
“Alia, ada orang cari kau!” Suara Fatimah bergayut di gegendang.
Zahlia mengangguk.Berkerut dahinya seketika.Syah! Kakinya mula melangkah laju ke bilik tetamu.Matanya mencari-cari wajah lelaki itu.Tetapi, jantungnya bagaikan direntap.Wajah seorang wanita muncul di hadapannya.
Zahlia memakukan langkah.Nafasnya berombak kencang.Pantas dia memusingkan tubuh.Serentak itu, Zahlia mula menyusun langkah untuk beredar.
“Alia…” panggil wanita itu lembut.
Zahlia tidak jadi melangkah.
“Alia, mama datang sayang.” Halus suara wanita itu menegurnya.
Zahlia memejamkan matanya.Entah mengapa tiba-tiba dirinya amat lemah untuk berhadapan dengan situasi sebegitu.Selama ini, dia sentiasa mampu mengelakkan diri.Tetapi, tidak hari ini.
“Alia… jangan buat mama terseksa sayang.Mama rindukan Alia!”
Zahlia terus membisu.Nafas yang masih tidak menentu hala mengundang rasa sebak yang menyebabkan matanya mula digenangi air.Perlahan-lahan air mata itu jatuh mengalir.Zahlia hanya menyeka air itu dengan hujung jari.
“Alia, pandang mama!” Raja Khalida memusingkan tubuh Zahlia supaya bertentangan.
Zahlia hanya mengikut.Serta-merta mata mereka bersabung.Menambah rasa kelu di hujung lidah Zahlia.Wajah Raja Khalida kelihatan tenang dan lembut sekali.Sempat Zahlia melirik ke anak mata wanita itu.
Perasaan bahagia yang mula menyinggah di hatinya, tidak dibiarkan lama.Zahlia cepat-cepat melarikan wajah ke tempat lain.Runtuh semua keindahan yang ingin mengibarkan sayap.Malah, Zahlia membentengkan lagi hatinya dengan perasaan ego yang menebal.
Zahlia masih belum melupakan gelaran ‘Anak Haram’ yang sehingga kini bagaikan sebati dalam jiwa.Pastinya disebabkan wanita itu, Zahlia hidup terseksa dengan pelbagai kata cacian.Siapa yang tidak pelik? Dia dijumpai di tengah-tengah semak yang jarang dilalui orang.Apabila hidupnya sudah bahagia di samping emak angkatnya, tiba-tiba wanita itu datang memperkenalkan dirinya sebagai mama.Zahlia tertekan.
“Dah besar anak mama sekarang.Cantik.”
Raja Khalida tersenyum manis sambil mengusap pipi anak kesayangan yang dirindui.Anak tunggal hasil perkongsian hidupnya dengan Megat Saifiuddin.Raja Khalida merenung segenap wajah Zahlia.
“Puan, jika puan tiada perkara penting yang nak dicakapkan, saya harap kita bersurai di sini.Saya banyak kerja sekarang.” Teguran Zahlia yang agak tegas menghalau semua ingatan Raja Khalida.
Raja Khalida kembali ke dunia sebenar.Sedikit terkedu dengan kata-kata anak kesayangannya itu.
“Alia kenapa cakap macam tu? Alia tak rindukan mama?” soal Raja Khalida cuba memujuk hatinya yang pilu.
“Saya tak faham maksud puan.Saya sibuk sekarang.Maafkan saya!” ujar Zahlia selamba.Kakinya mula hendak melangkah pergi.
Raja Khalida mengalirkan air mata apabila menyaksikan reaksi Zahlia yang acuh tidak acuh dengan kedatangannya.
“Sampai hati Alia buat mama begini! Apa kesalahan mama sehingga Alia hukum mama sebegini rupa?” tanya Raja Khalida dengan suara yang tersekat-sekat.
Hati Raja Khalida dipercik rasa walang yang bertali arus.Pedihnya jiwa mendengar Zahlia berkata begitu.Seolah-olah terlalu berat kesalahan yang dilakukannya.
Zahlia menghentikan langkah.Bibirnya diketap demi menahan air mata yang ingin dirembes keluar.Nuraninya merintih mendengar wanita itu berkata sedemikian.Dirinya sendiri terhiris dengan ungkapan biadapnya sebentar tadi.
Tetapi maruah Zahlia perlu dijaga.Hati Zahlia telah lama dicarik dengan kata-kata duka yang sering memperolok-olokkan nilai dirinya.Zahlia juga inginkan hidup seperti insan biasa.Tetapi, mengapa mesti ada mulut yang suka mempertikaikan tentang maruahnya?
“Puteri…” panggilan itu menyentakkan Zahlia.
Pantas sekali Zahlia menoleh ke arah Raja Khalida.Hairan dengan panggilan wanita itu tiba-tiba.Raja Khalida mendekati Zahlia.Membelai pipi puteri kesayangan yang hanya dapat menikmati hidup selama setahun dengannya ketika kecil.Mencurah-curah rasa rindu yang membahang.
“Dulu, mama dengan ayah panggil Alia dengan panggilan Puteri.Alia nak tahu kenapa? Sebab, nama Alia…”
“Puan! Saya sibuk ni.Saya perlu pergi sekarang.Assalamualaikum…” Zahlia memintas.
“Puteri…”
“Saya fikir puan ni tersalah orang agaknya.Setakat yang saya tau, nama saya adalah Zahlia Abdullah.Saya dijumpai di tengah-tengah semak yang orang dakwa anak luar nikah.Saya tak pernah pun ambil tahu siapa ibu bapa kandung saya.Lagipun, untuk apa saya mengenali mereka? Sedangkan mereka yang tak pernah mahu menerima saya di dunia ni.Harap puan boleh cari orang lain.”
Zahlia melangkah laju bersama air matanya.



TENGKU SYAHRAN membuka pintu biliknya.Gelap.Pantas tangannya menekan suis lampu.Keadaan katil yang masih kemas bersusun menghampakan dirinya.Pasti Zahlia belum pulang.
Setelah mencampakkan tali leher dan begnya di kerusi panjang, Tengku Syahran terus menuju ke bilik air.Sebelum menutup pintu bilik air itu, sempat matanya menoleh ke arah jarum jam.Sudah pukul 10.00 malam.
Ketika dia keluar dari bilik air, Zahlia sudah pun duduk tercongok di atas katil.Demi melihatkan isterinya, Tengku Syahran berasa lega.Bibirnya menguntum senyuman.
“Sayang dah makan? Kita makan sama-sama nak?” soal Tengku Syahran segera melangkah ke almari pakaian.Pintu almari dibuka lalu tangannya mencapai sehelai t-shirt dan kain pelekat yang masih berlipat.
Zahlia membisu di atas katil.Pertanyaan Tengku Syahran langsung tidak masuk ke telinga Zahlia.Fikirannya tidak tenteram selepas berjumpa dengan Raja Khalida tengah hari tadi.Panggilan ‘Puteri’ bagaikan terngiang-ngiang di telinga.Zahlia ingin merehatkan otak.
Namun, Zahlia benar-benar terperanjat apabila terasa wajahnya disentuh dengan sesuatu yang sejuk.Berombak dadanya menahan gementar bersama degupan jantung yang deras bergetar.
Tengku Syahran turut terkejut melihat reaksi Zahlia yang menggigil ketakutan.Serentak dialihkan tapak tangannya dari pipi Zahlia lalu digenggam seluruh jari-jemari Zahlia yang terketar-ketar.
“Alia, kenapa ni? Are you okey?” tanya Tengku Syahran semakin kuat menyulam jari-jemari Zahlia.
Zahlia kembali tenang.Gelombang yang tidak menentu tadi, kian pulih.
“Abang… terkejut Alia!” bergetar suara Zahlia.Zahlia mengurut dadanya perlahan-lahan.
Tengku Syahran duduk mencangkung menghadap Zahlia.Sinar kerisauan jelas terpancar di seluruh wajah itu.
“Alia tak sihatkah? Kenapa termenung aje ni?” soal Tengku Syahran dalam nada gelisah.
Zahlia menggeleng laju.Wajahnya sengaja dimasamkan.
“Abang tu, Alia dah pesan, kan? Kalau nak masuk bilik bagi salam dulu!”
Zahlia cuba berlagak selamba.Suaranya dikeraskan untuk menyembunyikan perasaan malu yang menguasai diri.
“Hei, buang tabiat apa? Abang dah lama dalam bilik ni tau.Sebelum Alia balik lagi.Ni tengok ni, abang dah siap mandi pun,” beritahu Tengku Syahran.
Zahlia memandang Tengku Syahran.Serta-merta wajahnya merona merah.Zahlia malu dengan kata-katanya tadi.Lagipun, keadaan Tengku Syahran yang hanya bertuala menyebabkan jantung Zahlia mula bergetar laju.Anak matanya dilarikan ke sudut lain.
Tengku Syahran turut melirikkan mata ke arah tubuhnya yang masih belum berpakaian.Terpahat senyuman kecil di bibirnya.
“Kenapa tak nak pandang abang? Malu nak tengok abang macam ni?” soal Tengku Syahran dengan senyuman.
“Kalau dah tahu, kenapa buat macam tu? Tak reti-reti nak pakai baju dalam bilik air?” marah Zahlia.
Tengku Syahran ketawa besar.
“Eleh, apa yang nak dimalukan? Abang kan suami awak.Maruah abang rahsia awak.Maruah awak rahsia abang.Buat apa nak susah-susahkan diri keluar masuk bilik air semata-mata nak menukar baju? Buat aje macam ni, kan senang!” Tengku Syahran berkata sambil tangannya mula memegang hujung tuala.
Zahlia membeliakkan matanya sebelum bertindak pantas menarik tangan lelaki itu dari memegang tuala itu.Namun, tuala yang tersangkut di separuh tubuh Tengku Syahran terlucut juga.Zahlia tersentak.Lalu memejam matanya rapat-rapat.
Tiba-tiba kedengaran ketawa yang kuat memecah gegendang telinga.Zahlia menberanikan diri membuka matanya sikit-sikit.Tengku Syahran sedang berdiri dengan seluar pendek tersangkut di tubuhnya.Lelaki itu masih ketawa gelihati sambil menyangkut semula tualanya ke pinggang dengan kemas.
“Rugi Alia pejam mata,” ujar Tengku Syahran sambil ketawa.
Zahlia menjeling.
“Ini sayang baru nampak separuh.Sayang nak abang tunjukkan semuanya ke?”Tengku Syahran mengusik sambil tangan memegang kembali bucu tuala.
“Abang!” Zahlia menjerit kecil.
“Tau takut!” Tengku Syahran mula beredar dari situ bersama sisa ketawanya.
“Abang ni melampaulah!” bibir Zahlia mula memuncung.Tengku Syahran mematikan langkah.
“Nak lagi?” Tengku Syahran menyakat.Zahlia hanya membalas dengan jelingan.
“Dahlah tu sayang.Pergi mandi, kita solat Isyak sama-sama.Lepas tu, kita makan.Abang dah lapar.Lepas tu… erm… kita tidur! Okey?” ujar Tengku Syahran sambil tersengih.
“Tak ingin Alia tidur dengan abang!”
“Eh, bila pulak abang cakap macam tu? Maksud abang kita tidur macam biasalah!” potong Tengku Syahran.
Zahlia bengang dan terus berlalu ke bilik air.












Bab 33

“ABANG,Ida baru dapat telegram dari Kak Long, mak sakit kat kampung.” Suara sebak Raja Khalida kedengaran di telinga Megat Safiuddin.
Suaminya yang sejak tadi leka membaca surat khabar di anjung rumah menghentikan bacaan.Menoleh ke arah isteri yang kelihatan muram tidak jauh dari situ.
Megat Safiuddin menghampiri Raja Khalida.Suri hidup yang amat disayangi.Mata coklat cair milik isterinya itu ditenung dengan sepenuh kasih sayang.Terlimpah rasa cinta yang amat mendalam di situ.
Mata isterinya kelihatan berair tiba-tiba dan perlahan-lahan air yang bergenang mengalir keluar dari matanya.Benar-benar menyentuh perasaan Megat Safiuddin.Laju sahaja jari telunjuknya menyeka air mata itu dari menitis lagi.
“Kenapa sedih sangat ni, hmm?” soal Megat Safiuddin terus melabuhkan punggung di sisi Raja Khalida.
Raja Khalida terasa bahagia mendengar suara suaminya.Ungkapan lembut itu terasa damai menyusup ke seluruh jiwa.
“Bagaimana keadaan mak agaknya bang? Ida takut mak sakit teruk,” ujar Raja Khalida risau.
Wajah Syarifah Muzainah terbayang di ruang mata.Wajah itu menggamit naluri seorang anak yang terlalu merindui ibunya.Sudah lebih dua tahun raut ibunya tenggelam dalam kamus hidupnya.
“Ida nak pergi melawat mak ke?” tanya suaminya.
Wajah Syarifah Muzainah mula kabur dari layar ingatan.
“Kalau abang izinkan, Ida nak menjenguk mak.Dah lebih dua tahun bang.Dah lama benar Ida tinggalkan mak,” jawab Raja Khalida meminta simpati.
“Ida menyesal kahwin dengan abang?” pertanyaan Megat Safiuddin membuatkan Raja Khalida sebak semula.
Sekali lagi matanya digenangi air.
“Kenapa abang selalu duga Ida macam tu? Abang tak yakin dengan kasih sayang Ida?” tersangkut-sangkut suara Raja Khalida menyoal Megat Safiuddin.
Senyuman manis tiba-tiba terukir di bibir Megat Safiuddin.
“Okeylah, abang izinkan Ida pergi.Ida pergilah berapa hari pun dengan syarat telefon abang bila sampai rumah mak nanti,” ujar Megat Safiuddin.
Raja Khalida berasa sungguh gembira.
“Abang tak nak ikut sama? Kita lawat sama-sama,” pelawa Raja Khalida lembut.
“Abang ada kerja yang perlu disiapkan dalam masa dua hari lagi.InsyaALLAH kalau sempat, abang akan singgah rumah mak nanti,” Megat Safiuddin menjawab menenangkan hati Raja Khalida.
“Puteri macam mana bang? Ida bawa sekali ya?” pinta Raja Khalida bersungguh-sungguh.
“Tak payahlah Ida balik ni naik bas, kalau abang ada tak apa.Lagipun, Puteri tak berapa sihat.Biarlah dia bersama abang.Sepeninggalan Ida nanti, abang akan jaga Puteri sepenuh kasih sayang.Dah lama betul abang tak luangkan masa dengan dia.Kesian kalau tiba-tiba umur abang tak panjang.”
“Hisy… kenapa abang cakap macam tu? Abang nak tinggalkan Ida dengan Puteri?” potong Raja Khalida pantas.
“Bukan itu maksud abang.Kita tak tau apa akan berlaku esok.Manalah tau umur abang pendek.Tak dapat tengok Puteri membesar depan mata.”
“Cukuplah bang.Ida tak nak dengar lagi.” Raja Khalida menerkup telinganya.
“Kalau abang tak ada nanti,Ida kena janji jaga Puteri baik-baik tau.Dia ni satu-satunya zuriat yang kita ada.”
“Abang, stop it! Ida jenguk mak dua hari aje.Ida akan balik selepas dua hari.Kita akan jumpa lepas tu tau.” Kata-kata luahan Raja Khalida kedengaran beria-ia.
Namun, rindu Raja Khalida pada ibunya yang menggunung sedikit demi sedikit bertukar menjadi rasa benci yang amat berbisa.Tanpa Raja Khalida sedari, segala-galanya adalah rancangan Syarifah Muzainah semata-mata untuk memutuskan hubungannya dengan Megat Safiuddin.Seksanya dia menanggung azab kerinduan terhadap suami dan anaknya selama berhari-hari dikurung di rumah besar itu.Hanya ALLAH sahaja yang tahu.
Dan kerinduan itu memaksanya untuk berazam melarikan diri.Pelariannya diharapkan dapat memberi tempat untuknya menyembunyikan diri.Namun, rupa-rupanya pelariannya itu telah membongkar rasa kesedihan yang benar-benar menjerut jiwa.
Raja Khalida kehilangan orang yang tersayang dalam sekelip mata.Megat Safiuddin pergi meninggalkannya seperti yang pernah diucapkan.Lelaki itu rentung dalam kebakaran yang berlaku di rumahnya.Puteri kesayangannya pula tidak ditemui di mana-mana.Tiada mayat lain yang ditemui di rumahnya selain mayat suami tersayang.Raja Khalida menanam azam, ingin mencari Puteri kesayangan walaupun ke pelosok mana.Dia yakin Puterinya masih hidup.


RAJA KHALIDA tersentak apabila terasa bahunya di sentuh mesra.Kabur terus peristiwa lama yang mengganggu ingatan.Kuyup pipinya dengan air mata.Kelihatan wajah Tengku Badariah sedang tersenyum lembut sambil memegang lengannya.
“Ida fikirkan apa?” soalan Tengku Badariah menyapa telinga.
Raja Khalida mengesat air mata.Kepalanya digeleng.
“Dahlah Ida.Jangan terlalu mengenangkan perkara yang dah berlalu.Bukan akak nak menghalang kau mengingati kenangan lalu tapi kalau kau selalu macam ni, tak elok! Tak tenteram orang yang dah tak ada,” nasihat Tengku Badariah.
Raja Khalida menarik nafas.
“Entahlah kak! Sejak dua menjak ni Ida selalu teringatkan Puteri.Rindu betul Ida,” beritahu Raja Khalida jujur.
Wajah Tengku Badariah dipandang seketika.Wanita itulah yang bertanggungjawab memulihkan semangatnya sehingga ke hari ini.Raja Khalida teringat kembali ketika dia hampir hilang upaya untuk meneruskan hidup, kakak sepupunya itulah yang mengingatkannya bahawa sesuatu yang berlaku adalah dugaan.
Ketika itu, Raja Khalida mulai sedar betapa jahilnya dia tentang Islam.Baginya seorang Islam hanya perlu mengucap, bersembahyang lima kali sehari, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji.Raja Khalida tidak pernah sedar bahawa Islam mengajar umatnya tentang Qada’ dan Qadar.Dia tidak pernah mahu bertanya pada suaminya dahulu.Patutlah lelaki itu sentiasa tenang!
“Dah besar agaknya,kan? Ida tak pergi jenguk rumah mak angkatnya?”soalan Tengku Badariah berbunyi lagi.
“Dah lama tak pergi! Biarlah kak.Kalau Puteri dah selesa duduk situ.Ida nak buat macam mana lagi? Berdoa dari jauh ajelah.” Raja Khalida berkata.Suaranya dikawal bersama getaran yang mendebarkan jantung.
“Baguslah kalau Ida fikir begitu.Dulu kita pernah berangan nak jadi biras bila Puteri lahir.Siapa nama anak Ida tu?”
“Safira Khairina!”
“Haaa… Puteri Safira Khairina! Panjang betul namanya!” Tengku Badariah menggeleng.
Raja Khalida hanya ketawa.Nama Puteri sentiasa diingati di kamar hati.Nama yang dipilih berdasarkan pangkal huruf namanya dan nama suaminya.Indah terselit makna yang tersendiri. ‘Puteri Wakil Kebajikan’.
Sewaktu nama itu dipilih, Raja Khalida dan Megat Safiuddin berharap anak perempuan mereka akan membesar dan menjadi orang yang berguna.Doa itu benar-benar dikabulkan ALLAH apabila Raja Khalida mendapat khabar yang Puterinya itu sedang berkhidmat di sebuah rumah kebaijkan anak yatim.Menjadi wakil yang sudi mengajar anak-anak yatim di rumah kebajikan.
“Tak ada jodoh agaknya kita nak berbiras.Kalau Ida jumpa Puteri pun, anak-anak lelaki akak semuanya dah berkahwin.Memang tak ada harapanlah.” Kata-kata Tengku Badariah dibiarkan bergelodak dalam nurani.Raja Khalida hanya membalas dengan senyuman kecil.
“Ida nak balik dululah kak.Kirimkan salam Ida pada semua.Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”

1 comment:

  1. Ermmm.... bila nak ke plot kemuncak, ni... lamanya tunggu...

    ReplyDelete